Hyundai Motor Company dengan bangganya melancarkan IONIQ 5 ASEAN Tour “Go Far with Zero Worries”, meliputi laluan luar biasa sepanjang 2,751 kilometer merentasi Asia Tenggara.
Upacara ‘flag-off’ telah berlangsung di Pusat Inovasi Hyundai Motor Group Singapore (HMGICS) pada 20 November 2023 dan konvoi ini dijangka mengakhiri jelajah mereka di Istana Diraja Ho Chi Minh City di Vietnam pada 30 November 2023.
Menurut Presiden Hyundai Motor ASEAN Headquarters, Youngtack Lee, konvoi ini terdiri daripada tiga kereta dari HMGICS dan dua Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI) ingin mempamerkan kebolehpercayaan, kelestarian alam dan keupayaan perjalanan jarak jauh Hyundai IONIQ 5.
Perjalanan merentasi lima buah negara di Asia Tenggara ini bermula di bandaraya yang bertenaga di Singapura seterusnya melalui Malaysia, Thailand, Kemboja, dan berakhir di Ho Chi Minh City, Vietnam.
Jelajah yang di inspirasi dari Korea Selatan ini menyaksikan kerjasama antara Persatuan Automobil Singapura (AAS) dan Pasaran Dalam Negeri Hyundai Korea, merentasi Semenanjung Korea ke Pulau Jeju.
Kini, dengan penyertaan Pusat ASEAN Hyundai Motor, pengembaraan epik ini menandakan tonggak penting, bertujuan untuk meletakkan jangkaan dan menentukan semula landskap automotif dengan teknologi terkini.
24 peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk wakil daripada Hyundai Motor Company, AAS, ahli kelab Hyundai, pengaruh komuniti tempatan di seluruh negara ASEAN, dan Pemimpin Pendapat Utama (KOL) dari Indonesia dan Thailand, akan turut serta dalam perjalanan ini.
Melewati lebih daripada 20 destinasi ikonik, seperti Penang Heritage Walk di Malaysia dan Kuil Bayon di Kemboja, IONIQ 5 ingin membuktikan bahawa ia mampu menjadi kenderaan yang boleh dipercayai untuk perjalanan jarak jauh.
Ciri inovatif IONIQ 5 Vehicle to Load (V2L) membolehkan ia berfungsi sebagai port pengecasan, memberi manfaat bukan sahaja kepada peserta jelajah tetapi juga komuniti tempatan sepanjang laluan.
Teknologi berfikiran progresif ini mencerminkan komitmen Hyundai terhadap mobiliti pintar dan mampan, menukar IONIQ 5 menjadi daya pendorong untuk perubahan positif di seluruh rantau ASEAN.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bercuti Ke Luar Negara & Ingin Memandu? Ini Cara Mohon Lesen Memandu Antarabangsa
![Bercuti Ke Luar Negara & Ingin Memandu? Ini Cara Mohon Lesen Memandu Antarabangsa](https://cdn.rodapanas.my/2023/10/Thumbnail-Roda-Panas-1-2.jpg)
Lesen memandu antarabangsa adalah dokumen penting bagi sesiapa yang ingin mengembara ke negara asing dan memandu kenderaan di sana. Bagi pemegang lesen memandu Malaysia yang ingin melaksanakan perjalanan antarabangsa dengan kenderaan, lesen memandu antarabangsa adalah keperluan yang penting. Artikel ini akan menjelaskan bagaimana anda boleh memohon lesen memandu antarabangsa dari Malaysia dan negara mana yang tidak memerlukannya.
Tapi sebelum kita pergi dengan lebih mendalam, apa itu Lesen Memandu Antarabangsa?
Lesen memandu antarabangsa adalah satu dokumen yang membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia untuk menggunakan kenderaan di negara asing secara sah. Ia biasanya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia. Lesen ini mengesahkan kemampuan seseorang untuk mengemudi kenderaan dan merujuk kepada jenis lesen memandu yang mereka miliki di Malaysia.
