Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai salah satu daripada hanya enam pengedar Ford di dunia yang menerima anugerah berprestij ‘Salute to Dealers’ 2025 daripada Ford Motor Company.
Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan atas kecemerlangan dalam jualan dan perkhidmatan, tetapi lebih penting, ia menzahirkan komitmen luar biasa Auto ConneXion dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selama lebih sedekad.
Dedikasi Menyeluruh Terhadap Komuniti
Menurut Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion, kejayaan ini bukan sekadar simbol kejayaan korporat, tetapi satu manifestasi usaha jitu syarikat dalam menyantuni komuniti.
“Kami benar-benar berbangga dapat membawa pulang anugerah ‘Salute to Dealers’. Pengiktirafan ini menunjukkan usaha berterusan kami untuk mendorong perubahan sosial yang positif berteraskan pendidikan, kesihatan awam, kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan berpaksikan budaya keprihatinan Sime Darby untuk mewujudkan komuniti yang lestari dan berkembang maju.
Projek Air Bersih: Nafas Baharu Buat Komuniti Orang Asli
Antara usaha paling signifikan Auto ConneXion ialah Projek Air Bersih yang dilaksanakan dengan kerjasama NGO tempatan, MyFundAction.
Projek ini menyasarkan masyarakat Orang Asli di Gerik, Perak dengan pemasangan sistem tangki air lestari melalui teknik penggerudian canggih.
Hasilnya, lebih 70 keluarga berpendapatan rendah memperoleh akses kepada bekalan air bersih.
Seramai 30 sukarelawan dari Auto ConneXion turun padang mencurahkan keringat demi menjayakan misi ini.
Ads
Ia juga merupakan satu langkah kecil yang membawa impak besar terhadap kesejahteraan harian penduduk.
The Lost Food Project: Perangi Pembaziran, Perangi Kelaparan
Dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan pula, Auto ConneXion bekerjasama dengan The Lost Food Project.
Bersama Ford Philanthropy, sumbangan bernilai USD45,000 (sekitar RM200,000) telah disalurkan bagi menyokong misi menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan.
Hasilnya, kira-kira 855,000 sajian makanan berkhasiat berjaya diagihkan.
Tidak cukup dengan sumbangan kewangan, 25 sukarelawan Auto ConneXion turut serta dalam aktiviti penyisihan makanan di gudang The Lost Food Project di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Ads
Di sini, sebanyak 3,820 kilogram makanan berjaya diselamatkan, bersamaan 10,914 sajian.
Klinik Bergerak Ford: Menyantuni Kesihatan Luar Bandar
Inisiatif penjagaan kesihatan turut diberi penekanan menerusi pelancaran Ford Mobile Clinic, hasil kerjasama antara Auto ConneXion, Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy.
Klinik bergerak ini disumbangkan kepada MyFundAction, lengkap dengan peralatan perubatan seperti monitor tanda hayat, alat bantuan pernafasan serta kelengkapan diagnostik.
Sebuah Ford Ranger telah disumbangkan untuk tujuan mobiliti.
Selain itu dana tambahan sebanyak USD55,000 (sekitar RM250,000) disalurkan untuk proses pembinaan dan pengubahsuaian klinik tersebut.
Ads
Sehingga kini, lebih 2,200 individu daripada golongan terpinggir dan mangsa banjir menerima manfaat terus daripada inisiatif ini.
Rakan Strategik yang Komited
Ketua Pegawai Pembangunan MyFundAction, Isma Fildza Hazry, menyifatkan kerjasama dengan Auto ConneXion sebagai satu sinergi yang membawa perubahan besar.
“Berbekalkan sokongan mereka, kami berjaya menyantuni komuniti terpinggir dengan menyediakan sumber keperluan dan memupuk harapan,” katanya.
Komitmen Berterusan ke Arah Masa Depan Lebih Baik
Dengan sokongan padu daripada Ford Philanthropy, Auto ConneXion terus komited dalam memperkasakan masyarakat melalui pendekatan holistik yang merangkumi kebajikan, makanan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah ‘Salute to Dealers’ membuktikan bahawa pengedar automotif juga mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sosial yang menyeluruh.
Auto ConneXion bukan sekadar sebuah pengedar kenderaan.
