Honda kembali membuat kejutan dalam dunia motosikal dengan pengumuman enjin V-3 baharu yang bakal mencipta sejarah.
Ketika banyak pengeluar kenderaan kini lebih menumpukan pada teknologi elektrik dan meninggalkan pembangunan enjin pembakaran dalaman. Honda mengambil langkah berani memperkenalkan enjin V-3 dengan sistem induksi paksaan pertama di dunia.
Bunyi enjin ni pasti menarik – Car and Driver
Buat masa ini
Maklumat penuh mengenai enjin ini masih dirahsiakan, namun ada beberapa fakta menarik yang telah didedahkan. Enjin V-3 ini direka khas untuk motosikal berkuasa besar dan menggunakan sistem penyejukan air dengan susunan piston berbentuk “V” pada sudut 75 darjah.
Rekaan ini menggabungkan dua piston yang condong ke hadapan di satu sisi, sementara satu lagi piston condong ke belakang di sisi lain. Reka bentuk ini membolehkan enjin menjadi lebih kompak dan ramping, satu ciri yang penting bagi motosikal berkuasa besar.
Turbo? – Car and Driver
Ciri Utama
Salah satu ciri utama enjin ini ialah sistem induksi paksaan yang menggunakan pemampat elektrik untuk mengawal mampatan udara yang disedut sepanjang julat pusingan enjin.
Ini bukan sahaja meningkatkan tork pada kelajuan rendah, tetapi juga memberikan kebebasan yang lebih besar dari segi rekaan. Menariknya, Honda berjaya mereka sistem ini tanpa memerlukan intercooler. Satu kelebihan besar memandangkan ruang dalam motosikal yang terhad.
Ads
Enjin yang lebih ringkas
Honda menekankan bahawa enjin ini memberi fleksibiliti luar biasa kepada jurutera mereka dari segi reka bentuk. Oleh kerana tiada keperluan untuk intercooler, enjin ini juga lebih ringkas, membolehkan Honda menyesuaikannya pada pelbagai model.
Dengan potensi untuk menghasilkan kuasa tork yang lebih tinggi walaupun pada RPM rendah. Enjin ini dijangka menawarkan pengalaman menunggang yang luar biasa bagi penggemar motosikal berkuasa besar.
Walaupun Honda belum mengesahkan model motosikal yang akan dilengkapi enjin ini. Ramai pemerhati berpendapat ia mungkin akan dilihat pada model seperti CB1000R dalam beberapa tahun akan datang. Jika ini benar, penggemar Honda bakal menikmati motosikal berkuasa tinggi yang memanfaatkan teknologi termaju dengan rekaan yang lebih padat dan responsif.
Lakaran enjin V-3 – Motosikal apa yang bakal letak enjin ini?
Pembangunan enjin V-3,
Induksi paksaan ini bukan sahaja membawa inovasi baharu dalam dunia motosikal tetapi juga membuktikan bahawa Honda masih bersemangat dalam mempertingkatkan teknologi enjin pembakaran dalaman walaupun banyak pengeluar lain beralih ke teknologi elektrik.
Ads
Dengan fokus pada pengeluaran besar-besaran untuk model-model berkapasiti besar. Honda dijangka akan terus menarik minat peminat motosikal yang dahagakan prestasi tinggi serta teknologi terkini dalam pakej yang elegan dan mantap.
Secara keseluruhan, pengumuman ini membawa harapan besar untuk peminat motosikal yang sentiasa menginginkan teknologi enjin yang unik dan berkuasa.
Buat masa ini, kita hanya boleh menantikan lebih banyak perkembangan daripada Honda dan bersedia untuk menyaksikan inovasi terbaharu mereka meluncur di jalanan. Apa pun model yang akan menjadi hos kepada enjin V-3 ini, Honda pasti memberikan pengalaman menunggang yang mengujakan.
