CFMOTO 675NK: Naked Bike Terkini yang Serba Moden, Lincah dan Berteknologi Tinggi
Selepas kejayaan pelancaran model kembara 800MT-X di pembukaan rasmi CFMOTO Flagship Store oleh Men Huat Motors Sdn. Bhd., jenama motosikal ini terus mengorak langkah agresif di pasaran Malaysia dengan memperkenalkan model naked-bike terbaharu yang diberi nama CFMOTO 675NK.
Motosikal ini adalah sebuah motosikal serba fleksibel dan direka khusus untuk kegunaan harian serta tunggangan dalam bandar yang sporty.
Rekaan Agresif, Pilihan Warna Bergaya
Ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Glacier White dan Tundra Grey, CFMOTO 675NK tampil dengan gaya minimalis moden yang menarik.
Dengan harga permulaan RM33,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), ia membuka peluang kepada ramai untuk merasai kehebatan enjin tiga silinder dalam segmen pertengahan.
Tempahan kini dibuka di semua pengedar sah CFMOTO seluruh negara.
Enjin Tiga Silinder Berkuasa Tinggi
Dikuasakan oleh enjin 675cc 3-silinder sebaris DOHC dengan penyejukan cecair, 675NK menjana kuasa maksimum 70kW pada 11,000rpm dan tork 70Nm pada 8,250rpm.
Ini merupakan satu angka yang menjanjikan prestasi mengujakan sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya.
Dengan piston dan lejang 72mm x 55.2mm serta nisbah mampatan 11.5:1, motosikal ini bukan sahaja berkuasa malah cekap penggunaan bahan api.
Ads
Sistem Bosch EFI menjamin penyaluran bahan api yang responsif dan lancar dalam pelbagai situasi tunggangan.
Pengendalian dan Keselesaan Bertaraf Tinggi
Turut dilengkapi dengan quickshifter (upshift), slipper clutch, serta transmisi 6-kelajuan.
Steering damper pula membantu meningkatkan kestabilan ketika mengambil selekoh tajam dan pada kelajuan tinggi.
Sistem suspensi terdiri daripada fork USD boleh laras φ41mm di hadapan dan penyerap hentak belakang monoshock.
Kedua-duanya dengan panjang 130mm memberikan keseimbangan antara kestabilan dan keselesaan dalam pelbagai keadaan jalan.
Ads
Ciri Dimensi & Ergonomik Mesra Pengguna
Dengan dimensi 2,020mm panjang, 849mm lebar, dan 1,155mm tinggi, jarak roda 1,400mm serta berat hanya 189kg.
Motosikal ini cukup mudah dikawal dan mesra penunggang pelbagai saiz.
Ketinggian tempat duduk 810mm menjadikannya selesa untuk kegunaan harian, manakala tangki 15 liter membolehkan perjalanan lebih jauh.
Ads
Brek Premium dan Cengkaman Maksimum
Menggunakan jenama brek J.Juan, 675NK dilengkapi cakera berkembar 300mm di hadapan (kaliper 4 piston) dan cakera tunggal 240mm di belakang (kaliper 1 piston).
Ditambah pula dengan sistem ABS dua saluran untuk prestasi membrek yang lebih stabil dan selamat.
Rim aloi ringan dengan tayar CST bersaiz 120/70 R17 (depan) dan 180/55 R17 (belakang) pula menjamin cengkaman dan kestabilan di pelbagai permukaan jalan.
Keselamatan Tambahan & Teknologi Terkini
Model ini turut hadir dengan Traction Control System (TCS) dengan dua tahap kawalan, sistem TPMS (Pemantauan Tekanan Tayar), serta sistem pencahayaan LED penuh.
Untuk keselesaan harian, 675NK dilengkapi dengan port USB Type-A & Type-C, serta sokongan aplikasi CFMOTO Ride App.
Jaminan Tanpa Had Perbatuan
Setiap pembelian CFMOTO 675NK disertakan dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan dan Ini membuktikan komitmen CFMOTO terhadap kepuasan pemiliknya.
Art of Speed Malaysia 2026 (AOS 2026) bakal kembali menggegarkan Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada 1 dan 2 Ogos 2026 dengan skala penganjuran yang lebih besar, meriah dan penuh dengan aktiviti yang melibatkan jentera-jentera unik, muzik, seni serta budaya kustom.
