Barisan skuter premium Yamaha di Malaysia kini menerima satu lagi pilihan lebih berkuasa menerusi kehadiran Yamaha XMAX 300 Tech MAX, yang bakal mula berada di pengedar Yamaha Big Bikes sah seluruh negara pada pertengahan Ogos 2026.
XMAX 300 Tech MAX bukan sekadar membawa kapasiti enjin lebih besar. Ia hadir sebagai versi lebih premium dengan kemasan khas Tech MAX, tempat duduk gaya kulit, teknologi connectivity serta beberapa ciri keselamatan dan keselesaan untuk tunggangan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Tempat duduk juga menerima kemasan gaya kulit, plat aluminium premium dan ruang simpanan bawah tempat duduk pula dikatakan mampu memuatkan sehingga dua topi keledar, bergantung kepada saiz helmet yang digunakan.
Enjin 292cc, 20.6kW dan 28.9Nm
Dikuasai enjin Blue Core satu silinder 292cc, SOHC, empat injap dan liquid-cooled, Tangki bahan api pula mempunyai kapasiti 13 liter. Ia menghasilkan kuasa maksimum 20.6kW pada 7,250rpm dengan tork maksimum 28.9Nm pada 5,750rpm, dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT atau V-belt.
Ads
Di bahagian hadapan penunggang terdapat paparan TFT penuh warna bersaiz 4.2 inci. Ia boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Yamaha Y-Connect, membolehkan penunggang mengakses fungsi seperti panggilan, mesej dan muzik. Sistem Smart Key pula membolehkan operasi tanpa perlu mengeluarkan kunci fizikal seperti motosikal konvensional.
Untuk perjalanan bandar, transmisi CVT menjadikan tunggangan lebih mudah terutama ketika berdepan kesesakan lalu lintas. Apabila memasuki lebuh raya, enjin 292cc pula menawarkan output lebih tinggi untuk cruising dan overtaking.
Ads
Dalam konteks ini, XMAX 300 Tech MAX boleh dianggap sebagai jalan tengah buat mereka yang mahukan kemudahan sebuah skuter tetapi tidak mahu terlalu terhad dari segi prestasi apabila keluar dari kawasan bandar.
TCS, ABS Dan Emergency Stop Signal
XMAX 300 Tech MAX dilengkapi Traction Control System (TCS) untuk membantu mengawal kehilangan cengkaman roda belakang apabila permukaan jalan licin atau ketika throttle dibuka secara agresif. Ia turut menerima ABS serta Emergency Stop Signal (ESS).
Ads
Bahagian hadapan menggunakan telescopic fork, sementara belakang menggunakan sistem unit swingarm turut dipadankan dengan tayar bersaiz 120/70-15 di hadapan dan 140/70-14 di belakang.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha XMAX 300 Tech MAX ditawarkan dalam warna Crystal Graphite, selari dengan imej lebih gelap dan premium model tersebut dengan harga RM28,499 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Dalam semangat Ramadan, GWM Malaysia hadir dengan tawaran eksklusif bagi memberikan pengalaman pemilikan yang lebih bermakna kepada pelanggan baharu.
Sepanjang tempoh promosi sehingga 31 Mac 2025, pelbagai ganjaran menarik menanti. Termasuk penyelenggaraan percuma, penjimatan hebat serta peluang memenangi percutian impian!
Bagi memudahkan pemilik baharu, GWM Malaysia menawarkan pakej istimewa merangkumi:
(*Tertakluk kepada terma dan syarat.)
Bagi peminat pengembaraan, GWM turut mengadakan kempen istimewa “Realise Your Dream Trip with GWM TANK 300” yang memberikan peluang kepada pelanggan untuk memenangi baucar percutian bernilai RM888.* Seramai 25 pemenang akan dipilih, membolehkan mereka menikmati percutian idaman sama ada di kota atau mencabar laluan off-road.
Cara Penyertaan:
Selain itu, pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan GWM TANK 300 sebelum 31 Mac 2025 juga berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi baucar percutian bernilai RM8,888! Lima pemenang bertuah akan dipilih dalam cabutan ini.*
(*Tertakluk kepada terma dan syarat.)
Menurut Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, promosi ini adalah tanda penghargaan kepada pelanggan atas sokongan berterusan mereka.
“Kami mahu memastikan setiap pelanggan menikmati kepuasan dan keistimewaan memiliki kenderaan GWM. Dengan promosi istimewa sempena Ramadan ini, kami berharap dapat memberikan lebih banyak nilai kepada komuniti kami, terutama pelanggan Muslim yang menyambut bulan mulia ini,” katanya.
Jangan lepaskan peluang ini! Untuk menempah pandu uji dan mendapatkan maklumat lanjut, layariwww.gwm.com.my hari ini!
Aston Martin melangkah lebih jauh ke dalam dunia permainan video menerusi pengenalan Dreadnought, sebuah SUV taktikal berprestasi tinggi yang direka secara eksklusif untuk permainan terbaharu, Call of Duty: Modern Warfare 4.
