Kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dalam pemodenan sistem dengan melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), pangkalan data sosio-ekonomi negara yang merangkumi semua data individu dan isi rumah. Pelancaran ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
PADU menjadi sumber terpadu bagi data sosio-ekonomi yang menggabungkan maklumat dari 70 jabatan dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menyatakan hanya data perbankan yang terkecuali berdasarkan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).
Fungsi utama PADU adalah untuk membantu kerajaan menyasarkan semula subsidi dan bantuan, dengan menggunakan metrik pendapatan untuk memberi gambaran sosio-ekonomi isi rumah di Malaysia. Ini termasuk subsidi bahan api petrol yang dirancang pada separuh kedua 2024 dan subsidi elektrik yang turut dijangka.
Pada masa pelancaran, data untuk 29.8 juta orang telah disepadukan oleh Jabatan Statistik, dengan hampir 300 jenis data dari pelbagai peringkat kerajaan dimasukkan ke dalam PADU secara beransur-ansur. Tujuan utama PADU adalah untuk meningkatkan kecekapan kerajaan dalam menentukan strategi ekonomi.
Ads
Kredit Foto: Bernama
Dalam hal keselamatan data, PADU dilindungi dengan keselamatan siber yang tinggi dan Rafizi memberi jaminan bahawa data peribadi yang dimiliki oleh jabatan atau agensi kerajaan tidak akan diubah pada masa ini. Undang-undang sedia ada mengawal penggunaan data oleh jabatan atau agensi kerajaan masing-masing dalam PADU.
Bagi memastikan kelancaran penerimaan bantuan, rakyat Malaysia dikehendaki mendaftar dan mengesahkan maklumat mereka di PADU untuk 39 pembolehubah. Rafizi menegaskan bahawa pendaftaran adalah sukarela, tetapi individu yang tidak mengemaskini data mereka mungkin terjejas dalam kelayakan untuk subsidi yang disasarkan.
Ads
Bagi memudahkan pendaftaran, kemaskini boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal PADU sehingga 31 Mac 2024. Bagi yang tidak mempunyai akses internet, pendaftaran boleh dilakukan di pejabat daerah, majlis pengurusan komuniti kampung (MPKK), atau dengan pihak berkuasa tempatan.
Pengenalan PADU adalah langkah progresif dalam meningkatkan pentadbiran serta memastikan pembangunan dan bantuan sosial yang tepat untuk rakyat Malaysia. Ini menandakan komitmen kerajaan dalam menerajui teknologi untuk kebaikan bersama.
Ducati sekali lagi mencuri perhatian dunia automotif dengan pelancaran edisi khas Panigale V4 Tricolore di Art Basel Miami 2024.
Didedikasikan untuk peminat motosikal berprestasi tinggi, Panigale V4 Tricolore adalah produksi terhad kepada 1000 unit sahaja.
Motosikal ini tampil menawan dengan skema warna yang diinspirasikan daripada bendera Itali.
Warna hijau di sebelah kiri, putih di tengah, dan merah di sebelah kanan mencipta identiti visual yang mencerminkan warisan Itali.
Model ini membawa inovasi yang melangkaui model Panigale V4 S sebelumnya. Antara ciri teknikal yang menonjol termasuk:
Panigale V4 Tricolore dilengkapi enjin Desmosedici Stradale 1,103cc dengan kuasa maksimum 209hp pada 12,750rpm dan tork 89.5 lb-ft pada 11,250rpm.
Rekaannya menggabungkan ciri aerodinamik, ergonomik, dan elektronik untuk memberikan pengalaman tunggangan luar biasa.
Berat basahnya hanya 188kg, menjadikannya salah satu motosikal sport paling ringan dan berkuasa di pasaran.
Ducati berjaya menghubungkan warisan dan masa depan melalui Panigale V4 Tricolore.
Setiap komponen, daripada tangki bahan api hingga ke single seat, mencerminkan kehalusan buatan Itali yang sukar ditandingi.
