Selepas sedekad Lamborghini Huracán menguasai dunia supercar, pengeluar kereta mewah dari Itali, Sant’Agata Bolognese, kini memperkenalkan penggantinya, Lamborghini Temerario.
Berbeza dengan model terdahulu seperti Huracán dan Gallardo yang menggunakan enjin V-10, Temerario hadir dengan kuasa baharu menerusi gabungan enjin V-8 yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.
Dengan gabungan kuasa hibrid yang moden ini, Lamborghini Temerario juga memperkenalkan rekaan baharu yang menitikberatkan aerodinamik dan kesesuaian penggunaan harian.
Kehadiran Temerario juga menandakan bahawa seluruh barisan kenderaan Lamborghini kini beralih kepada teknologi hibrid.
Temerario
Nadi kepada Lamborghini Temerario ialah enjin V-8 4.0 liter twin-turbocharged dengan konfigurasi hot-vee, di mana turbo diletakkan di dalam bentuk V yang dibentuk oleh bank silinder.
Enjin V-8 ini mampu menghasilkan 789 kuasa kuda pada 9000 – 9750 rpm dan tork maksimum 730 Nm pada 4000 – 7000 rpm. Enjin ini mampu mencapai kelajuan rev sehingga 10,000 rpm. Dengan tekanan boost turbo maksimum sebanyak 36.3 psi.
Kuasa daripada enjin V-8 ini disalurkan melalui transmisi klac berkembar lapan kelajuan yang dipasang secara melintang di belakang enjin.
Lamborghini berjaya mengurangkan berat transmisi ini dengan menggunakan aci berongga tambahan. Ia dikatakan lebih ringan daripada unit klac berkembar tujuh kelajuan pada Huracán. Sambil menawarkan pertukaran gear yang lebih pantas.
3 Motor Elektrik
Dengan tambahan tiga motor elektrik, output keseluruhan Temerario meningkat kepada 907 kuasa kuda. Dua motor elektrik yang disejukkan dengan minyak memberi kuasa kepada gandar depan. Menjadikan Temerario sebagai kereta pacuan semua roda apabila diperlukan.
Ads
Lamborghini mendakwa bahawa sistem gandar depan ini hanya seberat 73 kg, dan motor depan ini juga boleh menggerakkan Temerario sepenuhnya dalam mod elektrik.
Motor elektrik ketiga yang terletak di antara enjin V-8 dan kotak gear berfungsi sebagai “pengisi jurang tork” untuk melicinkan pertukaran gear, menghapuskan kesan turbo lag, dan meningkatkan respons apabila memecut dari keadaan statik.
Kuasa untuk motor elektrik ini datang dari bateri lithium-ion 3.8 kWh, yang diletakkan dalam terowong tengah untuk mengoptimumkan pengagihan berat dan mengekalkan pusat graviti yang rendah.
Pengecas onboard boleh mengisi semula bateri dalam masa 30 minit pada kapasiti sehingga 7 kW, atau bateri boleh dicas semula melalui brek regeneratif atau langsung oleh enjin pembakaran dalaman.
Rekaan Berteraskan Aerodinamik
Lamborghini Temerario mengekalkan identiti Lamborghini dengan bentuk baji ikonik dan perincian tajam, walaupun sedikit lebih panjang lima inci berbanding Huracán. Unsur heksagon yang menjadi gaya terkini Lamborghini jelas kelihatan, terutamanya pada lampu nyalaan siang yang terletak di bampar bawah dan saluran udara untuk menyejukkan brek.
Ads
Supercar untuk Penggunaan Harian
Bahagian dalaman Lamborghini Temerario mencerminkan motif luaran dengan ventilasi udara berbentuk heksagon dan roda stereng yang diilhamkan daripada sukan permotoran. Kabin lebih mesra pengguna berbanding model Lamborghini terdahulu, dengan tempat duduk yang boleh dilaras dalam 18 cara, dipanaskan, dan dilengkapi pengudaraan.
