Ads

HRC Lancar Program Biasiswa Untuk Bangunkan Generasi Pelumba MotoGP

Honda Racing Corporation (HRC) Lancar Program Baharu Buru Bakat Pelumba Muda Ke Pentas MotoGP

Honda Racing Corporation (HRC) bakal memperkenalkan program pembangunan pelumba baharu dikenali sebagai Honda Racing School & Scholarship bermula pada 2027, sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan lebih ramai pelumba yang mampu bersaing di pentas perlumbaan motosikal dunia.

Program berasaskan perlumbaan antarabangsa itu akan memberi tumpuan kepada pendedahan di Eropah, dengan sasaran menyediakan pengalaman kompetitif pada standard global kepada pelumba sejak usia remaja.

Matlamat akhirnya adalah untuk membuka laluan kepada pelumba muda menuju ke kategori tertinggi seperti MotoGP, yang merupakan kelas premier dalam Kejuaraan Dunia Grand Prix FIM.

Laluan Ke MotoGP Kini Semakin Berubah

Menurut HRC, landskap pembangunan pelumba dunia telah berubah dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika sebelum ini kejayaan dalam kejohanan domestik menjadi antara laluan utama untuk seseorang pelumba bergerak ke MotoGP, kini prestasi dalam perlumbaan antarabangsa sejak usia muda semakin memainkan peranan penting.

Antara laluan yang semakin lazim digunakan bermula menerusi kategori Moto4, yang bertindak sebagai platform asas kepada pelumba muda.

Ia termasuk saingan seperti Idemitsu Moto4 Asia Cup yang terbuka kepada pelumba berusia 14 tahun dan ke atas.

Selepas membina pengalaman di peringkat berkenaan, pelumba berpeluang melangkah ke kejohanan seperti FIM Moto3 Junior World Championship dan Moto2 European Cup di Eropah.

Prestasi yang konsisten kemudian boleh membuka laluan ke kelas Moto3 dan Moto2 dalam Kejuaraan Dunia Grand Prix FIM, sebelum berpeluang untuk mara ke MotoGP.

HRC Lancar Program Biasiswa Untuk Bangunkan Generasi Pelumba MotoGP

Ads

Biasiswa Bagi Membantu Kos Perlumbaan

Menerusi Honda Racing School & Scholarship, HRC mahu memberikan lebih banyak peluang kepada pelumba muda untuk mendapatkan pengalaman berlumba di Eropah sebelum memasuki peringkat profesional dunia.

Sebagai sebahagian daripada program tersebut, HRC akan memperkenalkan sistem biasiswa baharu yang akan menanggung sebahagian kos penyertaan pelumba dalam kategori Moto4 dan Moto3 Junior.

Langkah ini dijangka membantu mengurangkan beban kewangan pelumba muda serta keluarga mereka, sekali gus membuka peluang untuk mereka bersaing dalam persekitaran perlumbaan bertaraf antarabangsa lebih awal.

Pada masa sama, pengalaman berlumba di luar negara juga membolehkan pelumba menyesuaikan diri dengan tahap persaingan, litar, gaya tunggangan serta tekanan perlumbaan yang berbeza berbanding kejohanan domestik.

Honda Sudah Lama Bangunkan Pelumba Muda

Program pembangunan bakat bukan sesuatu yang baharu bagi Honda.

Selain Honda Racing School Suzuka (HRS) di Jepun, HRC turut menjalankan beberapa program pembangunan pelumba berasaskan perlumbaan di rantau Asia.

Antara kejayaan yang lahir daripada ekosistem berkenaan ialah Somkiat Chantra, yang pernah beraksi dalam MotoGP pada 2025 dan kini bersaing dalam Kejuaraan Dunia Superbike FIM.

Ads

Seorang lagi ialah Mario Aji, yang kini beraksi dalam kelas Moto2 bersama Idemitsu Honda Team Asia.

Dengan pengalaman tersebut, Honda Racing School & Scholarship bakal dijadikan antara teras utama strategi pembangunan pelumba HRC pada masa hadapan.

HRC Mahu Lahirkan Pelumba Yang Mampu Menang Di Peringkat Dunia

Presiden Honda Racing Corporation, Koji Watanabe, berkata persekitaran pembangunan pelumba menuju MotoGP dan kategori perlumbaan tertinggi dunia kini telah berubah dengan ketara.

Menurutnya, pengalaman dalam perlumbaan antarabangsa sejak usia muda semakin penting sekiranya seseorang pelumba mahu bersaing di peringkat tertinggi.

Justeru, HRC mahu memperluaskan skop program pembangunan pelumbanya bagi melahirkan generasi baharu yang bukan sekadar mampu menyertai kejohanan dunia, malah mempunyai keupayaan untuk bersaing merebut kemenangan.

HRC turut melihat inisiatif tersebut sebagai kesinambungan kepada falsafah Honda menerusi semangat “The Power of Dreams” dan “Challenge” dalam dunia sukan permotoran.

Ads

HRC

Honda Racing School Bermula Sejak 1992

Sejarah sekolah perlumbaan Honda bermula pada 1992 menerusi penubuhan Suzuka Circuit Racing School Junior (SRS-J), yang kini dikenali sebagai kelas Moto.

Program tersebut kemudiannya diperluaskan menerusi Suzuka Circuit Racing School Kart pada 1993 dan kelas Formula pada 1995.

Pada 2022, institusi berkenaan secara rasmi dinamakan semula sebagai Honda Racing School Suzuka (HRS).

Pelumba dan pemandu perlumbaan berpengalaman dari Jepun serta pentas antarabangsa turut terlibat sebagai tenaga pengajar dalam usaha membimbing generasi baharu.

Dengan pengenalan Honda Racing School & Scholarship pada 2027, Honda kini mengambil satu lagi langkah besar dengan membawa pembangunan pelumba muda ke persekitaran perlumbaan antarabangsa lebih awal.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi peluang kepada bakat muda menguji kemampuan pada standard dunia, malah berpotensi mewujudkan laluan yang lebih tersusun daripada kategori pembangunan seperti Moto4 sehinggalah ke MotoGP.

Baca Juga : Honda HRC Sah Ikat Fabio Quartararo dan David Alonso Untuk MotoGP 2027

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

Honda EV Outlier Concept Raih Anugerah Red Dot 2026

Red Dot 2026 Iktiraf Honda EV Outlier Concept Honda sekali lagi menerima pengiktirafan antarabangsa apabila EV Outlier Concept dinobatkan sebagai pemenang Red Dot Design Award...