Mitsubishi Motors memperkenalkan satu lagi produk strategik untuk rantau ASEAN menerusi pelancaran rasmi Mitsubishi Destinator.
Model ini adalah sebuah SUV tujuh tempat duduk serba baharu yang menjanjikan keselesaan, gaya dan praktikaliti untuk kegunaan seisi keluarga.
Pelancaran global sulung telah berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 17 Julai 2025, sekaligus mengukuhkan komitmen Mitsubishi terhadap pasaran serantau.
Model ini menjadi SUV ketiga yang direka dan dihasilkan di Indonesia untuk pasaran global, selepas Mitsubishi Xpander dan Xforce.
Reka Bentuk Luaran
Dari segi penampilan, Destinator tampil dengan rekaan yang maskulin dan moden, menerapkan falsafah rekaan “Gravitas” dan “Dynamism” yang menonjolkan karakter kuat serta elegan.
Dimensinya agak besar dengan ukuran panjang 4,680 mm, lebar 1,840 mm dan tinggi 1,780 mm.
Jarak roda sejauh 2,815 mm turut menyumbang kepada kestabilan dan ruang kabin yang lebih luas.
Rekaan bahagian hadapan mengingatkan kepada Mitsubishi Xforce, dengan signature ‘Dynamic Shield’ dan lampu utama berbentuk T yang tajam.
Bahagian belakang pula ringkas namun kekal kemas, dengan spoiler bumbung dan lampu LED menegak yang menawan.
Ads
Kabin Luas dengan Teknologi Terkini
Masuk ke ruang dalaman, Mitsubishi Destinator direka bagi memenuhi keperluan keluarga moden.
Ia menawarkan konfigurasi tempat duduk 2‑3‑2 dengan kapasiti tujuh penumpang.
Tempat duduk baris kedua boleh dilaras untuk memudahkan akses ke baris ketiga, manakala baris ketiga turut mendapat ventilasi udara sendiri.
Model ini ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu GLS, Exceed dan Ultimate dengan tahap kelengkapan berbeza.
Varian tertinggi hadir dengan skrin infotainmen bersaiz 12.3 inci, panel instrumen digital 8 inci, serta sistem pencahayaan ambient 64 warna yang memberikan suasana premium.
Ads
Versi lain pula dilengkapi skrin 8 inci serta kluster meter 4.2 inci.
Antara ciri menarik lain termasuklah panoramic sunroof yang boleh dikawal melalui sistem SDA.
Selain itu tempat duduk daripada jenis kulit, sistem pendingin dwi zon, serta sistem bunyi premium Yamaha Premium Sound untuk pengalaman audio yang mengasyikkan.
Prestasi Enjin & Ciri Dinamik
Mitsubishi Destinator dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo MIVEC yang dipadankan dengan transmisi CVT, memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan bahan api.
Walaupun angka rasmi kuasa tidak diumumkan secara terperinci, enjin ini dijangka menghasilkan sekitar 120 kW berdasarkan konfigurasi serupa dalam model Mitsubishi lain.
Ads
Bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai kondisi jalan di rantau ini, SUV ini turut menawarkan lima mod pemanduan termasuk mod untuk permukaan basah dan off-road ringan.
Suspensi juga ditala khas untuk jalan ASEAN yang tidak sekata, memberikan keselesaan optimum walaupun ketika membawa muatan penuh.
Dibangunkan Khas untuk ASEAN
Mitsubishi Destinator dibina di atas pelantar yang sama seperti model Xforce, namun diperbesar untuk menampung tiga baris tempat duduk.
Pembangunan model ini juga melibatkan input terus dari pengguna di rantau ASEAN, khususnya dari segi pengendalian, keselesaan kabin dan kapasiti simpanan barang.
Produksi dilakukan di kilang Mitsubishi Krama Yudha di Bekasi, Indonesia dan bakal dieksport ke pelbagai pasaran serantau termasuk Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Tiga Varian
Tiga varian ditawarkan:
GLS: Versi asas dengan kelengkapan praktikal dan harga mampu milik.
