Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, Mercu Tanda Sukan Permotoran Malaysia
PETRONAS Sepang International Circuit (PETRONAS SIC) bukan sekadar sebuah litar perlumbaan, malah turut menjadi mercu tanda penting dalam perkembangan industri sukan permotoran di Malaysia.
Pembinaan litar ini bermula pada Februari 1998 dan berjaya disiapkan dalam tempoh hanya 14 bulan sebelum dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 9 Mac 1999.
Keupayaan fasiliti serta reka bentuknya yang dianggap mendahului zaman turut membolehkan litar berkenaan menggunakan logo Formula 1 sebagai sebahagian daripada identitinya sepanjang tempoh 1999 hingga 2017.

Pentas Perlumbaan Bertaraf Antarabangsa
Digelar sebagai permata sukan permotoran negara, PETRONAS SIC pernah menjadi tuan rumah kepada pelbagai kejohanan antarabangsa dan tempatan.
Antaranya termasuk Formula 1 Grand Prix, MotoGP, Super GT, World Touring Car Cup, Asia Le Mans Series, Superbike World Championship, Endurance World Championship, Asia Road Racing Championship dan Asia Talent Cup.
Litar itu turut menganjurkan Sepang 12 Hours, Malaysia Championship Series, Sepang 1000KM Endurance Race serta Malaysia Superbike Championship.
Selain acara perlumbaan, PETRONAS SIC menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai program korporat, pameran, pelancaran produk dan aktiviti lifestyle.
Keunikan reka bentuk, sejarah serta suasana di sekitar litar turut menjadikannya sebagai salah satu destinasi pelancongan automotif yang terkenal di Malaysia.

PETRONAS SIC Dibangunkan di Kawasan Ladang Kelapa Sawit
PETRONAS SIC dibangunkan di atas kawasan bekas ladang kelapa sawit seluas kira-kira 260 hektar dengan menggunakan konsep “stadium semula jadi”.
Proses pembinaannya melibatkan pemindahan lebih sembilan juta meter padu tanah bagi membentuk permukaan, selekoh dan perubahan aras yang diperlukan.
Bagi mengekalkan persekitaran hijau, lebih 5,000 pokok kelapa sawit ditanam di sekitar kawasan litar. Penanaman tambahan turut dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengekalkan landskap semula jadi di sekelilingnya.
Rekaan Hermann Tilke
Litar utama PETRONAS SIC direka oleh arkitek litar terkenal dunia, Hermann Tilke.
Dengan panjang keseluruhan 5.543 kilometer, litar itu mempunyai 15 selekoh dan lapan laluan lurus, termasuk dua laluan berkelajuan tinggi yang membolehkan jentera perlumbaan mencapai kelajuan melebihi 300 km/j.
Lebar minimum trek ialah 16 meter, manakala bahagian paling lebar boleh mencapai sehingga 22 meter. Reka bentuk tersebut menyediakan ruang yang mencukupi untuk pelumba melakukan pintasan, sekali gus menghasilkan perlumbaan lebih sengit.
Satu lagi keistimewaan PETRONAS SIC ialah keupayaan litar utamanya untuk dibahagikan kepada dua konfigurasi berasingan.
Litar Utara mempunyai panjang kira-kira 2.8 kilometer, manakala Litar Selatan berukuran sekitar 2.6 kilometer. Susunan berkenaan membolehkan dua aktiviti atau perlumbaan dilangsungkan secara serentak apabila diperlukan.

