Jenama topi keledar terkemuka dari Jepun, Shoei telah melancarkan produk terbaharunya untuk pasaran Malaysia iaitu X-Fifteen. Ia merupakan topi keledar direka khusus bagi memenuhi keperluan penunggang motosikal yang mengutamakan prestasi dan keselamatan.
Baru-baru ini sebuah acara pra-tontonan eksklusif telah diadakan oleh Shoei Malaysia dengan menawarkan 100 pemilik pertama topi keledar ini peluang untuk mendapatkan saiz dan memilih grafik topi keledar mengikut pilihan mereka.
Kredit Foto : Website motomalaya.net
Berikut merupakan beberapa ciri-ciri utama topi keledar Shoie X-Fifteen:
Aerodinamik Sempurna
Topi keledar ini direka untuk menyediakan stabiliti maksimum pada kelajuan tinggi. Dengan bantuan fasiliti corong angin terkini, X-Fifteen telah mencatatkan pengurangan tegasan sebanyak 6.1% dan
lift reduction sebanyak 1.6% berbanding dengan model sebelumnya, menjadikannya pilihan yang ideal untuk penunggang yang mencari prestasi cemerlang pada kelajuan sehingga 350 km/jam.
Ads
Struktur Kukuh dan Ringan
X-Fifteen dihasilkan daripada Kulit Matriks Terpadu Advanced Multi-Ply Plus (AIM+) yang merupakan bahan terhasil daripada kombinasi enam lapisan lightweight fiberglass dan serat prestasi tinggi. Ia sekali gus memberikan kekuatan dan ketahanan kepada hentakan sambil mengekalkan kekuatan strukturnya.
Fokus Keselamatan
Topi keledar ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri Penyerap EPS Multi-Bahagian/Multi-Ketumpatan, direka untuk memberikan perlindungan maksimum kepada kepala dengan menggunakan dense foam yang berbeza. Hasilnya, sebuah topi keledar yang lebih ringan dan kompak tanpa menjejaskan aspek keselamatan.
Ventilasi dan Aliran Udara
X-Fifteen menyediakan sistem ventilasi yang canggih, dengan tujuh lubang udara boleh ditutup dan enam lubang udara keluar, serta corong EPS yang lebih besar untuk memastikan aliran udara yang berterusan. Sistem penyejukan pad pipi yang diperbaharui memberikan keselesaan tambahan kepada penunggang.
Ads
Keselesaan dan Kesesuaian
Padding berbentuk poket dan lapisan yang boleh dikeluarkan memastikan topi keledar ini selesa dan sesuai dengan bentuk kepala penunggang. Mekanisme penyesuaian sudut yang berpaten membolehkan perubahan kedudukan helmet untuk meningkatkan kadar penglihatan penunggang.
Fungsi dan Reka Bentuk
Helmet ini dilengkapi dengan reka bentuk lens lock dua lapisan dan sistem kunci pelindung dua peringkat untuk kestabilan maksimum dan perlindungan tambahan. Mekanisme new trigger lock meningkatkan keyakinan penunggang dengan menghalang topi keledar daripada terlepas semasa kemalangan.
Ads
Kredit Foto : Website motomalaya.net
Harga dan Ketersediaan
X-Fifteen kini boleh didapati di Malaysia dengan harga runcit bermula dari RM2,850 untuk versi Biasa, RM3,350 untuk versi Grafik, dan RM3,500 untuk Riders Replica. Pelanggan yang ingin mendapatkan sesi penyesuaian peribadi boleh melawat Gomoto Experience Lab untuk pengalaman yang lebih disesuaikan.
Dengan menggabungkan teknologi terkini, reka bentuk yang aerodinamik, dan penekanan pada keselamatan dan keselesaan, Shoei X-Fifteen memang setara dengan helmet perlumbaan bertaraf tinggi. Pilihan yang sempurna untuk penunggang yang mengutamakan prestasi dan keselamatan dalam setiap perjalanan mereka.
Sumber : Motomalaya.net
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Hevik dengan kerjasama GIVI memperkenalkan jaket SCORPIUS. Ia merupakan inovasi dan komitmen jenama ini terhadap keselamatan serta keselesaan khas buat penunggang motosikal terutamanya di negara beriklim tropika.
Jaket SCORPIUS menggabungkan bahan-bahan terkini dengan perlindungan homologasi Eropah yang ringan, menawarkan keselesaan dan perlindungan tanpa tandingan tanpa mengabaikan gaya dan prestasi.
Ia dibina dengan cukup teliti bagi memenuhi keperluan penunggang yang mencari gaya dan kepentingan dalam aksesori mereka. Dibina daripada bahan-bahan yang tahan geseran, jaket ini mampu memberikan perlindungan maksimum terhadap geseran dan impak.
Sekali gus memberikan keyakinan kepada penunggang untuk menakluki mana-mana bentuk jalan raya dengan mudah.