Exceed: Menampilkan tambahan teknologi seperti paparan digital dan lebih banyak sistem bantuan pemandu.
Ultimate: Versi penuh dengan ciri premium, skrin terbesar dan sistem audio Yamaha.
Harga rasmi untuk pasaran Malaysia masih belum diumumkan, namun dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat selepas pelancaran tempatan.
Boon Siew Honda (BSH) mengukir sejarah baharu apabila berjaya menganjurkan acara sulung Honda Thanks Day 2025 di LYL International Karting Circuit, Sungai Long. Acara ini diadakan bersempena PETRONAS Grand Prix Malaysia 2025 (MotoGP), sekali gus membawa tradisi tahunan Honda dari Jepun ke tanah air buat pertama kali.
Sejak 2005, Honda Thanks Day di Jepun menjadi acara penghargaan tahunan bagi meraikan peminat, pelumba dan rakan kongsi. Kini, edisi Malaysia menzahirkan semangat yang sama dengan menghargai komuniti, meraikan semangat perlumbaan dan memperkukuh hubungan antara Honda dengan pelanggan tempatan, seiring falsafah “The Power of Dreams”.
Menyatukan Peminat, Pelumba dan Komuniti
Lebih ribuan pengunjung hadir yang terdiri daripada peminat motosikal, rakan niaga dan komuniti permotoran tempatan untuk merasai sendiri pengalaman unik DNA perlumbaan Honda dengan elemen hiburan dan gaya hidup.
Menurut Kunitomo Asano, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, acara ini bukan merupakan lambang komitmen jenama terhadap rakyat Malaysia:
“Honda Thanks Day mencerminkan hasrat kami untuk berkongsi keterujaan bersama pelanggan, sambil menzahirkan penghargaan kepada peminat dan penunggang yang sentiasa menyokong perjalanan Honda di Malaysia,” katanya.
Penampilan Eksklusif Pelumba Dunia dan Serantau
Acara utama pastinya kehadiran barisan pelumba ternama Honda MotoGP seperti Joan Mir dan Luca Marini, serta pelumba Somkiat Chantra dari Asia, disertai bintang Asia Road Racing Championship (ARRC) tempatan iaitu Zaqhwan Zaidi, Azroy Hakeem Anuar, Khairul Idham Pawi, Helmi Azman, dan Syarifuddin Azman.
Lebih menarik, pelumba-pelumba ini turut melakukan demonstrasi tunggangan eksklusif di atas litar menggunakan Honda CBR1000RR-R Fireblade, memperlihatkan kehebatan kawalan, kejuruteraan serta warisan perlumbaan Honda di hadapan para peminat. Aksi diteruskan oleh pelumba ARRC yang turut menunggang CBR1000RR-R dan CBR600RR, mempersembahkan keupayaan dan bakat tempatan yang semakin menyerlah di peringkat serantau.
Pelancaran Honda RS-X Winner Tricolor Edition
Acara turut menyaksikan pelancaran Honda RS-X Winner Tricolor Edition, model istimewa yang diinspirasikan daripada warna ikonik perlumbaan Honda. Edisi ini menampilkan komponen Racing Boy (RCB) yang menyerlahkan gaya sporty serta prestasi dinamik.
Menjadikannya lebih eksklusif, hanya 800 unit RS-X Winner Tricolor akan dijual untuk pasaran Malaysia, menjadikannya koleksi istimewa buat peminat dua roda tempatan.
Honda × Pestle & Mortar Clothing
Honda turut memperkenalkan kolaborasi gaya hidup eksklusif bersama jenama tempatan Pestle & Mortar Clothing (PMC). Koleksi ini terdiri daripada jaket dan seluar perlumbaan, topi, t-shirt hitam dan putih serta beg utiliti setiap satunya dihiasi lambang kolaborasi dengan mahkota dan tiga jalur emas, serta frasa “Semangat Impian” di bawah nama PMC.
