Ducati Formula 73 Dilancarkan di India, Edisi Terhad 873 Unit Sudah Habis Ditempah
Ducati secara rasmi memperkenalkan Formula 73 di pasaran India, sebuah motosikal edisi terhad yang dihasilkan bagi memperingati sejarah perlumbaan jenama Itali itu. Menariknya, semua unit yang diperuntukkan untuk pasaran India sudah habis ditempah.
Ditawarkan pada harga 2 juta rupee atau ₹20 lakh sebelum cukai dan kos pendaftaran, Formula 73 merupakan model eksklusif yang dikeluarkan dalam jumlah hanya 873 unit untuk pasaran global.
Model berkonsepkan café racer ini menggabungkan reka bentuk klasik dengan teknologi moden, sekali gus menjadikannya antara model istimewa Ducati sempena sambutan ulang tahun ke-100 jenama tersebut.

Inspirasi Ducati 750 Super Sport Desmo 1973
Formula 73 mengambil inspirasi daripada Ducati 750 Super Sport Desmo yang diperkenalkan pada 1973, iaitu motosikal jalan raya pertama Ducati yang menggunakan sistem injap desmodromik.
Model berkenaan mempunyai hubungan rapat dengan Ducati 750 Imola Desmo yang mencipta sejarah dalam perlumbaan 200 Miglia di Imola pada 1972 menerusi kejayaan Paul Smart dan Bruno Spaggiari.
Bagi menghidupkan kembali identiti motosikal tersebut, Formula 73 menerima kombinasi warna perak dan hijau aqua yang menyerupai model asal.
Jalur emas pada tangki minyak turut mempunyai kisah tersendiri. Ia diinspirasikan daripada jalur tanpa cat pada tangki motosikal lumba 750 Imola Desmo yang membolehkan pasukan memeriksa paras bahan api tanpa memerlukan meter tambahan.
Penampilan klasiknya dilengkapkan dengan hendal jenis clip-on, cermin sisi pada hujung hendal, fairing hadapan kompak serta bahagian belakang yang tirus.
Beberapa komponen aluminium berketepatan tinggi turut digunakan, termasuk tuil brek, tuil klac, pemijak kaki dan penutup tangki minyak Rizoma.

Enjin Desmodue 803cc, Kuasa 73hp
Dari sudut mekanikal, Ducati Formula 73 menggunakan enjin Desmodue dua silinder konfigurasi L-Twin bersesaran 803cc dengan sistem penyejukan udara.
Enjin yang menggunakan dua injap bagi setiap silinder serta sistem desmodromik itu menghasilkan kuasa maksimum 73hp pada 8,250rpm dan tork 65.2Nm pada 7,000rpm.
Ia turut memenuhi piawaian emisi Euro 5+ dan menggunakan sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire, selain dipadankan dengan ekzos Termignoni yang dibangunkan khusus untuk model berkenaan.
Bagi bahagian casis, Formula 73 menggunakan kerangka keluli jenis trellis, fork hadapan terbalik KYB berdiameter 41mm dan penyerap hentak tunggal KYB di belakang yang boleh dilaraskan prabebannya.
Sistem membrek pula menggunakan cakera hadapan 330mm bersama angkup Brembo empat piston jenis radial, manakala bahagian belakang dilengkapi cakera 245mm.
Motosikal ini menggunakan rim jejari 17 inci dengan tayar Pirelli Diablo Rosso IV. Beratnya ialah 183kg termasuk bendalir tetapi tanpa bahan api.

Reka Bentuk Retro, Teknologi Moden
Walaupun mengetengahkan penampilan motosikal klasik, Formula 73 tetap dilengkapi teknologi elektronik yang terdapat pada motosikal moden Ducati.
Antaranya ialah paparan instrumen TFT berwarna bersaiz 4.3 inci, sistem brek ABS ketika mengambil selekoh (Cornering ABS), Ducati Traction Control dan Ducati Quick Shift untuk pertukaran gear tanpa menggunakan klac.
Penunggang turut boleh memilih dua mod tunggangan, iaitu Road dan Sport, mengikut karakter tunggangan yang diinginkan.
Selain itu, motosikal ini dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, manakala sistem multimedia Ducati, navigasi, pemegang hendal dengan fungsi pemanas serta sistem antikecurian ditawarkan sebagai aksesori pilihan.

Hanya 873 Unit di Seluruh Dunia
Eksklusiviti Formula 73 bukan sekadar pada reka bentuk dan sejarahnya. Ducati hanya menghasilkan 873 unit bagi seluruh pasaran dunia.
Setiap motosikal mempunyai nombor siri tersendiri yang tertera pada plat kepala stereng, selain disertakan sijil ketulenan serta koleksi gambar sejarah dan lakaran daripada Ducati Style Centre.
Bagi pasaran India, Ducati mengesahkan bahawa semua unit yang diperuntukkan telah habis ditempah dan tempahan baharu tidak lagi diterima.
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi mengenai pengeluaran tambahan model tersebut.
Baca Juga : Ducati Panigale V2 FB63, Edisi Khas Pecco Bagnaia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