Mengangkat tema “Summer Festival – Kustom Bergaya”, acara tahunan kustom dan budaya alternatif terbesar di Malaysia itu akan berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam pada kedua-dua hari.
SoundCircus Festival pula akan diteruskan sehingga jam 12.00 tengah malam.
Antara tarikan utama penganjuran tahun ini ialah kemunculan sulung pengasas Liberty Walk, Wataru Kato dari Jepun. Kehadiran nama besar dalam arena modifikasi global itu dijangka menjadi antara detik yang dinantikan oleh peminat kereta kustom tempatan.
Selain Wataru Kato, AOS 2026 turut membawa barisan tetamu antarabangsa daripada komuniti automotif, motosikal, seni dan media.
Antaranya ialah Emi Suganuma, Michihisa “NATQQ” Shinotsuka dan Sohei Murakami dari MOONEYES Jepun, Yokomizo Gaku dari Hawgholic, Yoshiki Okubo dari Vise Clothing serta Scott Walker dari DicE Magazine, Amerika Syarikat.
Turut hadir ialah Ronald Wong, pereka produk utama bagi rangkaian Hot Wheels Premium, wakil Banzai Racing dari Jepun dan Taiwan, Boo Pinstriping, Jetwrench ArtStudio, Vibes Magazine serta penggiat budaya kustom dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei.
Peminat motosikal klasik kustom berpeluang melihat dua jentera istimewa yang dibawa khas dari Jepun.
Hawgholic bakal mempamerkan sebuah Harley-Davidson Knucklehead keluaran 1945, manakala Vise Clothing akan membawa sebuah Harley-Davidson Shovelhead tahun 1966 yang telah diberikan sentuhan kustom tersendiri.
AOS 2026 juga akan menampilkan pameran kereta kustom dari Bangkok, Thailand dan Taiwan, selain beberapa jentera yang dibawakan bersempena kehadiran Liberty Walk.
SoundCircus Festival kembali dengan skala terbesar pernah dianjurkan apabila enam pentas akan dibuka di kawasan dalam dan luar MAEPS.
Barisan artis tahun ini termasuk Ella bersama Cokelat, Sheila Majid menerusi segmen Jemput Dengar, Nadin Amizah, Disagree, Johnny Pandora, Dannqrack & Eemrun, Tenxi dan Hari Slatan.
Festival tersebut turut meraikan ulang tahun ke-20 kumpulan Hujan serta 30 tahun gerakan Asian Hardcore.
SoundCircus berlangsung pada 1 dan 2 Ogos, bermula jam 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Harga tiket kemasukan umum SoundCircus ditawarkan pada RM149, manakala pembelian berkumpulan minimum tiga orang berharga RM135 seorang.
Tiket Rockzone pula berharga RM199 atau RM189 seorang bagi pembelian berkumpulan minimum tiga orang. Pas kemasukan umum sehari ditawarkan pada harga RM89.
Ibu bapa atau penjaga perlu mengawasi kanak-kanak dan remaja yang menghadiri acara SoundCircus.
Selepas sekian lama dinantikan, pertandingan AOS Invitational Build-Off kembali dengan penyertaan lapan pembina motosikal kustom tempatan.
Mereka ialah Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC.
Selain merebut hadiah wang tunai, pemenang akan mendapat peluang membawa hasil binaan mereka ke pentas antarabangsa menerusi The 34th Yokohama Hot Rod Custom Show 2026 di Jepun.
Buat julung kalinya, AOS 2026 memperkenalkan Car & Motorcycle Red Carpet Photo Zone di kawasan pintu masuk utama.
Setiap kereta dan motosikal yang melalui gerbang acara berpeluang dirakam seperti jentera selebriti di atas karpet merah. Kawasan tersebut akan dilengkapi pencahayaan tambahan bagi menghasilkan gambar yang lebih menarik.
AOS turut mengumumkan sepuluh kerjasama strategik baharu bagi edisi 2026.
Ia melibatkan kolaborasi bersama Liberty Walk, Hot Wheels, DicE Magazine, Xocks, DRUM, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood.
Kerjasama tersebut memperkukuhkan kedudukan AOS sebagai antara hab budaya automotif dan gaya hidup alternatif utama di rantau ini.
Dalam perkembangan lain, AOS 2026 akan bekerjasama dengan Astro Shaw bagi mempromosikan filem Terbang.
Antara aktiviti yang dirancang termasuk sesi bertemu peminat, aktiviti promosi serta pameran eksklusif kenderaan utama yang digunakan dalam filem tersebut.