Koleksi ini diperkenalkan buat pertama kali di Honda Thanks Day dan akan mula dijual kepada umum sempena MotoGP Malaysia hujung minggu ini.
Menambah seri acara, pentas utama dimeriahkan oleh persembahan artis tempatan B-Heart, Black Hanifah, dan DJ Fluffy yang menghidupkan suasana dengan persembahan bertenaga. Acara kemuncak disempurnakan dengan cabutan bertuah menawarkan hadiah lumayan termasuk Pas Korporat Suite MotoGP, Honda ADV160, serta RS-X Winner Tricolor Edition.
Selain itu, pameran interaktif turut diadakan bersama pelbagai jenama terkenal seperti RCB, KYT, Proformance, MAXXIS, Yoshimura, ThreeBond, AEON Credit, Berjaya Sompo, dan PETRONAS, mempamerkan teknologi, aksesori dan inovasi terkini dunia permotoran.
Kapal pengangkut milik BYD, Zhengzhou, tiba di Northport, membawa bersama 7,000 unit kenderaan elektrik (EV) siap dipasang dari China.
Ketibaan ini menandakan permulaan fasa baharu dalam penghantaran produk BYD yang lebih cekap dan pantas kepada rakyat Malaysia.
Kapal Pengangkut Khas EV BYD Zhengzhou Tiba di Malaysia
Kapal jenis roll-on/roll-off (RORO) ini merupakan sebahagian daripada armada penghantaran BYD yang dibina khusus untuk menyokong peningkatan eksport EV ke rantau Asia Tenggara.
Selain Malaysia, kapal tersebut turut dijadualkan membuat penghantaran ke Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand sebelum kembali ke China.
Zhengzhou merupakan kapal ke-7 milik BYD, mengukuhkan strategi syarikat untuk mengawal sendiri rantaian bekalan globalnya.
Langkah ini memberikan BYD kawalan penuh terhadap kos dan masa penghantaran, menjadikan proses lebih efisien berbanding penghantaran kontena konvensional.
Malaysia Diiktiraf Sebagai Pasaran Utama
Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, pelayaran sulung ini adalah bukti komitmen syarikat terhadap Malaysia sebagai salah satu pasaran terpenting BYD di Asia Pasifik.
“Kapal pengangkut ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi global BYD. Dengan keupayaan penghantaran yang pantas dan konsisten, pelanggan di Malaysia kini boleh menikmati proses serahan yang lebih lancar dan tepat pada masa.”
Zhao turut menjelaskan bahawa pelaburan dalam armada sendiri membolehkan BYD memenuhi permintaan global dengan lebih stabil, selaras dengan peningkatan eksport automotif dari China.
Sime Motors Perkukuh Ekosistem EV Tempatan
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara, menyifatkan ketibaan kapal ini sebagai pencapaian penting dalam kerjasama strategik bersama BYD.
“Kehadiran kapal ini membuktikan keyakinan BYD terhadap potensi Malaysia sebagai hab EV serantau.
Ia juga membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan, serta menyediakan sokongan menyeluruh dari segi jualan, servis, dan pendidikan pengguna.”
Gan turut menegaskan bahawa pelaburan logistik ini akan membantu Sime Motors menangani jumlah penghantaran lebih besar pada masa hadapan.
Hal ini seiring dengan usaha mempercepatkan penggunaan EV secara meluas di Malaysia.
Rangkaian Kukuh, Sokongan Menyeluruh
Kini, BYD Malaysia dan Sime Motors mempunyai lebih 35 pusat jualan di seluruh negara, dengan sasaran untuk mencapai 60 cawangan menjelang akhir 2026.
Dengan rangkaian yang semakin meluas dan sistem logistik yang dipertingkat, BYD bersedia untuk menyediakan EV yang lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan.
Penggunaan kapal RORO membolehkan kenderaan dipandu terus masuk dan keluar dari kapal telah mengurangkan masa pemindahan dan kos logistik dengan ketara, menjadikan proses penghantaran lebih efisien dan berskala besar.