![Bercuti Ke Luar Negara & Ingin Memandu? Ini Cara Mohon Lesen Memandu Antarabangsa](https://cdn.rodapanas.my/2023/10/WhatsApp-Image-2023-10-13-at-3.34.48-PM-748x1024.jpeg)
Cara Memohon Lesen Memandu Antarabangsa:
- Pastikan Anda Memiliki Lesen Memandu Malaysia yang Sah: Sebelum memohon lesen memandu antarabangsa, pastikan lesen memandu Malaysia anda adalah sah dan tidak tamat tempoh.
- Kunjungi Pejabat JPJ: Anda perlu pergi ke pejabat JPJ di kawasan anda untuk membuat permohonan. Pastikan anda membawa dokumen-dokumen berikut:
– Kad pengenalan anda
– Lesen memandu Malaysia anda
– Gambar pasport terkini
– Borang permohonan permit memandu antarabangsa yang telah diisi
- Bayar Caj Permohonan: Anda perlu membayar caj permohonan yang ditetapkan oleh JPJ. Sila semak dengan pejabat JPJ tempatan untuk mengetahui jumlah yang sepatutnya.
- Tunggu untuk Mendapat Lesen Memandu Antarabangsa: Selepas membuat permohonan, anda perlu menunggu beberapa hari hingga beberapa minggu sebelum lesen memandu antarabangsa anda dikeluarkan. Pastikan anda memohon dengan masa yang mencukupi sebelum tarikh perjalanan antarabangsa anda.
- Pengambilan Lesen Memandu Antarabangsa: Setelah lesen memandu antarabangsa anda dikeluarkan, ambil dokumen tersebut dari pejabat JPJ.
![Bercuti Ke Luar Negara & Ingin Memandu? Ini Cara Mohon Lesen Memandu Antarabangsa](https://cdn.rodapanas.my/2023/10/img_3267.jpg)
Walaupun lesen memandu antarabangsa adalah penting untuk banyak destinasi antarabangsa, terdapat beberapa negara yang membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia untuk mengemudi di sana tanpa lesen memandu antarabangsa. Negara-negara ini termasuk:
- Singapura: Pemegang lesen memandu Malaysia boleh memandu di Singapura selama tempoh lawatan mereka tidak melebihi 3 bulan.
- Thailand: Anda boleh menggunakan lesen memandu Malaysia di Thailand selama tempoh lawatan anda tidak melebihi 3 bulan.
- Indonesia: Pemegang lesen memandu Malaysia boleh menggunakan lesen memandu mereka di Indonesia selama tempoh lawatan mereka tidak melebihi 3 bulan.
- Brunei: Lawatan ke Brunei selama 3 bulan atau kurang membolehkan pemegang lesen memandu Malaysia mengemudi di sana tanpa lesen antarabangsa.
Walau bagaimanapun, adalah penting untuk memeriksa peraturan dan terma untuk setiap negara yang anda niat untuk mengembara. Terdapat negara-negara yang mungkin memerlukan lesen memandu antarabangsa, jadi selalu pastikan bahawa anda memahami keperluan setiap negara yang anda lawati.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Proton S70 – Apa yang perlu diharapkan?
![Proton S70 – Apa yang perlu diharapkan?](https://cdn.rodapanas.my/2024/07/4-8.jpg)
Proton S70 yang dilancarkan pada November 2023, dilihat mencapai data jualan yang memberangsangkan dengan lebih dari 10,000 unit sudah terjual. Namun, apa yang istimewanya segmen sedan dari Proton kali ini?
Dalam artikel ini kami akan rungkaikan pengalaman jujur kami memandu dan menguji S70 di sekitar Lembah Klang. Perkara yang ingin dikongsikan ini bukanlah ‘satu saiz untuk semua’, mungkin ada perkara yang pembaca kurang berkenan dan mungkin ada yang pembaca gemar. Jadi tepuk dada, semak akaun bank dan tanya pasangan/rakan.
Reka Bentuk yang Lebih Mewah dan Moden
Satu perkara yang pasti akan menarik perhatian ramai adalah reka bentuk. Proton S70 diperkenalkan melalui empat varian iaitu, Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Namun perbezaan bagi kesemua ini tidaklah jauh beza. Sebagai contoh, Executive dan Premium hadir dengan rim saiz 16 manakala dua lagi rim saiz 17.