Peminat diecast pastinya tidak mahu melepaskan peluang mengunjungi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Hall C.
Memasuki edisi keempat, konvensyen itu akan menampilkan zon aktiviti baharu, pameran dan pertandingan diorama, aktiviti jual beli serta pertukaran Hot Wheels dan sesi perkongsian bersama pengumpul.
Model eksklusif HWCCM bagi tahun ini ialah Nissan Skyline GT-R V-Spec II BNR34. Setiap unit hadir dengan nombor siri unik, lesen rasmi Nissan serta pelekat Motul dan Yokohama.
Model itu ditawarkan dalam kuantiti terhad dan dijual berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.
Pengunjung bertuah juga berpeluang bertemu Ronald Wong, pereka utama Hot Wheels Premium yang bertanggungjawab terhadap rangkaian Car Culture, Boulevard, 2-Car Packs dan Collector Sets.
Antara rekaan beliau ialah Nissan Skyline GT-R BNR34, McLaren F1 GTR 1997, Honda Civic Type R 2007 dan Honda Civic Type R 2024.
Bersempena pelancaran model khas tersebut, Malaysia Skyline Owners Group akan mengadakan pameran khas barisan Nissan Skyline GT-R di Hall C.
Beberapa model diecast eksklusif turut akan dilancarkan dan hanya boleh didapati sepanjang AOS 2026.
Ia termasuk model kerjasama Kyosho x MOONEYES, Tarmac Works x RWB serta Mini GT x Liberty Walk.
Hall C juga akan menempatkan Collectible Alley, sebuah ruang jualan khas untuk diecast, memorabilia dan barangan koleksi automotif.
Hall A sekali lagi menjadi lokasi utama pertandingan dan pameran Show & Shine.
Antara segmen baharu diperkenalkan ialah Chopper Paradise dengan kerjasama DicE Magazine, pameran trak pikap kustom menerusi Pick-Up Line serta pameran antarabangsa yang menghimpunkan jentera modifikasi dari Thailand.
Pemenang Best of Show bagi kategori kereta dan motosikal akan memenangi perjalanan ke Yokohama Hot Rod Custom Show pada Disember 2026.
Hall D pula akan menampilkan pelbagai aktiviti gaya hidup dan subbudaya.
Gravel Travel menghimpunkan basikal kustom dan modifikasi menerusi pameran, pertandingan serta aktiviti komuniti yang dikendalikan KL Orbits.
Kulture Kartel pula menjadi lokasi bagi peminat pakaian vintaj, barangan preloved, fesyen dan streetwear. Pertandingan B-Boy dan rap battle dijadualkan berlangsung pada Ahad.
Turut diadakan ialah pertunjukan fesyen eksklusif daripada Sunburst Tribe.
Sebuah Kids Recreation Zone turut disediakan di Hall D sebagai ruang interaktif dan santai untuk keluarga.
Kawasan luar MAEPS akan menjadi lokasi Brotherhood Rally di ThunderCircus.
Ruang tersebut dikhaskan untuk kelab motosikal, komuniti penunggang dan pemilik pelbagai jenama dari Malaysia serta negara serantau.
Antara tarikan utama ialah aktiviti mega ride-in yang dijangka menghimpunkan sejumlah besar motosikal sepanjang hujung minggu.
AOS 2026 turut menyediakan kawasan khusus untuk perhimpunan komuniti.
Santai Scooterist akan menghimpunkan pemilik skuter di kawasan luar Laman Tiba, manakala perhimpunan kelab kereta moden dan klasik akan diadakan dengan kerjasama Qartel TV.
Peminat basikal pula boleh menyertai KL Orbits, sebuah perhimpunan dan pertandingan khas yang diperkenalkan untuk komuniti kayuhan.
Daniel Sherman Fernandez dari DSF akan mengendalikan forum tahunan Kustom & Koffee Talk pada Sabtu, jam 2.00 petang di Hall A.
Forum itu akan menampilkan panel antarabangsa yang membincangkan perkembangan dan trend terkini dalam industri kereta serta motosikal.
Antara aktiviti paling unik tahun ini ialah Flying Fox yang dipasang merentasi kawasan pentas SoundCircus.
Pengunjung berpeluang meluncur di atas penonton konsert berhampiran Pentas 16. Aktiviti tersebut boleh disertai tanpa perlu membeli tiket SoundCircus.