Dengan ciri-ciri seperti Ducati Quick Shift, Mod Kuasa, dan sistem brek eCBS perlumbaan, model ini direka untuk memberikan pengalaman seperti pelumba profesional.
Sebagai edisi khas, Panigale V4 Tricolore hadir bersama sijil ketulenan dan aksesori eksklusif seperti penutup klac karbon, pelindung brek, dan kit penanggal nombor plat.
Dijual pada harga $58,000 (anggaran RM261,000) harga tidak termasuk cukai untuk pasaran Malaysia, motosikal ini adalah pelaburan berbaloi untuk peminat motosikal daripada jenama Ducati dan pengumpul motosikal mewah.
Persoalan yang mungkin anda sendiri tahu akan jawapanya, siapakah bakal pemilik motosikal ni di Malaysia nanti? sama-sama kita nantikan.
Dunlop sedang memperhebatkan strategi pertumbuhan jangka panjangnya di Malaysia dengan memperluaskan rangkaian pengedar di seluruh negara, selain memperkenalkan lebih banyak pilihan tayar bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna tempatan.
Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, rangkaian pengedar Dunlop dilaporkan berkembang lebih 30 peratus, daripada kira-kira 150 premis kepada lebih 200 premis sejak Mei 2026.
Perkembangan tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan dalam kalangan pengedar tayar dan penyedia perkhidmatan automotif terhadap potensi jenama berkenaan dalam pasaran Malaysia.
Pencapaian terbaharu itu meneruskan sejarah panjang Dunlop di negara ini. Pada tahun 1963, Dunlop menjadi pengeluar tayar pertama yang membangunkan operasi pengeluaran tempatan di Malaysia.
Langkah tersebut bukan sahaja membantu mengembangkan industri tayar tempatan, malah menjadikan Dunlop antara jenama yang cukup dikenali dalam kalangan pengguna Malaysia.
Kini, jenama berkenaan dikendalikan di bawah Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd. dengan sokongan kepakaran kejuruteraan daripada Sumitomo Rubber Industries.
Kerjasama itu membolehkan Dunlop memberi tumpuan untuk menjadikan teknologi tayar premium lebih mudah diakses, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Pengarah Urusan Toyotsu Binter Malaysia Sdn. Bhd., Marcus Lim berkata, Malaysia merupakan pasaran penting buat Dunlop dan mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan jangka panjang.
Menurutnya, pengguna kini tidak hanya mencari tayar yang menawarkan kualiti, keselamatan dan prestasi, tetapi turut mengharapkan nilai pemilikan yang munasabah.
“Di situlah kami melihat peluang untuk Dunlop. Cita-cita kami adalah untuk menjadikan Dunlop sebagai jenama premium yang semakin berkembang dengan membolehkan lebih ramai pengguna Malaysia menikmati prestasi premium,” katanya.
Marcus menjelaskan bahawa strategi pertumbuhan syarikat tidak hanya tertumpu kepada penambahan jumlah pengedar.
Dunlop mahu memastikan produknya mudah diperoleh di lokasi pilihan pelanggan, termasuk melalui kedai tayar sedia ada, pusat servis automotif serta saluran jualan baharu yang dapat meningkatkan aspek kemudahan dan kebolehcapaian.
Pada masa sama, syarikat mahu membina kerjasama kukuh dan berkekalan dengan pemain industri dalam pasaran selepas jualan automotif di seluruh Malaysia.
Bagi menyokong strategi tersebut, Dunlop terus mengembangkan portfolio produknya untuk memenuhi beberapa segmen utama pasaran.
Antara produk yang ditawarkan ialah Dunlop Blue Response TG untuk kegunaan harian kenderaan penumpang, manakala SP Sport Maxx 060+ pula disasarkan kepada pemandu yang mahukan tahap prestasi, kawalan dan pengendalian lebih tinggi.
Bagi pemilik SUV dan trak pikap, Dunlop menawarkan Grandtrek R/T01 yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan pemanduan lebih lasak serta pelbagai keadaan jalan.
