Ford SuperVan 4.2 Catat Masa 6:48 di Nürburgring, Lebih Pantas Dari Mustang GTD
Ford kembali mencuri tumpuan di Nürburgring, bukan dengan Mustang GTD seperti yang ramai jangkakan, tetapi dengan sebuah van elektrik ekstrem SuperVan 4.2.
Dikendalikan oleh pemandu rali terkenal, Romain Dumas, jentera demonstrasi ini berjaya mencatatkan masa 6 minit 48.42 saat, empat saat lebih pantas berbanding Mustang GTD yang sebelum ini menjadi taruhan utama Ford di litar tersebut.
Lebih Pantas Dari Supercar Ikonik
Pprestasi SuperVan 4.2 bukan calang-calang.
Dengan catatan masa ini, ia menewaskan beberapa nama besar dunia supercar seperti Corvette ZR1X, Porsche 911 GT3 RS, dan Lamborghini Aventador SVJ.
Malah, ia hanya setengah saat lebih perlahan berbanding Mercedes-AMG GT Black Series, yang pernah memegang rekod rasmi Nürburgring untuk kereta produksi.
Memang benar, SuperVan menggunakan tayar slick perlumbaan penuh berbeza dengan kereta jalanan biasa namun perbandingan ini tetap menakjubkan kerana ia sebuah van dengan bentuk badan besar dan berat lebih 2 tan (4,400 lbs).
Ads
Homage Kepada Sabine Schmitz dan Top Gear
Inspirasi untuk membawa van mengelilingi Nürburgring bukanlah idea baru.
Menurut Michael Norton, pengurus program F1 dan demonstrasi Ford, projek ini tercetus daripada episod ikonik Top Gear pada tahun 2005.
Dalam episod tersebut, mendiang Sabine Schmitz, legenda Nürburgring, cuba membuktikan kelajuan van di litar tersebut.
“Sejak itu, impian untuk bawa van ke had paling ekstrem di ‘Ring sentiasa bermain di fikiran kami. Cuma kali ini kami ada van yang tepat, pemandu yang tepat, dan syarat yang tepat untuk realisasikan impian tersebut,” kata Norton.
Ads
Kuasa 2,000hp Dengan Empat Motor Elektrik
SuperVan 4.2 bukan sekadar van biasa yang diubah suai.
Ia dilengkapi empat motor elektrik dengan kuasa mencecah 2,000hp, digabungkan bersama pakej aerodinamik agresif yang dibangunkan khas untuk perlumbaan.
Kuasa luar biasa ini membolehkannya bukan sahaja pantas di Nürburgring, malah sudah membuktikan kebolehannya dengan kemenangan kelas di Pikes Peak 2023.
Ads
Ada Lagi Dari Ford
Ford tidak berhenti setakat ini.
Menurut Norton, syarikat tersebut turut menguji F-150 Lightning SuperTruck di Nürburgring pada hari yang sama, memberi bayangan lebih banyak aksi rekod baharu bakal menyusul.
“Buat masa ini, kami meraikan pencapaian ini, tetapi dalam masa sama ingin mengenang jasa Sabine Schmitz yang menjadi sebahagian daripada kisah luar biasa ini,” tambah Norton.
Dengan catatan masa yang hampir menewaskan supercar paling hebat dunia, Ford SuperVan 4.2 sekali lagi membuktikan bahawa bentuk van bukan halangan untuk menjadi antara jentera paling laju di planet ini.
Charles Leclerc cipta kemenangan gemilang di Grand Prix Itali selepas menggunakan strategi hentian pit tunggal. Pelan ini membolehkan beliau kekal di hadapan dan menghiburkan Tifosi (penyokong) dengan meraih P1 di hadapan McLaren.
Selepas permulaan yang baik dari petak pertama, Lando Norris pada mulanya berada di P1 sebelum Oscar Piastri memintasnya di chicane kedua pada lap pertama. Dari situ, pelumba Australia itu kekal di hadapan untuk sebahagian besar perlumbaan.
Namun begitu, ketika kebanyakan pelumba memilih strategi dua henti, Ferrari membuat keputusan berisiko untuk mencuba satu henti bagi Leclerc dan Carlos Sainz. Keputusan ini membuahkan hasil apabila kedua-dua pelumba Ferrari berada di hadapan pada peringkat akhir perlumbaan.
Charles Leclerc Juara!
Rakan Sepasukan Leclerc
Sainz, yang menyambut ulang tahunnya pada hari perlumbaan, tidak dapat mengekalkan kedudukannya kerana tayar yang semakin haus, membolehkan Piastri dan Norris memintasnya untuk meraih tempat kedua dan ketiga. Tetapi Leclerc berjaya bertahan untuk meraih kemenangan penuh emosi di tanah air Ferrari. Menamatkan perlumbaan 2.6 saat di hadapan Piastri.
Norris berjaya mencatatkan masa pusingan terpantas untuk meraih satu mata tambahan ketika dia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Sainz terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat, manakala Lewis Hamilton berada di tempat kelima untuk Mercedes.
