Pada 25 Januari 2026 telah berlangsung Himpunan Malaysia Harley Owners Group Rally 2026 di Adena Beach Resort, Kuantan, sekali gus menandakan penutup kepada tiga hari penganjuran acara tersebut.
Acara ini telah menghimpunkan lebih 300 pemilik dan peminat Harley-Davidson dari dalam serta luar negara, penyertaan ini adalah bukti sokongan berterusan komuniti Harley Owners Group terhadap penganjuran acara permotoran berskala nasional di Malaysia.
Rally yang berlangsung selama tiga hari, dari 23 hingga 25 Januari 2026 ini menghimpunkan chapter H.O.G. tempatan dari Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
Menariknya, acara ini turut disertai penunggang antarabangsa dari Singapura, Indonesia, China, India dan Korea Selatan.
Ads
Himpunan ini juga menjadi penutup kepada bulan yang cukup signifikan buat Harley-Davidson Malaysia. Ia hadir sejurus selepas penganjuran Hari Trek Harley-Davidson pertama di Litar Antarabangsa Sepang pada 11 Januari 2026.
Berbeza dengan edisi terdahulu yang banyak menumpukan aktiviti tunggangan, H.O.G. Rally 2026 kali ini menampilkan penyertaan ahli keluarga.
Ramai peserta hadir bersama pasangan dan anak-anak, menjadikan format berkonsepkan resort ini lebih kepada pertemuan komuniti selama beberapa hari, bukan sekadar acara ride semata-mata.
Ads
Pendekatan ini memberi nafas baharu kepada rally, dengan suasana yang lebih inklusif dan mesra keluarga.
Secara keseluruhan, H.O.G. Rally 2026 di Kuantan dilihat sebagai satu penanda aras baharu buat komuniti Harley-Davidson di Malaysia.
Ads
Dengan sambutan yang semakin memberangsangkan serta penyertaan antarabangsa yang kian bertambah, acara ini dijangka terus berkembang dan menjadi platform utama untuk menyatukan peminat Harley-Davidson dari seluruh rantau pada masa akan datang.
Cycle & Carriage kini memulakan operasi pengedaran untuk Leapmotor Malaysia, sekali gus memperkukuhkan lagi kehadiran jenama kenderaan elektrik (EV) itu dalam pasaran tempatan yang semakin berkembang.
Pengumuman ini dibuat susulan kerjasama Cycle & Carriage bersama Stellantis Malaysia yang bermula sejak 2024, ketika syarikat berkenaan kembali sebagai peruncit automotif pelbagai jenama.
Dengan pengalaman selama 127 tahun dalam industri automotif, langkah ini dilihat sebagai perkembangan penting bagi memperluaskan capaian jenama tersebut kepada pelanggan di seluruh negara.
Kemasukan Cycle & Carriage sebagai pengedar rasmi hadir ketika pasaran kenderaan elektrik di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif.
Penerimaan pengguna terhadap EV semakin meningkat, disokong oleh pembangunan infrastruktur pengecasan yang lebih meluas serta minat terhadap teknologi automotif moden.
Jenama Leapmotor merupakan antara pengeluar New Energy Vehicle dari China yang berkembang pesat di peringkat global.
Melalui operasi pengedaran baharu ini, Cycle & Carriage mahu memainkan peranan lebih besar dalam sektor mobiliti elektrik dengan menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pengguna tempatan.
Sepanjang tahun lalu, Cycle & Carriage telah memperluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatan jenama ini menerusi beberapa lokasi strategik.
Antara lokasi yang terlibat termasuk George Town di Pulau Pinang, Pavilion Bukit Jalil dan Paradigm Mall Johor Bahru.
Syarikat itu juga membuka pusat 3S utama di Glenmarie yang menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat ganti dalam satu lokasi.
Setakat ini, rangkaian Leapmotor Malaysia telah berkembang kepada 12 lokasi jualan dan enam lokasi servis di seluruh negara.
Beberapa lokasi tambahan turut dirancang untuk dibuka sebelum penghujung tahun bagi memastikan pelanggan mendapat akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan jenama tersebut.