Berbeza daripada model jalan raya Aston Martin yang lain, Dreadnought merupakan sebuah kenderaan digital sepenuhnya. Ia dibangunkan dengan spesifikasi ketenteraan untuk menguasai pelbagai persekitaran pertempuran dalam permainan tersebut.
Dreadnought dibangunkan melalui kerjasama antara pasukan reka bentuk Aston Martin, studio pembangunan Infinity Ward dan penerbit permainan, Activision.
Projek ini menggabungkan identiti sebuah kenderaan ultra-mewah berprestasi tinggi dengan keperluan dunia taktikal Call of Duty yang lebih ekstrem dan mencabar.
Tanpa perlu mematuhi batasan pembinaan sebuah kenderaan fizikal, pasukan reka bentuk Aston Martin diberi kebebasan untuk meneroka rupa sebuah SUV prestasi tinggi yang lebih agresif, dramatik dan futuristik.
Namun, kenderaan ini masih dibangunkan berdasarkan hukum fizik dalam dunia Modern Warfare bagi memastikan pemanduan, pergerakan serta prestasinya terasa meyakinkan ketika dimainkan.
Dreadnought digambarkan sebagai sebuah SUV pacuan semua roda yang menawarkan tahap prestasi seperti sebuah supercar.
Ia turut dilengkapi teknologi perisai termaju, sistem kecerdasan adaptif zon pertempuran, aerodinamik yang dioptimumkan serta dashboard arahan digital yang disepadukan sepenuhnya.
Menariknya, Aston Martin turut memasukkan bunyi ngauman enjin V12 ke dalam pengalaman pemanduan Dreadnought. Ia bagi memastikan pemain masih dapat merasai karakter sebuah Aston Martin walaupun berada dalam persekitaran pertempuran maya.
Dari segi mekanikal dalam permainan, Dreadnought dibekalkan dengan tangki bahan api berkapasiti besar, sistem simpanan bahan api tambahan dan tetapan pacuan semua roda yang agresif.
Ruang penyimpanan senjata khas turut disediakan sebagai sebahagian daripada spesifikasi ketenteraannya.
Walaupun dibina sebagai sebuah kenderaan tempur berperisai, Dreadnought masih mengekalkan beberapa elemen kemewahan yang sinonim dengan Aston Martin.
Bahagian luar menggunakan gentian karbon dengan corak tenunan herringbone, manakala ruang kabinnya menerima kemasan kulit berwarna Oxford Tan pada papan pemuka dan panel pintu.
Ia turut menampilkan tombol gear berwarna emas metalik serta engsel pintu dengan kemasan anod Satin Gold.
Kesemua elemen tersebut dipadankan dengan kerangka gentian karbon dan lapisan perisai bertaraf ketenteraan.
Dreadnought juga menggunakan warna ikonik Chiltern Green, sekali gus memastikan rekaannya masih mudah dikenali sebagai sebuah Aston Martin meskipun tampil dalam bentuk lebih ekstrem.
Nama Dreadnought dipilih kerana membawa maksud “tidak takut kepada apa-apa”.
Ia juga merujuk kepada kapal perang British, HMS Dreadnought, yang diperkenalkan pada awal abad ke-20.
Ketika itu, kapal berkenaan dianggap revolusioner dari segi sistem persenjataan dan teknologi pendorong sehingga mencetuskan kelahiran sebuah kelas kapal perang baharu.
Inspirasi tersebut diterjemahkan pada Dreadnought melalui reka bentuknya yang berkuasa, berperisai dan bersedia menghadapi persekitaran paling mencabar.
Ketua Pegawai Kreatif Aston Martin, Marek Reichman berkata pasukan reka bentuk perlu membayangkan Dreadnought bukan sekadar sebagai aset digital, tetapi sebagai sebuah kenderaan yang benar-benar boleh digunakan dalam dunia sebenar.
Menurutnya, SUV berkenaan dibayangkan mampu bergerak di jalan raya New York, meredah laluan Mumbai ketika hujan monsun serta beroperasi secara meyakinkan dalam pelbagai keadaan.
Pendekatan tersebut membolehkan pasukan pembangunan menghasilkan sebuah kenderaan digital yang terasa lebih realistik ketika digunakan oleh pemain.
Reichman menyifatkan Dreadnought sebagai sebuah Aston Martin yang diperkuatkan tanpa sebarang sekatan, namun masih mengekalkan identiti reka bentuk, kemasan dan perincian jenama tersebut.
Ketika permainan dilancarkan, pemain boleh menemui Dreadnought di beberapa lokasi penting dalam mod DMZ dan Call of Duty: Warzone.
Seperti model Aston Martin dunia sebenar yang sering dikaitkan dengan kediaman dan persekitaran mewah, Dreadnought juga akan ditempatkan di lokasi premium, cuma dengan perjalanan yang jauh lebih mencabar.