AOS turut menyediakan Test Ride Zone yang membolehkan pengunjung mencuba motosikal daripada jenama seperti Royal Enfield, Vespa, Aprilia, Triumph, Lambretta, Harley-Davidson dan Thunder.
Beberapa pelancaran produk baharu serta pemberian sampel makanan percuma daripada rakan penaja juga akan berlangsung di pentas utama.
Peminat komponen lama boleh mengunjungi Automotive Flea Market untuk mencari alat ganti, aksesori dan barangan automotif yang jarang ditemui.
Kawasan luar turut menempatkan medan selera dan trak makanan, manakala Payung Kopi berhampiran pintu masuk Hall D menyediakan ruang santai untuk menikmati kopi serta pastri.
Backdoor SoundSystem Collective pula akan menghiburkan pengunjung di kawasan bersebelahan Payung Kopi sepanjang acara berlangsung.
Aktiviti Kembara Passport kembali dan kini dibuka kepada semua pemegang tiket tanpa mengira kategori.
Pengunjung hanya perlu melawat reruai korporat dan rakan penaja sebelum menyelesaikan tugasan mudah bagi mendapatkan cop.
Mereka yang berjaya mengumpul kesemua 24 cop berpeluang memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 serta pakej perjalanan eksklusif bersama Art of Speed Malaysia.
Tiga hadiah utama yang ditawarkan ialah sebuah motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles, sebuah Honda HR-V yang telah diubah suai oleh Qartel TV dan sebuah Vespa S 125.
Pas hujung minggu AOS 2026 ditawarkan menerusi promosi Early Bird dalam talian pada harga RM35, tidak termasuk caj pemprosesan RM3.
Harga tiket di pintu masuk pula ialah RM40.
Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan pemegang kad Orang Kurang Upaya diberikan kemasukan percuma.
Pengunjung yang mahukan kemudahan tambahan boleh mendapatkan tiket parkir Valet VIP pada harga RM30 sehari. Bayaran secara tunai atau kod QR boleh dibuat pada hari acara dan kenderaan akan ditempatkan di aras bawah Hall D.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, penganjuran tahun ini menandakan perjalanan 15 tahun AOS bersama komuniti, peminat dan rakan media.
Menurutnya, AOS 2026 merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah festival bertaraf antarabangsa yang menggabungkan gaya hidup automotif dengan pengalaman muzik secara menyeluruh.
Beliau turut menyifatkan kehadiran pertama Liberty Walk di AOS sebagai satu pencapaian bersejarah kepada perkembangan budaya kustom di rantau ini.
Kehadiran dua pembina motosikal legenda dari Jepun, Yoshiki Okubo dan Yokomizo Gaku, turut dijangka menjadikan edisi kali ini antara penganjuran AOS paling istimewa.
Art of Speed Malaysia 2026 berlangsung pada 1 dan 2 Ogos 2026 di MAEPS Serdang. Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh dilakukan melalui laman web rasmi Art of Speed Malaysia.
Sunway Marketing, rakan pengedar utama yang dilantik oleh Zeekr Malaysia, hari ini merasmikan pembukaan Zeekr Space Sunway City dan Zeekr Sunway Service Centre, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran jenama kenderaan elektrik premium dari China itu di pasaran tempatan.
Kedua-dua fasiliti ini dibangunkan dengan pelaburan melebihi RM10 juta, sebagai sebahagian daripada komitmen Sunway dalam mempertingkatkan pengalaman pelanggan Zeekr di Malaysia.
Zeekr Space Sunway City kini menempati ruang seluas 11,100 kaki persegi di tapak bekas helipad ikonik Sunway City Kuala Lumpur, di sepanjang Persiaran Lagoon.
Ia menampilkan enam ruang pameran kenderaan bagi mempamerkan model terkini seperti Zeekr X dan Zeekr 009.
Terdapat juga dua ruang penghantaran kenderaan khas untuk pemilik baharu.
Untuk keselesaan pelanggan, fasiliti ini turut dilengkapi dengan ruang istirahat premium, stesen perbincangan bersama pakar jualan dan produk, serta empat unit pengecas AC, dengan kemudahan pengecas pantas DC yang akan diperkenalkan pada masa akan datang.
Melengkapi ruang pameran utama ini adalah Zeekr Sunway Service Centre yang terletak tidak jauh dari showroom, di Jalan Lagoon Selatan.
