Red Bull Malaysia (Red Bull) telah mengumumkan penajaannya terhadap Pasukan Lumba PETRONAS Sprinta Yamaha.
Acara yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang ini dirasmikan melalui majlis menandatangani kontrak bersama tiga Pasukan Lumba PETRONAS Sprinta Yamaha iaitu PETRONAS Sprinta Yamaha 31 Racing, PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, dan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.
“Di Red Bull, kami bukan sekadar memberi tenaga kepada badan, tetapi juga menyemarakkan semangat setiap individu yang berani menolak sempadan kemungkinan. Kerjasama dengan Pasukan Lumba PETRONAS Sprinta Yamaha ini mewakili komitmen bersama terhadap kecemerlangan, inovasi, dan semangat persaingan yang berkobar-kobar,” kata Andy Lee, Pengarah Bersama Negara (Co-Country Director) TCP Red Bull Malaysia.
Ketiga-tiga Pasukan Lumba Yamaha Sprinta PETRONAS mempunyai prestasi yang mantap di litar, masing-masing berpengalaman dan menunjukkan semangat mereka untuk berlumba.
Baca Juga : PETRONAS Lancar PETRONAS Sprinta Racing, Minyak Pelincir Perlumbaan Pertama bagi Penunggang Motosikal
PETRONAS Sprinta Yamaha 31
Pasukan Lumba PETRONAS Sprinta Yamaha 31 menyasar untuk menjadi satu daripada pasukan lumba terbaik di Asia dan dunia.
Pasukan ini telah menerima pelbagai anugerah sepanjang 28 tahun, termasuk gelaran Juara Keseluruhan Kategori Wira KBS dalam Kejuaraan Cub Prix PETRONAS MAM Malaysia selama empat tahun berturut-turut.
PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ
Ditubuhkan pada 2009, Pasukan Lumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, dengan motto “always being ahead, never look back,” terdiri daripada pelumba muda berbakat seperti Afif Amran dan Akid Aziz.
Pasukan ini kekal teguh dalam misi mereka untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan setiakawan pasukan di litar.
PETRONAS Sprinta Yamaha Maju
Pasukan Lumba Motor PETRONAS Sprinta Yamaha Maju, ditubuhkan pada 1997 oleh bekas pelumba Yong Ying Hoe, terus meraih keputusan yang luar biasa.
Dengan 5 pelumba bersaing musim kejuaraan ini, pasukan ini menyasarkan untuk meninggalkan kesan yang berkekalan pada setiap litar yang mereka harungi.
Hadiah Yamaha Y15ZR Untuk Pemenang Bertuah
Sebagai tambahan, Red Bull juga akan menganjurkan peraduan yang menawarkan peluang kepada dua pemenang bertuah untuk memiliki motosikal Yamaha Y15ZR edisi terhad yang telah ditandatangani oleh pelumba terpilih dari tiga pasukan lumba PETRONAS Sprinta Yamaha.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.