Syarikat itu juga sedang membuat persediaan untuk memperkenalkan Dunlop e.Sport Maxx, iaitu tayar yang dibangunkan khusus bagi memenuhi karakter prestasi dan keperluan unik kenderaan elektrik.
Selain pasaran tayar gantian, Dunlop turut kekal aktif dalam segmen pembekalan tayar peralatan asal atau OEM.
Jenama itu kini membekalkan tayar untuk beberapa model terpilih daripada pengeluar kenderaan utama termasuk Toyota, Lexus, Isuzu, Mazda dan Leapmotor.
Kerjasama berkenaan mencerminkan keyakinan pengeluar kenderaan terhadap tahap kejuruteraan, kualiti serta kebolehpercayaan produk Dunlop.
Bagi memenuhi keperluan ketat program OEM, Toyotsu Binter Malaysia dan Sumitomo Rubber Industries komited untuk mengekalkan standard tinggi dari aspek kualiti produk, kestabilan rantaian bekalan serta sokongan pelanggan yang responsif.
Kedua-dua syarikat itu juga akan terus bekerjasama rapat dengan rakan OEM bagi memastikan bekalan tayar dapat diteruskan secara konsisten, selain mengukuhkan hubungan jangka panjang dengan pengeluar kenderaan.
Seiring perkembangan teknologi automotif, Dunlop mahu terus menyokong pelbagai kategori pengguna, sama ada mereka memandu kenderaan enjin pembakaran dalaman, hibrid ataupun elektrik.
Produk tayar yang dibangunkan akan terus memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan, ketahanan dan keyakinan ketika memandu.
Pengarah Urusan Sumitomo Rubber Asia (Tyre) Pte. Ltd., Takehiko Asai berkata, masa depan Dunlop akan terus dipacu oleh semangat inovasi yang membentuk perkembangan jenama itu sejak lebih 130 tahun lalu.
Menurutnya, Dunlop sentiasa berkembang seiring kemajuan teknologi mobiliti dengan membangunkan inovasi yang dapat meningkatkan keselamatan, prestasi dan keyakinan pengguna di seluruh dunia.
Dunlop kini tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan tayar konvensional, malah turut melabur dalam teknologi generasi baharu.
Antara aspek yang diberikan perhatian termasuk meningkatkan kecekapan tenaga, prestasi cengkaman dalam keadaan jalan basah, mengurangkan rintangan gelinciran serta meminimumkan bunyi yang memasuki ruang kabin.
Syarikat itu juga sedang meneroka pembangunan teknologi tayar pintar yang dijangka memainkan peranan penting dalam ekosistem mobiliti terhubung dan penggunaan kenderaan elektrik pada masa hadapan.
Inovasi berkenaan dibangunkan bagi memenuhi perubahan keperluan pengguna tanpa mengabaikan tahap kualiti dan kebolehpercayaan yang menjadi identiti jenama Dunlop.
Dengan Malaysia dikenal pasti sebagai salah satu pasaran pertumbuhan utama, Dunlop akan terus melabur dalam peluasan rangkaian pengedarnya di seluruh negara.
Syarikat itu juga merancang memperkenalkan lebih banyak produk yang dibangunkan bersesuaian dengan keadaan jalan raya dan corak pemanduan tempatan.
Pada masa sama, Dunlop akan terus memperkukuh kerjasama dengan pengedar, pusat servis, pengeluar kenderaan dan pemain industri selepas jualan automotif dalam usaha membina pertumbuhan jangka panjang di Malaysia.
Verge Motorcycles memperkenalkan generasi kedua motosikal naked elektriknya, Verge TS Pro, yang terus mengekalkan rekaan unik roda belakang tanpa hab (hubless). Ciri ini bukan baharu bagi model berkenaan kerana versi generasi pertama juga tampil dengan teknologi roda tanpa hab yang sama.
Model yang mula memasuki fasa pengeluaran sejak 2023 itu kini menerima penambahbaikan besar bagi versi 2026, dengan pelanggan terawal di United Kingdom dijadual menerima motosikal mereka bermula suku kedua tahun hadapan.
