Ads

Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX

Suzuki Fronx dan Jimny Kini Boleh Dilanggan, Suzuki Cars Malaysia Jalin Kerjasama Dengan FLUX

Naza Eastern Motors, pengedar rasmi Suzuki Cars Malaysia, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan platform langganan kenderaan FLUX bagi menawarkan kaedah alternatif untuk pengguna mendapatkan kenderaan Suzuki tanpa perlu melalui proses pembelian secara konvensional.

Menerusi kerjasama berkenaan, Suzuki Fronx dan Suzuki Jimny AllGrip Plus akan menjadi dua model pertama yang diperkenalkan menerusi platform FLUX.

Langkah ini membuka peluang kepada pengguna memandu kenderaan Suzuki melalui pelan bayaran bulanan yang lebih fleksibel, khususnya golongan profesional muda, ekspatriat serta pelanggan yang tidak mahu terikat dengan komitmen pinjaman kenderaan dalam tempoh panjang.

Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX

Dua Pilihan Untuk Gaya Hidup Berbeza

Suzuki Fronx 1.5 Hybrid 2025 ditawarkan sebagai sebuah crossover kompak yang sesuai digunakan untuk perjalanan harian di kawasan bandar.

Suzuki Jimny AllGrip Plus 2026 pula tampil sebagai sebuah kenderaan pacuan empat roda yang lebih sesuai untuk pengguna dengan gaya hidup aktif dan gemar melakukan perjalanan serta aktiviti lasak.

Selain memperkenalkan kenderaan Suzuki dalam platform FLUX, kerjasama tersebut turut bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna mengenai konsep langganan kenderaan sebagai salah satu alternatif kepada pemilikan tradisional.

Ia juga membolehkan Suzuki memperluaskan kehadirannya dalam ekosistem mobiliti Malaysia yang kini semakin berkembang.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Naza Automotive Group, Mohd Rizal Jailan dan Ketua Pegawai Operasi Suzuki Cars Malaysia, Sivakumar Krishnan.

FLUX pula diwakili oleh pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aziz Ayman serta Pengarah Komersial FLUX, Christine A.

Pilihan Beli Atau Langgan Di Bilik Pameran

Menurut Mohd Rizal, pemilikan kenderaan masih menjadi aspirasi penting bagi kebanyakan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, permintaan terhadap penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel dan sesuai dengan keperluan gaya hidup berbeza semakin meningkat.

Ads

Kerjasama dengan FLUX membolehkan pelanggan menikmati pengalaman memiliki kenderaan Suzuki melalui saluran tambahan selain pembelian secara konvensional.

Perkhidmatan FLUX juga akan diperkenalkan di bilik pameran terpilih Naza Eastern Motors bagi membolehkan pelanggan yang hadir mendapatkan penerangan mengenai cara langganan kenderaan berfungsi.

“Tidak semua pelanggan yang datang ke bilik pameran Suzuki bersedia untuk membuat pembelian secara tradisional dan perbincangan itu tidak sepatutnya berakhir begitu sahaja.

“Dengan kehadiran FLUX di bilik pameran kami, pelanggan boleh memilih sama ada mahu membeli atau melanggan. Melalui kedua-dua pilihan tersebut, mereka masih menjadi sebahagian daripada keluarga Suzuki,” katanya.

Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX

Satu Bayaran Bulanan Tanpa Komitmen Pinjaman

Langganan melalui FLUX menggabungkan beberapa kos pemilikan kenderaan dalam satu bayaran bulanan, termasuk insurans, cukai jalan dan penyelenggaraan.

Pengguna juga tidak perlu menyediakan bayaran pendahuluan, membayar premium insurans tahunan atau berdepan dengan bil penyelenggaraan yang tidak dijangka.

Ads

Ketua Pegawai Eksekutif FLUX, Aziz Ayman berkata perubahan tabiat pengguna menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia kini terbuka untuk menggunakan kenderaan menerusi kaedah langganan berbanding membuat pinjaman.

Menurutnya, lebih 60 peratus pembeli kereta di Malaysia berdasarkan kajian pasaran kini terbuka untuk mempertimbangkan langganan sebagai alternatif kepada pembiayaan tradisional.

“Rakyat Malaysia sudah terbiasa melanggan kandungan hiburan dan perisian serta mengharapkan fleksibiliti dalam perkhidmatan yang dibayar.

“Melalui kerjasama ini, perkara rumit berkaitan pemilikan seperti pinjaman, insurans, cukai jalan, penyelenggaraan dan susut nilai digantikan dengan satu bayaran bulanan,” katanya.

Pelanggan yang melanggan kenderaan Suzuki ketika pelancaran turut menerima kemudahan kereta sementara secara percuma bagi memastikan mereka kekal mempunyai kenderaan sekiranya unit langganan perlu dihantar untuk penyelenggaraan.

Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX

Diskaun 69 Peratus Sempena Merdeka

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 dan pelancaran kerjasama tersebut, FLUX menawarkan diskaun sebanyak 69 peratus bagi bayaran bulan pertama dan terakhir.

Ads

Promosi tersebut tersedia untuk pelan langganan terpilih selama 24 hingga 36 bulan dan sah sehingga 6 September 2026.

Bagi pelan selama 36 bulan, Suzuki Fronx 1.5 Hybrid 2025 ditawarkan pada kadar bulanan biasa RM2,225. Dengan promosi Merdeka 69, bayaran bagi bulan pertama dan terakhir dikurangkan kepada RM690 setiap bulan, sekali gus memberikan penjimatan keseluruhan RM3,070.

Suzuki Jimny AllGrip Plus 2026 pula mempunyai kadar langganan bulanan biasa RM3,278. Bayaran bagi bulan pertama dan terakhir melalui promosi berkenaan ialah RM1,016 setiap bulan dengan jumlah penjimatan RM4,524.

Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX

Selepas pemeteraian MoU tersebut, Suzuki Cars Malaysia dan FLUX akan memulakan proses memperkenalkan kumpulan pertama kenderaan Suzuki menerusi platform berkenaan.

Pelaksanaannya akan disokong menerusi kempen pemasaran bersama di saluran digital serta rangkaian bilik pameran Suzuki di seluruh negara.

Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan model pilihan secara terus menerusi laman web FLUX atau mengunjungi mana-mana bilik pameran Suzuki yang sah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program langganan tersebut.

Baca Juga : Formula 1 Kembali ke Sepang, Malaysia Jadi Tuan Rumah GP Bahrain 2026

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

LS2 Malaysia Catat Pertumbuhan Jualan 58 Peratus, Tertinggi Dalam Sejarah

LS2 Malaysia Capai Prestasi Terbaik, Jualan Meningkat 58 Peratus LS2 Malaysia merekodkan pertumbuhan jualan sebanyak 58 peratus bagi tempoh Julai 2025 hingga Jun 2026, sekali...