Malaysia Auto Xpo 2026 Himpunkan Kereta Modifikasi, Drift, Dyno dan “Car Culture” di MAEPS
Pemilik kereta modifikasi, sudah tiba masanya siapkan jentera anda!
Malaysia Auto Xpo (MAX) 2026 bakal berlangsung pada 7 & 8 November ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), menghimpunkan kereta ubah suai (make up & performance), sukan permotoran dan pelbagai aktiviti yang bakal dianjurkan.
MAX 2026 turut membuka ruang kepada pemilik jentera modifikasi untuk mengetengahkan hasil masing-masing menerusi pertandingan autoshow kereta, selain menyaksikan hasil sentuhan tuner tempatan dan antarabangsa.

Malaysia Auto Xpo (MAX) 2026 : Empat Komponen Utama Dalam Satu Acara
MAX 2026 diasaskan oleh Alaf Sentosa Sdn. Bhd. dan dianjurkan oleh Element X Strategies, iaitu pasukan yang pernah mengendalikan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dari tahun 2023 hingga 2025.
Acara ini turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.
Secara keseluruhan, MAX 2026 menggabungkan empat komponen utama iaitu Malaysia Auto Xpo, International Auto Modified (IAM), Tempatan Fest dan Driftnutz.
IAM merupakan sebuah acara pameran dan pertandingan kereta modifikasi yang cukup dikenali di Asia Tenggara. Ia telah dianjurkan di Malaysia sejak tahun 2011 sebelum berkembang ke beberapa bandar di Indonesia, Thailand, Singapura dan Amerika Syarikat.
Tempatan Fest pula membawa elemen budaya tempatan seperti pakaian jalanan, barangan vintaj, karya seni visual, perniagaan kreatif serta persembahan muzik bebas.
Driftnutz yang mula dianjurkan pada tahun 2015 pula terkenal dalam kalangan peminat aktiviti drift dan pernah menghimpunkan pelumba drift tempatan serta antarabangsa.

Gabungkan Dunia Automotif & Lifestyle
Ketua Pegawai Eksekutif Alaf Sentosa Sdn. Bhd., Jason Yap berkata, MAX 2026 diwujudkan untuk menggabungkan pelbagai cabang budaya kereta, sukan permotoran dan lifestyle dalam satu acara berskala besar.
Menurut beliau, acara itu juga diharapkan dapat memberi manfaat kepada industri automotif, selain memupuk budaya pemanduan dan pemilikan kenderaan yang lebih selamat serta bertanggungjawab.

MAX 2026 dijangka menampilkan pelbagai kereta ubah suai hasil sentuhan tuner tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, pengunjung juga boleh menyaksikan pertandingan penggayaan kereta, pelancaran khas oleh penala, pameran kereta klasik serta perhimpunan kelab-kelab kereta.
Bagi peminat koleksi miniatur, sebuah ruang khas untuk barangan diecast turut disediakan.
Acara ini turut merangkumi pertandingan perlumbaan simulator, aktiviti jual beli kenderaan dan lelongan kereta.
Cabaran Dyno Cari Kereta Paling Berkuasa
Antara tarikan yang dijangka mendapat perhatian ialah cabaran dyno bagi mencari kereta yang menghasilkan kuasa kuda tertinggi di Malaysia.
Ujian dyno digunakan untuk mengukur prestasi sesebuah kenderaan termasuk jumlah kuasa dan daya kilas yang dihasilkan oleh enjin.
Aktiviti seperti ini lazimnya mendapat perhatian peminat modifikasi kerana ia memberi gambaran sebenar mengenai tahap prestasi sesebuah kereta selepas melalui proses talaan atau naik taraf.
Selain cabaran dyno, MAX 2026 turut menawarkan persembahan drift dan pengalaman menaiki kereta drift menerusi aktiviti taxi ride.

Kereta Berbalut Batik Antara Tarikan
Unsur budaya Malaysia turut dibawa ke dalam acara ini menerusi projek balutan kereta bercorak batik.
Pendekatan itu bertujuan menggabungkan identiti tempatan dengan dunia automotif moden, selain memberi ruang kepada penggiat seni dan pereka tempatan untuk mempamerkan kreativiti mereka.
Turut dijadualkan ialah pertunjukan fesyen bertemakan gadis perlumbaan automotif yang melibatkan pereka tempatan dan jenama fesyen Malaysia.
Selain itu, pertandingan Miss Auto Culture Malaysia, persembahan pentas secara langsung dan pesta makanan turut akan diadakan sepanjang acara berlangsung.
Perjalanan 9,000 KM Dari Kuala Lumpur Ke Tokyo
Salah satu pengumuman terbesar pada MAX 2026 ialah pelancaran Exclusive Car Tour to Japan.
Program ini melibatkan perjalanan sejauh kira-kira 9,000 kilometer selama 35 hari bermula dari Kuala Lumpur sebelum berakhir di Tokyo, Jepun.
Konvoi berkenaan dijadualkan melalui Thailand, Laos, Vietnam, China dan Korea Selatan sebelum tiba di ibu pejabat Liberty Walk di Tokyo.
Perjalanan tersebut akan diketuai oleh sebuah kereta yang dibina khas dan hanya akan diperkenalkan kepada orang ramai ketika MAX 2026 berlangsung.

Kenderaan tersebut akan dipandu oleh Duta MAX 2026, Vera T., yang dikenali sebagai pencipta kandungan berkaitan gaya hidup sukan permotoran serta seorang pelumba.
Penganjur turut memaklumkan bahawa beberapa kejutan lain akan diumumkan ketika acara berlangsung.

Harga Tiket MAX 2026
Tiket prajualan bagi MAX 2026 ditawarkan pada harga RM25 untuk pas sehari bagi seorang pengunjung.
Pakej untuk dua orang pula berharga RM45, manakala pakej empat orang ditawarkan pada harga RM80 untuk kemasukan sehari.
Kanak-kanak berusia bawah 10 tahun boleh masuk secara percuma.
Harga tiket biasa pula ditetapkan pada RM35 untuk seorang bagi pas sehari sepanjang acara pada 7 dan 8 November 2026.
Baca Juga : GROW Design Masuk Malaysia, Tawar “Aero Kit” & Naik Taraf Untuk GR Yaris, GR Corolla, GR86 dan BRZ
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



