KTM baru sahaja mendedahkan motosikal perlumbaan RC 8C edisi terhad yang dibina khas untuk perlumbaan di litar. Walaupun tiada perubahan besar jika dibandingkan dengan model tahun 2023, tetapi mereka mendakwa unit ini mempunyai prestasi yang sama hebat dengan Moto2. Sangat mengagumkan!
Kredit Foto : Website KTM
Terhad hanya 100 unit RC 8C 2024 yang dibina secara manual ditawarkan, iaitu separuh pengeluaranya daripada tahun sebelumnya. Namun berapa harga yang ditawarkan oleh KTM sekiranya ingin memiliki motosikal ini? Harga yang ditawarkan adalah $41,499 (RM 195,000) dan anda perlu mempuat pesanan dalam talian apabila pra-pesanan dibuka pada 20 Mac 2024 nanti.
RC 8C 2024 telah dibina dengan kerjasama Krämer Motorcycles, sama seperti model sebelumnya. Seperti jangkaan, motosikal ini dilengkapi dengan semua kelengkapan litar seperti tangki yang boleh dilepaskan dengan cepat dan panel badan, sportrim Dymag yang ringan, dan tayar Pirelli race slicks.
Kredit Foto : Website KTM
Hadir dengan bahagian meter AIM MXS 1.2 RACE dan perakam data dengan fungsi GPS yang terbina di dalamnya untuk memastikan anda mempunyai “lap time” yang terbaik, dan anda boleh melihat semua maklumat yang berkaitan pada skrin TFT 5 inci. Individu yang bakal memiliki salah satu jentera litar ini boleh menggunakan AIM RaceStudio untuk melihat metrik prestasi dan berusaha untuk mengurangkan “lap time” mereka.
Ads
RC 8C dikuasakan oleh enjin “parallel-twin” 889 cc yang sama seperti yang digunakan oleh KTM dalam model 2023, namun talaan enjin untuk model ini telah ditingkatkan.Hasil maklumat daripada website KTM, motosikal ini menghasilkan 135 kuasa kuda dan 98 nm tork. Tidak diragukan lagi bahawa motosikal ini bakal menjadi salah satu motosikal yang paling menarik di litar, ditambah pula dengan sistem ekzos perlumbaan daripada Akrapovič.
Kredit Foto : Website KTM
Rangka enjin ditempatkan di dalam bingkai tiub keluli 25CerMo4, yang digandingkan dengan kelengkapan badan Carbon Kevlar, terinspirasi oleh KTM RC16. Berat kering untuk motosikal ini hanya 142 kilogram.
Ads
Motosikal ini menggunakan sistem suspensi WP APEX PRO fork 43 mm di bahagian hadapan, manakala monoshock WP APEX PRO 7746 dengan “remote preload adjuster” menawarkan “rebound settings” dan “tunable high and low-speed compression” di bahagian belakang.
Kredit Foto : Website KTM
Sistem brek utama menggunakan radial Brembo 19RCS CORSA CORTA yang diinspirasikan oleh MotoGP. Di bahagian hadapan, kaliper Brembo Stylema dengan “floating disc” 290 mm, manakala sebuah kaliper dua piston Brembo berfungsi dengan cakera 230 mm di bahagian belakang.
Ads
Dengan slogan rasmi KTM “Ready To Race” penghasilan model motosikal ini sangat bersesuaian dengan slogan mereka dan mungkin jenama motosikal lain juga boleh menjual unit-unit untuk perlumbaan yang sudah pasti menjadi pilihan pecinta kelajuan di luar sana.
Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) secara rasmi melancarkan LaLaport Transportation Hub (LTH), sebuah hab pengangkutan bersepadu yang dibangunkan bagi menawarkan perjalanan lebih mudah dan efisien kepada penumpang tempatan serta antarabangsa.
Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, kemudahan ini bakal berfungsi sebagai salah satu hab utama perkhidmatan bas ekspres di pusat bandar, khususnya bagi perjalanan rentas sempadan antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat Hannah Yeoh.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azrin Borhan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud; serta Duta Jepun ke Malaysia, TYT Noriyuki Shikata.
Pembangunan LTH dilaksanakan dengan sokongan serta panduan daripada pihak kerajaan. Hab ini telah mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain diiktiraf dan dilesenkan oleh APAD.
LTH telah mula beroperasi secara berperingkat sejak Februari 2026 sebagai sebuah pusat transit berpusat yang menyediakan infrastruktur berkualiti untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pembangunannya turut mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan apabila Menterinya, Yang Berhormat Anthony Loke, melakukan lawatan ke tapak berkenaan pada Januari 2026 bagi meninjau kemajuan projek sebelum operasi dimulakan.