Menurut Cycle & Carriage, pelantikan sebagai pengedar bukan sekadar bertujuan meningkatkan jumlah jualan kenderaan.
Sebaliknya, syarikat itu mahu memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lebih baik dari peringkat pembelian sehingga selepas jualan.
Melalui peranan baharu ini, Cycle & Carriage akan bekerjasama rapat dengan rangkaian pengedar di seluruh negara bagi meningkatkan standard runcit, memperkukuhkan pengalaman pelanggan dan menambah baik keupayaan servis selepas jualan.
Pendekatan ini dilihat penting kerana pembeli EV masa kini bukan hanya menilai harga dan spesifikasi kenderaan.
Mereka juga mengambil kira aspek sokongan teknikal, kemudahan servis, akses kepada pusat penyelenggaraan serta keyakinan terhadap jenama yang dipilih.
Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, Adrian Short berkata Malaysia kini memasuki fasa baharu dalam penerimaan mobiliti elektrik.
Menurut beliau, semakin ramai pengguna mencari kenderaan pintar yang menawarkan gabungan inovasi, teknologi dan kepraktikalan untuk kegunaan harian.
Beliau turut menegaskan bahawa mobiliti elektrik tidak sepatutnya hanya menjadi aspirasi kepada segelintir pengguna. Sebaliknya, teknologi EV perlu menjadi pilihan yang lebih mudah dicapai oleh masyarakat yang lebih luas.
Menerusi kerjasama ini, syarikat melihat peluang besar untuk membawa produk Leapmotor Malaysia kepada lebih ramai pelanggan yang mahukan EV premium pada nilai yang kompetitif.
Sementara itu, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, Isaac Yeo berkata pelantikan Cycle & Carriage mencerminkan hubungan kerjasama yang dibina atas kepercayaan, nilai bersama dan komitmen terhadap pengalaman pelanggan.
Menurut beliau, langkah ini merupakan pencapaian penting dalam kerjasama yang terus berkembang dan disokong oleh kepakaran automotif serta rangkaian runcit yang kukuh.
Leapmotor International merupakan usaha sama antara Stellantis dan Leapmotor dengan pegangan 51:49. Berpusat di Amsterdam, syarikat itu memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian mobiliti elektrik yang berasaskan teknologi dan mampu milik.
Barisan produknya merangkumi T03, C10 BEV dan C10 Range Extended EV. Beberapa model tambahan turut dirancang dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi meliputi lebih banyak segmen pasaran.
Dengan operasi pengedaran rasmi yang kini bermula, Leapmotor Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh untuk memperluaskan pasaran, meningkatkan keyakinan pengguna serta mempercepatkan pertumbuhan dalam segmen kenderaan elektrik tempatan yang semakin kompetitif.
WMOTO Malaysia secara rasmi memperkenalkan model terbaharu mereka, WMOTO Island 150, bersempena majlis Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel.
Pelancaran ini menandakan kemasukan WMOTO ke dalam segmen skuter premium 150 cc untuk pasaran tempatan bagi tahun pertama 2026.
WMOTO Island 150 ditawarkan pada harga RM6,688 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.
Tiga pilihan warna disediakan bagi memenuhi citarasa berbeza, iaitu Aura Black, Action Blue dan Prime Grey, masing-masing menyerlahkan karakter moden dan kemasan kemas untuk tunggangan harian.
Direka untuk meningkatkan pengalaman mobiliti bandar, Island 150 menampilkan siluet kemas dengan penghadang angin, ergonomik santai serta susun atur praktikal.
Pendekatan ini sejajar dengan keperluan pengguna di kawasan bandar yang mahukan skuter yang selesa, mudah dikendalikan dan nampak premium sesuai untuk kegunaan harian.
Di bahagian trenkuasa, WMOTO Island 150 dikuasakan oleh enjin 150 cc satu silinder, 4-lejang, 4-injap dengan sistem penyejukan cecair.