Max Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat keenam, pelumba Belanda itu naik satu kedudukan dari tempat asalnya di grid. Red Bull berjaya mengekalkan kedudukan di hadapan George Russell dari Mercedes di tempat ketujuh, manakala Sergio Perez menambah tiga mata untuk Red Bull di tempat kelapan.
Permulaan Grid Monza 2024
2 Mata Terakhir
Ia adalah hari yang positif untuk Williams apabila Alex Albon meraih dua mata berharga di tempat kesembilan, manakala Kevin Magnussen menduduki tempat kesepuluh untuk Haas dalam hari yang penuh cabaran untuk pasukan itu, dengan kedua-dua pelumbanya menerima penalti masa untuk insiden yang berasingan.
Kelompok Belakang Grid
Fernando Alonso hampir memasuki kelompok 10 teratas, menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 untuk Aston Martin, manakala Franco Colapinto menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 dalam debut F1 bersama Williams. Daniel Ricciardo dari RB berada di tempat ke-13 selepas menerima dua penalti pada peringkat awal perlumbaan.
Esteban Ocon menjadi pelumba Alpine terbaik di tempat ke-14, di hadapan rakan sepasukannya Pierre Gasly di tempat ke-15. Valtteri Bottas dari Kick Sauber mengikuti di tempat ke-16.
Leclerc Di Hadapan Piastri
Nico Hulkenberg menamatkan hari di tempat ke-17 untuk Haas. Manakala Zhou Guanyu di tempat ke-18 untuk Kick Sauber. Lance Stroll menjadi pelumba terakhir yang diklasifikasikan di tempat ke-19 untuk Aston Martin. Yuki Tsunoda adalah satu-satunya pelumba yang tidak menamatkan perlumbaan selepas mengalami pelanggaran dengan Hulkenberg.
Perlumbaan seterusnya dalam kalendar F1 2024 ialah Grand Prix Azerbaijan, yang akan berlangsung di Baku pada hujung minggu 13-15 September.
Kebangkitan Semula KTM di Ranah Supersport: 990 RC R
Setelah tempoh yang agak sunyi dalam segmen supersport kapasiti besar, KTM akhirnya mengumumkan kemunculan 990 RC R sebuah penanda bahawa jenama Austria itu tidak lagi sekadar ingin kekal dalam dunia off-road dan naked bike, tetapi mahu kembali berkuasa di arena sportbike. Pelancaran rasmi model ini di Amerika Syarikat menandakan permulaan era baru bagi KTM dalam memacu semangat “Ready to Race” ke jalan raya.
Latar Belakang & Penangguhan Produksi
Asal usul 990 RC R boleh dikesan ke dalam pelan KTM untuk memperkenalkan sebuah supersport generasi baharu pada tahun 2025. Namun, krisis kewangan dan cabaran dalam rantaian bekalan menyebabkan pelancarannya tertangguh. KTM akhirnya mengesahkan bahawa produksi penuh model ini akan bermula pada akhir tahun 2025, dan model tersebut akan diklasifikasikan sebagai model tahun 2026.
Sebagai sebahagian daripada pengumuman produksi terbaharu, KTM menyatakan bahawa model 990 RC R akan memasuki tahap produksi “late fall 2025”.
Ciri-Ciri Mekanikal & Prestasi
Enjin & Kuasa
990 RC R dipacu oleh enjin LC8c parallel-twin 947 cc binaan yang dikembangkan daripada unit yang digunakan pada 990 Duke, namun ditala semula untuk menampung karakter sport yang lebih agresif. Bore dan stroke enjin ditetapkan pada 92.5 mm × 70.4 mm.
Output motosikal ini adalah sekitar 128 hp (≈ 128 PS) dan tork sekitar 103 Nm, dengan takat putaran maksimum dinaikkan sedikit berbanding versi Duke. Untuk memenuhi piawaian alam sekitar, enjin ini direka agar mematuhi Euro 5+ bagi kegunaan jalan raya.
Rangka, Suspensi & Sistem Brek
Untuk mengekalkan pengendalian yang optimum, KTM menggunakan rangka trellis keluli (modifikasi ringan daripada struktur Duke) bersama lengan ayun aluminium.
Suspensi yang digunakan ialah unit WP Apex boleh laras penuh, manakala sistem brek depan terdiri daripada dua cakera 320 mm dan cakera tunggal 240 mm di belakang. Sistem brek ini disokong oleh elektronik dengan IMU enam paksi untuk kestabilan dan pengawalan ketika membelok dan membrek
Elektronik & Teknologi Bantuan
KTM melengkapkan 990 RC R dengan sistem elektronik komprehensif yang merangkumi:
Mod tunggangan seperti Rain, Street, Sport dan Performance
Kawalan traction (traction control) & wheelie control
Launch control untuk permulaan lebih agresif
Paparan TFT 8.8 inci yang menyokong sambungan telefon pintar, navigasi dan paparan telemetri balapan
Versi khas Track Pack juga ditawarkan, yang meningkatkan keupayaan jentera di litar (mengurangkan elektronik “jalan raya”, memasang komponen perlumbaan)
Reka Bentuk & Ergonomi
Dari sudut estetika, KTM 990 RC R disusun dengan pendekatan aerodinamik. Ciri ciri seperti winglet aerodinamik pada fairing sisi dan ekor tinggi memberikan ciri ala motosikal perlumbaan. Enam titik kontak pada tangki (six contact points) telah diuji untuk memastikan sambungan optimal antara penunggang dan jentera ketika membelok atau “tucking in”.
