Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengumumkan berita gembira hari ini dengan pembukaan rasmi Seksyen 6 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Pembukaan yang dijadualkan bermula jam 12.01 pagi pada 21 November 2023, Seksyen 6 ini mendapat pengecualian pembayaran tol kepada pengguna sehingga 2 Januari 2024, yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Dengan pembukaan laluan lebih raya baharu ini, ia membawa harapan baru kepada pengguna jalan raya yang dapat menjangkakan masa perjalanan lebih singkat sehingga 15 minit berbanding 45 minit menggunakan laluan sedia ada.
Ads
Sekali gus, Seksyen 6 ini akan menghubungkan secara terus pengguna dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa. Tidak hanya itu, sambungan terus dengan Lebuhraya LATAR turut menawarkan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk keselesaan pengguna.
Kredit Foto: Careta.my
Dalam menyusuri Seksyen 6 WCE ini, pengguna kini akan lebih mudah untuk melawati destinasi pelancongan menarik seperti Bandar Warisan Batu Arang, Bukit Malawati, Sky Mirror, dan Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan. Ini tidak hanya akan memberi kesenangan kepada pengguna, tetapi juga dijangka merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi dalam komuniti setempat.
Ads
Sebelum pembukaan Seksyen 6 WCE, sebanyak empat seksyen WCE telah dibuka sebelum ini. Ini termasuklah tiga seksyen di Negeri Perak, iaitu Seksyen 8 (Hutan Melintang – Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir – Changkat Chermin), dan Seksyen 10 (Changkat Chermin – Beruas), serta satu seksyen di Negeri Selangor iaitu Seksyen 5 (Bandar Bukit Raja Selatan – Bandar Bukit Raja Utara).
Pembukaan Seksyen 6 WCE merupakan langkah yang dinanti-nantikan dan merupakan satu lagi kemajuan dalam infrastruktur lebuh raya negara yang akan memberi impak besar kepada pengguna serta pertumbuhan ekonomi tempatan.
Dalam pasaran automotif Malaysia, istilah kereta recond bukanlah sesuatu yang asing. Ramai pembeli tertarik dengan kereta recond kerana ia biasanya menawarkan model yang tidak dijual secara rasmi, spesifikasi lebih menarik dan harga yang lebih rendah berbanding kereta baharu daripada pengedar rasmi.
Namun, kereta recond juga sering disalah faham. Ada yang menganggap semua kereta recond sama seperti kereta terpakai biasa, sedangkan ia sebenarnya mempunyai proses, kategori dan risiko tersendiri yang perlu difahami sebelum membeli.
Ia merujuk kepada kenderaan terpakai yang diimport dari luar negara, biasanya dari Jepun atau United Kingdom, kemudian dijual semula di Malaysia. Perkataan recond berasal daripada reconditioned, iaitu kenderaan yang sudah digunakan sebelum ini dan melalui proses pemeriksaan atau baik pulih sebelum dijual.
Berbeza dengan kereta terpakai tempatan, kereta recond biasanya belum pernah didaftarkan di Malaysia. Ia dibawa masuk melalui syarikat yang mempunyai Approved Permit atau AP sebelum didaftarkan sebagai kenderaan import terpakai.
Ada juga penjual yang melakukan proses baik pulih kosmetik seperti membersihkan dalaman, mengecat semula bahagian tertentu atau menggantikan komponen kecil supaya keadaan kereta kelihatan lebih baik sebelum dijual kepada pelanggan.
Antara sebab utama kereta recond popular ialah pilihan model yang lebih luas. Contohnya, model seperti Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Toyota Harrier, Toyota Estima atau Nissan Elgrand sering dibawa masuk dalam bentuk recond kerana permintaannya tinggi di Malaysia.
Selain itu, pembeli juga boleh mendapatkan varian atau spesifikasi yang tidak ditawarkan oleh pengedar rasmi. Ada model pasaran Jepun yang hadir dengan ciri tambahan seperti sunroof, powered seat, kamera 360 darjah, sistem bantuan pemanduan dan kemasan dalaman premium.
Perbezaan paling jelas antara kereta recond dan used car tempatan ialah sejarah pendaftaran. Used car tempatan sudah pernah didaftarkan dan digunakan di Malaysia, manakala kereta recond berasal dari luar negara dan baru pertama kali didaftarkan di sini selepas dibawa masuk.
