Porsche Buka Pusat Servis Pertama di Malaysia Timur
Porsche Malaysia terus memperluaskan rangkaian selepas jualannya di negara ini menerusi pembukaan Porsche Service Centre Kuching, sekali gus menjadi fasiliti servis rasmi Porsche pertama yang beroperasi di Malaysia Timur.
Pusat servis baharu itu diwujudkan menerusi kerjasama antara Porsche Malaysia, yang diwakili Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd., bersama Hap Seng Prestige.
Pembukaan fasiliti berkenaan membolehkan pemilik Porsche di Sarawak mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan, diagnostik dan pembaikan rasmi dengan lebih dekat tanpa perlu bergantung kepada pusat servis di Semenanjung Malaysia.

Fasiliti dilengkapi Dua Ruang Servis
Porsche Service Centre Kuching beroperasi sebagai fasiliti 1S, dengan tumpuan khusus terhadap perkhidmatan selepas jualan.
Pusat servis itu dilengkapi bengkel dengan dua ruang servis atau service bay, selain kemudahan diagnostik dan peralatan khas yang memenuhi piawaian ditetapkan Porsche.
Semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan pula dikendalikan oleh juruteknik yang menerima latihan khusus Porsche.
Kemudahan tersebut turut mempunyai ruang menunggu pelanggan yang direka bagi memberikan pengalaman lebih selesa sepanjang proses penyelenggaraan kenderaan.
Dalam masa sama, alat ganti tulen Porsche atau Genuine Porsche Parts akan dibekalkan secara terus menerusi rangkaian bekalan global Porsche bagi memastikan setiap kenderaan diselenggara mengikut spesifikasi pengeluar.

Kerjasama dengan Hap Seng Prestige
Pelantikan Hap Seng Prestige sebagai rakan operasi bagi pusat servis berkenaan memanfaatkan pengalaman Hap Seng Group dalam sektor automotif premium, termasuk operasi jualan dan selepas jualan.
Menurut Porsche Malaysia, kerjasama tersebut bertujuan memastikan pelanggan di Sarawak menerima tahap perkhidmatan teknikal serta penjagaan pelanggan yang selaras dengan standard global jenama itu.
Pemeriksaan 111 Perkara Secara Percuma
Bersempena pembukaan Porsche Service Centre Kuching, pemilik Porsche di Sarawak turut ditawarkan program Service Clinic khas.
Antara tarikan utama program itu ialah pemeriksaan 111 perkara secara percuma, yang merangkumi penilaian menyeluruh terhadap keadaan kenderaan.
Pelanggan juga berpeluang mendapatkan pakej eksklusif Porsche Approved Warranty sepanjang tempoh Service Clinic bagi memberikan perlindungan tambahan terhadap kenderaan mereka.
Selain urusan penyelenggaraan, pusat servis tersebut turut menawarkan pilihan aksesori Porsche Tequipment serta barangan Porsche Lifestyle.
Sebagai promosi pembukaan, barangan Porsche Lifestyle terpilih ditawarkan dengan diskaun sehingga 30 peratus.

Perkukuh Rangkaian Porsche di Malaysia
Porsche Service Centre Kuching kini telah mula beroperasi sepenuhnya dan bersedia menerima pelanggan dari seluruh Sarawak.
Sebelum ini, rangkaian Porsche Malaysia tertumpu kepada beberapa lokasi utama di Semenanjung termasuk Porsche Centre Ara Damansara, Porsche Centre Sungai Besi, Porsche Centre Penang dan Porsche Centre Johor Bahru.

Pembukaan pusat servis di Kuching bukan sahaja memperluaskan capaian selepas jualan Porsche, malah memberikan pilihan lebih praktikal kepada pemilik di Malaysia Timur untuk mendapatkan penyelenggaraan rasmi tanpa perlu menghantar kenderaan ke Semenanjung.
Ia juga menjadi satu lagi langkah Porsche Malaysia dalam memperkukuh pengalaman pemilikan jenama itu, khususnya bagi pelanggan di Sarawak yang semakin mempunyai akses lebih dekat kepada perkhidmatan dan sokongan rasmi Porsche.
Baca Juga : Tayar Kereta Pancit Ketika Memandu, Apa Perlu Buat?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



