Proton e.MAS 7 Premium Tawar Jarak Pemanduan Lebih Jauh dan Keselesaan Premium
PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON Holdings Berhad, memperkenalkan varian baharu Proton e.MAS 7 Premium Plus sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026. Pelancaran ini menandakan evolusi seterusnya bagi model EV nasional pertama Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan elektrik nombor satu negara.
Dibangunkan berdasarkan kejayaan Proton e.MAS 7, varian Premium Plus hadir dengan kapasiti bateri yang lebih besar serta pelbagai peningkatan dari aspek keselesaan, menjadikannya pilihan yang lebih menarik untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, pencapaian Proton e.MAS sejak diperkenalkan pada 2024 membuktikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap mobiliti elektrik.
“Daripada memperkenalkan EV nasional pertama Malaysia sehingga menjadi jenama EV nombor satu hari ini, kami amat menghargai sokongan rakyat Malaysia. Berlandaskan semangat Kuasa e.MAS, kami akan terus memperkasakan lebih ramai pengguna untuk beralih kepada mobiliti elektrik dengan penuh keyakinan,” katanya.

Kuasa e.MAS Menjadi Tumpuan di KLIMS 2026
Pelancaran Proton e.MAS 7 Premium Plus berlangsung serentak dengan pameran terbesar Proton e.MAS setakat ini di KLIMS 2026 menerusi tema “Kuasa e.MAS, Powering Malaysia Forward”.
Pameran tersebut mengetengahkan lima teknologi utama yang menjadi asas kepada ekosistem mobiliti elektrik Proton e.MAS, termasuk:
- Global Modular Architecture (GMA)
- Cell-to-Body (CTB)
- Bateri AEGIS Short Blade
- Sistem Pacuan Elektrik 11-dalam-1
- Teknologi Dedicated Hybrid Powertrain
Pengunjung turut berpeluang melihat rangkaian model terkini Proton e.MAS yang merangkumi Proton e.MAS 5, Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 7 PHEV.

Momentum jenama ini juga semakin kukuh apabila Proton e.MAS 7 PHEV muncul sebagai model PHEV paling laris di Malaysia dengan sebanyak 2,936 unit penghantaran tahun ini, manakala lebih 23,700 kenderaan Proton e.MAS kini berada di atas jalan raya seluruh negara.
Bateri Lebih Besar, Jarak Pemanduan Sehingga 450km
Tarikan utama Proton e.MAS 7 Premium Plus terletak pada penggunaan bateri AEGIS Short Blade berkapasiti 68.39kWh, yang membolehkan model ini menawarkan jarak pemanduan sehingga 450 kilometer mengikut standard WLTP.
Walaupun menggunakan bateri lebih besar, model ini masih mengekalkan keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 115kW, membolehkan tahap bateri dicas daripada 30% ke 80% dalam masa sekitar 20 minit.
Keselesaan Bertaraf Premium
Selain jarak pemanduan yang lebih jauh, Proton turut memberi fokus kepada aspek keselesaan kabin.
Antara ciri baharu yang diperkenalkan pada varian Premium Plus ialah:
- Tempat duduk urut (massage seat) untuk pemandu dan penumpang hadapan
- Tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat hala
- Fungsi memori tempat duduk penumpang hadapan
- Perehat kaki (leg rest) terbina untuk penumpang hadapan

Gabungan ciri-ciri ini menjadikan Proton e.MAS 7 Premium Plus antara model paling lengkap dalam segmennya, terutama bagi pengguna yang mengutamakan keselesaan ketika perjalanan jauh.
Pakej Power Pack Plus dan Rebat Pelancaran
Bersempena pelancarannya, Proton menawarkan pakej Power Pack Plus yang merangkumi pelbagai manfaat tambahan kepada pelanggan, termasuk:
Power Exchange
- Yuran pemprosesan trade-in percuma
- Tambahan nilai trade-in RM5,000 untuk pemilik Proton sedia ada
Power Home
- Wallbox pengecas 7kW percuma bernilai RM1,500
Power Plus
- Penukar Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM500
Power Online
- Data internet tanpa had selama lima tahun bernilai RM1,800
Power Thru
- Waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan
- Waranti bateri voltan tinggi dan komponen selama lapan tahun atau 160,000km
Manfaat Tambahan
- Penutup ruang kargo (tonneau cover) percuma
Harga Proton e.MAS 7 Premium Plus
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:
| Varian | Harga Asal |
|---|---|
| Premium Plus | RM125,800 |
| Premium | RM119,800 |
| Prime | RM103,800 |
Sempena pelancaran, Proton turut menawarkan rebat khas RM7,000 untuk semua varian Proton e.MAS 7 bagi tempoh terhad:
| Varian | Harga Promosi |
| Premium Plus | RM118,800 |
| Premium | RM112,800 |
| Prime | RM96,800 |
Dengan penawaran ini, Proton e.MAS 7 Prime kini kembali berada dalam kategori EV bawah RM100,000, sekali gus menjadikannya antara pilihan paling kompetitif dalam pasaran EV tempatan.
Kehadiran Proton e.MAS 7 Premium Plus menunjukkan komitmen PRO-NET untuk terus memperkukuhkan penawaran EV nasional dengan memenuhi keperluan pengguna yang mahukan jarak pemanduan lebih jauh tanpa mengorbankan keselesaan.
Dengan gabungan bateri lebih besar, ciri premium seperti tempat duduk urut dan leg rest, serta harga promosi yang kompetitif, Proton e.MAS 7 Premium Plus dilihat mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk beralih kepada mobiliti elektrik sebagai kenderaan harian mahupun untuk perjalanan jarak jauh.
Baca Juga : PROTON Lancar Ekspedisi 10000 sMILEs Merentasi Borneo Sempena Visit Malaysia 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!







