Lebih 200 Jentera, 111 Pusingan Hingga Hampir Tengah Malam di MSF Merdeka Race 2026
Malaysia Speed Festival (MSF) Merdeka Race kembali menggegarkan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada 29 dan 30 Ogos ini dengan lebih 200 jentera serta sekitar 300 pelumba dijangka berentap dalam saingan empat dan dua roda sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Memasuki penganjuran edisi kesembilan berturut-turut, tumpuan utama pada hujung minggu ini pastinya terarah kepada MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance, iaitu perlumbaan Endurance sejauh 111 pusingan atau kira-kira 615 km mengelilingi litar sepanjang 5.534 km itu.
Tidak ketinggalan, kategori motosikal turut menawarkan cabaran tersendiri menerusi MotoMSF Superbikes Merdeka 33 Endurance, membabitkan perlumbaan 33 pusingan dengan jarak keseluruhan hampir 183 km.

MSF Merdeka Race 2026, Perlumbaan Hingga Lewat Malam
Bagi MSF SuperTurismo Merdeka 111 Endurance, setiap pasukan perlu menurunkan sekurang-kurangnya dua pemandu bagi setiap kereta serta melakukan minimum dua hentian pit wajib selama tiga minit.
Menariknya, tempoh setiap driving stint tidak ditetapkan, sekali gus memberi kebebasan kepada pasukan menentukan strategi masing-masing berdasarkan penggunaan bahan api, keadaan tayar, prestasi jentera serta kemampuan pemandu.
Faktor tersebut menjadikan perlumbaan bukan sekadar mengenai siapa paling pantas di atas litar, tetapi turut menguji konsistensi, pengurusan jentera dan ketepatan strategi sepanjang 111 pusingan.
Saingan berkenaan dibahagikan kepada tujuh kelas iaitu Super Series Limited, EXN GT86 x BRZ Racing Cup, Super Compatto, Standard Production, Standard Production MAX, Super Production dan K-Series Battle.

Perlumbaan utama dijadualkan bermula pada 5.30 petang, Ahad, 30 Ogos, sebelum diteruskan sehingga lewat malam dengan jentera dijangka melintasi garisan penamat hanya beberapa ketika sebelum negara memasuki sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Aksi Perlumbaan Malam Buka Tirai Pada Hari Sabtu
Program perlumbaan MSF Merdeka Race 2026 bermula pada Sabtu, 29 Ogos dengan tiga perlumbaan pecut pada sebelah malam.
Ia merangkumi dua perlumbaan lima pusingan bagi kategori Super Unlimited, selain perlumbaan lapan pusingan Skilldrvn One Make Race Series.
Kesemua aksi malam itu dijadualkan berlangsung antara jam 9 malam hingga 11.35 malam, memberikan peminat peluang menyaksikan perlumbaan di Sepang dalam suasana berbeza berbanding saingan pada waktu siang.
MotoMSF Superbikes Merdeka 33 Endurance, 33 Pusingan Uji Ketahanan Pelumba
Hari kedua pada Ahad pula dimulakan dengan saingan dua roda apabila American V-Twin Cup by Prodigy Racecraft menampilkan jentera Harley-Davidson dalam perlumbaan tujuh pusingan.
Tumpuan kemudian beralih kepada MotoMSF Superbikes Merdeka 33 Endurance yang berlangsung di South Track SIC antara jam 11.30 pagi hingga 2 petang.

Setiap pasukan terdiri daripada dua pelumba yang perlu berkongsi tugas untuk melengkapkan 33 pusingan tanpa henti, dengan pertukaran dan hentian pit diwajibkan setiap lapan pusingan.
Perlumbaan kategori ini mula diperkenalkan tahun lalu dan kini terus berkembang dengan penyertaan pelumba dari beberapa negara di rantau ini.
Merdeka 75 Cup Turut Meriahkan Sepang
Aksi empat roda kembali mengambil alih pada sebelah petang menerusi perlumbaan kedua Skilldrvn One Make Race Series sebanyak 10 pusingan pada jam 2.15 petang.
Ia kemudian disusuli Merdeka 75 Cup pada jam 3 petang, sebuah perlumbaan selama 75 minit yang melibatkan empat kelas iaitu Saga Cup, MyVi Cup, CamPro Cup dan Tuner Production.
Menurut Prinsipal MSF, Adian Yein Khalid, perlumbaan Merdeka terus menunjukkan perkembangan yang ketara sejak diperkenalkan, manakala kemampuan menganjurkan perlumbaan endurance 111 pusingan setiap tahun menjadi antara pencapaian penting buat MSF.

Katanya, keunikan acara itu terletak pada penyertaan pelumba veteran bersama muka baharu, selain menghimpunkan pasukan tempatan dan pelumba berpengalaman dari rantau ini dalam satu perlumbaan.
Format endurance juga menguji bukan sahaja kelajuan, malah konsistensi, strategi serta kerjasama antara pelumba dan kru pasukan.
Turut kembali pada MSF Merdeka Race 2026 ialah juara keseluruhan MSF Merdeka Race tahun lalu, Faidzil Alang dan Mohamed Hafez, yang akan cuba mempertahankan kejuaraan mereka.

Namun, tugas itu dijangka bukan mudah dengan kehadiran barisan pencabar tempatan selain penyertaan pelumba dari Thailand, Indonesia dan Hong Kong.
Pas Paddock RM45, Kanak-Kanak Bawah 12 Tahun Percuma
Bagi peminat yang mahu menyaksikan perlumbaan MSF Merdeka Race 2026 dengan lebih dekat, pas paddock ditawarkan pada harga RM45 dan boleh dibeli di lokasi acara.
Pas berkenaan memberikan akses sepanjang perlumbaan dari jam 10 pagi hingga 11 malam, manakala kanak-kanak berusia bawah 12 tahun diberikan kemasukan percuma.

Baca Juga : MOMOS Cagiva Mito 125 Fauzy’s Edition, Ikon 2T Rare di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


