VOGE DS800X Rally Rasmi Dilancarkan di Malaysia
VOGE DS800X Rally secara rasmi telah memasuki pasaran Malaysia dengan harga permulaan RM39,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Motosikal dalam kategori adventure ini hadir dengan enjin dua silinder berkapasiti 798cc dan dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik sesuai untuk kegunaan di jalan raya dan offroad.
Pelancaran rasmi model ini berlangsung pada 10 Oktober 2026, bersempena majlis pembukaan Mforce Smartshop Zi Yang Motor Sdn. Bhd. di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sebelum ini, VOGE DS800X Rally pernah diperkenalkan kepada orang ramai pada 29 Mei lalu ketika acara Mforce MotoXperience 2026 yang diadakan sempena Malaysia Bike Show di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).
Untuk pasaran tempatan, motosikal ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu Onyx Black, Zenith White dan Flash Yellow.

VOGE DS800X Rally Hadir dengan Enjin Dua Silinder 798cc Dengan Kuasa 93.9hp
Daripada segi prestasi, VOGE DS800X Rally menggunakan enjin dua silinder dengan lapan injap dan sistem penyejukan cecair.
Enjin berkapasiti 798cc itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 70kW (93.9hp) pada 9,000rpm dan tork maksimum 81Nm pada 6,500rpm.
Ia turut menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), transmisi enam kelajuan serta klac jenis gelinciran (slipper clutch).
Dengan spesifikasi tersebut, DS800X Rally dibangunkan sesuai untuk penunggang yang inginkan motosikal yang boleh digunakan sebagai motosikal harian, perjalanan jauh dan juga untuk aktiviti lasak.

Bagi memastikan motosikal ini mampu mengharungi pelbagai jenis keadaan permukaan jalan, VOGE melengkapkannya dengan suspensi hadapan jenis terbalik (upside-down) yang boleh dilaraskan.
Suspensi belakang juga boleh dilaraskan mengikut keperluan dan keselesaan penunggang.
Sementara itu, sistem brek menggunakan cakera berdiameter 310mm di hadapan dan 240mm di belakang. Ia turut dilengkapi sistem brek antikunci (ABS) yang boleh dinyahaktifkan.
Menariknya, DS800X Rally menggunakan rim berjejari bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan tayar masing-masing bersaiz 90/90-21 dan 150/70-18.

Gabungan saiz roda tersebut merupakan antara ciri yang biasa digunakan pada motosikal pengembaraan yang turut memberi tumpuan kepada tunggangan offroad.
Dari segi ukuran, motosikal ini mempunyai panjang 2,390mm, lebar 860mm dan tinggi 1,399mm, manakala jarak rodanya ialah 1,576mm.
Ketinggian tempat duduk pula ialah 850mm, dengan kelegaan tanah 220mm. Berat kering dicatatkan pada 213kg, sementara tangki bahan api mempunyai kapasiti 24 liter.
VOGE DS800X Rally Hadir dengan Pelbagai Kelengkapan Moden Termasuk Kamera Papan Pemuka
Walaupun direka dengan penekanan terhadap aktiviti pengembaraan, VOGE DS800X Rally tidak mengabaikan aspek teknologi dan keselesaan.
Antara kelengkapan yang disediakan termasuk:
-
Paparan meter digital TFT.
-
Dua mod tunggangan, iaitu Eco dan Sport.
-
Sistem kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan.
-
Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
-
Kamera papan pemuka hadapan.
-
Port pengecas USB Type-A dan Type-C.
-
Lampu utama, lampu belakang dan lampu isyarat jenis LED.
-
Cermin hadapan yang boleh dilaraskan secara manual.
-
Tempat duduk dan pemegang tangan berpemanas dengan tiga tahap pelarasan.
-
Sambungan aplikasi Carbit Ride.
-
Suis keselamatan tongkat sisi.
Kehadiran tempat duduk dan pemegang tangan berpemanas juga memberikan kelebihan kepada penunggang yang gemar melakukan perjalanan jauh, khususnya ketika melalui kawasan bersuhu rendah.

Selain itu, sistem TCS dan ABS yang boleh dinyahaktifkan memberikan lebih banyak pilihan kepada penunggang untuk menyesuaikan kawalan motosikal mengikut keadaan laluan.
Siap Dengan Tiga Kotak Simpanan dan Aksesori Pengembaraan
Satu lagi tarikan VOGE DS800X Rally ialah kelengkapan tambahan yang disediakan untuk perjalanan jarak jauh.
Motosikal ini hadir dengan satu kotak simpanan atas dan dua kotak sisi yang membolehkan penunggang membawa barangan keperluan tanpa perlu memasang kotak tambahan.
Ia juga dilengkapi lampu kabus (foglamp), pelindung tangan dan palang pelindung (crash bar) bagi melengkapkan penampilannya sebagai sebuah motosikal pengembaraan.
Dengan tangki bahan api berkapasiti 24 liter serta ruang simpanan yang disediakan, model ini menawarkan pakej yang menarik kepada mereka yang gemar melakukan perjalanan jauh menggunakan motosikal.

Waranti Dua Tahun, Perlindungan Enjin Tanpa Had Perbatuan
Bagi pasaran Malaysia, setiap pembelian VOGE DS800X Rally hadir dengan perlindungan waranti selama dua tahun.
Waranti komprehensif meliputi tempoh dua tahun atau 20,000km, yang mana terdahulu.
Sekiranya motosikal melebihi 20,000km sebelum tamat tempoh dua tahun, komponen enjin masih menerima perlindungan waranti tanpa had perbatuan bagi baki tempoh berkenaan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pemilik juga boleh mendapatkan alat ganti tulen menerusi perkhidmatan pembelian dalam talian yang disediakan oleh VOGE Malaysia.

Mforce Smartshop Zi Yang Motor Dibuka di Kepala Batas
Selain pelancaran VOGE DS800X Rally, Mforce Bike Holdings turut meraikan pembukaan rasmi Mforce Smartshop Zi Yang Motor Sdn. Bhd. di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Majlis tersebut dihadiri barisan pengurusan Mforce dan Zi Yang Motor, termasuk Pengarah Urusan Mforce Bike Holdings, Dato’ Sri Tan Lean Heah, serta Pengarah Urusan Zi Yang Motor, Tan Soo Ching.
Pengunjung turut berpeluang mencuba beberapa model motosikal menerusi sesi tunggang uji yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
Acara berkenaan juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah, termasuk sebuah EZI Ray-01 sebagai hadiah utama, selain topi keledar, sarung tangan, jaket LS2 dan kotak simpanan YHPro.
Baca Juga : Pusat Servis Mforce Kuala Lumpur Bakal Beroperasi di Lokasi Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