BMW Motorrad Group Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan ketibaan BMW CE 02 baharu, berserta tiga motosikal premium yang terdiri daripada BMW F 900 GS, BMW R 1300 GS dan BMW S 1000 XR.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia menyatakan, “Kami berasa teruja untuk mempersembahkan barisan motosikal kami yang terbaharu di Malaysia Autoshow 2024.
Setiap motosikal melambangkan inovasi, yang mengintegrasikan aspek elektrifikasi, prestasi premium, serta reka bentuk yang canggih.”
BMW CE 02 Baharu
BMW Group Malaysia menegaskan komitmennya terhadap visi pengelektrifikasian bagi segmen Mobiliti Bandar dengan penawaran BMW CE 02. Jentera yang diberi jolokan “eParkourer” ini membawakan pacuan elektrik, reka bentuk dan juga solusi inovatif yang mengagumkan.
BMW CE 02 baharu tampil dengan teknologi dan rekaan futuristik yang mampu menambat hati para belia di Malaysia. Fokus untuk landskap urban, e-motosikal bertaraf premium ini hadir dengan roda bersaiz besar yang menjanjikan daya tahan serta pengalaman menunggang merentasi pelbagai permukaan jalan.
Roda hadapan BMW CE 02 dipadan oleh fork teleskopik hidraulik, manakala single-side swingarm serta komponen sistem suspensi di belakang. Tayar kenderaan dimuatkan pada roda aloi ringan yang mempunyai rekaan roda cakera kontemporari dan brek cakera.
Dimensi, Prestasi CE 02
Dengan fokus ke atas pengalaman tunggangan dinamik, e-motosikal premium ini hanya mempunyai berat 132 kg sahaj. Dari segi dimensi, ia berukuran panjang 1970 mm dan tinggi 1140 mm dari perisai anginnya.
BMW CE 02 membawakan output kuasa maksimum sebanyak 11 kW (15 hp) dan 55 Nm tork. Ia membolehkan pecutan 0 ke 50 km/j dalam tempoh sekitar 3 saat. Dirumus untuk persekitaran urban dan tunggangan bebas emisi, BMW CE 02 mampu mencecah kelajuan tertinggi 95 km/j.
Bateri, Jarak Perjalanan & lain-lain…
Dilengkapi dengan bateri ion litium 6 kWj, penunggang dapat menikmati jarak operasi maksimum sejauh 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas 900 W.
Tambahan lagi, keupayaan pengecasan pantas sehingga 1500W juga mampu mengurangkan waktu pengecasan kepada sekitar 1 jam 40 minit dari status bateri 20% hingga 80%. Manakala dari 0% hingga 100% akan mengambil masa 3 jam 30 minit, menjadikan pengalaman para penunggang lebih fleksibel.
Mod Tunggangan, Kosmetik CE 02
BMW CE 02 baharu menampilkan skrin paparan berwarna TFT 3.5 inci, dengan padanan aplikasi BMW Motorrad Connect. Aplikasi ini membekalkan kemudahan navigasi, status kenderaan serta statistik berguna untuk menaik taraf pengalaman menunggang.
E-motosikal premium ini turut didatangkan dengan tiga mod tunggangan secara standard, iaitu “Flow”, “Surf” dan “Flash”. Mod “Flow” mengoptimumkan tunggangan santai dalam landskap urban. Manakala mod “Surf” membekalkan pengalaman tunggangan serba dinamik untuk kesibukan kawasan bandar. Bagi mereka yang menginginkan ciri tunggangan yang lebih sporty, mod “Flash” adalah sempurna untuk anda.
Melengkapi perincian ini, BMW CE 02 baharu turut hadir dengan soket USB, fungsi tunggangan tanpa kunci, bantuan mengundur dan mod sangga (cradle) menerusi aplikasi BMW Motorrad Connect.
Ia membolehkan penunggang mengakses paparan tambahan melalui pad kekunci pada bar hendal dan ia merangkumi pendakap telefon bimbit secara standard, justeru memudahkan pengintegrasian teknologi semasa perjalanan.
