BYD Certified Tawar Platform Tukar Beli dan Pembiayaan EV Terpakai
BYD Sime Motors melancarkan program kenderaan pra-milik rasmi, BYD Certified, di Sime Darby Auto Selection Glenmarie. Lebih menarik, lokasi itu turut menjadi bilik pameran BYD Certified pertama di rantau Asia Pasifik.
BYD Certified bukan sekadar program jual beli kenderaan terpakai biasa. Setiap kenderaan yang ditawarkan perlu melalui proses pemeriksaan profesional, penilaian tahap kesihatan bateri serta semakan sejarah kenderaan.
Kenderaan berkenaan turut disertakan perlindungan waranti, pilihan pembiayaan dan sokongan selepas jualan bagi memberikan ketenangan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan.
Berpandukan slogan “Drive Pre-Owned with Confidence”, program ini dibangunkan bagi meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap pasaran EV terpakai di Malaysia.
Majlis pelancaran BYD Certified turut menyaksikan penyerahan kenderaan pertama kepada pelanggan, membabitkan sebuah BYD ATTO 3 pra-milik.

Pemilikan EV Lebih Mudah Diakses
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, BYD Certified merupakan satu langkah penting untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses oleh pengguna di Malaysia.
“BYD Certified merupakan satu langkah penting dalam menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia. Seiring pasaran EV yang terus berkembang, kami melihat minat yang semakin meningkat dalam kalangan pelanggan yang mencari kenderaan pra-milik berkualiti, disokong oleh jaminan dan khidmat profesional. Melalui BYD Certified, kami memperluaskan pengalaman pemilikan BYD kepada lebih ramai pengguna, di samping memperkukuh komitmen kami untuk menyokong pelanggan sepanjang perjalanan pemilikan EV mereka, bukan sekadar pada kenderaan itu sendiri.”
Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata, program berkenaan dibangunkan berasaskan piawaian kualiti yang ketat dan proses pengesahan kenderaan secara telus.
“BYD Certified dibangunkan berasaskan piawaian kualiti yang ketat serta proses pengesahan kenderaan yang telus. Setiap kenderaan pra-milik BYD yang diperakui menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh juruteknik terlatih, selain disokong oleh rekod sejarah kenderaan yang telah disahkan, penilaian tahap kesihatan bateri dan perlindungan waranti. Program ini turut menyediakan platform tukar beli yang dipercayai kepada pemilik BYD sedia ada, sekali gus memudahkan mereka menaik taraf kenderaan dalam ekosistem BYD serta membantu mengekalkan nilai pemilikan untuk jangka panjang.”
5 Jaminan Kualiti BYD Certified
Bagi memastikan setiap kenderaan memenuhi piawaian yang ditetapkan, BYD Certified menawarkan lima jaminan kualiti utama:
- Pemeriksaan 170 Titik
Setiap kenderaan menjalani pemeriksaan profesional menyeluruh merangkumi 170 titik oleh juruteknik terlatih. - Perbatuan Kurang 100,000 Kilometer
Hanya kenderaan dengan perbatuan di bawah 100,000 kilometer layak menerima pensijilan BYD Certified. - Usia Tidak Melebihi Empat Tahun
Kenderaan yang ditawarkan mestilah berusia tidak lebih daripada empat tahun, dengan had perbatuan seperti berikut:- Satu tahun: tidak melebihi 30,000 kilometer
- Dua tahun: tidak melebihi 60,000 kilometer
- Tiga tahun: tidak melebihi 90,000 kilometer
- Empat tahun: tidak melebihi 100,000 kilometer
- Rekod Sejarah Bersih
Kenderaan yang diperakui mesti bebas daripada kemalangan besar, kerosakan akibat kebakaran atau banjir serta manipulasi bacaan odometer. - Alat Ganti Tulen BYD
Sebarang kerja baik pulih perlu menggunakan alat ganti tulen BYD dan dilaksanakan mengikut piawaian pembaikan yang diluluskan oleh pengeluar.
Pelanggan BYD Certified turut menerima jaminan beli balik dalam tempoh lima hari selepas kenderaan diserahkan.
Melalui jaminan itu, pelanggan layak menerima pembelian semula pada harga asal sekiranya kenderaan didapati mempunyai kerosakan struktur, kesan banjir atau kebakaran yang tidak dimaklumkan ketika proses pembelian.
Pelanggan juga boleh mendapatkan sokongan servis dan waranti menerusi rangkaian pusat jualan, servis dan alat ganti 3S BYD yang sah di seluruh Malaysia.
Platform Tukar Beli Pemilik BYD
Selain menawarkan kenderaan pra-milik, BYD Certified turut menyediakan platform tukar beli untuk pemilik BYD sedia ada.
Pemilik boleh mendapatkan penilaian kenderaan secara telus sebelum menaik taraf kepada model BYD lain dalam ekosistem jenama berkenaan.
Bilik pameran BYD Certified di Sime Darby Auto Selection Glenmarie menyediakan pengalaman sehenti yang merangkumi urusan pembelian, pengesahan pensijilan, tukar beli, pembiayaan, perlindungan waranti dan penjagaan selepas jualan.
BYD Certified juga turut menawarkan pakej pembiayaan dengan kadar faedah serendah 2.03 peratus, tertakluk kepada terma dan syarat.
Orang ramai boleh mengunjungi bilik pameran BYD Certified pertama di Sime Darby Auto Selection Glenmarie untuk melihat pilihan model pra-milik yang diperakui, tertakluk kepada ketersediaan stok.
Acara Bilik Pameran Pada 24 Hingga 26 Julai
BYD Sime Motors turut menganjurkan acara hujung minggu BYD Certified dari 24 hingga 26 Julai 2026 di Sime Darby Auto Selection Glenmarie.
Acara berkenaan memberi peluang kepada pelanggan untuk melihat sendiri pilihan EV pra-milik BYD yang telah melalui proses pemeriksaan dan pensijilan rasmi.
Baca Juga : BYD ATTO 3 2026 Dilancarkan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!







