AMT vs Klac Manual, Mana Satu Lagi Best Untuk Motosikal?
Kalau dulu naik motosikal bergear, tangan kiri memang kena rajin bermain dengan klac. Nak mula bergerak, tukar gear, berhenti dekat lampu isyarat, semuanya perlukan sedikit koordinasi antara tangan dan kaki.
Sekarang, teknologi motosikal dah mula berubah. Beberapa pengeluar seperti Yamaha, KTM dan BMW sudah mula memperkenalkan sistem yang membolehkan motosikal bergerak dan menukar gear tanpa penunggang perlu mengawal klac secara manual setiap masa.
Sistem ini biasa disebut sebagai Automated Manual Transmission atau AMT. Tapi persoalannya, adakah AMT lebih best daripada klac manual?
AMT Bukan Macam Skuter
Ramai mungkin fikir bila dengar perkataan automatik, terus terbayang skuter. Sebenarnya AMT masih mengekalkan konsep motosikal bergear. Bezanya, kerja menarik dan melepaskan klac serta pertukaran gear tertentu boleh dilakukan oleh sistem motosikal.
Contohnya pada Yamaha Y-AMT, penunggang boleh memilih untuk menukar gear sendiri menggunakan butang pada hendal atau membiarkan motosikal menguruskan pertukaran gear secara automatik. Maksudnya, karakter motosikal bergear itu masih ada. Cuma pengalaman menunggang jadi lebih mudah.
Kelebihan AMT Paling Terasa Dalam Trafik
Kalau selalu menunggang dalam kesesakan lalu lintas, inilah bahagian paling mudah untuk nampak kelebihan AMT. Bayangkan tak perlu lagi tarik klac setiap kali trafik bergerak dua meter, berhenti, bergerak semula dan berhenti balik.Tangan kiri boleh berehat sedikit.
Untuk perjalanan jauh pun konsep yang sama boleh membantu. Penunggang boleh lebih fokus pada laluan, kawalan motosikal dan keadaan trafik tanpa perlu terlalu kerap memikirkan operasi klac. Bagi penunggang baru pula, AMT juga boleh mengurangkan rasa takut enjin mati ketika baru hendak bergerak.
Baca Juga: Ini Cara Lampu Isyarat Sebenarnya Berfungsi
Tapi Klac Manual Ada Tarikan Tersendiri
Walaupun AMT kedengaran mudah, ramai peminat motosikal masih sukakan klac manual. Sebab utama ialah rasa kawalan.
Dengan klac manual, penunggang sendiri menentukan bila kuasa enjin mahu dihantar ke roda. Nak gerak perlahan, nak kawal motosikal ketika membuat pusingan sempit atau sekadar mahu rasa lebih terlibat dengan motosikal, klac manual memberi pengalaman yang lebih terus.
Bagi sesetengah orang, bermain dengan klac dan gear itu sendiri merupakan sebahagian daripada keseronokan menunggang. Macam memandu kereta manual. Bukan semestinya paling mudah, tetapi ada kepuasan tersendiri.
AMT Lebih Mudah, Manual Lebih ‘Raw’
Kalau hendak dibandingkan secara mudah, AMT lebih sesuai untuk mereka yang mahu tunggangan santai dan praktikal. Masuk bandar, jalan jauh atau selalu berdepan trafik, sistem ini memang mempunyai kelebihan.
Klac manual pula lebih sesuai untuk mereka yang mahukan kawalan penuh dan masih menikmati proses menukar gear secara tradisional.
Bukan bermaksud satu lebih baik daripada satu lagi. Ia lebih kepada karakter.
AMT cuba mengurangkan kerja penunggang tanpa menghilangkan sepenuhnya karakter kenderaanbergear. Klac manual pula kekal dengan pengalaman menunggang yang lebih mekanikal dan melibatkan penunggang secara langsung.
Adakah Klac Manual Akan Hilang?
Setakat ini, rasanya belum. Walaupun teknologi seperti Yamaha Y-AMT, KTM AMT dan BMW ASA semakin menarik perhatian, klac manual masih mempunyai peminat yang sangat besar.
Namun kewujudan sistem seperti AMT menunjukkan satu perkara. kenderaan moden semakin memberi lebih banyak pilihan kepada penunggang.
Ada yang mahukan pengalaman tradisional, ada pula yang mahu keselesaan teknologi. Jadi kalau diberi pilihan, korang lebih rela pilih motosikal AMT yang lebih mudah digunakan atau masih setia dengan klac manual?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!





