Nissan Frontier Pro / Navara Pro Buka Era Baharu Pikap, PHEV Turut Ditawarkan
Nissan memperkenalkan generasi baharu Frontier Pro / Navara Pro sebagai sebahagian daripada strategi global jenama itu untuk memperkukuh kedudukannya dalam segmen trak pikap.
Model baharu ini membawa pendekatan berbeza berbanding generasi terdahulu apabila ia bukan sahaja hadir dengan pilihan enjin pembakaran dalaman, malah turut dibangunkan dengan pilihan plug-in hybrid atau PHEV.
Menariknya, Frontier Pro / Navara Pro juga menjadi model Nissan pertama yang dibangunkan dan dikeluarkan di China untuk pasaran eksport global.
Dibangunkan Untuk Pasaran Global
Frontier Pro / Navara Pro direka, dibangunkan dan dipasang oleh Zhengzhou Nissan Automobile Co. Ltd, syarikat usaha sama Nissan di China.
Menurut Nissan, pembangunan model ini menggabungkan keupayaan pembangunan dan kepantasan industri automotif China bersama pengalaman kejuruteraan serta standard pengeluaran global Nissan.
Ia juga menunjukkan peranan China yang semakin penting sebagai pusat pembangunan produk, kejuruteraan dan pengeluaran untuk jenama tersebut.
Walaupun menggunakan satu asas produk yang sama, nama model akan berbeza mengikut pasaran. Ia akan dikenali sebagai Frontier Pro di beberapa pasaran, manakala nama Navara Pro digunakan termasuk di Filipina dan Timur Tengah.
Ada Pilihan PHEV dan Enjin Konvensional
Salah satu perubahan terbesar untuk generasi baharu ini ialah pilihan sistem kuasa.
Nissan membangunkan Frontier Pro / Navara Pro dengan pilihan sistem PHEV 1.5 liter dan 2.0 liter, selain pilihan enjin pembakaran dalaman petrol atau diesel.
Namun begitu, jenis sistem kuasa yang ditawarkan akan bergantung kepada keperluan setiap pasaran.
Versi PHEV merupakan sesuatu yang cukup signifikan kerana ia menjadi trak pikap elektrik pertama Nissan.
Model PHEV ini turut dilengkapi fungsi Vehicle-to-Load atau V2L, membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran.
Fungsi seperti ini boleh menjadi praktikal untuk pengguna yang membawa pikap ke kawasan kerja, aktiviti rekreasi atau lokasi yang tidak mempunyai sumber bekalan elektrik tetap.
Baca Juga: Dua Nissan Z Kutip Mata di SUGO!
Kekal Lasak, Tetapi Lebih Selesa
Walaupun membawa teknologi elektrifikasi, Nissan masih mengekalkan karakter asas sebuah trak pikap.
Frontier Pro / Navara Pro dibangunkan dengan rekaan yang menekankan imej lasak dan ketahanan, tetapi pada masa sama diberikan ruang kabin lima tempat duduk yang lebih luas serta kemasan lebih sofistikated.
Nissan turut memberi perhatian kepada aspek teknologi dan keselesaan bagi menjadikan model ini bukan sekadar sesuai digunakan untuk tugasan berat, malah praktikal sebagai kenderaan harian dan kegunaan keluarga.
Pendekatan ini selari dengan perubahan pasaran trak pikap moden yang semakin banyak digunakan sebagai kenderaan gaya hidup selain fungsi tradisionalnya sebagai kenderaan kerja.
Mexico Jadi Pasaran Pertama Di Luar China
Mexico menjadi pasaran pertama di luar China yang menerima Frontier Pro, dengan jualan bermula pada Oktober 2026.
Model ini kemudiannya akan diperkenalkan di beberapa pasaran Amerika Latin sebelum penghujung 2026.
Di Asia Tenggara pula, Filipina dijadualkan menerima Navara Pro pada November 2026, manakala pasaran Timur Tengah turut menerima model tersebut sebelum penghujung tahun.
Australia dan New Zealand pula bakal menjadi antara pasaran pertama yang menerima versi pemanduan sebelah kanan pada 2027.
Nissan turut mengesahkan bahawa versi PHEV dirancang untuk pasaran Amerika Latin, ASEAN dan Oceania, sementara versi enjin pembakaran dalaman akan ditawarkan di Timur Tengah.
Lebih 90 Tahun Pengalaman Membina Pikap
Nama Nissan mempunyai sejarah panjang dalam segmen trak pikap.
Sejak memperkenalkan trak Type 13 pada tahun 1934, Nissan telah menjual lebih 15 juta trak pikap di lebih 140 pasaran di seluruh dunia.
Pengalaman lebih 90 tahun itu kini diteruskan menerusi Frontier Pro / Navara Pro, tetapi dengan pendekatan lebih moden termasuk elektrifikasi, teknologi baharu serta fokus terhadap kegunaan harian.
Buat masa ini, Mereka belum menyatakan secara khusus sama ada Navara Pro bakal diperkenalkan di Malaysia.
Namun, ASEAN disenaraikan sebagai antara rantau yang bakal menerima versi PHEV, menjadikan perkembangan Frontier Pro / Navara Pro ini sesuatu yang menarik untuk diperhatikan dalam tempoh akan datang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