Kredit Foto : Facebook GIVI Malaysia
Dilengkapi dengan pelindung tahap 2 di bahagian bahu dan siku, jaket SCORPIUS menetapkan standard baru untuk keselamatan penunggang. Pelindung ini menawarkan penyerapan impak yang lebih baik, melindungi penunggang daripada kecederaan yang mungkin berlaku sambil mengekalkan keanjalan dan keselesaan untuk pergerakan tanpa sekatan di jalan raya.
Direka untuk penunggang yang melalui iklim tropika, jaket SCORPIUS menampilkan panel ventilasi yang diletakkan strategik untuk mengawal suhu dan aliran udara, mencegah pemanasan berlebihan dan keletihan semasa perjalanan yang panjang.
Dengan empat kawasan berongga, termasuk dua di bahagian depan dan dua di bahagian belakang, ianya memastikan penunggang akan kekal sejuk dan selesa walaupun dalam keadaan yang paling mencabar dan meningkatkan pengalaman pemanduan mereka secara keseluruhan.
Kredit Foto : Website asia.bike
Jaket SCORPIUS dihasilkan daripada bahan-bahan reflektif ke dalam penghasilannya, memastikan kelihatan dengan jelas dan meningkatkan keselamatan untuk penunggang tanpa mengira waktu hari atau keadaan cuaca. Ciri tambahan ini tidak hanya meningkatkan estetika jaket tetapi juga memberi keutamaan kepada keselamatan penunggang di jalan raya.
Bahagian pinggang jaket dan bahagian bawah jaket boleh dilaraskan mengikut keselesaan, dan ianya juga disertakan dengan “raincoat” yang boleh dilepaskan, memberi perlindungan kepada penunggang daripada hujan.
Selain itu, penyertaan pelindung siku safe tech elbow easy flex, boleh disesuaikan kepada standard tahap 2, menawarkan perlindungan dan keanjalan yang ditingkatkan untuk penunggang yang mencari prestasi optima daripada aksesori mereka.
Dengan harga jualan RM980, ianya sangat berbaloi dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih, dan reka bentuk ergonomik untuk memberikan keselesaan, gaya, dan perlindungani kepada “rider” di seluruh dunia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Bila sebut WD-40, ramai terus terbayang botol biru kuning yang digunakan untuk melincirkan rantai motosikal. Tapi sebenarnya, produk ikonik ni ada berpuluh lagi kegunaan lain yang mungkin ramai tak tahu.
Dengan lebih 60 tahun sejarah di belakangnya, WD-40 bukan sekadar pelincir — ia adalah penyelesai masalah serba guna untuk pelbagai situasi dalam kehidupan harian.
Kegunaan Paling Lazim
Antara kegunaan paling popular selain melincirkan rantai ialah menghapuskan bunyi berdecit. Bunyi pintu rumah, bonet kereta atau engsel yang berkarat boleh hilang serta-merta lepas sembur sikit WD-40. Ia menyerap ke dalam celah logam dan mengurangkan geseran — macam magik!
Seterusnya, WD-40 sangat berkesan sebagai agen pencegah karat. Kalau korang ada alatan berkebun, peralatan bengkel atau skru lama yang selalu terdedah pada air atau kelembapan, semburkan sedikit WD-40. Ia membentuk lapisan pelindung nipis yang menghalang kelembapan daripada menyebabkan kakisan.
Fungsi Lain WD-40
Selain tu, ramai tak tahu WD-40 boleh bantu menanggalkan pelekat dan getah degil. Label harga yang susah nak tanggal, sisa sticker pada visor helmet, atau getah melekit pada fairing motosikal — semua ni boleh hilang dengan sapuan ringan WD-40. Tinggal lap dengan kain, dan permukaan kembali licin.
Dalam dunia permotoran, WD-40 juga berguna untuk membersihkan komponen logam seperti rim, skru atau blok enjin. Ia melonggarkan kotoran dan gris yang melekat kuat, dan lepas tu senang dicuci. Ada juga yang guna WD-40 untuk menghidupkan enjin yang terkena air, contohnya motosikal yang banjir. Semburan ke bahagian distributor atau spark plug boleh bantu mengeringkan komponen elektrik yang basah.
Paling menarik, WD-40 juga boleh digunakan untuk merawat zip rosak atau ketat. Zip jaket, beg, atau riding suit yang tersekat boleh bergerak semula lepas disembur sikit — tak perlu tukar baru.
Secara ringkasnya, WD-40 bukan sekadar pelincir — ia macam “first aid kit” untuk barang besi dan peralatan harian. Dari motosikal ke rumah, bengkel ke dapur, botol kecil ni sentiasa ada gunanya. Jadi lepas ni, bila nampak botol WD-40, ingatlah — ia bukan hanya untuk rantai motosikal, tapi penyelamat sejati untuk pelbagai situasi.