F 900 GS – Sao Paolo Yellow
BMW F 900 GS Baharu
Memperkenalkan F 900 GS baharu dengan keupayaan “offroad”, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Ia hadir dengan aneka fungsi dan teknologi serba inovatif yang disesuaikan untuk pasaran tempatan.
Memberi nafas baharu kepada kehandalannya, motosikal ini tampil dengan kegunaan offroad yang ditambah baik, pengurangan berat yang signifikan, iaitu sebanyak 14 kg yang menjadikan jumlah beratnya 219 kg.
F 900 GS baharu memuatkan teknologi pencahayaan yang canggih untuk menjamin daya lihat pada waktu siang dan malam yang lebih baik.
Kapasiti bahan api adalah sebanyak 14.5 liter dan tip ekzos dari Akrapovič. F 900 GS kini membawakan Enduro Pro Paket, yang meliputi fork teleskopik titanium terbalik yang boleh dilaras sepenuhnya dan pelbagai lagi perician untuk membantu penunggang.
Selain pembaharuan dari sudut dinamisme, BMW F 900 GS turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang, ia termasuk pelindung enjin dan tangan, heated throttle dan menawarkan ciri kawalan dan ergonomik yang lebih sesuai.
Paparan instrumen TFT bersaiz 6.5 inci yang diperbaharui dengan pilihan Connect menawarkan ciri hubungan, navigasi dan sistem pengurusan panggilan telefon pintar. Para peminat juga pasti teruja dengan reka bentuk pelananya yang lebih ramping dan tirus, memastikan kestabilan dan juga keselesaan ketika menunggang secara offroad.
R 1300 GS – White with Blue
BMW R 1300 GS Baharu
Tunggangan BMW GS yang paling ikonik kini ditambah baik dengan pengurangan berat yang signifikan sebanyak 12 kg berbanding pendahulunya. Dengan menggabungkan ekzos baharu dan reka bentuk yang lebih ramping, BMW R 1300 GS memberikan pengendalian yang lebih lancar dan responsif untuk penunggang.
Model ini juga menampilkan enjin boxer 1300 cc baharu yang meningkatkan kuasa dan tork, memberikan prestasi yang lebih hebat dalam semua keadaan.
BMW R 1300 GS baharu menampilkan ciri pencahayaan yang canggih, termasuk pencahayaan waktu siang dan lampu hadapan LED matriks. Motosikal ini juga membawakan lampu hadapan LED tambahan yang meningkatkan daya lihat di luar jalan raya. Sementara Headlight Pro yang dinamik melaras dan mencahayakan laluan penunggang semasa membelok.
BMW R 1300 GS baharu hadir dalam warna Triple Black, Racing Blue Metallic dan Option 719 Tramuntana, setiap satu mencerminkan tema boxer GS yang ikonik dengan bentuk yang segak.
Prestasi R 1300 GS
Direka semula agar bersifat lebih kompak, jantung BMW R 1300 GS baharu ialah enjin boxer dua silinder yang ikonik. Hadir dengan nilai sesaran 1,300 cc, ia mampu menjana output berjumlah 107 kW (145 hp) dengan tork 149 Nm.
Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) juga turut menerima kemas kini dan ia lebih responsif berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.
Model ini juga turut meningkatkan bilangan mod tunggangan yang ditawarkan. Kini hadir dengan empat pilihan berbanding tiga untuk memenuhi keperluan penunggang yang pelbagai.
Mod “Rain” dan “Road” menawarkan pengalaman tunggangan berciri boleh suai yang sempurna bagi pelbagai kondisi jalan raya. Mod “Eco” pula memaksimumkan penggunaan bahan api, membolehkan jentera ini ditunggang pada jarak maksimum dengan satu tangki penuh.
Sementara mod “Enduro” memperkayakan pengalaman menunggang off road dengan tetapan khas yang dirumus untuk laluan yang mencabar. Memudahkan penunggang untuk mengembara dengan lebih yakin.