Ini memberi kelebihan dari segi pilihan model dan kondisi, tetapi pada masa sama menyukarkan pembeli untuk menyemak sejarah sebenar kenderaan. Mileage, rekod servis, sejarah kemalangan dan keadaan asal kereta perlu diperiksa dengan lebih teliti.
Sebelum membeli kereta recond, antara perkara penting untuk disemak ialah dokumen import, tahun pembuatan sebenar, tahun pendaftaran, laporan pemeriksaan dan status AP.
Pembeli juga perlu memeriksa keadaan fizikal kenderaan termasuk struktur casis, bahagian enjin, transmisi, sistem suspensi dan keadaan dalaman. Jika boleh, bawa mekanik atau individu yang berpengalaman untuk membuat pemeriksaan sebelum membuat bayaran.
Mileage juga perlu dilihat secara berhati-hati. Kereta dengan mileage rendah belum tentu bebas masalah, terutama jika pernah disimpan lama atau tidak diselenggara dengan baik.
Pastikan nombor casis dan nombor enjin sepadan dengan dokumen rasmi. Pembeli juga disarankan meminta laporan pemeriksaan bebas sekiranya ada.
Elakkan membeli hanya berdasarkan promosi atau harga terlalu murah kerana ada kemungkinan kereta tersebut pernah mengalami kerosakan serius atau masalah banjir.
Satu perkara yang sering terlepas pandang ialah waranti. Kereta recond biasanya tidak datang dengan waranti pengeluar rasmi seperti kereta baharu daripada pengedar sah. Sebaliknya, waranti diberikan oleh penjual atau syarikat tertentu dan terma perlindungan boleh berbeza.
Selain itu, alat ganti untuk sesetengah model mungkin lebih mahal atau mengambil masa untuk diperoleh, terutama jika model tersebut tidak dijual secara rasmi di Malaysia.
Jawapannya bergantung kepada keperluan dan bajet pembeli. Jika mahukan model unik, spesifikasi premium dan harga lebih rendah berbanding unit baharu, kereta recond boleh menjadi pilihan menarik.
Namun, pembeli perlu lebih teliti dari segi pemeriksaan dan semakan dokumen kerana risiko pembelian tetap wujud seperti mana-mana kenderaan terpakai lain.
Kereta recond boleh menjadi pilihan menarik jika dibeli dengan pengetahuan yang betul. Ia menawarkan model lebih pelbagai, spesifikasi menarik dan harga yang kadangkala lebih berbaloi.
Namun, pembeli perlu faham bahawa kereta recond tetap kenderaan terpakai yang mempunyai sejarah penggunaan sebelum tiba di Malaysia. Pemeriksaan menyeluruh, semakan dokumen dan pemilihan penjual yang dipercayai sangat penting bagi mengurangkan risiko.
Kereta unik di dunia sering menjadi bukti bahawa industri automotif tidak pernah kehabisan idea luar biasa. Dalam dunia automotif, kebanyakan pengeluar akan bermain dalam zon selesa dengan formula yang sudah terbukti.
Namun, ada juga model yang berani keluar daripada kebiasaan, tampil dengan idea yang bukan sahaja pelik, tetapi juga membuka perspektif baru tentang apa sebenarnya sebuah kereta boleh jadi.
Berikut adalah lima kereta unik di dunia yang pernah dihasilkan, masing-masing dengan keunikan tersendiri.
BMW Isetta mungkin nampak comel, tetapi rekaannya cukup radikal untuk zamannya. Berbeza dengan kereta biasa, keseluruhan bahagian depan kereta ini berfungsi sebagai pintu utama.
Apabila dibuka, stereng dan dashboard akan bergerak sekali, memberi akses terus ke dalam kabin. Rekaan ini sebenarnya lahir daripada keperluan pasca perang di Eropah, di mana kereta perlu kecil, murah dan praktikal.
Walaupun nampak pelik, Isetta berjaya menjadi simbol mobiliti rakyat pada waktu itu, sekaligus membuktikan bahawa kreativiti boleh datang daripada kekangan dalam dunia kereta.
Citroen DS pula membawa keunikan dari sudut kejuruteraan. Dilancarkan pada tahun 1955, model ini dilengkapi dengan sistem suspensi hydropneumatic yang membolehkan kereta “menaik” dan “menurunkan” badan secara automatik.