Kedudukan footpeg boleh laras turut disediakan agar sesuai untuk pengendalian penuh di litar atau tunggangan agresif di jalan raya.
Produksi, Laluan Pasaran & Apa Selepas Ini
Seperti yang diumumkan oleh KTM, produksi 990 RC R akan bermula pada akhir musim luruh 2025 sebagai model 2026. Model ini akan keluar dari kilang Mattighofen, Austria.
Walau bagaimanapun, terdapat keraguan sama ada model ini akan memasuki pasaran Asia khususnya India atau Malaysia. Beberapa pengulas menyatakan bahawa pelaburan produksi dan krisis kewangan semasa mungkin mengehadkan penghantaran ke pasaran jauh.
Dalam konteks warisan KTM, 990 RC R dianggap sebagai penerus semangat RC8 tetapi dengan kapasiti lebih kecil, teknologi moden dan kelayakan jalan raya. Tidak seperti versi ekstrim RC 8C (yang hanya untuk litar), RC R direka untuk digunakan harian dan di trek.
Dengan semua elemen ini, KTM 990 RC R ialah manifestobahawa KTM tidak lagi mahu hanya dikenali sebagai jenama trail dan naked, tetapi juga sebagai pesaing sejati dalam arena supersport. Sekiranya sampai ke Malaysia suatu hari nanti, ia pasti menggoyang pasaran.
Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pendekar, telah berjaya diapungkan semula. Ini selepas proses salvage yang mencabar, pada jam 4.38 petang Ahad.
Pihak TLDM dalam kenyataannya menyatakan bahawa kapal itu kini sedang menjalani proses pembaikan awal sebelum diserahkan semula kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.
Operasi salvage KD Pendekar dianggap sebagai satu kejayaan besar walaupun terdapat beberapa cabaran yang dihadapi sepanjang proses tersebut. Lokasi kejadian di mana kapal ini tenggelam telah disahkan selamat.
Tanpa sebarang ancaman dari bahan letupan atau peluru yang boleh membahayakan komuniti maritim, khususnya kepada mereka yang kerap menggunakan laluan perairan terbabit.
Phasing Out Kapal Lama Selaras Transformasi TLDM
Dengan usia KD Pendekar yang telah melebihi 45 tahun, masa depan kapal ini masih menjadi tanda tanya. Pihak TLDM akan membuat keputusan berdasarkan pelan penggantian berperingkat atau “phasing in-phasing out” bagi kapal usang yang masih berkhidmat.
Pelan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 yang menekankan pengurangan jenis aset tentera laut daripada 15 kepada hanya 5 platform strategik.
Menurut kenyataan TLDM, punca sebenar insiden tenggelamnya KD Pendekar masih dalam siasatan Lembaga Siasatan Khas. Pasukan yang ditubuhkan sejurus selepas kejadian tersebut berlaku.
Insiden dan Tragedi Sebelum Ini
Insiden KD Pendekar bermula pada 25 Ogos lalu ketika kapal tersebut sedang menjalankan operasi. Kebocoran berlaku pada sekitar 12 tengah hari, dipercayai berpunca daripada pelanggaran dengan objek bawah air.
Kebocoran tersebut dikesan di bilik jentera kapal sebelum ia merebak dengan pantas dan tidak dapat dikawal.
Walaupun usaha keras dilakukan oleh kru kapal untuk mengawal situasi. Kebocoran yang semakin teruk menyebabkan KD Pendekar tidak dapat diselamatkan daripada tenggelam. Namun, semua 39 kru kapal berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan serius.
Tragedi seterusnya berlaku beberapa hari selepas kejadian apabila seorang Penyelam Ranjau TLDM, Laskar Kelas I PLM Arman San Hermansa, meninggal dunia ketika menjalankan operasi salvaj KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih.
Kehilangan nyawa ini menjadi titik hitam dalam misi penyelamatan tersebut.
Siasatan Masih Berjalan
Lembaga Siasatan Khas TLDM kini sedang bekerja keras untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian ini.
Faktor-faktor yang menyebabkan insiden tenggelamnya KD Pendekar sedang diperincikan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada masa hadapan.
Walaupun berdepan dengan cabaran dan kehilangan nyawa, usaha TLDM untuk mengapungkan kembali KD Pendekar dan memastikan keselamatan perairan Malaysia patut dipuji.
Insiden ini juga menjadi pengajaran kepada pihak tentera laut untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi cabaran operasi yang tidak dijangka di masa depan.
Kawasaki Ninja 1100SX Dilancar di Malaysia, Sport-Touring Flagship Bermula RM71,400
Kawasaki Ninja 1100SX kini rasmi diperkenalkan di Malaysia, meneruskan legasi sport-touring moden dalam kelasnya.Evolusi ini...