Permukaan Trek Sesuai dengan Iklim Malaysia
Permukaan litar dibina menggunakan campuran bitumen yang dirumus khas agar sesuai dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia.
Bahan berkenaan menghasilkan permukaan yang lancar serta tidak terlalu kasar, membolehkan litar digunakan sepanjang tahun bagi pelbagai kategori perlumbaan dan aktiviti pemanduan.
Batu sungai yang mempunyai permukaan lebih licin pula digunakan di kawasan perangkap batu kerikil bagi membantu memperlahankan kenderaan yang terbabas dari trek.
Keseluruhan litar dihubungkan melalui rangkaian kabel gentian optik kepada 27 kamera litar tertutup yang dipantau dari Bilik Kawalan Perlumbaan.
Sistem tersebut membolehkan setiap kejadian di sepanjang litar dirakam dan diperhatikan oleh pengarah perlumbaan serta pegawai bertugas.
Kemudahan itu memainkan peranan penting dalam pengurusan keselamatan, pemantauan insiden dan perjalanan sesuatu acara perlumbaan.
Bangunan Pit Menjadi Nadi Operasi
Bangunan Pit menjadi pusat utama operasi perlumbaan di PETRONAS SIC.
Terletak bertentangan dengan Grandstand Utama, kemudahan tersebut menempatkan 33 ruang pit, pusat kawalan perlumbaan, bilik catatan masa, pejabat pengurusan perlumbaan dan Paddock Club.
Setiap ruang pit mempunyai pendingin hawa, mempunyai lebar lapan meter dan panjang 24 meter.
Bagi setiap dua ruang pit, kemudahan tambahan seperti tiga pejabat berhawa dingin, talian telekomunikasi, ruang hospitaliti pasukan serta dapur turut disediakan.
Di tingkat pertama Bangunan Pit terdapat Paddock Club yang mempunyai kawasan parkir dan laluan masuk tersendiri.
Perdana Suite yang terletak di tingkat dua pula disediakan untuk tetamu diraja dan kenamaan, dengan kapasiti sehingga 250 orang. Tingkat paling atas bangunan itu turut dilengkapi ruang bumbung yang memanjang sepanjang Bangunan Pit.
Grandstand Utama Sepanjang 1.3 Kilometer
Grandstand Utama PETRONAS SIC dibina sepanjang kira-kira 1.3 kilometer dan menawarkan pemandangan terus ke laluan lurus utama litar.
Struktur berkenaan dibina mengikut jajaran timur-barat bagi membantu mengurangkan pancaran terus cahaya matahari kepada penonton.
Kawasan pusat beli-belah berlandskap turut menghubungkan bahagian utara dan selatan Grandstand Utama.
Ketika berlangsungnya acara perlumbaan, kawasan tersebut menempatkan ruang pameran, gerai jualan, makanan dan minuman, kemudahan awam serta kedai cenderamata.
Pengunjung yang memasuki kawasan litar akan melalui Welcome Centre yang menjadi pintu masuk utama ke kawasan grandstand dan pusat pentadbiran litar.
Bangunan berkenaan menempatkan pejabat, restoran, kedai cenderamata serta sebuah muzium automotif.

Kapasiti Lebih 170,000 Penonton
PETRONAS SIC mampu menerima lebih 170,000 penonton dalam satu-satu masa.
Grandstand Utama bersama 18 Corporate Suite berhawa dingin mempunyai kapasiti sekitar 32,000 orang.
Grandstand K dan Grandstand F pula masing-masing boleh menempatkan sehingga 18,500 penonton serta menghadap kawasan Selekoh 1 dan Selekoh 7.
Hill Stand menawarkan ruang tontonan terbuka dengan pemandangan panoramik dari Selekoh 9 hingga Selekoh 14.
Lokasi Strategik Berhampiran KLIA
PETRONAS SIC terletak kira-kira 14 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sekitar 60 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.
Perjalanan dari kebanyakan kawasan utama di Lembah Klang mengambil masa kira-kira 45 minit, bergantung kepada keadaan trafik.
Litar tersebut boleh diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan, rangkaian lebuh raya utama serta perkhidmatan kereta api yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan kawasan sekitar KLIA.
Lokasinya yang strategik menjadikan PETRONAS SIC mudah diakses oleh pasukan perlumbaan, penganjur acara serta pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Selepas lebih dua dekad beroperasi, PETRONAS Sepang International Circuit kekal sebagai “Home of Motorsport” Malaysia dan simbol penting kepada kemajuan industri sukan permotoran negara.
Baca Juga : Formula 1 Kembali ke Sepang, Malaysia Jadi Tuan Rumah GP Bahrain 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






