Aveta Nova 200, Prestasi Meyakinkan
Sejak diperkenalkan ke pasaran Malaysia, Aveta Nova 200 berjaya menarik perhatian ramai penunggang yang mencari sebuah skuter harian dengan kapasiti enjin lebih besar dengan harga yang berpatutan. Aveta Nova 200 dijual dengan harga permulaan RM8,488 hadir dengan pelbagai ciri yang lazimnya ditemui pada model yang lebih mahal seperti ABS dua saluran, Traction Control System (TCS), Smart Key dan lampu LED penuh.
Namun seperti biasa, spesifikasi di atas kertas hanyalah sebahagian daripada cerita. Persoalan sebenar adalah bagaimana prestasi Nova 200 apabila ditunggang di jalan raya sebenar?

Enjin 183cc Lebih Berkuasa
Aveta Nova 200 hadir dengan enjin satu silinder 183.3cc penyejukan cecair dan menghasilkan 18 hp dan 17.6 Nm tork. Sepanjang tunggang uji, apa yang paling menyerlah adalah karakter enjinnya yang cukup responsif untuk kegunaan harian.
Dari kedudukan pegun sehingga kelajuan sederhana, penghantaran kuasa terasa lancar dan tidak memerlukan bukaan pendikit yang terlalu agresif. Ketika memotong kenderaan di jalan persekutuan atau lebuh raya, Nova 200 masih mempunyai baki kuasa yang mencukupi untuk memberikan keyakinan kepada penunggang.

Berbanding Nova 160, peningkatan prestasi ini jelas dapat dirasai terutama ketika membawa pembonceng atau menempuh laluan berbukit.
Ringan Dan Mudah Dikendalikan
Salah satu kelebihan terbesar Nova 200 ialah berat keseluruhannya yang hanya sekitar 112 kilogram. Angka ini menjadikannya antara skuter paling ringan dalam kategori 180cc hingga 200cc.
Ketika menunggang dalam trafik bandar yang sesak, Nova 200 terasa lincah dan mudah dikawal. Pergerakan mencelah di antara kenderaan juga tidak memerlukan banyak tenaga dan motosikal ini tidak memberikan rasa berat walaupun ketika membuat pusingan U atau meletakkannya di ruang parkir yang sempit.

Bagi penunggang baharu atau mereka yang beralih daripada motosikal kapcai ke skuter, karakter ini pastinya menjadi satu kelebihan.
Mampu Cruising 120 km/j Dengan Selesa
Di lebuh raya, Nova 200 menunjukkan prestasi yang agak mengagumkan untuk sebuah skuter dalam julat harga ini.
Sepanjang tunggan uji, kelajuan antara 120 km/j hingga 123 km/j dapat dikekalkan dengan konsisten tanpa sebarang masalah besar. Enjin masih berada dalam keadaan yang selesa dan tidak menunjukkan tanda-tanda terlalu dipaksa.
Ini menjadikan Nova 200 sesuai untuk penunggang yang kerap menggunakan lebuh raya bagi perjalanan harian atau perjalanan jarak sederhana untuk ke tempat kerja.

Walaupun bukan sebuah skuter yang dibangunkan khusus untuk touring jarak jauh, keupayaannya mengekalkan kelajuan cruising melebihi 120 km/j sudah cukup mengagumkan bagi sebuah model bawah RM9,000.
Ciri Keselamatan yang Lengkap
Satu lagi aspek yang sukar dinafikan ialah nilai yang ditawarkan oleh Nova 200.
ABS dua saluran memberikan keyakinan tambahan ketika membrek secara mengejut manakala sistem TCS membantu mengurangkan risiko tayar belakang kehilangan cengkaman ketika jalan licin.

Turut melengkapkan pakej ini ialah Smart Key, port pengecas USB Type-A dan Type-C, Idling Stop System (ISS), lampu LED penuh serta tangki bahan api 10 liter yang sesuai untuk perjalanan lebih jauh.
Berdasarkan spesifikasi semata-mata, Nova 200 menawarkan antara pakej paling lengkap dalam kelasnya.
Suspensi Sedikit Keras
Walau bagaimanapun, Nova 200 bukanlah sebuah motosikal yang sempurna.
Sepanjang ujian, sistem suspensinya didapati sedikit keras terutama apabila melalui jalan yang mempunyai permukaan tidak rata atau sambungan jambatan.

Walaupun karakter ini membantu memberikan rasa lebih stabil ketika kelajuan tinggi, ia sedikit mengorbankan keselesaan apabila digunakan di kawasan bandar yang mempunyai banyak lubang atau jalan rosak.
Bagi sesetengah penunggang, perkara ini mungkin bukan isu besar, namun mereka yang mengutamakan keselesaan maksimum mungkin akan merasainya selepas menunggang dalam tempoh yang panjang.
Ruang Lutut Terhad Untuk Penunggang Tinggi
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah ergonomiknya.
Bagi penunggang dengan ketinggian sekitar 180 sentimeter ke atas serta mempunyai saiz badan yang besar, ruang lutut didapati agak terhad.
Ketika menunggang dalam posisi santai, lutut berada agak hampir dengan bahagian hadapan badan motosikal. Ia tidak sehingga mengganggu kawalan motosikal, tetapi untuk perjalanan yang panjang, sesetengah penunggang mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri.

Penunggang dengan ketinggian sederhana kemungkinan besar tidak akan menghadapi masalah ini.
Secara keseluruhan, Aveta Nova 200 berjaya menampilkan dirinya sebagai sebuah skuter harian yang praktikal, menyeronokkan untuk ditunggang dan menawarkan nilai wang yang sangat baik. Bagi mereka yang mencari skuter bawah RM10,000 dengan prestasi lebih matang berbanding skuter 150cc biasa, Nova 200 sememangnya wajar berada dalam senarai pilihan utama.

Baca Juga : Aveta Malaysia Perkenal Cogan Kata Baharu: Redefining Boundaries
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