Kelainan lain terletak pada komponen kosmetik dan pencahayaan seperti bar lampu belakang, penggunaan lampu depan ,sunroof ,kit badan dan lain-lain.
Secara keseluruhan, Proton S70 tampak lebih berjiwa muda – namun tidak terlalu muda. Pendapat kami, lingkungan umur yang nampak normal memandu S70 (berdasarkan rekaan) adalah umur 25 tahun ke atas.
Prestasi Enjin yang Ditingkatkan
Proton S70 dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan efisien. Proton menawarkan enjin 1.5 liter turbocharged – sama seperti model X50 dan X70. Enjin ini mampu memberikan keseimbangan antara kuasa dan penjimatan bahan api. Tangki penuh (50 liter) boleh jalan hingga 660 kilometer! Kuasa maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 150HP, 226 Nm tork – transmisi Dual Clutch 7 kelajuan.
Bayangkan enjin 1.5L turbo diletakkan pada kereta Sedan, memang berdesup laju. Kelajuan maksimum yang mampu dicapai adalah sekitar 210 km/j bergantung kepada keadaan cuaca, jalan, trafik, angin ,suhu ,kapasiti bahan api ,muatan dan mod pemanduan – Eco, Comfort, Sport.
Teknologi, Pengendalian dan Keselamatan Terkini
Dalam era di mana teknologi memainkan peranan penting dalam pengalaman pemanduan, Proton S70 lengkap dengan pelbagai ciri teknologi terkini. Sistem infotainment lebih canggih dengan skrin lebih besar (12.3 inci), sistem navigasi, arahan suara, keterhubungan telefon pintar, cas tanpa wayar, 5 slot USB, boleh hidupkan enjin dari jarak jauh dan pelbagai lagi perincian yang menyenangkan pengguna.
Dari segi pengendalian, S70 lulus jangkaan kami dengan cemerlang. Kami pandu uji di kawasan berliku dengan selekoh yang sempit, ternyata S70 mampu memberi pengendalian yang sangat bagus. Di bawah 40 km/j, model ini masih mampu untuk membalas selekoh tanpa rasa membuang atau tidak stabil. Syabas Proton!
Pada kelajuan tinggi pula, gegaran dan body-roll kereta sangat minimum. Sehingga satu tahap anda terasa seperti meluncur pada kelajuan sederhana. Jadi fokus dan risiko perlu diambil kira dan sentiasa patuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Pusingan radius stereng juga lebih panjang jika dibandingkan dengan model terdahulu – Proton Preve.
Selain itu, ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan elektronik, dan enam beg udara akan meningkatkan keselamatan pemandu dan penumpang. Secara keseluruhan, ada 15 perincian keselamatan pada model S70 ini. Sebab itu ianya lulus ujian keselamatan ASEAN NCAP dengan skor lima bintang.
Ruang Dalaman yang Lebih Luas dan Selesa
Salah satu kekuatan utama Proton S70 adalah ruang dalaman. Dengan penekanan kepada keselesaan, tempat duduk direka lebih ergonomik dengan bahan berkualiti tinggi. Setiap sudut dalaman telah diberi fungsi tertentu yang sudah semestinya memberi kesenangan kepada pengguna.
Seperti ruang simpan barang di bawah panel tengah & arm rest, penghawa dingin penumpang belakang, susunan sistem infotainment, tempat letak telefon pintar dan bermacam lagi. Sunroof pula hanya terdapat pada varian Flagship X sahaja.
Selain itu, ruang but yang lebih besar juga dapat menyediakan lebih banyak ruang untuk barangan, sesuai untuk keluarga atau mereka yang sering melakukan perjalanan jauh.
Dari segi kesenian, pada panel pintu terdapat corak benang putih yang direka bagi menambah karakter dan suasana premium kepada model ini.
Harga yang Berpatutan
Walaupun Proton S70 menawarkan pelbagai ciri dan teknologi terkini, ia masih lagi dijual dalam lingkungan harga yang berpatutan.