Sistem infotainment pula menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta dilengkapi dengan kamera dalaman untuk merakam pengalaman pemanduan.
Walaupun Temerario hadir dengan dua warna cat baharu, Blu Marinus dan Verde Mercurius, Lamborghini mengatakan bahawa lebih daripada 400 warna dan livery khas akan ditawarkan melalui bahagian penyesuaian Ad Personam syarikat.
Ads
Tiga reka bentuk roda yang berbeza ditawarkan. Semuanya berukuran 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang. Serta dilengkapi dengan tayar Bridgestone Potenza Sport atau Potenza Race.
Trim gentian karbon boleh dipilih untuk bahagian dalam dan luar. Manakala tempat duduk boleh ditentukan dalam pelbagai warna dan dengan empat corak jahitan yang berbeza.
Lamborghini juga mencipta pakej Alleggerita. Pilihan ringan yang mengurangkan berat sehingga 25 kg. Pakej yang difokuskan pada trek ini juga dilengkapi dengan spoiler belakang yang direka semula untuk menambah downforce.
Lamborghini belum mengumumkan butiran harga dan belum mengatakan bila jualan Temerario akan bermula. Kami menjangkakan Temerario 2025 akan bermula sekitar RM1.27 juta ($290,000) dan akan dijual pada awal 2025.
Polis Kedah menggesa orang ramai untuk bekerjasama dalam usaha mengekang kegiatan lumba haram dan samseng jalanan, atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’. Caranya? Dengan menularkan gambar kenderaan yang diubah suai melalui media sosial.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata usaha ini penting bagi mengekang aktiviti tidak bermoral yang telah lama berleluasa di negeri itu.
Beliau berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam menangani masalah ini yang sering mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, masyarakat boleh memainkan peranan penting dengan merakam gambar kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi undang-undang, terutamanya motosikal yang diubah suai untuk lumba haram.
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh – fotoBERNAMA
Kata Datuk Fisol
“Saya nak warga Kedah, sila ambil gambar jika nampak kenderaan sama ada kereta, motosikal, malah basikal yang telah diubah suai. Contohnya, motosikal dengan tayar ‘sotong’, brek yang dibuang, atau karburetor dinaik taraf untuk merempit. Ambil gambar dan viralkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa jika kenderaan tersebut dilihat berada di atas jalan raya, tindakan pantas daripada masyarakat diperlukan dengan mengambil gambar agar pihak polis boleh mengesan pemilik kenderaan tersebut, malah hingga ke rumah mereka.
Dalam usaha menguatkuasakan tindakan tegas, Fisol berkata arahan penguatkuasaan telah dikeluarkan kepada semua ibu pejabat polis daerah di Kedah. Dengan penekanan khas kepada bahagian trafik dan jabatan lain yang berkenaan.
Kerjasama dari masyarakat adalah kunci dalam memastikan masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Sekaligus mengelakkan insiden buruk yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Barang Rampasan
Selain itu, Fisol juga memaklumkan bahawa polis telah melupuskan 330 item rampasan, termasuk 242 ekzos, 77 lengan ayun, lima karburetor, serta enam item lain di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tindakan pelupusan ini dilakukan setelah arahan mahkamah dikeluarkan di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah.
Rampasan keseluruhan pada tahun ini berjumlah 1,412 item. Di mana 302 item telah dilupuskan pada 11 Julai lalu selepas keputusan mahkamah dibuat.
Kes Lain
Bagi kes berkaitan narkotik pula, Fisol turut memaklumkan bahawa barangan rampasan bernilai RM2.9 juta melibatkan 2,826 kertas siasatan akan dilupuskan esok oleh sebuah syarikat yang dilantik di Negeri Sembilan.
Pelupusan ini melibatkan barangan rampasan sejak tahun 2013 hingga 2022.