Terletak di Aras LG1, East Atrium LaLaport BBCC, LTH merupakan sebuah kemudahan berbumbung sepenuhnya yang dilengkapi dengan 11 ruang bas.
Penumpang turut disediakan ruang menunggu khas dengan pendingin hawa, kaunter perkhidmatan fizikal, mesin layan diri serta Sistem Paparan Maklumat Penumpang atau Passenger Information Display System (PIDS).
Melalui sistem berkenaan, penumpang boleh mendapatkan maklumat jadual dan pergerakan bas secara masa nyata sebelum memulakan perjalanan.
Kemudahan lain yang boleh digunakan termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), pengurup wang, loker bagasi, pemantauan keselamatan 24 jam, Wi-Fi percuma dan tandas.
LTH turut menyediakan kemudahan mesra pengguna yang disesuaikan untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Salah satu kelebihan utama LTH ialah kedudukannya yang dihubungkan secara strategik dengan beberapa rangkaian pengangkutan awam utama di ibu negara.
Penumpang boleh berjalan kaki terus ke Stesen LRT Hang Tuah dan Stesen Monorel Hang Tuah. Sambungan ke rangkaian MRT berdekatan juga memudahkan pertukaran perjalanan antara perkhidmatan rel dan bas.
Selain perkhidmatan bas ekspres, LaLaport BBCC turut menawarkan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan Boleh-Boleh Ride yang menghubungkan penumpang ke beberapa destinasi utama di sekitar Kuala Lumpur.
Zon khas mengambil dan menurunkan penumpang bagi perkhidmatan e-hailing turut disediakan di Pintu Masuk Pudu serta Pintu Masuk Hang Tuah.
Kira-kira 30 operator bas dijangka menggunakan LTH sebagai salah satu pusat transit utama mereka di tengah Kuala Lumpur.
Tumpuan utama diberikan kepada perkhidmatan rentas sempadan Kuala Lumpur-Singapura, sekali gus menawarkan pilihan lokasi menaiki dan menurunkan penumpang yang lebih mudah diakses.
Hab ini turut menyediakan perkhidmatan van ulang-alik khas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2.
Kemudahan tersebut menawarkan alternatif pemindahan ke lapangan terbang yang lebih lancar, khususnya untuk pelancong yang berada di kawasan Bukit Bintang dan pusat bandar Kuala Lumpur.
Penggabungan beberapa mod pengangkutan di bawah satu lokasi turut menyokong usaha membangunkan ekosistem mobiliti bandar yang lebih mampan.
Dengan menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel, bas, perkongsian perjalanan serta penyelesaian perjalanan awal dan akhir, LTH berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian.
Secara tidak langsung, pendekatan ini boleh membantu mengurangkan pelepasan karbon dan kesesakan lalu lintas di pusat bandar Kuala Lumpur.
Lokasinya yang berada dalam kawasan pembangunan merangkumi pusat beli-belah, ruang pejabat dan kediaman turut mewujudkan hubungan antara pengangkutan, aktiviti ekonomi serta pembangunan komuniti setempat.
Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn. Bhd., Masayoshi Saito berkata, pelancaran LTH merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur LaLaport BBCC.
Menurut beliau, hab tersebut bukan sahaja dibangunkan untuk melancarkan perjalanan penumpang tempatan dan antarabangsa, malah bagi menyokong agenda mobiliti mampan kerajaan serta pertumbuhan sektor pelancongan.
Kedudukan LTH di dalam LaLaport BBCC juga memberikan kelebihan kepada penumpang kerana mereka boleh menggunakan pelbagai kemudahan di pusat beli-belah tersebut sementara menunggu perjalanan.
LaLaport BBCC kini menempatkan kira-kira 300 premis merangkumi kedai makanan dan minuman, peruncitan barangan keperluan serta pelbagai pilihan hiburan.
Konsep LTH diinspirasikan daripada beberapa pembangunan hab pengangkutan bersepadu milik Mitsui Fudosan di Jepun.
Antaranya termasuk Tokyo Midtown Yaesu serta projek pembangunan semula Tsukiji yang menggabungkan infrastruktur pengangkutan, peruncitan dan kemudahan gaya hidup di bawah satu destinasi.
Penggunaan konsep yang telah terbukti di Jepun itu mencerminkan usaha Mitsui Fudosan untuk meningkatkan pengalaman perjalanan serta menyokong pembangunan bandar di sekitar LaLaport BBCC.
