John Cena Terus Pilih Honda, Dari Civic Type R FL5 Kini Tambah Prelude Baharu Dalam Koleksi
Bintang WWE dan pelakon Hollywood terkenal, John Cena sememangnya dikenali sebagai peminat kereta berprestasi tinggi. Namun di sebalik koleksi kereta eksotik yang pernah dimilikinya, satu perkara yang sering mencuri perhatian peminat automotif ialah kecenderungannya terhadap model Honda berprestasi tinggi.
Dari FK8 Ke FL5, Cena “Jatuh Cinta” Dengan Type R Baharu
Pada tahun 2024, Cena menjadi perhatian komuniti automotif selepas menukar Honda Civic Type R FK8 miliknya kepada model generasi baharu FL5.
Ketika itu, Cena difahamkan membawa Civic Type R FK8 berwarna Boost Blue miliknya ke pusat servis Wesley Chapel Honda di Florida untuk penyelenggaraan biasa. Namun lawatan tersebut bertukar menjadi pembelian baharu apabila beliau terpikat dengan Civic Type R FL5 2024 yang berada di pusat jualan tersebut.

Menurut perkongsian di media sosial, Cena mengakui beliau terus “jatuh cinta” dengan model FL5 dan memilih warna ikonik Championship White untuk kereta baharunya itu.
Apa yang menarik, FK8 milik Cena sebelum ini bukan sekadar kereta simpanan. Beliau memang menggunakan Civic Type R tersebut sebagai kenderaan harian, sesuatu yang agak jarang dilihat dalam kalangan selebriti Hollywood yang kebiasaannya memilih SUV mewah atau supercar eksotik.
Prelude Baharu Sertai Garaj Honda Milik Cena
Memasuki tahun 2026, Cena sekali lagi menambah sebuah model Honda dalam koleksinya, kali ini menerusi Honda Prelude generasi baharu berwarna Boost Blue Pearl.
Menariknya, kisah pembelian Prelude ini hampir sama seperti pengalaman beliau membeli FL5 dahulu. Cena dikatakan menemui model coupe hibrid tersebut ketika menghantar Civic Type R miliknya untuk servis.
Dalam satu hantaran media sosial, beliau berkata:
“Took the Civic Type R in for service and was fortunate enough to pick up the brand new Honda Prelude!”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Wesley Chapel Honda kerana membantu menambah sebuah lagi model Honda dalam koleksinya.

Prelude Baharu – DNA Civic Type R Dalam Bentuk Coupe Hibrid
Honda Prelude generasi baharu ini dibangunkan menggunakan platform Civic dan berkongsi beberapa komponen penting daripada Civic Type R, termasuk sistem suspensi dan brek.
Walaupun menggunakan pendekatan lebih santai berbanding FL5 Type R, Prelude masih menawarkan karakter pemanduan sporty menerusi sistem hibrid yang menghasilkan sekitar 200 hp.
Sebagai perbandingan, Civic Type R FL5 hadir dengan enjin 2.0-liter VTEC Turbo berkuasa sekitar 315 hp, menjadikannya antara hatchback pacuan roda hadapan paling berkuasa di pasaran.
Di Amerika Syarikat, Honda Prelude 2026 ditawarkan pada harga sekitar USD42,000 (kira-kira RM170,000), manakala Civic Type R FL5 pula bermula sekitar USD45,895 (sekitar RM186,000).
Bukan Sekadar Selebriti, Tetapi Peminat Automotif Sebenar
Sebelum ini, Cena juga pernah terlibat dalam beberapa kempen iklan Honda berkaitan Prelude dan dunia motorsport. Pada tahun 2025, beliau menjadi narator untuk iklan Prelude tanpa muncul secara fizikal dalam video tersebut.
Malah pada tahun 2024, beliau turut terlibat dalam iklan bertemakan motorsport yang memaparkan legenda Formula 1 Ayrton Senna dan juara dunia F1 Max Verstappen.
Dengan pembelian Prelude baharu ini, jelas menunjukkan bahawa minat Cena terhadap Honda bukan sekadar gimik promosi, tetapi benar-benar lahir daripada jiwa seorang peminat automotif.
Dan berdasarkan trend semasa, nampaknya setiap kali John Cena pergi servis Honda… beliau pasti pulang dengan Honda baharu.
Baca Juga : Honda Lancar “Hybrid Done Right”, Model Prelude Baharu Dibuka Untuk Tempahan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






