Kompresor Aircond Kereta Rosak, Masih Boleh Dibaiki atau Perlu Tukar Baharu?
Apabila pendingin hawa kereta tidak lagi sejuk, kompresor sering menjadi antara komponen utama yang disyaki mengalami kerosakan. Namun, adakah kompresor yang rosak perlu terus diganti atau sebenarnya masih boleh dibaiki?
Hakikatnya, tidak semua kerosakan kompresor memerlukan penggantian keseluruhan unit. Sesetengah kerosakan masih boleh dibaiki bergantung pada jenis dan tahap kerosakan.
Kerosakan Yang Masih Boleh Dibaiki
Antara komponen yang boleh diganti secara berasingan termasuk magnetic clutch, bearing, gegelung elektromagnet, shaft seal dan control valve, bergantung pada reka bentuk kompresor.
Sebagai contoh, jika kerosakan hanya melibatkan bearing atau magnetic clutch, kompresor tidak semestinya perlu diganti selagi komponen mekanikal dalamannya masih berada dalam keadaan baik.
Begitu juga dengan kompresor jenis variable displacement yang mengalami masalah pada injap kawalan. Bagi model tertentu, penggantian injap tersebut mungkin sudah mencukupi untuk memulihkan prestasi penyejukan.

Bila Kompresor Perlu Ditukar?
Keadaan berbeza apabila kerosakan melibatkan komponen dalaman seperti piston, swash plate atau aci kompresor yang tersekat akibat kehausan dan masalah pelinciran.
Lebih membimbangkan, kerosakan mekanikal yang serius boleh menghasilkan serpihan logam yang mencemarkan keseluruhan sistem pendingin hawa.
Jangan Terus Tukar Tanpa Pemeriksaan
Sebelum menggantikan kompresor, bengkel seharusnya melakukan pemeriksaan tekanan sistem, komponen elektrik, tahap bahan pendingin serta keadaan mekanikal kompresor.
Ini kerana masalah pendingin hawa tidak sejuk juga boleh berpunca daripada kebocoran cooling coil, kerosakan sensor atau kegagalan komponen lain.
Kesimpulannya, kompresor yang rosak masih boleh dibaiki sekiranya kerosakan tidak terlalu serius dan alat ganti tersedia. Namun, jika komponen dalaman sudah mengalami kehausan teruk atau sistem tercemar dengan serpihan logam, penggantian kompresor biasanya menjadi pilihan lebih praktikal bagi mengelakkan kerosakan berulang.
Baca Juga : Tidur Dalam Kereta Dengan Pendingin Hawa Terpasang, Bahaya Yang Ramai Masih Tidak Sedar
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