LTH dikendalikan oleh Asia Success Resources Sdn. Bhd. (ASR), sebuah syarikat pengendali hab pengangkutan yang turut mempunyai pengalaman menguruskan operasi di KLIA Terminal 2.
Pembangunan hab ini dilaksanakan dengan kerjasama Semba Corporation yang bertanggungjawab terhadap perancangan fungsi serta konsep reka bentuk keseluruhan ruang transit berkenaan.
Pusingan ketiga Toyota GAZOO Racing Malaysia Vios Gold Championship menyaksikan perebutan kejuaraan semakin terbuka selepas beberapa pencabar baharu tampil memberikan tekanan kepada pelumba pilihan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, baru-baru ini.
Format perlumbaan selama satu jam, penggunaan keseluruhan litar sepanjang 5.543 kilometer serta kehadiran serentak 37 jentera daripada tiga kelas menjadikan saingan kali ini jauh lebih mencabar berbanding dua pusingan terdahulu yang menggunakan konfigurasi separuh litar.
Tambahan pula, mata berganda yang ditawarkan pada pusingan berkenaan memberikan peluang besar kepada setiap pelumba untuk memperkukuhkan kedudukan dalam carta kejuaraan.
Bagaimanapun, beberapa pendahulu kejuaraan gagal memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya apabila berdepan kesukaran mengharungi trafik padat serta persaingan sengit sepanjang perlumbaan.
Situasi itu sekali gus memastikan perebutan gelaran bagi musim kesembilan kejohanan berkenaan hanya akan ditentukan pada pusingan keempat dan terakhir yang dijadualkan berlangsung Oktober ini.
Dalam Perlumbaan 1 kelas Super Sporting yang menghimpunkan pelumba profesional dan berpengalaman, juara bertahan daripada Telagamas Toyota, Freddie Ang, memanfaatkan kedudukan petak pertama untuk mencatat kemenangan.
Freddie menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 5.9 saat di hadapan pelumba RH Kalulong Motorsport, Timothy Yeo.
Bekas juara, Mitchell Cheah daripada Team Prima Pearl SP Selatan pula melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Bagi kelas Sporting, Elson Lew daripada Hong Huat X Armada KK Racing tampil dominan apabila melintasi garisan penamat dengan kelebihan besar 10.9 saat.
Pelumba Saksama Motorsports, Taj Izrin Aiman, menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, manakala Aditya Patnaik daripada Axle Sports menduduki tempat ketiga, dua saat di belakang Taj Izrin.
Saingan kelas Rookie pula menyaksikan kemunculan prestasi cemerlang pelumba berusia 16 tahun, Ethen Low.
Ethen menguasai kedua-dua perlumbaan lepas, bermula dengan kemenangan selesa dalam Perlumbaan 1 selepas menamatkan saingan 18.7 saat di hadapan pencabar terdekatnya, Ervin Lim.
Imran Iskandar pula menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.
Walaupun Perlumbaan 1 berlangsung kompetitif, Perlumbaan 2 pada Ahad menyajikan lebih banyak aksi dramatik dengan beberapa insiden di atas litar.
Safety car terpaksa dikeluarkan sebanyak tiga kali susulan beberapa kemalangan yang melibatkan pelumba kelas Sporting.
Insiden pertama berlaku seawal pusingan ketiga apabila Lim Chun Beng daripada Fokus Racing Team dan Sophia Zara daripada Super Evergreen Motorsport terlibat dalam pelanggaran.
Safety car sekali lagi dikerahkan pada pusingan ke-15 susulan insiden melibatkan pelumba FIA Boulevard Racing, Hendra Ade Putra.
Ketika perlumbaan hampir dimulakan semula, satu lagi pelanggaran berlaku di laluan lurus belakang membabitkan Loke Yin Yi daripada Unihub & DMW 1 Motorsport serta Ng Aik Sha daripada GTA Race Team.
Kedua-dua jentera tidak dapat meneruskan perlumbaan, menyebabkan safety car dikerahkan buat kali ketiga. Perlumbaan akhirnya ditamatkan dalam keadaan safety car.
Dalam kelas Super Sporting bagi Perlumbaan 2, Bradley Benedict daripada PS Harapan Menang memanfaatkan kedudukan petak pertama untuk meraih kemenangan.
Bradley pada awalnya berjaya membina kelebihan 1.5 saat, namun jurang tersebut terpadam selepas kemunculan safety car pertama.
