Porsche Cayenne 2026 Malaysia, SUV Prestasi Kini Lebih Versatil & Premium
Porsche Malaysia, menerusi Sime Darby Auto Performance, kini membuka tempahan untuk Porsche Cayenne pemasangan tempatan (CKD) bagi tahun model 2026 pada harga bermula RM609,000.
Bagi kemas kini terbaharu ini, Cayenne tampil dengan penambahbaikan dari segi rekaan luaran, sambungan digital, serta kelengkapan standard yang dipertingkat khusus untuk pasaran Malaysia.
Tampil Lebih Garang Dengan Rim 21 inci Sebagai Standard
Antara perubahan paling ketara pada Porsche Cayenne 2026 ialah penggunaan rim 21 inci RS Spyder sebagai kelengkapan standard. Sebelum ini ditawarkan sebagai pilihan tambahan, rim bersaiz lebih besar ini bukan sahaja memberikan imej lebih tegap dan sporty, malah turut menyerlahkan lagi karakter dinamik SUV mewah tersebut di atas jalan raya.
Gabungan rim baharu ini melengkapkan identiti Cayenne yang sememangnya sudah cukup menyerlah, menerusi rekaan bonet berotot, bahagian hadapan yang lebih lebar serta lampu utama Matrix LED yang menjadi signatur moden Porsche.

Kelengkapan Standard Dipertingkat Untuk Pasaran Malaysia
Bagi versi tahun model 2026, Porsche Malaysia turut menambah beberapa ciri premium sebagai standard. Antaranya termasuk Adaptive Cruise Control, Sport Chrono Package, sistem audio BOSE Surround Sound dan pintu soft-close.

Penawaran ini menjadikan Cayenne bukan sahaja lebih mewah, tetapi juga lebih praktikal dan selesa untuk kegunaan harian.
Warna Arctic Grey Jadi Pilihan Baharu
Bagi mereka yang mahukan kelainan, Porsche Malaysia turut memperkenalkan satu warna luaran baharu iaitu Arctic Grey, yang akan mula ditawarkan bermula Julai.
Warna ini sebelum ini pernah digunakan pada 718 Cayman GT4 RS dan kini turut tersedia pada model 911, sekali gus membawa aura prestasi yang lebih menonjol kepada Cayenne.

Selain Arctic Grey, Cayenne CKD turut ditawarkan dalam beberapa pilihan warna lain seperti Carrara White Metallic, Chromite Black Metallic dan Quarzite Grey Metallic, namun sesetengah warna ditawarkan dalam unit terhad.
Porsche Connect Kini Sehingga 10 tahun
Satu lagi pembaharuan penting untuk Cayenne 2026 ialah penawaran Porsche Connect yang kini dipanjangkan sehingga 10 tahun.
Ini membolehkan pemilik menikmati pengalaman digital yang lebih lancar menerusi integrasi antara kenderaan dan telefon pintar, termasuk akses kepada navigasi, maklumat masa nyata serta beberapa fungsi kawalan jauh melalui aplikasi Porsche.
Ciri ini jelas menjadikan Cayenne lebih relevan dengan keperluan pengguna moden yang mahukan kemudahan digital sebagai sebahagian daripada pengalaman pemilikan.
Enjin V6 Turbo Kekal Mantap
Dari sudut prestasi, Porsche Cayenne 2026 masih menggunakan enjin 3.0 liter V6 turbo yang menghasilkan 353 PS dan 500 Nm tork.
Kuasa ini dipadankan dengan sistem Porsche Active Suspension Management (PASM) yang hadir secara standard, memastikan keseimbangan antara pengendalian tajam dan keselesaan pemanduan terus kekal menjadi keutamaan.
Karakter ini menjadikan Cayenne sesuai digunakan dalam pelbagai situasi, sama ada untuk kegunaan bandar, perjalanan jauh di lebuh raya mahupun laluan yang lebih mencabar.

Ruang Kabin Digital dan Praktikal
Di bahagian dalam, Porsche Driver Experience terus menjadi fokus utama dengan susun atur kokpit yang lebih mesra pemandu. Cayenne hadir dengan kluster instrumen digital sepenuhnya bersaiz 12.6 inci bersama skrin tengah Porsche Communication Management (PCM) bersaiz 12.3 inci sebagai standard.
Untuk aspek praktikaliti, ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti sehingga 772 liter, dan boleh diperluaskan kepada 1,708 liter apabila tempat duduk belakang 40:20:40 dilipat. Ini menjadikan Cayenne antara SUV prestasi yang bukan sahaja laju, tetapi juga sangat praktikal untuk kegunaan keluarga dan aktiviti harian.

Cayenne S E-Hybrid Coupé Untuk Mereka Yang Mahukan Lebih Kuasa
Turut ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia ialah Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé, dengan harga bermula RM739,000.
Model ini membawa imej lebih sporty menerusi garis bumbung ‘flyline’ ala 911, selain turut menerima rim 21 inci RS Spyder sebagai standard.
Model ini digerakkan oleh kombinasi enjin V6 bersama motor elektrik 130 kW, menghasilkan kuasa keseluruhan 519 PS. Hasilnya, Cayenne S E-Hybrid Coupé menawarkan prestasi lebih tinggi dengan keseimbangan antara kuasa, kecekapan dan pengalaman pemanduan yang kekal berciri Porsche.

Pakej Exclusive Manufaktur Tambah Sentuhan Lebih Eksklusif
Bagi pelanggan yang ingin menjadikan Cayenne mereka tampil lebih istimewa, Porsche turut menawarkan Exclusive Manufaktur Package.
Pakej ini menambah elemen visual lebih sporty dan eksklusif seperti lampu belakang LED gelap dengan jalur cahaya, cermin sisi mengikut warna badan, serta Sport Design Package dengan kemasan apron hadapan dan belakang, side skirt serta kemasan arca roda dalam warna badan.
Turut melengkapkan pakej ini ialah lampu ‘courtesy’ pintu dengan logo PORSCHE LED, perehat tangan konsol tengah dengan emboss logo Porsche Crest dan kunci kenderaan yang dipadankan dengan kemasan khas.

Tempahan Kini Dibuka
Secara keseluruhannya, Porsche Cayenne CKD 2026 hadir sebagai SUV prestasi premium yang semakin lengkap dari segi gaya, teknologi dan praktikaliti.
Dengan harga bermula RM609,000 untuk Cayenne dan RM739,000 bagi Cayenne S E-Hybrid Coupé, model ini terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara penanda aras utama dalam segmen SUV prestasi mewah di Malaysia.
Baca Juga : Naquib Azlan Wakili Porsche Malaysia Dalam Porsche Carrera Cup Asia 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