Kesimpulan
Ketibaan BYD Zhengzhou adalah satu langkah penting dalam menjadikan mobiliti elektrik lebih mudah dicapai oleh rakyat Malaysia.
Ia juga menandakan permulaan era baharu penghantaran EV di rantau ini lebih cepat, dan lebih mampan.
Kawasaki Z900 2025 Gaya Agresif dan Teknologi Terkini
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), anak syarikat di bawah Kumpulan DRB-HICOM, hari ini melancarkan Kawasaki Z900 2025 sempena pembukaan rasmi Pusat Teknikal Kawasaki (KTC) di Glenmarie dan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama antara MODENAS dan Kawasaki Motors Japan.
Model baharu ini mengekalkan falsafah “Sugomi” yang sinonim dengan barisan Z dengan rekaan tajam dan berani, prestasi mantap, serta pengendalian yang responsif, menjadikannya motosikal “naked” yang seimbang antara kuasa, gaya dan keyakinan di jalan raya.
Reka Bentuk dan Prestasi
Z900 2025 hadir dengan enjin 948 cc empat silinder sebaris penyejukan cecair, menjana 123 hp pada 9,500 rpm dan 97.4 Nm tork pada 7,700 rpm, menjadikannya antara motosikal berprestasi tinggi paling digemari dalam segmennya. Casiskan diperbuat daripada rangka trellis ringan, digabungkan dengan fork hadapan terbalik 41 mm, memberikan kawalan lebih tepat dan keyakinan sewaktu mengambil selekoh.
Dari segi elektronik, model ini kini dilengkapi Kawasaki Traction Control (KTRC), mod tunggangan boleh pilih, serta paparan TFT berwarna penuh dengan sambungan Rideology App membolehkan penunggang memantau data tunggangan dan tetapan motosikal terus dari telefon pintar mereka.
Warna Baharu
Untuk pasaran Malaysia, Z900 2025 ditawarkan dengan dua pilihan warna utama:
Metallic Moondust Grey / Metallic Spark Black / Candy Lime Green dengan rangka Golden Blazed Green, dan
Metallic Spark Black / Metallic Carbon Grey / Flat Super Black untuk gaya lebih minimalis namun berotot.
Varian Z900 SE
Bagi mereka yang mahukan pakej lebih lengkap, varian Z900 SE ditawarkan dengan:
Fork hadapan terbalik boleh laras sepenuhnya (41 mm),
Penyerap hentak belakang Öhlins S46 gas-charged,
Cakera brek berkembar Brembo 300 mm dengan angkup M4.32 radial-mount untuk kuasa membrek lebih konsisten.
Z900 SE tampil lebih eksklusif dengan kombinasi warna Metallic Matte Graphite Grey / Ebony / Metallic Graphite Grey, juga menggunakan rangka Golden Blazed Green yang menjadi identiti barisan Z.
Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, En. Roslan Roskan, berkata pelancaran ini menandakan permulaan baharu untuk Kawasaki di Malaysia:
“Z900 melambangkan kebebasan, individualiti dan prestasi. Ia mencerminkan komitmen MODENAS untuk terus menghadirkan motosikal bertaraf dunia dengan pengalaman pemilikan yang memuaskan.”
Sementara itu, Mr. Go Nomura dari Kawasaki Motors Japan menambah:
“Pelancaran Z900 bersama pembukaan KTC membuktikan kerjasama kami dengan MODENAS membuahkan hasil menghadirkan kualiti dan inovasi global Kawasaki terus kepada penunggang Malaysia.”
Harga dan Ketersediaan
Z900 2025 kini boleh didapati di semua pusat jualan Kawasaki All-Star dan Kawasaki Exclusive di seluruh negara dengan harga bermula RM47,800 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran). Bagi varian Z900 SE, harga bermula RM60,100, menawarkan pengalaman tunggangan lebih mantap dengan penalaan suspensi dan sistem brek premium.