Ia kini diiktiraf sebagai pemacu utama dalam membina masa depan yang lebih lestari untuk rakyat Malaysia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Boon Siew Honda mengumumkan pelantikan rasmi Encik Kunitomo Asano sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Beliau menggantikan Encik Mitsuharu Funase yang kini memegang jawatan sebagai Pengurus Besar Bahagian Perlumbaan Motosikal di Honda Racing Corporation.
Kepimpinan Baharu, Visi Baharu
Encik Asano akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 April 2025.
Sebelum ini beliau menjawat jawatan Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran (Chief Sales and Marketing Officer, CSMO) di Boon Siew Honda.
Berbekalkan lebih 20 tahun pengalaman dalam industri motosikal, beliau membawa perspektif luas hasil daripada perkhidmatannya di Jepun, serta di pasaran antarabangsa seperti Thailand, India, dan Malaysia.
Kombinasi pemahaman mendalam terhadap trend global serta keunikan pasaran tempatan menjadikan beliau calon paling sesuai untuk menerajui hala tuju strategik Boon Siew Honda.
Pengalaman Luar Biasa, Akar Kukuh di Malaysia
Menariknya, pengalaman awal Encik Asano bersama Honda bermula di Malaysia.
Malah, beliau mengimbau bagaimana pengajiannya dalam bahasa Urdu dan Cina secara tidak langsung membantunya berinteraksi dan memahami budaya tempatan dengan lebih baik.
Inilah yang membina hubungan erat beliau dengan Malaysia sejak awal kerjayanya.
Sepanjang dua dekad dalam industri, beliau telah terlibat secara langsung dalam perancangan produk, perniagaan eksport, serta strategi pemasaran.
Hal ini menjadikan beliau tokoh penting dalam landskap permotoran serantau.
Lonjakan Prestasi Semasa Sebagai CSMO
Ketika menyandang jawatan CSMO, Encik Asano memainkan peranan penting dalam memperkukuh prestasi jualan dan keberkesanan operasi syarikat.
Antara pencapaian utama beliau ialah:
Memperkenalkan model-model motosikal baharu yang mendapat sambutan hangat.
Memperluas rangkaian pengedar eksklusif Honda BigWing.
Melancarkan kempen tunggang uji strategik untuk menarik minat pengguna.
Langkah-langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya saing Boon Siew Honda, tetapi juga mengukuhkan jenamanya di hati pengguna tempatan.
Komitmen Terhadap Inovasi & Keselamatan
Sebagai CEO, Encik Asano menyatakan komitmen tinggi beliau untuk terus memperkukuh kehadiran jenama Honda di Malaysia.
Tumpuan akan diberikan kepada:
Meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi perkhidmatan bertaraf tinggi.
Memperluas jaringan pusat servis dan sokongan selepas jualan.
Memacu inovasi produk dengan teknologi terkini.
Lebih penting, beliau amat menitikberatkan aspek keselamatan penunggang motosikal.
Beliau ingin menfokuskan kepada teknologi keselamatan canggih serta program pendidikan awam bagi menangani cabaran lalu lintas yang semakin kompleks.
Sinergi Global, Penyelesaian Tempatan
Dalam suasana pasaran yang semakin mencabar dan kompetitif, Encik Asano berhasrat untuk memanfaatkan kekuatan teknologi serta kepakaran global Honda, disesuaikan dengan keperluan pengguna Malaysia.
Strategi ini akan merangkumi pengukuhan perkhidmatan selepas jualan, peningkatan kebolehpercayaan produk dan pemantapan reputasi jenama Honda sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.
Mengenai Boon Siew Honda Sdn. Bhd.
Boon Siew Honda Sdn. Bhd. merupakan perintis motosikal Honda di Malaysia dan telah menjadi peneraju dalam mentakrif semula mobiliti serta memperkasa pengalaman menunggang generasi ke generasi.
Ditubuhkan pada September 2008 sebagai usaha sama antara Honda Motor Co., Ltd. dan Oriental Holdings Bhd.
Syarikat ini terus mencipta inovasi melalui teknologi terkini, mutu kerja unggul dan komitmen terhadap kecemerlangan.
