BMW M3 CS Handschalter Edisi Terhad Dengan Gear Manual
BMW M kini tampil dengan sebuah model istimewa yang mungkin menjadi antara M3 paling “driver-focused” dalam sejarah generasi keenamnya. Dikenali sebagai BMW M3 CS Handschalter, model edisi terhad ini tampil dengan satu elemen yang semakin jarang ditemui dalam kereta prestasi moden iaitu transmisi manual 6-kelajuan.
Dibangunkan khas untuk pasaran Amerika Utara, M3 CS Handschalter menjadi satu penghormatan terakhir buat generasi G80 sebelum ia digantikan dengan model baharu pada masa akan datang. Apa yang menjadikannya lebih menarik, ini juga merupakan satu-satunya BMW M3 CS yang pernah ditawarkan bersama transmisi manual dan pacuan roda belakang.

BMW M3 CS Handschalter : Transmisi Manual 6-Kelajuan Jadi Tarikan Utama
Dalam dunia kereta prestasi moden yang kini dipenuhi transmisi automatik dan paddle shifter, BMW mengambil langkah berani dengan mengekalkan pengalaman pemanduan klasik menerusi gearbox manual 6-kelajuan.
Gabungan enjin 3.0-liter M TwinPower Turbo enam silinder sebaris bersama transmisi manual ini menghasilkan kuasa 473 hp dan tork 406 lb-ft. Kuasa tersebut disalurkan terus ke roda belakang bagi memberikan karakter pemanduan yang lebih agresif dan “raw”.

BMW mendakwa M3 CS Handschalter mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 290 km/j menerusi pakej standard M Driver’s Package.
BMW M3 CS Handschalter Lebih Ringan, Lebih Tajam
BMW turut memberi fokus besar terhadap pengurangan berat bagi memastikan pengendalian lebih tajam dan responsif. Pelbagai komponen menggunakan material carbon fibre reinforced plastic (CFRP) termasuk bumbung, hud hadapan, splitter, diffuser belakang, spoiler serta penutup cermin sisi.

Selain itu, model ini turut dilengkapi tempat duduk M Carbon Bucket Seats dan sistem ekzos titanium yang membantu mengurangkan berat keseluruhan hampir 34 kg berbanding BMW M3 biasa.

Suspensi juga menerima talaan khas khusus untuk versi Handschalter ini. BMW menurunkan ketinggian badan sebanyak 6 mm selain menggunakan talaan stereng, damper dan spring yang lebih agresif untuk meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Rasa Kereta Lumba Dalam Kabin
Bahagian dalaman M3 CS Handschalter jelas diinspirasikan daripada dunia perlumbaan. Tempat duduk M Carbon Bucket dibalut kulit Merino hitam bersama kemasan merah Mugello Red serta jahitan kontras khas model CS.

Stereng M Alcantara bersama tanda tengah merah menambahkan lagi aura jentera ini. Paling menarik, BMW masih mengekalkan tombol gear manual yang kini semakin sukar ditemui pada kereta prestasi moden.

BMW turut melengkapkan model ini dengan sistem M Drive Pro yang merangkumi fungsi M Drift Analyzer, M Laptimer serta M Traction Control dengan 10 tahap kawalan untuk penggunaan di litar.
Rekaan Lebih Agresif dan Eksklusif BMW M3 CS Handschalter
Dari segi penampilan, M3 CS Handschalter tampil lebih garang menerusi penggunaan kidney grille frameless khas CS bersama garis merah dan logo “M3 CS”.

Lampu siang (DRL) berwarna kuning pula diinspirasikan daripada kereta lumba GT BMW, sekali gus memberi identiti unik terutama pada waktu malam.

BMW menawarkan empat pilihan warna termasuk Black Sapphire Metallic dan Isle of Man Green Metallic. Pembeli juga boleh memilih warna ikonik BMW Individual seperti Imola Red II dan Techno Violet Metallic yang pernah popular dalam sejarah M3.

Pengeluaran Sangat Terhad
BMW akan mula menghasilkan M3 CS Handschalter pada Julai 2026 dalam jumlah yang sangat terhad. Untuk pasaran Kanada, hanya 40 unit akan ditawarkan dengan harga bermula CAD132,500.
Sumber: BMW M / BMW Canada
Baca Juga : Vision BMW ALPINA Bawa Konsep Fast Luxury Baharu BMW
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






