Malaysia Raih Emas Kejohanan Motorsport Asia-Pasifik 2026 Menerusi Nabil Azlan
Malaysia sekali lagi membuktikan kemampuan dalam arena perlumbaan simulasi (sim racing) apabila Nabil Azlan berjaya meraih pingat emas bagi kategori Esports Assetto Corsa pada Kejohanan Motorsport Asia-Pasifik 2026 (APMC 2026) yang berlangsung di Litar Bira, Pattaya, Thailand.
Pelumba berusia 24 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menguasai saingan sejak peringkat suku akhir sehingga berjaya menewaskan pencabar lain dalam perlumbaan akhir untuk menghadiahkan pingat emas kepada negara.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Nabil Azlan memperbaiki pencapaiannya pada edisi 2025 apabila meraih pingat perak bagi kategori iRacing.
Lebih membanggakan, kemenangan itu meneruskan rekod cemerlang Malaysia dalam acara esports apabila berjaya meraih pingat emas pada setiap edisi APMC sejak kejohanan berkenaan mula diperkenalkan pada 2023.

Iqbal Suji Tamat Saingan Di Kedudukan Keenam
Seorang lagi wakil negara dalam kategori Assetto Corsa, Iqbal Suji turut memperlihatkan prestasi memberangsangkan pada penampilan sulungnya di kejohanan tersebut.
Pelumba berusia 28 tahun itu berjaya melepasi peringkat kelayakan sebelum mara ke perlumbaan akhir dan menamatkan saingan di kedudukan keenam keseluruhan.
Pencapaian berkenaan membuktikan Malaysia mempunyai barisan pelumba simulasi yang berpotensi untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahi dua lagi wakil negara yang beraksi dalam kategori iRacing.
Raja Amirul Syauqat, 22, yang membuat penampilan pertama di APMC berjaya melayakkan diri ke perlumbaan akhir selepas melepasi beberapa peringkat awal pertandingan.
Bermula dari petak ketujuh, Raja Amirul berusaha memperbaiki kedudukannya sebelum terbabit dalam insiden pelanggaran dengan seorang peserta dari Australia sehingga menyebabkannya tercicir ke belakang.
Walaupun cuba bangkit dan bersaing sengit dengan pelumba Australia terbabit sepanjang beberapa pusingan, insiden itu menjejaskan peluangnya untuk merebut pingat.
Raja Amirul akhirnya berjaya memperbaiki satu kedudukan untuk menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan keseluruhan.
Sementara itu, Ethen Low yang baru berusia 16 tahun menjadi peserta termuda dalam disiplin esports pada kejohanan kali ini.
Ethen berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir kategori iRacing, namun berdepan masalah yang menyebabkan perjuangannya terhenti lebih awal.
Meskipun gagal mara ke perlumbaan akhir, penyertaan tersebut memberikan pengalaman berharga kepada pelumba muda berkenaan untuk mengembangkan bakatnya dalam arena perlumbaan simulasi antarabangsa.

Empat Wakil Negara Dipilih Melalui Kelayakan Kebangsaan
Keempat-empat atlet negara itu memperoleh tempat dalam skuad kebangsaan selepas menamatkan pertandingan kelayakan masing-masing di dua kedudukan teratas.
Proses pemilihan berkenaan mendapat pengiktirafan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) bagi memastikan wakil negara terdiri daripada pelumba yang layak bersaing di peringkat antarabangsa.
APMC 2026 menyaksikan penyertaan atlet esports dari lebih 15 negara yang bersaing untuk merebut kedudukan terbaik dalam disiplin berkenaan.
Skuad Malaysia bertanding di bawah naungan MAM dengan sokongan Esports Integrated (ESI) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Program Pemecut Esports Malaysia (MEAP).

Kejohanan anjuran Royal Automobile Association of Thailand (RAAT) itu berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober lalu, menghimpunkan atlet sukan permotoran dari seluruh rantau Asia-Pasifik.
Sebanyak lima disiplin sukan permotoran dipertandingkan dengan peserta bersaing merebut pingat emas, perak dan gangsa.
Kejayaan Nabil Azlan bukan sahaja menambah koleksi pingat emas negara, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pencabar utama dalam arena perlumbaan simulasi di rantau Asia-Pasifik.
Baca Juga : Empat Pelumba Simulasi Malaysia Bakal Bersaing di Thailand
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


