Honda Perkenal Komponen Prestasi HRC untuk Civic Type R, Integra Type S, Passport dan Pilot
Honda Racing Corporation (HRC) kini memperkenalkan rangkaian komponen prestasi yang dibangunkan berasaskan kepakaran dalam sukan permotoran untuk kegunaan kenderaan produksi Honda dan Acura.
Empat model pertama yang menerima komponen tersebut ialah Honda Civic Type R, Acura Integra Type S, Honda Passport dan Honda Pilot, dengan pilihan awal merangkumi rim aluminium tempa ringan serta sistem ekzos berprestasi tinggi.

Menariknya, komponen berkenaan dibangunkan oleh jurutera HRC yang turut terlibat dalam program perlumbaan seperti IMSA dan TCR. Proses pembangunan dan pengujiannya turut melibatkan litar Nürburgring di Jerman bagi memastikan prestasi serta ketahanan komponen memenuhi piawaian ditetapkan.
Rim Lebih Ringan untuk Civic Type R dan Integra Type S
Bagi Honda Civic Type R keluaran 2023 dan ke atas serta Acura Integra Type S keluaran 2024 dan ke atas, HRC menawarkan rim aluminium tempa bersaiz 19 x 10 inci yang dibangunkan bersama syarikat kejuruteraan Itali, 2elle-engineering.
Syarikat tersebut juga merupakan pembekal rim bagi jentera perlumbaan Acura ARX-06 yang bersaing dalam kejohanan IMSA.

Setiap rim HRC mempunyai berat hanya 9.43 kilogram, iaitu sekitar 2.5 kilogram lebih ringan berbanding rim standard. Pengurangan berat tidak terampai (unsprung weight) ini membantu meningkatkan tindak balas pengendalian, khususnya ketika mengambil selekoh.
Selain itu, rim berkenaan turut ditawarkan dalam kemasan Signature Gray dan Bronze. Warna Bronze dihasilkan sebagai penghormatan kepada jentera Formula 1 Honda RA272 yang mencatat kemenangan pertama Honda dalam Formula 1 menerusi Richie Ginther pada Grand Prix Mexico 1965.

Passport dan Pilot Terima Rim Khas untuk Laluan Lasak
HRC turut memperluaskan penawaran komponen prestasinya kepada dua SUV Honda, iaitu Passport keluaran 2026 dan ke atas serta Pilot keluaran 2023 dan ke atas.
Kedua-dua model ini menerima pilihan rim aluminium tempa bersaiz 18 x 8 inci yang dibangunkan dengan kerjasama Titan 7, pembekal komponen bagi program perlumbaan HRC termasuk Pikes Peak International Hill Climb.

Rim tersebut menggunakan aluminium gred penerbangan 6061 yang ditempa menggunakan tekanan sehingga 10,000 tan bagi menghasilkan struktur lebih kukuh tanpa menambah berat secara berlebihan.
Menurut Honda, setiap rim mampu menampung beban tambahan sekitar 100 kilogram berbanding rim standard, sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk penggunaan di laluan mencabar.
Dua pilihan kemasan disediakan, iaitu Machine Black dan Techna Bronze, dengan tulisan Honda Racing pada permukaan rim.

Ekzos Borla Tingkatkan Aliran Gas dan Kelegaan Tanah
Selain rim, Honda Passport dan Pilot turut ditawarkan sistem ekzos jenis cat-back yang dibangunkan bersama pengeluar ekzos terkenal, Borla.
Sistem yang diperbuat daripada keluli tahan karat ini direka untuk meningkatkan kadar aliran gas ekzos sehingga enam peratus, selain menyerlahkan karakter bunyi enjin V6 3.5 liter yang digunakan oleh kedua-dua SUV berkenaan.

Bagaimanapun, HRC turut memberikan perhatian terhadap keselesaan pemanduan harian menerusi teknologi Anti-Drone bagi mengurangkan bunyi dengungan ekzos ketika perjalanan di lebuh raya.
Reka bentuk sistem ekzos yang lebih kompak turut membolehkan kelegaan tanah meningkat sehingga 1.9 inci atau kira-kira 48 mm, sekali gus memberikan kelebihan tambahan ketika meredah laluan lasak.
Sistem ini juga dilengkapi muncung ekzos khas dengan logo HRC sebagai identiti yang membezakannya daripada komponen standard.

Lebih Banyak Komponen HRC Sedang Dibangunkan
Honda mengesahkan bahawa rangkaian HRC Performance Parts akan terus diperluaskan dengan beberapa komponen tambahan yang kini berada pada peringkat pembangunan.
Antara yang dirancang termasuk sistem suspensi coilover boleh laras bersama camber plate, kit brek Brembo dengan angkup enam omboh serta mekanisme penukaran gear short-throw shifter.

Prototaip komponen tersebut dijadualkan dipamerkan pada acara SEMA Show 2026 di Las Vegas, Amerika Syarikat, yang berlangsung dari 3 hingga 6 November depan.
Jualan komponen HRC Performance Parts dijadualkan bermula pada Mac 2027 melalui rangkaian pengedar Honda dan Acura di Amerika Syarikat serta platform dalam talian Honda DreamShop.
Baca Juga : Honda, Mitsubishi Motors Meterai MoU Bangunkan Trak Pikap Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


