Ads

Honda Malaysia Mulakan Pengeluaran City Hatchback Baharu di Melaka

Honda City Hatchback Baharu Mula Dikeluarkan di Melaka, Lebih 51,000 Unit Terjual Sejak 2021

Honda Malaysia secara rasmi memulakan pengeluaran Honda City Hatchback baharu di kilang pemasangannya di Melaka, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting menjelang pelancaran model hatchback kompak itu di pasaran tempatan.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Shikata Noriyuki, yang mencerminkan hubungan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam sektor automotif dan pembuatan kenderaan.

Pengeluaran City Hatchback baharu ini juga memperkukuh komitmen Honda Malaysia untuk terus menghasilkan kenderaan berkualiti melalui kemudahan pemasangan tempatan yang telah beroperasi sejak 2003.

Lebih 51,000 Unit City Hatchback Terjual Sejak 2021

Sejak diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada 2021, Honda City Hatchback telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi 51,000 unit.

Pencapaian tersebut membuktikan penerimaan positif pengguna tempatan terhadap model hatchback berkenaan, khususnya dalam kalangan mereka yang mahukan sebuah kereta kompak dengan reka bentuk sporty dan ruang dalaman yang praktikal.

City Hatchback baharu dijangka meneruskan momentum tersebut dengan beberapa penambahbaikan dari segi reka bentuk luaran, teknologi ketersambungan serta ciri keselamatan.

Antara ciri yang dikekalkan ialah sistem ULTRA Seats, yang membolehkan konfigurasi tempat duduk diubah mengikut keperluan pengguna, sekali gus menawarkan fleksibiliti ruang untuk membawa penumpang atau barangan.

Kehadiran model ini juga melengkapkan barisan Honda City di Malaysia susulan pelancaran City Sedan baharu baru-baru ini.

Kilang Melaka Terus Memainkan Peranan Penting

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, pengeluaran City Hatchback baharu bukan sekadar memperkenalkan sebuah lagi model ke pasaran, malah mencerminkan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan pembuatan, inovasi dan pertumbuhan jangka panjang.

Ads

Honda Malaysia Mulakan Pengeluaran City Hatchback Baharu di Melaka

Beliau berkata, Honda Malaysia telah berkembang seiring dengan pembangunan negara dan berbangga menjadi sebahagian daripada hubungan dua hala antara Malaysia dengan Jepun.

Melalui semangat Challenging Spirit, Honda Malaysia akan terus berusaha menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti yang memenuhi keperluan pengguna, selain menyumbang kepada pembangunan industri automotif tempatan.

Sejak memulakan operasi pembuatan pada 2003, kilang Honda Malaysia di Melaka telah menjadi antara tunjang utama operasi syarikat dalam memenuhi permintaan pasaran domestik.

Kemudahan berkenaan turut memainkan peranan dalam memperkukuh keupayaan industri pemasangan kenderaan tempatan melalui penggunaan teknologi pembuatan Jepun serta kepakaran tenaga kerja Malaysia.

Kerjasama Dengan Hampir 500 Pembekal Tempatan

Dalam perkembangan berkaitan, Honda Malaysia memaklumkan bahawa syarikat itu kini bekerjasama dengan kira-kira 500 pembekal tempatan bagi menyokong operasi dan pengeluaran kenderaannya.

Ads

Kerjasama tersebut bukan sahaja membantu memperkukuh rantaian bekalan automotif negara, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan kepakaran masing-masing.

Secara keseluruhan, hampir 20,000 tenaga kerja terlibat dalam ekosistem Honda Malaysia di seluruh negara, merangkumi kakitangan syarikat, rangkaian pengedar serta rakan pembekal.

Sementara itu, Shikata Noriyuki memuji usaha Honda Malaysia dalam menggabungkan teknologi dan kepakaran pembuatan Jepun dengan bakat tempatan.

Beliau turut menyifatkan pendekatan Honda Malaysia yang memberikan penekanan terhadap penggunaan komponen serta pembekal tempatan sebagai langkah positif dalam memperkukuh industri automotif Malaysia.

City Hatchback

Ads

City Hatchback Baharu Bakal Dilancarkan Tidak Lama Lagi

Dengan pengeluaran tempatan kini bermula, Honda City Hatchback baharu semakin hampir untuk diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna Malaysia.

Model yang menerima pembaharuan ini bakal tampil dengan reka bentuk lebih segar, teknologi ketersambungan yang dikemaskini serta kelengkapan keselamatan yang lebih menyeluruh.

Honda Malaysia juga mengekalkan pendekatan yang menitikberatkan keselesaan dan pratikaliti, menjadikan City Hatchback sebagai salah satu pilihan dalam segmen hatchback kompak tempatan.

Honda Malaysia Mulakan Pengeluaran City Hatchback Baharu di Melaka

Bagaimanapun, Honda Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi atau tarikh pelancaran model berkenaan menerusi kenyataan pengeluaran ini.

Baca Juga : 8 Tahun “Warranty” & “Unlimited Mileage”, Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Menarik di Roda Panas

Porsche Buka Pusat Servis Pertama di Borneo Kini Beroperasi di Kuching,...

Porsche Buka Pusat Servis Pertama di Malaysia Timur Porsche Malaysia terus memperluaskan rangkaian selepas jualannya di negara ini menerusi pembukaan Porsche Service Centre Kuching, sekali...