Lebih menarik, sistem ini mampu mengekalkan ketinggian kereta walaupun melalui jalan tidak rata. Dalam situasi ekstrem, kereta ini juga boleh terus bergerak walaupun salah satu tayar rosak.
Teknologi ini memberikan tahap keselesaan yang luar biasa, sesuatu yang jarang dilihat pada era tersebut, menjadikan ia antara inovasi penting dalam sejarah kereta unik di dunia.
Mazda RX-8 tampil dengan sesuatu yang sangat berbeza di bawah bonet. Tidak seperti enjin konvensional yang menggunakan piston, RX-8 menggunakan enjin rotary yang beroperasi dengan rotor.
Rekaan ini membolehkan enjin menjadi lebih kompak, ringan dan mampu beroperasi dengan lebih lancar pada RPM tinggi. Karakter enjin ini juga memberikan pengalaman pemanduan yang unik, dengan bunyi dan delivery kuasa yang berbeza daripada enjin biasa.
Namun begitu, enjin rotary juga terkenal dengan cabaran dari segi penyelenggaraan dan penggunaan bahan api, menyebabkan ia tidak digunakan secara meluas dalam industri kereta unik di dunia.
Dalam dunia Formula 1 yang penuh dengan inovasi, Tyrrell P34 mungkin antara rekaan paling pelik yang pernah muncul. Kereta ini menggunakan enam tayar, dengan empat tayar kecil di bahagian depan dan dua tayar biasa di belakang.
Tujuan utama rekaan ini adalah untuk meningkatkan aerodinamik dan cengkaman ketika mengambil selekoh. Tayar depan yang lebih kecil membantu mengurangkan rintangan angin, manakala jumlah tayar yang lebih banyak meningkatkan kestabilan.
Menariknya, P34 bukan sekadar eksperimen. Ia pernah memenangi perlumbaan Grand Prix, membuktikan bahawa idea luar biasa juga boleh berjaya dalam dunia kereta unik.
Honda pula tampil dengan konsep yang sangat praktikal melalui gabungan kereta dan motosikal. Model Honda City generasi awal didatangkan dengan Motocompo, sebuah motosikal kecil yang boleh dilipat dan disimpan di dalam bonet.
Idea ini direka untuk menyelesaikan masalah mobiliti di bandar, di mana pemandu boleh meletakkan kereta dan menggunakan motosikal untuk perjalanan jarak dekat.
Walaupun konsep ini tidak bertahan lama, ia menunjukkan bagaimana pengeluar cuba memikirkan penyelesaian menyeluruh untuk pengguna dalam evolusi kereta unik di dunia.
Kelima-lima model ini membuktikan bahawa dunia automotif tidak pernah kekurangan idea unik. Sama ada dari segi reka bentuk, teknologi atau konsep penggunaan, setiap satu membawa pendekatan yang berbeza daripada kebiasaan.
Walaupun tidak semuanya menjadi arus perdana, inovasi seperti ini memainkan peranan penting dalam perkembangan industri. Banyak teknologi yang kita anggap biasa hari ini sebenarnya bermula daripada eksperimen yang dianggap pelik pada satu ketika dahulu.
Dalam era moden yang semakin standard, kehadiran kereta unik di dunia seperti ini menjadi peringatan bahawa kreativiti dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang berbeza masih relevan dalam dunia automotif.
Selepas sedekad Lamborghini Huracán menguasai dunia supercar, pengeluar kereta mewah dari Itali, Sant’Agata Bolognese, kini memperkenalkan penggantinya, Lamborghini Temerario.
Berbeza dengan model terdahulu seperti Huracán dan Gallardo yang menggunakan enjin V-10, Temerario hadir dengan kuasa baharu menerusi gabungan enjin V-8 yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.
Dengan gabungan kuasa hibrid yang moden ini, Lamborghini Temerario juga memperkenalkan rekaan baharu yang menitikberatkan aerodinamik dan kesesuaian penggunaan harian.
Kehadiran Temerario juga menandakan bahawa seluruh barisan kenderaan Lamborghini kini beralih kepada teknologi hibrid.
Nadi kepada Lamborghini Temerario ialah enjin V-8 4.0 liter twin-turbocharged dengan konfigurasi hot-vee, di mana turbo diletakkan di dalam bentuk V yang dibentuk oleh bank silinder.