Berteraskan warisan kepercayaan dan kualiti, Boon Siew Honda tetap komited dalam membentuk masa depan dunia permotoran di Malaysia dengan menawarkan prestasi dan kebolehpercayaan yang melangkaui jangkaan.
Suzuki GSX-8T 2026: Retro Bertemu Moden dalam Semangat T500 Titan
Suzuki mengukuhkan lagi barisan keluarga GSX-8 untuk tahun 2026 dengan pengenalan model GSX-8T .
Motosikal bergaya naked retro yang menampilkan inspirasi daripada model klasik Suzuki T500 Titan yang popular sekitar tahun 1968 hingga 1975.
Jika sebelum ini model GSX-8S dan GSX-8R mengisi segmen moden dan sporty, GSX-8T pula membawa elemen warisan dan nostalgia, namun dibina atas asas mekanikal yang sama mantap dan moden.
Kredit Foto : Website ultimatemotorcycling
Menghormati Legenda Lama, Dibina Untuk Penunggang Hari Ini
Huruf ‘T’ dalam GSX-8T membawa maksud “Titan”, sebagai penghormatan kepada T500 — jentera dua-lejang berkembar yang menjadi antara model penting dalam sejarah Suzuki.
Walaupun ia tidak dinamakan semula secara rasmi sebagai “Titan” (mungkin disebabkan isu hak cipta nama dengan pengeluar lain seperti Nissan), Suzuki berjaya menerapkan semangat model asal ke dalam reka bentuk dan karakter GSX-8T.
Platform GSX-8T adalah sama dengan model GSX-8S dan GSX-8R menggunakan enjin parallel-twin 776cc dengan kuasa 82hp @ 8,500rpm dan tork 78Nm @ 6,800rpm.
Ia turut dilengkapi kotak gear 6-kelajuan bersama quickshifter dua hala serta slipper clutch untuk pengendalian lebih lancar dan agresif.
Gaya Klasik, Teknologi Semasa
GSX-8T tampil dengan rekaan lampu utama bulat LED berpotongan bawah rata, menyerlahkan gaya retro era 60-an dan 70-an.
Suzuki turut memperkenalkan buat pertama kalinya cermin sisi jenis bar-end, satu ciri yang menguatkan lagi penampilan klasik motosikal ini.
Kredit Foto : Website ultimatemotorcycling
Instrumentasi menggunakan paparan TFT lima inci dan turut disediakan port pengecas USB-C.
Tangki bahan api lebih besar berbanding model standard, iaitu 16.3 liter, yang membolehkan jarak tunggangan sehingga 386 kilometer.
Ini berdasarkan anggaran penggunaan bahan api sekitar 56 mpg (23.8 km/l).
Tempat duduk direka dalam gaya ‘tuck-and-roll’, bukan hanya untuk penampilan klasik, tetapi juga lebih sempit di bahagian hadapan bagi memudahkan penunggang mencapai permukaan jalan.
Ketinggian tempat duduk adalah 810mm, sedikit lebih tinggi daripada GSX-8S.
Kredit Foto : Website ultimatemotorcycling
Perincian Kualiti dan Penambahbaikan
Suzuki GSX-8T turut menerima pelindung ekzos keluli tahan karat berus yang bukan sahaja berfungsi sebagai hiasan, tetapi juga sebagai pelindung haba.
Bahagian sisi motosikal ini menggunakan kemasan hitam matte, sesuai dengan pendekatan reka bentuk “refined dan understated”.
Lebih menarik, GSX-8T merupakan model Suzuki pertama yang dilengkapi bateri lithium-ion dari Eliiy Power.
Eliiy Power merupakan syarikat yang sama membekalkan bateri kepada pasukan perlumbaan Yoshimura SERT Motul dalam Kejohanan Endurance Dunia FIM.
Kredit Foto : Website ultimatemotorcycling
Warna & Ketersediaan
Buat masa ini, harga rasmi belum diumumkan.
Namun, Suzuki menyatakan bahawa model ini akan mula berada di pasaran global menjelang suku ketiga 2026.
Jika model ini dibawa masuk ke pasaran Malaysia, besar kemungkinan ia akan menarik perhatian bukan sahaja peminat Suzuki, tetapi juga peminat motosikal retro seluruh negara.
