Heritage Motor Exchange Asia 2026 Bermula 23 Oktober, Himpunkan Sehingga 50 Kereta Klasik dan Koleksi Eksklusif
Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Heritage Motor Exchange Asia 2026, sebuah acara yang menghimpunkan peminat, pemilik dan pengumpul kereta klasik dari seluruh rantau Asia.
Acara yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) ini dijangka mempamerkan sehingga 50 buah kereta klasik dan kenderaan koleksi eksklusif.
Dibawakan oleh AFFIN Group dengan tema When Passion Meets Acquisition, acara ini bukan sekadar pameran automotif biasa, sebaliknya turut memperkenalkan konsep pasaran jual beli kereta koleksi yang lebih telus.
Heritage Motor Exchange Asia diperkenalkan sebagai platform pasaran kereta koleksi pertama seumpamanya di Asia, dengan penilaian kenderaan berdasarkan keadaan fizikal, keaslian komponen serta data transaksi pasaran.
Kereta Klasik Dinilai Menggunakan Sistem 100 Mata
Salah satu tarikan utama acara ini ialah pengenalan 100-Point Concours Judging System, iaitu sistem penilaian yang digunakan untuk menentukan keadaan dan keaslian sesebuah kenderaan.
Penilaian akan dilakukan oleh panel juri bebas yang berpengalaman dengan kerjasama rakan industri dari Eropah.
Setiap kereta akan dinilai berdasarkan keadaan fizikal serta keaslian komponennya sebelum keputusan dibandingkan dengan rekod transaksi pasaran terdahulu.
Melalui pendekatan ini, julat nilai pasaran yang diperakui dapat ditentukan bagi membantu pembeli dan penjual mendapatkan gambaran lebih jelas tentang nilai sesebuah kereta koleksi.
Malah, setiap kenderaan yang mengambil bahagian akan menerima sijil penilaian rasmi, manakala kereta terpilih yang ditawarkan untuk jualan akan memaparkan julat harga pada cermin hadapan.
Enam Kategori Kereta Bakal Dipamerkan
Heritage Motor Exchange Asia 2026 akan menampilkan enam kategori kenderaan yang merangkumi pelbagai era dan perkembangan industri automotif.
Antaranya ialah Vintage, Classic, Modern Classic, Contemporary Exotic, Luxury dan Performance.
Selain menyaksikan pelbagai kereta koleksi, pengunjung juga berpeluang melihat bagaimana sesebuah kenderaan dinilai dari sudut sejarah, keadaan fizikal dan keaslian.
Acara ini turut menampilkan lima segmen utama, termasuk Concours de Vente yang memberi tumpuan kepada kereta koleksi untuk jualan dengan penilaian secara langsung.
Sementara itu, Concours d’Elegance pula mengetengahkan keindahan rekaan automotif, ketepatan sejarah dan hasil kerja restorasi.
Turut disediakan ialah Private Consignment Paddock, sebuah ruang khas yang membolehkan pengumpul menjalankan urusan jual beli kereta koleksi yang telah melalui proses pengesahan.
Kereta Perlumbaan Ikonik dan Robot AI Turut Ditampilkan
Bagi peminat sukan permotoran, segmen Historic Motorsport: Icons are Forever antara yang menarik untuk dikunjungi.
Segmen ini akan mempamerkan kereta perlumbaan dan rali ikonik yang mempunyai sejarah sejak era 1970-an.
Selain itu, acara ini turut menggabungkan elemen teknologi moden menerusi segmen Back From the Future.
Melaluinya, robot humanoid pintar Mornine daripada AiMOGA akan tampil sebagai salah seorang penyampai kenderaan di lokasi acara.
Kehadiran teknologi kecerdasan buatan ini memberikan kelainan kepada pameran yang banyak memberi tumpuan kepada sejarah dan warisan automotif.
JPJ dan PUSPAKOM Turut Terlibat
Bagi memudahkan urusan berkaitan pemilikan kenderaan, acara ini turut mendapat sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM.
Kehadiran kedua-dua pihak bertujuan membantu urusan pemeriksaan kenderaan, pertukaran hak milik, cukai jalan dan insurans, selain proses berkaitan pembiayaan yang tertakluk kepada kelayakan.
Pengunjung juga boleh mengikuti sesi perkongsian berkaitan pemeriksaan kereta klasik serta memahami bagaimana kerosakan atau ketidakaslian komponen boleh mempengaruhi nilai pasaran.
Acara ini dikendalikan oleh Collectors’ Consortium dan dikurasi oleh Andrew Suresh yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang kereta warisan.
Cycle & Carriage Raikan Hubungan 75 Tahun Bersama Mercedes-Benz
Satu lagi penyertaan menarik ialah Cycle & Carriage yang hadir sebagai Anchor Heritage Partner.
Penyertaan tersebut turut memperingati hubungan selama 75 tahun antara Cycle & Carriage dengan Mercedes-Benz di Malaysia dan Singapura.
Sejarah hubungan kedua-dua pihak, termasuk pengenalan jenama Mercedes-Benz ke Tanah Melayu dan Singapura suatu ketika dahulu, akan diketengahkan sepanjang acara berlangsung.
Penganjuran Heritage Motor Exchange Asia juga diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-40 WTC KL.
Harga Tiket dan Waktu Operasi
Heritage Motor Exchange Asia 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober di Dewan Merdeka, WTC KL.
Pada hari pertama, sesi pratonton khas untuk pengumpul dan pihak media diadakan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari, sebelum acara dibuka kepada orang ramai sehingga 10 malam.
Bagi 24 dan 25 Oktober pula, acara dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Berikut merupakan harga tiket yang ditawarkan:
| Kategori | Harga |
|---|---|
| Dewasa | RM23 |
| Pelajar | RM16 |
| Warga emas dan OKU | RM13 |
| Pakej tiga orang | RM66 |
| Kanak-kanak bawah 12 tahun | Percuma |
Tiket boleh dibeli secara dalam talian menerusi CloudJoi atau terus di lokasi acara.
Platform Baharu Buat Peminat Kereta Klasik
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah, penglibatan AFFIN dalam acara ini mencerminkan penghargaan terhadap minat pengumpul kereta klasik yang melihat kenderaan mereka sebagai sesuatu yang mempunyai nilai sejarah dan warisan.
Sementara itu, Andrew Suresh menjelaskan bahawa pasaran kereta koleksi di Asia Tenggara selama ini berdepan cabaran dari segi ketelusan harga serta akses kepada maklumat kenderaan yang boleh dipercayai.
Melalui sistem penilaian 100 mata dan penggunaan data transaksi terdahulu, penganjur berharap dapat menyediakan rujukan lebih jelas kepada pembeli serta penjual.
Dengan gabungan pameran kereta klasik, jentera perlumbaan bersejarah dan platform jual beli yang lebih tersusun, Heritage Motor Exchange Asia 2026 menawarkan pengalaman berbeza kepada peminat automotif tempatan.
Bagi mereka yang meminati kereta klasik atau ingin mengenali dunia kereta koleksi dengan lebih dekat, acara ini boleh menjadi antara lokasi menarik untuk dikunjungi pada hujung minggu ini.
Baca Juga: Nissan MOTUL Niterra Z Kembali Ke Podium SUPER GT 2026!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!