Untuk perincian keselamatan, ia termasuk dengan ABS Pro untuk sistem brek yang lancar serta Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) untuk meningkatkan stabiliti. Motosikal ini menawarkan pengalaman tunggangan yang selamat dan mengujakan di atas semua jenis laluan.
S 1000 XR – Biru
BMW S 1000 XR Baharu
Untuk penunggang yang mencari prestasi tinggi dan pengembaraan jalan raya, BMW S 1000 XR baharu menawarkan pengalaman yang tiada tandingan. Dengan teknologi canggih, termasuk sistem suspensi dinamik dan mod tunggangan yang boleh disesuaikan. Jentera ini memastikan perjalanan yang selesa dan terkawal walaupun pada kelajuan tinggi.
BMW S 1000 XR baharu menampilkan teknologi pencahayaan yang canggih, hadir dengan indikator membelok LED, unit lampu belakang, serta lampu hadapan.
Lampu Tambahan LED yang baharu turut menambahbaik aspek pencahayaan. Sementara Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light) meningkatkan tahap kebolehlihatan motosikal ini pada waktu siang. Penawaran warna yang standard bagi BMW S 1000 XR baharu meliputi Gravity Blue Metallic dan Blackstorm Metallic.
Prestasi S 1000 XR
S 1000 XR baharu dikuasakan oleh enjin sebaris empat silinder dengan output 170 hp dan 114 Nm tork. Kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Model ini juga membawakan empat mod tunggangan untuk kemudahan penunggang: Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro. Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan fungsi DTC Wheelie generasi baru.
Selain itu, model baharu juga menawarkan Shift Assist Pro yang membolehkan gear ditukar dengan lancar tanpa penglibatan klac, meningkatkan lagi aspek kawalan dan juga prestasi. Turut memperkayakan ciri-ciri kemudahannya ialah aneka aksesori standard seperti Tunggangan Tanpa Kunci dan sistem pengantara pengecasan USB.
Harga runcit (atas jalan, dengan Waranti 3 Tahun serta Program Bantuan Tepi Jalan 3 Tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bagi barisan jentera yang terbaharu ini ialah:
BMW CE 02 Baharu
RM 38,500.00
BMW F 900 GS Baharu
RM 88,500.00
BMW S 1000 XR Baharu
RM 129,500.00
BMW 1300 GS Baharu
RM 138,500.00
dengan tawaran warna Option 719 Tramuntana
RM 149,500.00
Kehadiran barisan motosikal baharu ini bukan sahaja mencerminkan komitmen BMW dalam memajukan industri ini. Namun untuk memberikan pengalaman tunggangan yang tidak dapat dilupakan bagi peminat motosikal di Malaysia.
Yamaha sekali lagi memberikan pembaharuan kepada skuter popular mereka, Yamaha Ego Gear, untuk tahun ini. Kali ini, ia tampil dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Grey, Cyan, dan Navy Blue.
Pastinya memberikan penampilan lebih segar dan bergaya kepada peminat skuter di Malaysia. Apa yang menarik, walaupun tampil dengan warna baharu, harga skuter ini masih kekal pada RM5,998 (tidak termasuk insurans). Sama seperti tahun sebelumnya.
Dari segi spesifikasi
Yamaha tidak melakukan sebarang perubahan pada bahagian mekanikal skuter ini. Masih mengekalkan enjin satu silinder SOHC 125 cc dengan sistem suntikan bahan api. Ego Gear mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan tork 9.6 Nm pada 5,500 rpm.
Transmisi automatik menjadikan skuter ini sangat mudah dikendalikan, terutamanya untuk pemanduan di dalam bandar yang memerlukan kelincahan dan kemudahan.
Sistem Start and Stop
Salah satu ciri yang membuatkan Ego Gear lebih mesra pengguna adalah sistem Start and Stop. Ia membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Dengan adanya Smart Motor Generator, enjin akan mati seketika apabila berhenti sejenak, seperti di lampu isyarat, dan hidup semula dengan lancar apabila throttle dipulas. Ini menjadikan penggunaan bahan api lebih efisien, sekaligus mengurangkan pembaziran.