Porsche dan Kelestarian: “Join the Porsche Ride” Singgah di Kulim untuk Mendidik Generasi Muda
“Join the Porsche Ride”, sebuah inisiatif global yang menggabungkan inovasi dan tanggungjawab sosial, telah tiba di Malaysia untuk menyemarakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.
Program ini, yang merupakan hasil kerjasama antara Porsche AG, Porsche Malaysia (diwakili oleh Sime Darby Auto Performance), dan Inokom Corporation Sdn Bhd, menampilkan pendekatan unik dalam mendidik generasi muda tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sisa.
Sebagai destinasi ketujuh dalam jelajah globalnya, “Join the Porsche Ride” telah mengadakan program pendidikan di sebuah sekolah rendah awam di Kulim.
Dengan tema “Sahabat Lestari”, program ini dijayakan dengan sokongan NGO Free Tree Society bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar menerusi aktiviti interaktif dan praktikal.
Menanam “Mini-Jungle” dan Cabaran Kitar Semula 30 Hari
Antara inisiatif utama dalam program ini ialah penanaman hutan mini di kawasan sekolah.
Pelajar diberi peluang untuk menanam pokok dan memahami peranan penting tumbuh-tumbuhan dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Hutan mini ini akan menjadi projek jangka masa panjang yang dikendalikan oleh komuniti sekolah, bertujuan memupuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Selain itu, para pelajar turut menyertai “Cabaran 30 Hari Kitar Semula”.
Mereka diberi tugasan untuk mengumpul dan mengitar semula bahan seperti kertas dan plastik dari kehidupan seharian mereka di sekolah.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan amalan kitar semula tetapi juga memberi kesedaran tentang kepentingan mengurangkan pembaziran sumber.
Sebagai penghargaan terhadap usaha mereka, peserta akan menerima sijil pengiktirafan sebagai “Duta Eko”.
Pendidikan Sebagai Kunci Kelestarian Masa Hadapan
Menurut Hannes Ruoff, CEO Porsche Asia Pacific, matlamat utama program ini adalah untuk memberi kuasa kepada generasi muda melalui pendidikan:
“Kami ingin menggalakkan para pelajar menjadi agen perubahan dalam keluarga dan komuniti mereka.”
Heinz Alexy, Naib Presiden Pengurusan Rantaian Bekalan dan Pengeluaran Luar, turut menekankan kepentingan projek ini:
“Kami telah mencipta satu projek sosial yang bukan sahaja memberi inspirasi kepada generasi akan datang, tetapi juga membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.”
Dengan aktiviti yang disusun khas untuk diterapkan dalam kehidupan sekolah, para pelajar dapat mengembangkan sikap bertanggungjawab dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
Malah, sekolah yang terlibat dalam program ini berpotensi untuk berkembang menjadi pusat kitar semula bagi komuniti setempat.
Christopher Hunter, CEO Sime Darby Auto Performance, menyatakan bahawa :
“melalui usaha bersama, kami berharap dapat membawa perubahan yang nyata dan memberi impak positif kepada alam sekitar serta masyarakat.”
Perancangan Masa Hadapan: Ke Arah Perubahan Lebih Besar
Kejayaan program di Kulim ini membuka jalan kepada pelaksanaan di lebih banyak lokasi di Malaysia menjelang 2025.
Carolyn Lau, Pengarah Urusan Free Tree Society, menzahirkan harapan beliau terhadap projek ini:
“Dengan kerjasama semua pihak, kami yakin dapat mencapai hasil yang ketara dalam usaha memelihara alam sekitar di Malaysia.”
Sementara itu, Sui Keng Huat, Pengarah Urusan Inokom Corporation Sdn Bhd, turut mengakui kepentingan pendekatan pelbagai peringkat dalam program ini:
“Kaedah yang kami gunakan bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang unik, tetapi juga mewujudkan hubungan erat antara sekolah dan masyarakat.”
Malaysia kini menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, dan impaknya pasti akan terus dirasai untuk generasi akan datang.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Yamaha Y15ZR 2025 Tampil Dengan Tiga Warna Baharu Harga - RM8,998
Yamaha Motor (Malaysia) mengumumkan kemas kini terbaharu bagi model popularnya, Yamaha Y15ZR, yang kini...