Cermin gelap. Kita pasti pernah tertanya mengapa sesetengah kenderaan kerajaan dan kenderaan mewah bercermin gelap, boleh ke? Macam mana mereka mohon dan pada siapa untuk dimohon? Artikel ini bakal kupaskan proses yang perlu dibuat untuk mendapat kelulusan penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian.
Dalam pada itu, peraturan penggunaan cermin gelap berdasarkan peratus ketelusan cahaya (VLT) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah dikuatkuasakan bermula 8 Mei 2019.
-Semakan Online
Jadinya, pengguna kenderaan tidak perlu mengemukakan permohonan penggunaan cermin gelap sekiranya penggunaan cermin gelap adalah mengikut spesifikasi VLT yang dikeluarkan oleh JPJ.
Pengguna kenderaan yang ingin mendapatkan cermin gelap berspesifikasi VLT yang lebih rendah di bahagian cermin depan dan cermin sisi di bahagian pemandu perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Permohonan cermin gelap berspesifikasi VLT lebih rendah adalah berdasarkan keperluan kesihatan dan keselamatan sahaja. Permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi setiap kenderaan hendaklah dibuat secara berasingan dan ditandatangani oleh pemohon.
Pemohon dan pemilik kenderaan perlu bebas daripada mempunyai apa-apa kes yang belum selesai dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP, APAD dan lain-lain Akta yang berkaitan.
Syarat tambahan bagi permohonan pertukaran
Syarat bagi permohonan pertukaran kelulusan cermin gelap adalah pemilik kenderaan motor yang membuat tukar ganti (interchange) nombor pendaftaran kenderaan motor atau pemilik kenderaan motor membuat penukaran kepada mana-mana kenderaan motor yang dimilikinya.
semasa membuat permohonan pertukaran.
Tempoh sah laku kelulusan terdahulu adalah tidak kurang daripada 6 bulan dari tamat tempoh kelulusan. Sekiranya tempoh sah laku kelulusan terdahulu melebihi 6 bulan, pemohon perlu membuat permohonan baru.
Sekiranya permohonan pertukaran diluluskan, tempoh tamat sah kelulusan adalah mengikut tempoh tamat kelulusan terdahulu.
– VORT-X-SAMPLE-TINT
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan cermin gelap
Bagi permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran, dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut :
Borang CG1 (borang boleh didapati di laman web JPJ).
Salinan kad pengenalan.
Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
Salinan Sijil Kelulusan Cermin Gelap (bagi permohonan pembaharuan dan pertukaran).
Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan kepada kenderaan yang didaftar atas nama pemohon sahaja. Jika kenderaan bukan hak milik pemohon, dokumen / surat hubungan dengan pemilik kenderaan perlu dikemukakan. Contoh : sijil lahir / sijil perkahwinan dan lain-lain yang berkaitan).
Bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
Bagi kenderaan milikan persendirian individu, pemohon perlu mengemukakan salinan laporan perubatan terkini oleh Pakar Perubatan dari Hospital Kerajaan atau Pakar Perubatan Hospital Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyatakan jenis atau nama penyakit secara spesifik.
Bagi kenderaan persendirian syarikat, pemohon perlu mengemukakan borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar.
Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian individu, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
Dokumen sokongan seperti laporan polis atau lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan risiko keselamatan yang di hadapi
Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian syarikat, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
Borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar
Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan atau sewaan Kerajaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
Surat permohonan daripada Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah Jabatan
Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan kedutaan atau kakitangan kedutaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
Bayaran permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran
Tiada bayaran dikenakan untuk Fi Permohonan dan Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan.
Bayaran RM50.00 untuk Fi Permohonan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan.
Bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
Bagi Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
Bagi Kenderaan Milikan Kerajaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, tiada bayaran dikenakan untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran.
Bayaran Fi Permohonan perlu dibuat setelah membuat permohonan, manakala bayaran Fi Perakuan perlu dibuat setelah mendapat surat makluman keputusan permohonan kelulusan penggunaan cermin gelap. Bayaran tidak akan dipulangkan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan atau tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Bayaran Fi Permohonan dan Fi Perakuan boleh dijelaskan di mana-mana pejabat JPJ Negeri / Cawangan atau secara atas talian di Portal Awam JPJ.
Tempoh sah laku permohonan cermin gelap
Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan kesihatan adalah selama 2 tahun.
Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Milikan Kerajaan adalah selama 5 tahun.
Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat dan Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan adalah selama 2 tahun.
Kelulusan yang telah tamat tempoh sah laku perlu membuat permohonan baru tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti yang telah dinyatakan dan bayaran fi dijelaskan.
– Internet
Keputusan permohonan
Surat keputusan akan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ kepada pemohon secara pos berdaftar.
Sijil Perakuan kelulusan cermin gelap akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar. Pemohon juga boleh hadir sendiri ke Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ untuk penyerahan sijil.
Kadar saman yang dikenakan
Menurut JPJ, pemilik kenderaan yang gagal untuk mematuhi peraturan cermin gelap boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
Kredit – Vort-X.com / Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia