Formula 1 Kembali ke Sepang, GP Bahrain 2026 Dijadualkan Oktober Ini
Selepas hampir sembilan tahun tidak menganjurkan perlumbaan Formula 1, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) bakal kembali bergema dengan deruman jentera F1 pada Oktober ini.
Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) secara rasmi mengumumkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 dari 2 hingga 4 Oktober depan. Perlumbaan itu bakal berlangsung di antara pusingan Azerbaijan dan Singapura dalam kalendar musim ini.
Walaupun berlangsung di Sepang, perlumbaan berkenaan bukan dikenali sebagai Grand Prix Malaysia. Sebaliknya, ia akan menggunakan nama rasmi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.
Penganjuran itu merupakan hasil persetujuan antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia bagi memastikan satu pusingan perlumbaan yang sebelum ini berisiko tidak dapat dilangsungkan terus kekal dalam kalendar 2026.
Bagaimanapun, penganjuran perlumbaan ini masih menunggu persetujuan akhir dan kelulusan rasmi daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA atau World Motor Sport Council.
Jadual bagi pusingan lain dalam musim 2026 pula tidak mengalami sebarang perubahan.

Formula 1 Kembali Selepas 9 Tahun
Sepang membuat penampilan pertama dalam kalendar Formula 1 pada 1999 dan terus menjadi gelanggang Grand Prix Malaysia sehingga perlumbaan terakhirnya pada 2017.
Litar sepanjang 5.543 kilometer itu terkenal dengan kombinasi selekoh berkelajuan tinggi, dua laluan lurus panjang serta keadaan cuaca yang sukar dijangka. Faktor berkenaan menjadikan Sepang antara litar paling mencabar untuk pelumba dan pasukan.
Max Verstappen menjadi pelumba terakhir memenangi perlumbaan Formula 1 di Sepang apabila membawa Red Bull Racing muncul juara Grand Prix Malaysia 2017.

Maklumat Tiket Akan Diumumkan
Kepulangan Formula 1 ke Sepang dijangka menarik perhatian besar peminat tempatan dan antarabangsa, khususnya selepas Malaysia kali terakhir menganjurkan perlumbaan berkenaan pada 2017.
Maklumat berkaitan harga, kategori tempat duduk dan tarikh penjualan tiket Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia akan diumumkan dalam masa terdekat.
Baca Juga : Honda Civic e:HEV 2026 Hadir dengan S+ Shift 8 Kelajuan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