Inisiatif ini diharap dapat mengurangkan kes jenayah jalanan dan narkotik, serta memberi impak positif kepada keselamatan di jalan raya.
Ducati sekali lagi membuktikan keunggulannya dengan pengenalan Panigale V4 Tricolore Italia. Sebuah model edisi khas yang menampilkan teknologi canggih dan juga membawa semangat permotoran Itali.
Dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, hanya 163 unit akan dikeluarkan, menjadikannya sebuah koleksi eksklusif yang bernilai tinggi. Setiap satu motosikal ini turut mendapat sentuhan istimewa dengan tandatangan asli juara dunia MotoGP dua kali. Francesco Bagnaia – terletak pada penutup tangki.
Inspirasi Daripada Kejayaan Bersejarah
Pada 2 Jun 2024, bersempena Hari Republik Itali, Ducati Lenovo Team telah berlumba dalam Grand Prix Itali. Jentera yang dihiasi warna biru muda khas – warna ikonik pasukan sukan kebangsaan Itali.
Perlumbaan itu menyaksikan kejayaan berganda dengan dua pelumba Itali mendominasi podium. Mencipta detik bersejarah bagi sukan permotoran negara tersebut. Panigale V4 Tricolore Italia dicipta bagi memperingati detik istimewa ini. Mengambil inspirasi daripada jentera Desmosedici GP24 yang mencipta kemenangan di Mugello.
Komponen Premium untuk Prestasi Maksimum
Tidak hanya tampil dengan livery eksklusif, model ini turut dilengkapi dengan komponen berprestasi tinggi yang diambil terus daripada perlumbaan Superbike Dunia (WorldSBK).
Antara yang paling menonjol ialah brek Brembo T-Drive bersirip dengan cakera berdiameter 338.5 mm serta angkup monoblok GP4 Sport Production.
Reka bentuk angkup ini menampilkan sirip penyejukan yang membantu mengawal suhu semasa membrek, menjadikannya ideal untuk penggunaan trek yang ekstrem.
Bukan itu sahaja, rim gentian karbon lima jejari yang digunakan bukan sahaja lebih ringan. Malah membantu mengurangkan inersia sebanyak 12% di hadapan dan 19% di belakang berbanding rim forged yang digunakan pada Panigale V4 S.
Hasilnya, motosikal ini lebih lincah ketika mengambil selekoh dan lebih stabil ketika memecut keluar dari selekoh.
Kelengkapan Eksklusif dan Identiti Unik
Panigale V4 Tricolore Italia juga menampilkan beberapa perincian eksklusif yang menambahkan nilai istimewa sebagai motosikal edisi terhad.
Setiap unit dilengkapi dengan kepala stereng aluminium yang diukir dengan nombor siri unik, serta paparan dashboard khas dengan animasi tersuai.
Lebih menarik, silkscreen litar Mugello turut dicetak sebagai penghormatan kepada kejayaan Ducati di Itali.Satu lagi sentuhan eksklusif ialah kunci pencucuhan yang diperbuat daripada aluminium dengan nombor siri terukir padanya. Menambah lagi elemen koleksi kepada jentera ini.
Ini semua menjadikan Panigale V4 Tricolore Italia bukan sekadar motosikal, tetapi satu simbol kejayaan dan kebanggaan sukan permotoran Itali.
Mercedes-Benz Malaysia baru sahaja melancarkan model elektrik penuh pertama dari jenama Mercedes-Maybach – Mercedes-Maybach EQS 680 SUV. Model ini bukan sekadar SUV elektrik mewah biasa, tetapi simbol kemewahan futuristik yang membawa pengalaman pemanduan ke tahap baharu.