Enjin V-8 ini mampu menghasilkan 789 kuasa kuda pada 9000 – 9750 rpm dan tork maksimum 730 Nm pada 4000 – 7000 rpm. Enjin ini mampu mencapai kelajuan rev sehingga 10,000 rpm. Dengan tekanan boost turbo maksimum sebanyak 36.3 psi.
Kuasa daripada enjin V-8 ini disalurkan melalui transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang dipasang secara melintang di belakang enjin.
Lamborghini berjaya mengurangkan berat transmisi ini dengan menggunakan aci berongga tambahan. Ia dikatakan lebih ringan daripada unit klac berkembar tujuh kelajuan pada Huracán. Sambil menawarkan pertukaran gear yang lebih pantas.
Dengan tambahan tiga motor elektrik, output keseluruhan Temerario meningkat kepada 907 kuasa kuda. Dua motor elektrik yang disejukkan dengan minyak memberi kuasa kepada gandar depan. Menjadikan Temerario sebagai kereta pacuan semua roda apabila diperlukan.
Lamborghini mendakwa bahawa sistem gandar depan ini hanya seberat 73 kg, dan motor depan ini juga boleh menggerakkan Temerario sepenuhnya dalam mod elektrik.
Motor elektrik ketiga yang terletak di antara enjin V-8 dan kotak gear berfungsi sebagai “pengisi jurang tork” untuk melicinkan pertukaran gear, menghapuskan kesan turbo lag, dan meningkatkan respons apabila memecut dari keadaan statik.
Kuasa untuk motor elektrik ini datang dari bateri lithium-ion 3.8 kWh, yang diletakkan dalam terowong tengah untuk mengoptimumkan pengagihan berat dan mengekalkan pusat graviti yang rendah.
Pengecas onboard boleh mengisi semula bateri dalam masa 30 minit pada kapasiti sehingga 7 kW, atau bateri boleh dicas semula melalui brek regeneratif atau langsung oleh enjin pembakaran dalaman.
Lamborghini Temerario mengekalkan identiti Lamborghini dengan bentuk baji ikonik dan perincian tajam, walaupun sedikit lebih panjang lima inci berbanding Huracán. Unsur heksagon yang menjadi gaya terkini Lamborghini jelas kelihatan, terutamanya pada lampu nyalaan siang yang terletak di bampar bawah dan saluran udara untuk menyejukkan brek.
Bahagian dalaman Lamborghini Temerario mencerminkan motif luaran dengan ventilasi udara berbentuk heksagon dan roda stereng yang diilhamkan daripada sukan permotoran. Kabin lebih mesra pengguna berbanding model Lamborghini terdahulu, dengan tempat duduk yang boleh dilaras dalam 18 cara, dipanaskan, dan dilengkapi pengudaraan.
Sistem infotainment pula menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta dilengkapi dengan kamera dalaman untuk merakam pengalaman pemanduan.
Walaupun Temerario hadir dengan dua warna cat baharu, Blu Marinus dan Verde Mercurius, Lamborghini mengatakan bahawa lebih daripada 400 warna dan livery khas akan ditawarkan melalui bahagian penyesuaian Ad Personam syarikat.
Tiga reka bentuk roda yang berbeza ditawarkan. Semuanya berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang. Serta dilengkapi dengan tayar Bridgestone Potenza Sport atau Potenza Race.
Trim gentian karbon boleh dipilih untuk bahagian dalam dan luar. Manakala tempat duduk boleh ditentukan dalam pelbagai warna dan dengan empat corak jahitan yang berbeza.
Lamborghini juga mencipta pakej Alleggerita. Pilihan ringan yang mengurangkan berat sehingga 25 kg. Pakej yang difokuskan pada trek ini juga dilengkapi dengan spoiler belakang yang direka semula untuk menambah downforce.
Lamborghini belum mengumumkan butiran harga dan belum mengatakan bila jualan Temerario akan bermula. Kami menjangkakan Temerario 2025 akan bermula sekitar RM1.27 juta ($290,000) dan akan dijual pada awal 2025.
Yamaha Kini Miliki 300 Pusat YQS, Rangkaian Servis Motosikal Terbesar di Malaysia
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) terus memperkukuh pengalaman pemilikan motosikal Yamaha menerusi pengembangan...