Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Himpunkan 393 Penunggang, Redah Laluan Mencabar 150km di Gerik
Seramai 393 penunggang motosikal dari seluruh Malaysia menyertai edisi kedua Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 yang berlangsung di Gerik, Perak pada 26 September lalu.
Program anjuran Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) itu meneruskan kejayaan edisi sulung yang diadakan di Jerantut, Pahang pada tahun lalu.

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 Harungi Laluan Hutan Sejauh 150 Kilometer
Peserta dilepaskan dari Dataran Amanjaya Lawin, Gerik, sebelum menyusuri laluan sejauh kira-kira 150 kilometer yang merangkumi pelbagai permukaan dan bentuk muka bumi.
Antara cabaran yang perlu ditempuhi termasuk laluan hutan, pendakian curam, jalan berbatu serta beberapa lintasan sungai.
Bagi memastikan aspek keselamatan dan kelancaran perjalanan, peserta turut disokong oleh pasukan pandu arah laluan, pasukan pemulihan motosikal, petugas perubatan kecemasan serta beberapa lokasi pengisian bahan api yang ditetapkan sepanjang laluan.
Kawasaki KLE500 Jadi Tarikan Utama
Untuk edisi kali ini, Kawasaki KLE500 menjadi antara fokus utama Kawasaki Megatrail Fun Ride dengan penyertaan 23 pemilik KLE500 yang membawa motosikal masing-masing mengharungi keseluruhan cabaran.
Beberapa wakil media automotif tempatan turut diberi peluang menyertai program berkenaan bagi merasai sendiri keupayaan motosikal adventure kelas pertengahan itu dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Pengalaman tersebut memberi gambaran terhadap karakter KLE500 apabila digunakan bukan sahaja di atas jalan raya, malah dalam keadaan laluan off-road yang lebih mencabar.

Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 turut diserikan dengan beberapa aktiviti sampingan bagi meningkatkan interaksi antara peserta.
Salah satunya ialah treasure hunt yang melibatkan 50 bendera Kawasaki tersembunyi di sepanjang laluan. Setiap bendera yang berjaya ditemui boleh ditebus dengan ganjaran RM50.
Tiga cabaran khas turut diadakan dan 10 peserta pertama yang berjaya menyelesaikan kesemua cabaran berkenaan menerima hadiah misteri bernilai RM100 setiap seorang.
Kemuncak program pula ialah sesi cabutan bertuah dengan sebuah Kawasaki KLE500 baharu ditawarkan sebagai hadiah utama.
Keseluruhan hadiah yang disediakan sepanjang program pula mencecah hampir RM50,000, selain peserta turut menikmati kemudahan makanan, tapak perkhemahan, sesi barbeku serta pengiktirafan kepada peserta yang berjaya menamatkan cabaran.

Kukuhkan Komuniti Adventure Kawasaki
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan, sambutan terhadap edisi pertama Kawasaki Megatrail menunjukkan terdapat permintaan dalam kalangan penunggang Malaysia untuk menyertai aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran, meneroka laluan baharu serta mengukuhkan hubungan dalam komuniti Kawasaki.
Katanya, konsep Kawasaki Megatrail menggabungkan ketiga-tiga elemen tersebut sambil memberikan peluang kepada pemilik motosikal untuk merasai sendiri keupayaan jentera dalam persekitaran sebenar yang bersesuaian dengan konsepnya.
Bagi pemilik baharu KLE500, pengalaman seperti ini turut dilihat sebagai sebahagian daripada perjalanan pemilikan yang bukan sekadar bergantung kepada penggunaan motosikal di atas jalan raya.

Platform Perkasa Segmen Adventure
Penganjuran Kawasaki Megatrail Fun Ride 2026 mencerminkan usaha MODENAS untuk memperkukuh komuniti motosikal adventure di Malaysia melalui pengalaman tunggangan sebenar.
Selain memberi peluang kepada pemilik menguji keupayaan motosikal masing-masing, program seperti ini turut menjadi platform untuk penunggang berkongsi pengalaman, meningkatkan keyakinan ketika menunggang di laluan mencabar dan membina jaringan dalam komuniti adventure.
Dengan penyertaan yang meningkat serta laluan yang lebih mencabar, Kawasaki Megatrail dilihat sebagai antara platform yang menghubungkan produk Kawasaki dengan pengalaman tunggangan sebenar, khususnya dalam segmen adventure dan dual-purpose.
Baca Juga : Raja ‘Supercharged’ Kembali! Apa Yang Baharu Pada Kawasaki Ninja H2 2027?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