Motosikal elektrik ini dipamerkan secara rasmi pada pameran EICMA di Milan pada awal November lalu, sekali gus menandakan langkah seterusnya Verge dalam membawa teknologi sains fiksyen ke jalan raya sebenar.
Antara fokus utama kemas kini kali ini ialah “dashboard” penunggang yang dikemas kini serta penggunaan motor elektrik baharu yang dikatakan 50 peratus lebih ringan berbanding versi terdahulu.
Dari segi prestasi, kuasa motosikal ini masih kekal dengan 102kW (sekitar 136.8hp), manakala tork mencecah 1,000Nm atau bersamaan 738lb-ft untuk pecutan yang agresif.
Kuasa itu disalurkan terus ke tayar belakang bersaiz 240 melalui sistem roda tanpa hab, tanpa memerlukan rantai atau tali sawat, sekali gus mengurangkan kehilangan kuasa mekanikal serta kos penyelenggaraan.
Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 780mm, jarak roda 1,607mm, manakala berat keseluruhan kini sekitar 230kg merupakan satu angka yang lebih praktikal untuk kegunaan harian bagi sebuah motosikal elektrik berprestasi tinggi.
Verge TS Pro dilengkapi bateri berkapasiti 20.2kWh yang mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 217 batu bagi satu cas penuh. Pengecasan pantas pula mengambil masa kurang 35 minit, manakala hentian selama 15 minit sudah mencukupi untuk tambahan jarak sekitar 60 batu, bergantung kepada gaya tunggangan.
Naib Presiden Kejuruteraan Verge, Krishna Mistry, menjelaskan motor baharu yang dikenali sebagai Donut Motor 2.0 kini seberat sekitar 21kg dan dipasang terus pada roda belakang.
Menurutnya, motor elektromagnet sepenuhnya itu tidak memerlukan hab atau jejari, dengan stator dipasang pada lengan ayun manakala rotor berputar di sekelilingnya untuk menghasilkan gerakan.
Kuasa dijana apabila elektromagnet di bahagian dalam menolak magnet kekal di bahagian luar roda, menyebabkan roda berputar. Sistem kedap khas pula digunakan bagi menghalang kemasukan air dan kotoran, menjadikan sistem ini lebih tahan lasak untuk kegunaan harian.
Bahagian dalaman roda turut menerima perubahan dengan penggunaan rotor gentian karbon dan stator aluminium, sekali gus membantu menguruskan tork tinggi yang dihasilkan.
Selain motor, Verge turut menaik taraf pengalaman penunggang dengan sistem dua skrin satu di hadapan hendal dan satu lagi berbentuk tablet di bahagian tengah, menggantikan posisi penutup tangki konvensional.
Paparan ini memaparkan data penting termasuk status pengecasan, dan perisian motosikal boleh dikemas kini secara over-the-air (OTA).
Verge menawarkan pilihan suspensi daripada Öhlins atau Wilbers, selain menggunakan pendekatan penghantaran terus kepada pelanggan tanpa bergantung sepenuhnya kepada rangkaian pengedar tradisional.
Ketika ini, Verge mempunyai satu kedai di London, dua di Jerman dan tiga di California.
Harga permulaan ditetapkan pada £31,980 bagi versi asas TS Pro. Pengurusan Verge optimis model generasi baharu ini mampu menarik lebih ramai pembeli, khususnya mereka yang sebelum ini masih ragu-ragu terhadap motosikal elektrik futuristik.
Dengan rekaan radikal dan teknologi luar kebiasaan, Verge TS Pro jelas membuktikan bahawa masa depan mobiliti dua roda kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Suzuki Cars Malaysia dan CARSOME Jalin Kerjasama Strategik Bagi Perkhidmatan Trade-In
Suzuki Cars Malaysia mengumumkan pelantikan CARSOME Malaysia sebagai rakan trade-in rasmi eksklusifnya, sekali gus...