Ketua Bersama Studio Infinity Ward, Jack O’Hara berkata setiap elemen Dreadnought dibangunkan secara teliti, bermula daripada lakaran konsep, animasi dan geometri sehinggalah kepada sistem fizik serta pendorong dalam permainan.
Menurutnya, matlamat utama pasukan pembangunan adalah untuk menghasilkan sebuah kenderaan berperisai berprestasi tinggi yang masih mengekalkan falsafah reka bentuk Aston Martin.
Pengarah Kepelbagaian Jenama Aston Martin, Stefano Saporetti berkata penyertaan dalam dunia permainan video merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk meneroka dimensi baharu dalam segmen kemewahan.
Menurutnya, Dreadnought bukan sekadar sebuah kenderaan digital, tetapi menjadi pintu masuk kepada generasi pengguna yang lebih muda untuk mengenali identiti ultra-mewah Aston Martin.
Langkah tersebut juga membolehkan Aston Martin memperluaskan pengaruhnya dalam kalangan pengguna global yang mungkin belum pernah berinteraksi secara langsung dengan kenderaan jenama berkenaan.
Walaupun Dreadnought hanya boleh dipandu dalam dunia digital, Aston Martin turut menghasilkan sebuah model bersaiz sebenar untuk tujuan pameran.
Model tersebut membuat penampilan sulung di acara Fanatics Fest, New York, dan dipamerkan di ruang pameran Call of Duty.
Call of Duty: Modern Warfare 4 dijadualkan dilancarkan secara global pada 23 Oktober 2026.
Permainan ini akan ditawarkan untuk platform Xbox Series X|S, PlayStation 5, PC menerusi Battle.net, Xbox on PC dan Steam, selain Nintendo Switch 2.
Bermula tahun depan, individu yang masih mahu mendapatkan salinan fizikal lesen memandu atau cukai jalan mungkin perlu membayar caj tertentu. Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Langkah ini diambil susulan aduan daripada orang awam yang masih memilih format fizikal berbanding digital.
Menurut Anthony, pihaknya akan memperkenalkan inisiatif bagi individu yang mahu mencetak lesen memandu atau cukai jalan mereka. “Jadi, pada awal tahun depan, kita akan menambah baik perkara ini.
Sesiapa yang ingin mendapatkan kad fizikal mungkin perlu membayar kos cetakan,” katanya ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di Dewan Rakyat. Walaupun begitu, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai jumlah caj yang bakal dikenakan.
Anthony juga menegaskan bahawa peralihan ke arah digital tidak akan dihentikan. Sebaliknya, usaha akan terus difokuskan kepada peningkatan sistem digital yang sedia ada. Kementeriannya merupakan salah satu yang paling aktif menyokong agenda pendigitalan negara, termasuk melalui aplikasi MyJPJ.
Setakat ini, aplikasi MyJPJ telah dimuat turun oleh 13.7 juta pengguna. Lebih sejuta transaksi berkaitan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu digital telah dilakukan, dengan jumlah transaksi mencecah RM121 juta.
Dalam usaha untuk meningkatkan pengalaman pengguna, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memperkenalkan fungsi pemberitahuan tarikh luput Lesen Kenderaan Motor (LKM).
Menurut Anthony, ciri ini akan diumumkan kepada umum selepas siap dibangunkan. “Ini adalah salah satu penambahbaikan yang sedang dilaksanakan oleh kementerian dalam agenda pendigitalan JPJ,” katanya.
Anthony turut menyambut baik cadangan daripada Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) untuk mewujudkan ciri tersebut. Beliau yakin ini akan memudahkan orang ramai memperbaharui LKM tepat pada masanya tanpa kerumitan.
Bagi penguatkuasaan, Anthony menjelaskan bahawa pihak polis dan JPJ telah dilengkapi dengan peralatan untuk memeriksa cukai jalan secara digital semasa operasi sekatan jalan raya.
“Jika anda melalui sekatan jalan baru-baru ini, anda akan perasan bahawa pegawai tidak lagi memeriksa cukai jalan secara fizikal. Mereka hanya perlu memasukkan nombor plat kenderaan ke dalam sistem, dan maklumat mengenai status cukai jalan akan muncul serta-merta,” katanya.
Langkah ini dilihat sebagai satu lagi usaha kementerian untuk memodenkan sistem dan mengurangkan kebergantungan kepada dokumen fizikal, sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini.
Walaupun terdapat perubahan besar ke arah digitalisasi, kerajaan masih mengambil kira keperluan golongan yang memerlukan salinan fizikal, namun dengan sedikit kos tambahan.
Usaha ini diharap dapat memenuhi pelbagai keperluan rakyat sambil memperkasakan perkhidmatan awam secara digital.
MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition Tiba di Malaysia, Hanya 48 Unit
MINI Malaysia memperkenalkan MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition, sebuah edisi...