Bagi senarai harga, kami lampirkan di bawah ini mengikut versi S70:
Executive – RM73,800
Premium – RM79,800
Flagship – RM89,800
Flagship X – RM94,800
*Senarai harga tidak termasuk insurans
Kesimpulannya, model S70 adalah suatu nafas segar dan baru dari Proton kepada rakyat Malaysia. Pelbagai pendekatan yang cuba dibawa oleh Proton untuk memenuhi respon dan permintaan dari pengguna kereta di Malaysia. Justeru kami harap lebih ramai yang bangga dan memberi peluang kedua untuk Proton memenangi hati anda semula.
Baca PROTON X50 Terima Naik Taraf, Harga Kekal
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Transformasi Tub Mandi Menjadi Motosikal Unik
![Transformasi Tub Mandi Menjadi Motosikal Unik](https://cdn.rodapanas.my/2024/05/1-14.jpg)
Dalam dunia modifikasi, kreativiti tidak mengenal sempadan. Salah satu hasil kerja yang paling menarik dan unik yang pernah penulis saksikan adalah sebuah motosikal yang dihasilkan dari tub mandi.
Modifikasi yang luar biasa ini adalah hasil usaha gigih Mohd Irwan, yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut, seorang pembuat motosikal kustom yang menetap di Kuala Selangor.
![Transformasi Tub Mandi Menjadi Motosikal Unik](https://cdn.rodapanas.my/2024/05/3-10.jpg)
Inspirasi daripada Motosikal Morgan 3 Wheeler
Tok Janggut mendapat inspirasi untuk projek ini setelah melihat Motosikal Morgan 3 Wheeler kepunyaan Yang di-Pertuan Agong. Dari situ, beliau memulakan usaha untuk mengubah tub mandi yang sudah tidak digunakan menjadi kenderaan yang sepenuhnya berfungsi. Menggunakan enjin daripada skuter yang sudah tidak lagi digunakan, Tok Janggut menghabiskan hampir satu bulan untuk mengubah motosikal ini, dengan 90% daripada bentuk asalnya dimodifikasi secara total.
Proses Modifikasi yang Kompleks
Dalam video yang penulis hasilkan, Tok Janggut menunjukkan beberapa cabaran dalam proses modifikasi, termasuk menyusun sistem brek dan throttle. Secara visual, motosikal ini kelihatan seolah-olah tidak mampu menampung berat seorang dewasa, tetapi yang mengejutkan, ia mampu menampung berat lebih daripada 100kg.
Ciri Unik: Stereng Kereta dan Dua Roda Depan
Berbeza dengan motosikal biasa, kendaraan ini dilengkapi dengan stereng kereta, diadaptasi daripada sistem pemanduan kereta yang menggunakan steering rack dan dua roda di bahagian depan. Ini memberikan estetika yang sangat berbeza dan menambah keunikan pada motosikal kustom ini.
Menggunakan Enjin Skuter 125 cc
Mengenai enjin pula, motosikal ini dikuasakan oleh enjin 125 cc daripada skuter jenama Demak yang sudah tidak lagi dipasarkan. Tok Janggut mendapatkan skuter ini dari seorang kawan yang bercadang untuk menjualnya ke kedai besi buruk, tetapi beliau sanggup untuk membelinya untuk menghasilkan motosikal ini.
Bukan Hanya Satu: Kreativiti Tanpa Batas
Tok Janggut tidak hanya terbatas pada projek ini sahaja, beliau juga telah mencipta pelbagai model motosikal lain yang juga dijual kepada mereka yang berminat. Ketika ditanya tentang penjualan motosikal tub mandi ini, Tok Janggut menyatakan kesediaannya untuk menjual motosikal ini dengan harga RM5000.
Bagi mereka yang berminat untuk memiliki karya unik ini, boleh terus menghubungi Tok Janggut melalui media sosial Facebook dengan nama “Mohd Irwan Mohd Irwan”. Ini merupakan peluang anda untuk memiliki sebuah karya seni yang dapat dikendalikan, penuh dengan kisah dan inovasi yang memikat.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.