Porsche Tingkat Pegangan Dalam Manthey Racing Kepada 67 Peratus, Fokus Prestasi Kini Lebih Serius
Porsche AG terus memperkukuh kedudukannya dalam segmen kereta berprestasi tinggi apabila meningkatkan pegangan dalam Manthey Racing GmbH kepada 67 peratus. Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi Sportwagenschmiede ’35 serta inisiatif baharu Porsche yang dikenali sebagai “Home of Sports Cars”.
Hubungan Porsche dan Manthey bukanlah sesuatu yang baharu. Manthey sudah lama menjadi rakan penting Porsche dalam dunia motorsport, khususnya dalam perlumbaan pelanggan serta pembangunan komponen prestasi untuk kegunaan litar dan jalan raya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Dr Michael Leiters, peningkatan pegangan ini membolehkan kedua-dua syarikat bekerjasama dengan lebih rapat dalam memperluaskan penawaran kepada pelanggan. Antara perkara yang sedang dipertimbangkan termasuk model khas, performance kit serta pengalaman eksklusif di litar perlumbaan.
Manthey Jadi Sebahagian Penting “Home of Sports Cars”
Menerusi konsep “Home of Sports Cars”, Porsche akan menghimpunkan aktivitinya kepada tiga bidang utama iaitu Performance, Exclusiveness dan Heritage.
Bahagian Performance termasuk kerjasama bersama Manthey, manakala aspek Exclusiveness merangkumi program Sonderwunsch dan Exclusive Manufaktur. Pada tahap tertinggi pula, mereka mahu terus mengembangkan tawaran personalisasi individu kepada pelanggannya.
Bagi Manthey pula, penglibatannya dalam dunia perlumbaan bukan sekadar reputasi atas kertas. Syarikat itu mempunyai pengalaman sekitar 30 tahun dalam perlumbaan GT, selain mencatat tujuh kemenangan keseluruhan dalam Nürburgring 24 Hours, enam kemenangan kelas di Le Mans serta beberapa kejuaraan FIA WEC dan DTM.
Peningkatan pegangan ini dijangka membuka ruang lebih besar kepada Manthey untuk mengembangkan produk prestasi bukan sahaja bagi kegunaan litar, malah untuk kereta jalan raya di luar barisan model GT sedia ada.
Sembilan Manthey Kit Sejak 2020
Kerjasama kedua-dua jenama sebenarnya sudah menghasilkan beberapa produk menarik sebelum ini.
Sejak 2020, Porsche dan Manthey telah membangunkan sembilan Manthey Kit untuk beberapa model, daripada Porsche 911 dan 718 sehinggalah Taycan Turbo GT dengan Weissach Package.
Pengarah Urusan Manthey Racing GmbH, Nicolas Raeder menyifatkan peningkatan pegangan sebagai satu bentuk penghargaan terhadap hubungan yang telah dibina selama bertahun-tahun.
Sementara itu, Martin Raeder pula melihat langkah tersebut sebagai fasa seterusnya dalam kerjasama Porsche-Manthey, khususnya dalam memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak dan mengukuhkan hubungan antara teknologi motorsport dengan kereta produksi.
Baca Juga: Porsche Buka Pusat Servis Pertama di Borneo Kini Beroperasi di Kuching, Sarawak
Dua Model Khas Bakal Diperkenalkan
Menariknya, Manthey juga bakal memberikan gambaran awal mengenai projek masa depan bersama Porsche sempena acara DTM di Hockenheimring.
Syarikat itu dijadual memperkenalkan dua model khas sempena ulang tahun ke-30 Manthey, sekali gus memberi petunjuk mengenai arah baharu kerjasama antara kedua-dua syarikat tersebut.
Dalam masa sama, Manthey turut memburu kejuaraan DTM ketiganya dalam tempoh empat tahun. Thomas Preining ketika ini mendahului carta pemandu dengan kelebihan 23 mata, manakala Manthey mempunyai kelebihan 20 mata dalam kedudukan pasukan menjelang perlumbaan penutup musim.
Dengan kini memegang pegangan majoriti sebanyak 67 peratus, kerjasama antara kedua-duanya nampaknya bakal bergerak lebih jauh daripada sekadar program perlumbaan. Ia turut membuka kemungkinan kepada lebih banyak model khas, pakej prestasi serta teknologi berasaskan pengalaman perlumbaan untuk digunakan pada kereta jalan raya pada masa akan datang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