Dia kemudian kembali melebarkan kelebihan kepada 2.5 saat sebelum sekali lagi kehilangan jurang berkenaan apabila safety car dikerahkan buat kali kedua.
Bradley akhirnya menamatkan perlumbaan hanya 0.5 saat di hadapan Mitchell Cheah, manakala Kenneth Koh daripada PCM Group Racing Team meraih tempat ketiga.
Ketika pelbagai insiden berlaku dalam kelas Sporting, Aditya Patnaik kekal tenang untuk mencatat kemenangan dramatik.
Pelumba Axle Sports dari India itu menamatkan perlumbaan hanya 0.3 saat di hadapan Adam Mikail daripada G-Mart Motorsport.
Ariff Azmi daripada KMS 333 Motorsports melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kemenangan tersebut turut menjadi penampilan kedua Patnaik di podium sepanjang dua perlumbaan pada Pusingan 3 selepas meraih tempat ketiga dalam Perlumbaan 1.
Dalam kelas Rookie, Ethen Low meneruskan kecemerlangannya dengan kemenangan kedua berturut-turut.
Dia menamatkan perlumbaan hanya 0.4 saat di hadapan Megat Damian Ariff, manakala Ervin Lim meraih kedudukan ketiga.
Sebanyak RM876,000 wang kemenangan keseluruhan ditawarkan sepanjang musim kesembilan Toyota Vios Gold Championship.
Pusingan keempat dan terakhir kejohanan dijadualkan berlangsung pada Oktober dan dijangka menjadi pentas penentuan gelaran selepas keputusan Pusingan 3 gagal memberikan kelebihan besar kepada mana-mana pencabar utama.
Toyota Vios Gold Championship, yang sebelum ini dikenali sebagai Vios Challenge, merupakan siri perlumbaan satu model berasaskan kereta produksi paling lama dianjurkan oleh pengeluar kenderaan di Malaysia.
Enam buah feri ikonik yang pernah menjadi simbol perhubungan utama antara Pulau Pinang dan tanah besar kini berdepan risiko dilupuskan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menjelaskan bahawa keadaan struktur feri-feri ini semakin uzur dan tidak lagi sesuai untuk kegunaan pengangkutan.
“Saya difahamkan bahagian bawah feri tersebut sudah reput, kalau tak ada orang berminat untuk ambil alih, ia tidak boleh disimpan selamanya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival UDA 2024@Penang di tapak parkir Gravitas Jalan Baru Prai, di sini, pada Ahad.
Meskipun Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membuka tender untuk cadangan mengubah suai kegunaan feri-feri ini, maklum balas yang diterima setakat ini belum mencukupi.
Chow menyebut bahawa dua daripada feri tersebut mungkin masih boleh diselamatkan—satu yang dimiliki oleh Ideal Property dan satu lagi yang dirancang untuk dijadikan muzium di Tanjung Marina.
Namun, Chow berkata, “SPPP banyak menerima cadangan agar ia kekal digunakan tetapi setelah meneliti kos, bukan senang untuk mengekalkan feri bagi kegunaan perkhidmatan pengangkutan awam tetapi kalau kegunaan lain boleh dipertimbang.”
Pengerusi SPPP, Datuk Yeoh Soon Hin, menegaskan bahawa pihaknya memutuskan untuk melupuskan feri-feri ini dengan kadar segera kerana kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilaksana susulan pereputan yang serius dan tidak boleh diapungkan.
Ini termasuk insiden terbaru di mana Feri Pulau Kapas karam akibat kebocoran yang tidak dapat diperbaiki.
SPPP telah memajak feri ikonik kepada beberapa syarikat yang layak untuk dijadikan produk pelancongan negeri pada 2021 namun hasrat menjadikan Feri Pulau Kapas sebagai restoran terapung gagal direalisasi susulan ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian dan pajakan ditamatkan pada Februari 2023.
Perkhidmatan feri ikonik ini telah dihentikan pada tahun 2020 setelah lebih 126 tahun beroperasi, digantikan oleh bot laju untuk penumpang individu serta feri khusus untuk motosikal dan basikal.
Penutupan perkhidmatan feri ini menandakan berakhirnya satu era penting dalam sejarah maritim Pulau Pinang, yang penuh dengan nostalgia dan kenangan bagi penduduk tempatan dan pengunjung.
Xiaomi SkyNomad Diperkenalkan, SUV EREV Keluarga Dengan Jarak Gerak Sehingga 1,705 KM
Xiaomi EV memperkenalkan siri Xiaomi SkyNomad di China, terdiri daripada model N90 Max...