Pusat servis ini dilengkapi kemudahan terkini untuk diagnosis dan penyelenggaraan kenderaan, serta dikendalikan oleh pasukan juruteknik bertauliah Zeekr.
Selain itu, pusat servis ini juga mempunyai ruang simpanan alat ganti yang luas, memastikan keperluan servis pelanggan sentiasa dipenuhi.
Dengan keluasan awal 10,000 kaki persegi, pusat ini telah direka untuk berkembang sehingga 20,000 kaki persegi, sejajar dengan jangkaan pertumbuhan pemilik kenderaan Zeekr di Malaysia.
Sejak penghantaran pertama pada Disember 2024, Sunway Marketing telah berjaya menyerahkan lebih 600 unit Zeekr di seluruh negara.
“Pelancaran Zeekr Sunway ini membawa makna besar, bukan sahaja untuk jenama Zeekr di Malaysia tetapi juga untuk komuniti di Sunway City.
Ia menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kami menjadikan pengalaman memiliki kenderaan NEV premium lebih mudah, menyeronokkan dan mampan,”
ujar Yeoh Yuen Chee, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Trading & Manufacturing.
Sempena pelancaran rasmi ini, pelanggan berpeluang memenangi Zeekr X Premium menerusi peraduan “Win-a-Zeekr” Customer Appreciation Contest 2025.
Peraduan ini terbuka kepada semua yang membeli dan menerima kenderaan mereka dari Zeekr Space Sunway City atau Zeekr Space Petaling Jaya sebelum 30 September 2025.
Pelanggan akan menerima satu hingga tiga penyertaan cabutan bertuah.
Ianya juga bergantung kepada model yang dibeli (Zeekr X – 1 penyertaan, Zeekr 7X – 2 penyertaan, Zeekr 009 – 3 penyertaan).
Zeekr Space Sunway City: Isnin–Sabtu: 9 pagi – 7 malam Ahad: 10 pagi – 5 petang
Zeekr Sunway Service Centre: Isnin–Jumaat: 9 pagi – 6 petang Sabtu: 9 pagi – 1 tengah hari
Sempena sambutan perayaan Deepavali, lebih 2.6 juta kenderaan sehari dijangka membanjiri lebuh raya utama yang menghubungkan pantai timur, utara, dan selatan bermula hari ini.
Peningkatan aliran trafik yang ketara ini dijangka berlaku menjelang hari perayaan.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Sazali Harun, sebanyak 2.13 juta kenderaan dijangka menggunakan rangkaian lebuh raya di bawah pengurusan PLUS Malaysia Berhad, manakala 198,000 kenderaan akan melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dijangka menampung 78,220 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan menerima 59,220 kenderaan.
Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dijangka bakal menampung sebanyak 153,700 kenderaan.
Bagi memastikan perjalanan pengguna lebuh raya kekal selamat dan lancar, Datuk Sazali memaklumkan bahawa LLM telah mengarahkan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya untuk membuat persiapan rapi.
“Pelbagai langkah telah diambil oleh semua pihak bagi menguruskan aliran trafik yang tinggi dan memastikan keselesaan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam usaha mengurangkan beban pengguna lebuh raya, kerajaan turut mengumumkan pemberian tol percuma selama dua hari.
Tol percuma akan bermula 12.01 tengah malam esok hingga 11.59 malam pada 30 Oktober (Rabu).
Ini diharap dapat memberikan sedikit kelonggaran kepada rakyat yang pulang ke kampung halaman untuk meraikan Deepavali.
Untuk kemudahan orang ramai, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh ini.
Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik atau sebarang insiden melalui saluran media sosial rasmi LLM, syarikat-syarikat konsesi, atau dengan menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.
Selain itu, pengguna juga boleh memantau keadaan trafik melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) di laman web rasmi LLM di https://www.llm.gov.my.
Datuk Sazali turut menasihatkan para pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan dengan bijak.
Anda boleh menggunakan aplikasi MyPLUS-TTA sebagai rujukan.
Pastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-dompet mereka mencukupi sebelum memulakan perjalanan.
Beliau juga mengingatkan penunggang motosikal supaya tidak menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan khas mereka.
Lorong ini juga bakal digunakan oleh kenderaan yang menghadapi kecemasan.
Dengan segala persiapan yang telah diatur oleh pihak LLM dan syarikat konsesi lebuh raya, diharapkan perjalanan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Deepavali akan menjadi lebih selamat, lancar, dan selesa.
Sumber: Astro AWANI
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...