BMW M RR Limited Edition Isle of Man TT Inspirasi Dari Perlumbaan Jalan Raya Paling Lagenda
BMW Motorrad memperkenalkan model eksklusif terbaru mereka, M RR Limited Edition Isle of Man TT, sebuah superbike edisi terhad yang diinspirasikan daripada perlumbaan jalan raya paling mencabar di dunia, iaitu Isle of Man TT.
Model ini dibangunkan sebagai penghormatan kepada kejayaan BMW di perlumbaan tersebut, termasuk pencapaian catatan lap terpantas menggunakan jentera M 1000 RR. Lebih istimewa, hanya 115 unit dihasilkan untuk pasaran global, menjadikannya antara model paling eksklusif pernah dihasilkan BMW Motorrad.

Berasaskan BMW M 1000 RR
Di bahagian prestasi, model ini menggunakan asas daripada BMW M 1000 RR yang sememangnya dibangunkan untuk kegunaan litar.
Ia dijana enjin empat silinder sebaris berprestasi tinggi yang menghasilkan 205 hp, selain mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 195 mph atau lebih 313 km/j.
Sistem aerodinamik lengkap dengan winglet turut dipasang secara standard bagi membantu kestabilan ketika tunggangan berkelajuan tinggi. Casis pula menerima talaan berorientasikan perlumbaan bersama pakej M Competition Package bagi memberikan pengendalian lebih agresif sama ada di jalan raya mahupun di litar.

M RR Limited Edition Isle of Man TT :Warna British Racing Green Jadi Pilihan Utama
Antara elemen paling menyerlah pada model ini ialah penggunaan warna ikonik British Racing Green dengan kemasan matte, simbolik kepada sejarah panjang perlumbaan Isle of Man TT.
Gabungan warna tersebut bersama permukaan Exposed carbon, grafik minimalis serta komponen gentian karbon matte menjadikan motosikal ini tampil lebih eksklusif dan agresif.
BMW turut menggunakan tangki aluminium satin chrome bagi menaikkan lagi aura premium superbike edisi khas ini.

Setiap Unit M RR Limited Edition Isle of Man TT Hadir Dengan Nombor Siri Khas Dan Unik
Setiap unit M RR Limited Edition Isle of Man TT hadir dengan nombor siri khas yang diukir menggunakan laser pada bahagian fork bridge.
Pembeli juga akan menerima sijil pengesahan rasmi sebagai bukti pemilikan model edisi terhad tersebut.
Bukan itu sahaja, model ini turut dilengkapi beberapa aksesori premium termasuk tempat duduk kemasan gaya Alcantara dengan logo TT sulaman, swingarm berwarna hitam, M Cover Kit untuk kegunaan litar, rear paddock stand serta karpet khas dengan penjenamaan M dan TT.

Sentuhan Khas Isle of Man TT Pada Setiap Sudut
BMW Motorrad turut menyuntik beberapa elemen unik berkaitan Isle of Man TT pada motosikal ini.
Antaranya termasuk grafik laluan legenda Mountain Course pada penutup airbox karbon, pelekat khas TT serta kemasan rekaan yang diinspirasikan daripada budaya perlumbaan jalan raya tersebut.

Secara keseluruhan, model ini bukan sekadar sebuah motosikal berprestasi tinggi, tetapi juga simbol penghormatan terhadap sejarah dan semangat perlumbaan Isle of Man TT yang cukup ikonik dalam dunia motosikal.
Baca Juga : BMW Motorrad Dedah Konsep RR – Petanda Awal Generasi Superbike Masa Depan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