Reka Bentuk – Elegan dan Ikonik
Dari luaran, EQS 680 SUV menampilkan elemen reka bentuk yang unik dengan gril khas Maybach yang kini diadaptasi untuk era elektrik. Bintang Mercedes yang megah terletak di bonet, memberikan identiti eksklusif. Kemasan krom pada bahagian gril, lampu hadapan DIGITAL LIGHT, serta reka bentuk aerodinamik yang licin menonjolkan keanggunan tanpa kompromi.
Pada bahagian sisi, terdapat bingkai krom yang menonjolkan tingkap serta emblem Maybach pada tiang D, mencerminkan status eksklusif. SUV ini juga dilengkapi rim aloi 21-inci eksklusif dengan rekaan multi-jejari, yang melengkapi penampilan berprestij.
Tidak ketinggalan, EQS 680 SUV juga menawarkan pilihan warna dwi-ton yang digunakan secara manual oleh pakar. Termasuk kombinasi seperti High-Tech Silver/Obsidian Black dan Velvet Brown/Onyx Black.
Kabinnya – Satu Alam Kemewahan
Melangkah ke dalam kabin, pemandu dan penumpang akan disambut dengan suasana yang benar-benar mewah. EQS 680 SUV menampilkan tempat duduk First-Class Rear dan Executive yang memberikan keselesaan seumpama kabin kapal terbang kelas pertama.
Sistem MBUX Hyperscreen yang menguasai papan pemuka hadir dengan paparan eksklusif khas Maybach. Skrin ini tidak hanya menyediakan info pemanduan. Malah, ia juga membolehkan kawalan hiburan, navigasi, dan tetapan keselesaan dengan mudah.
Untuk penumpang belakang, dua skrin 11.6 inci dan tablet MBUX Rear Seat Entertainment turut disediakan untuk pengalaman hiburan premium.
Kemewahan dalam kabin juga diterjemahkan melalui penggunaan kulit Nappa eksklusif yang diproses secara lestari, serta kemasan kayu MANUFAKTUR yang memperlihatkan pertukangan seni yang teliti.
Teknologi dan Keselesaan
Sebagai sebuah SUV ultra-mewah, keselesaan menjadi keutamaan. Pintu automatik yang boleh dibuka dan ditutup secara kendiri memberikan kemudahan premium. Sistem pencahayaan dalaman Adaptive Rear Lighting dengan lebih 253 LED membolehkan pengguna menyesuaikan suasana kabin mengikut mood mereka.
Dari segi pengalaman bunyi, sistem audio Burmester® 4D Surround Sound dengan teknologi Dolby Atmos® memberikan pengalaman bunyi sinematik dalam kereta. Malah, sistem aromaterapi AIR BALANCE menawarkan wangian eksklusif “No.12 MOOD Ebony” yang dicipta khas untuk EQS 680 SUV.
Untuk perjalanan yang lebih senyap, Mercedes-Maybach menggunakan bahan penyerap bunyi khas serta sistem “Disconnect Unit” yang mematikan motor hadapan pada kelajuan rendah untuk mengurangkan bunyi dan meningkatkan kecekapan tenaga.
Sistem Suspensi Pintar untuk Pemanduan Lembut
EQS 680 SUV dilengkapi sistem suspensi udara AIRMATIC dengan kawalan penyerap hentakan adaptif ADS+, memberikan perjalanan yang selesa walaupun di jalan yang tidak rata. Selain itu, sistem stereng belakang boleh berpusing sehingga 10 darjah. Mengurangkan jejari pusingan dan memudahkan pergerakan dalam ruang sempit.
Menariknya, model ini juga mempunyai mod pemanduan khas “MAYBACH” yang direka untuk memberikan pengalaman pemanduan paling lancar, khususnya bagi penumpang belakang.Harga dalam pasaran Malaysia bermula dari RM1,088,888.
Sime Motors Raikan 45 Tahun Kejayaan, BMW 2 Series Menanti Pemenang Utama
Sime Motors memulakan sambutan ulang tahun ke-45 mereka dengan mengumumkan pemenang-pemenang pertama Kempen...