Honda Kembali Ke Dunia Basikal dengan e-MTB
Honda bukan nama asing dalam dunia dua roda & empat roda, tetapi kali ini pengeluar dari Jepun itu tampil dengan sesuatu yang sedikit berbeza.
Selepas kira-kira dua dekad meninggalkan arena mountain bike, Honda kini kembali menerusi sebuah prototaip mountain bike elektrik atau e-MTB yang diperkenalkan di Sea Otter Europe, Girona, Sepanyol.
Honda melalui laman rasminya di Jerman sudah membuka pendaftaran bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan model e-MTB berkenaan, sekali gus memberi bayangan bahawa model ini mungkin benar-benar menuju ke versi produksi.

Rangka Karbon, Dibangunkan Bersama Rotwild
Dari segi binaan, e-MTB ini menggunakan rangka monocoque gentian karbon yang dibangunkan bersama Rotwild menerusi bahagian kejuruteraannya, ADP Engineering.
Rekaannya juga jelas membawa pengaruh motosikal Honda, terutama pada bahagian belakang yang menggunakan lengan ayun besar dikenali sebagai “Gullarm”.
Bahagian ini menjadi antara elemen visual paling menonjol pada keseluruhan basikal dan membuatkan e-MTB tersebut kelihatan jauh lebih agresif berbanding kebanyakan basikal elektrik biasa.
Fox 36, Roda Mullet dan Geometri Agresif
Honda nampaknya memang membina basikal ini untuk kegunaan off-road.
Bahagian hadapan menggunakan fork Fox 36, manakala sistem suspensi belakang menggunakan konfigurasi single-pivot bersama beberapa pautan.
Ia turut menggunakan susunan roda jenis mullet, dengan roda hadapan bersaiz 29 inci dan belakang 27.5 inci.
Gabungan ini biasanya dipilih untuk memberikan kestabilan lebih baik di bahagian hadapan sambil mengekalkan karakter lincah di belakang, terutama ketika melalui laluan teknikal.

Guna Motor Shimano EP8
Prototaip yang dipamerkan menggunakan sistem motor pertengahan daripada keluarga Shimano EP8.
Bagaimanapun, rakaman rasmi yang dikeluarkan bersama model ini menunjukkan bentuk perumah motor yang sedikit berbeza daripada Shimano EP801 semasa.
Masih terlalu awal untuk mengatakan Honda menggunakan sistem motor baharu, tetapi ia tetap menjadi antara perkara menarik untuk diperhatikan apabila spesifikasi penuh diumumkan nanti.
Setakat ini, Honda belum mendedahkan kapasiti bateri, output motor, berat keseluruhan atau jarak tunggangan.
Honda Pernah Ada RN01
Untuk yang mungkin tidak tahu, Honda sebenarnya pernah menghasilkan model basikal mountain bike sebelum ini.
Pada awal 2000-an, bahagian penyelidikan dan pembangunan motosikal Honda menghasilkan RN01, sebuah basikal downhill yang cukup unik pada zamannya.
RN01 menggunakan sistem transmisi tertutup yang dipasang pada bahagian rangka dan pernah digunakan Honda dalam perlumbaan downhill antarabangsa.
Selepas beberapa tahun, program itu dihentikan dan Honda meninggalkan dunia mountain bike.
Sebab itu, kemunculan semula Honda menerusi e-MTB baharu ini cukup menarik kerana ia bukan sekadar cubaan pertama syarikat tersebut dalam bidang ini.
Apa yang membezakan projek ini dengan sesetengah produk basikal daripada jenama automotif lain ialah tahap penglibatan Honda sendiri.
Model ini bukan sekadar basikal sedia ada yang ditampal logo Honda.
Sebaliknya, ia dibangunkan bersama rakan kejuruteraan khusus, menggunakan rangka karbon tersendiri dan membawa identiti reka bentuk yang jelas dipengaruhi dunia motosikal.
Honda turut mempamerkan model ini bersama RN01 serta beberapa motosikal elektrik dan prototaip off-road lain.
e-MTB Semakin Hampir Ke Pasaran?
Buat masa ini, Honda masih belum mengesahkan nama produksi, harga, berat, kapasiti bateri atau pasaran yang akan menerima model ini.
Namun, apabila pendaftaran minat sudah dibuka secara rasmi, itu memberi gambaran bahawa Honda mungkin sudah bergerak lebih jauh daripada sekadar peringkat konsep.
Kalau benar masuk produksi, e-MTB ini bakal menjadi antara produk paling menarik daripada Honda dalam segmen dua roda elektrik, terutama kerana ia menggabungkan pengalaman syarikat itu dalam dunia motosikal dengan teknologi basikal gunung moden.
Baca Juga : 8 Tahun “Warranty” & “Unlimited Mileage”, Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!