Ia menghasilkan 11.5 kW pada 8,500 rpm dan 14.2 Nm pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 10.6:1 bagi keseimbangan antara kecekapan bahan api dan respons pecutan.
Padanan suntikan bahan api EFI, penghidup elektrik serta transmisi CVT pacuan tali sawat memastikan pecutan lancar dan tunggangan tanpa stres dalam trafik bandar.
Kapasiti tangki bahan api 9 liter memberi kelebihan dari segi jarak perjalanan, mengurangkan kekerapan pengisian semula
Dari segi ukuran, Island 150 memiliki panjang 1,940 mm, lebar 745 mm dan tinggi 1,130 mm, dengan jarak roda 1,315 mm serta jarak kelegaan tanah 136 mm.
Ketinggian tempat duduk 764 mm bersama berat kering 137 kg menjadikannya mesra untuk pelbagai ketinggian dan saiz badan, termasuk penunggang baharu.
Tugas pengendalian disokong oleh fork hadapan peredaman hidraulik dan penyerap hentak belakang jenis spring dengan redaman, memberikan kestabilan dan keselesaan di jalan tidak rata.
Ia dipadankan dengan tayar 110/70-14 M/C (hadapan) dan 130/70-13 M/C (belakang) pada rim aloi, manakala brek cakera hadapan dan belakang lengkap dengan ABS dwi-saluran meningkatkan tahap keselamatan.
Ciri moden menjadi tarikan utama Island 150, termasuk sistem pencahayaan LED penuh lampu hadapan dengan DRL, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Paparan meter digital interaktif memudahkan pemantauan maklumat tunggangan secara jelas.
Untuk kemudahan harian, skuter ini dilengkapi sistem tanpa kunci, suis keselamatan tongkat sisi, ruang simpanan hadapan sebelah kiri serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C bagi menyokong peranti elektronik ketika bergerak.
Antara kelengkapan tambahan termasuk Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), pemijak kaki pembonceng boleh lipat, pemijak kaki penunggang yang luas, tempat duduk anti-gelincir, serta cangkuk barang dengan kapasiti beban sehingga 5 kg.
Island 150 menggunakan bateri 12V 8.6Ah dan mampu membawa muatan sehingga 158 kg, menjadikannya rakan tunggangan praktikal untuk kegunaan seharian.
Dalam satu inisiatif terkini, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan menerima tambahan 20 unit motosikal pengiring berkuasa tinggi. Motosikal-motosikal ini akan dilengkapi dengan pelekat reflektif PDRM khas dan bertujuan untuk digunakan sebagai pengiring rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Dari segi reka bentuk, motosikal yang dipilih untuk tugas istimewa ini adalah model BMW R1250RT. Model yang terkenal dengan prestasi tinggi dan kestabilan semulajadi ini akan menjadi pilihan utama dalam menjalankan tugas pengawalan.
Salah satu ciri utama yang menarik perhatian adalah kelengkapan standard motosikal pengiring yang disematkan ke dalam BMW R1250RT ini. Ia dilengkapi dengan pelekat reflektif khas PDRM, menonjolkan identiti rasmi pasukan keselamatan negara kita.
Keputusan untuk melibatkan sebuah syarikat tempatan dalam penghasilan motosikal ini adalah langkah positif. Armorblaze, sebuah syarikat berpengkalan di Ampang, menjadi pilihan untuk menjalankan tugasan ini. Kecekapan dan kebolehpercayaan syarikat tempatan ini memberikan keyakinan kepada PDRM bahawa motosikal yang dihasilkan akan memenuhi standard keselamatan dan prestasi yang diperlukan.
Dengan gabungan kecanggihan motosikal BMW R1250RT dan sentuhan tempatan melalui Armorblaze, diharapkan motosikal pengiring baru ini akan menjadi penyeri dalam siri pengawalan rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Cycle & Carriage kini memulakan operasi pengedaran untuk Leapmotor Malaysia, sekali gus memperkukuhkan lagi kehadiran jenama kenderaan elektrik (EV) itu dalam pasaran tempatan yang...