Walaupun saiznya kecil, Yamaha Ego Gear tidak mengabaikan ciri-ciri moden. Skuter ini dilengkapi dengan lampu hadapan jenis LED, yang lebih terang dan menjimatkan tenaga.
Selain itu, terdapat juga soket pengecas USB yang memudahkan pengguna untuk mengecas peranti mudah alih mereka semasa perjalanan.
Lampu kecemasan juga disertakan untuk membantu dalam situasi kecemasan, manakala panel meternya masih menggunakan unit analog yang mudah dibaca.
Dari segi keselamatan
Yamaha Ego Gear dilengkapi dengan sistem brek cakera di bahagian hadapan dan brek dram di belakang, memberikan kombinasi cengkaman yang baik untuk memberhentikan skuter dengan cekap.
Suspensinya pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang, memastikan perjalanan yang selesa walaupun di atas jalan yang kurang rata.
Rim bersaiz 14 inci dan tayar bersaiz 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang memastikan cengkaman yang stabil dan pemanduan yang lancar.
Tangki Minyak
Dengan tangki bahan api 4.2 liter dan berat hanya 95 kg, Yamaha Ego Gear sesuai untuk kegunaan harian di bandar.
Tinggi tempat duduknya yang 750 mm juga menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai lapisan pengguna, tidak kira tinggi atau rendah. Setiap pembelian Ego Gear turut hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma sebagai tambahan.
Secara keseluruhan, Yamaha Ego Gear kekal sebagai pilihan skuter yang berbaloi, terutama bagi mereka yang mencari skuter kecil yang efisien dan mudah diselenggara, kini dengan penampilan lebih segar berkat pilihan warna baharu.
Dalam pembangunan yang mengambil masa hampir tiga tahun, litar lumba Horizon Beranang akhirnya melihat cahaya mata pada tahun 2023. Idea yang dicanangkan pada tahun 2022, akhirnya membuahkan pusat latihan dan perlumbaan sukan permotoran yang diimpikan ramai.
Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Selangor, dengan penuh semangat menjelaskan bahawa litar ini akan menjadi titik tumpuan utama bagi peminat sukan permotoran.
“Inisiatif ini direalisasikan melalui usaha Horizon Motorsport dengan sokongan padu kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Ia menjadi wadah yang sempurna bagi pelumba tempatan untuk berkembang dan memperjuangkan impian mereka dalam arena perlumbaan.”
Kredit: mediatwohweels.com
Beliau menekankan bahawa litar ini bukan sekadar tempat untuk berlumba, tetapi juga menjadi tempat latihan yang cemerlang untuk bakat-bakat baru.
“Kami berharap agar pengurusan litar ini diserahkan kepada mereka yang berpengalaman dan profesional dalam bidang sukan permotoran. Ini adalah langkah penting untuk memastikan kesinambungan sukan ini dan juga untuk mendorong penemuan bakat-bakat baru yang berpotensi.”
Dengan jarak trek lumba sejauh 1 kilometer dan 12 variasi litar yang berbeza, Horizon Beranang menjanjikan pengalaman perlumbaan yang menarik bagi semua peringkat pelumba.
“Ketika litar ini siap sepenuhnya, kami yakin bahawa ia akan menjadi mercu tanda penting dalam dunia sukan permotoran di Selangor. Penggemar sukan ini boleh menghubungi Horizon Motorsport untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan litar ini,” tambahnya dengan penuh keyakinan.
Kawasaki Ninja 1100SX Dilancar di Malaysia, Sport-Touring Flagship Bermula RM71,400
Kawasaki Ninja 1100SX kini rasmi diperkenalkan di Malaysia, meneruskan legasi sport-touring moden dalam kelasnya.Evolusi ini...