Ads

40 Tahun BMW M3!

40 TAHUN
BMW PressClub Global

40 Tahun BMW M3, Enam Generasi Membina Legasi Dalam Dunia Automotif

Selama 40 tahun, BMW M3 telah membina reputasi sebagai antara model berprestasi tinggi paling ikonik dalam dunia automotif, dengan identiti yang cukup sinonim dengan keseronokan pemanduan dan kejayaan di litar perlumbaan.

Bermula dengan pengenalan generasi pertamanya pada 1985, BMW M3 kini telah melalui enam generasi sepanjang empat dekad. Setiap generasi membawa perubahan tersendiri, bukan sahaja dari segi penampilan, malah bagaimana model ini berkembang mengikut keperluan dan cita rasa peminat automotif.

Sempena ulang tahun ke-40 (40 tahun BMW M3), BMW mengimbas semula perjalanan salah satu model paling berpengaruh dalam sejarah BMW M3.

40 tahun
BMW PressClub Global

Bermula Dengan Keinginan Menghasilkan Kereta Perlumbaan

Kisah BMW M3 bermula apabila BMW mahu menghasilkan sebuah kereta yang mampu bersaing dalam perlumbaan, tetapi pada masa sama masih sesuai digunakan di jalan raya.

Hasilnya, BMW M3 generasi pertama diperkenalkan kepada umum pada Pameran Motor Frankfurt 1985 sebelum mula memasuki pasaran pada 1986.

Berbeza daripada BMW 3 Series biasa, model ini tampil dengan badan lebih lebar, spoiler belakang serta beberapa perubahan yang memberikan penampilan lebih agresif.

Namun, perkara yang benar-benar mengangkat nama BMW M3 ialah pencapaiannya dalam perlumbaan.

Pada 1987, Roberto Ravaglia muncul sebagai juara Kejuaraan Kereta Jelajah Dunia menggunakan BMW M3. Model ini turut meraih kejayaan dalam DTM serta perlumbaan ketahanan di Nürburgring.

Kejayaan tersebut menjadi asas kepada reputasi BMW M3 sebagai sebuah kereta yang bukan sekadar kelihatan sporty, tetapi benar-benar memiliki DNA perlumbaan.

Generasi Kedua Membawa Pendekatan Lebih Matang

Apabila generasi kedua diperkenalkan pada 1992, BMW mengambil pendekatan yang sedikit berbeza.

Jika generasi pertama kelihatan seperti sebuah kereta perlumbaan yang dibawa ke jalan raya, generasi kedua tampil dengan reka bentuk lebih kemas, elegan dan matang.

BMW juga mula memberi perhatian kepada pelanggan yang mahukan sebuah kereta berprestasi tinggi tanpa perlu mengorbankan keselesaan harian. Selain model coupé, pilihan convertible dan sedan empat pintu turut diperkenalkan.

Ads

Perubahan ini menjadikan BMW M3 lebih mudah diterima oleh golongan pembeli yang mahukan keseimbangan antara keseronokan memandu dengan kepraktisan sebuah kereta harian.

Generasi Ketiga, Antara Reka Bentuk Paling Ikonik

Memasuki tahun 2000, BMW M3 kembali dengan penampilan yang lebih berani. Generasi ketiga menampilkan badan yang lebih lebar, bonet dengan bentuk menonjol serta empat muncung ekzos yang menjadikannya mudah dibezakan daripada BMW 3 Series biasa.

Reka bentuk ini memberikan BMW M3 identiti tersendiri tanpa perlu bergantung kepada penampilan yang terlalu keterlaluan. Antara model paling istimewa dalam generasi ini ialah BMW M3 CSL yang diperkenalkan pada 2003.

Model tersebut dibangunkan dengan memberi penekanan terhadap pengurangan berat dan pengalaman pemanduan yang lebih fokus.

Pada masa sama, BMW M3 GTR turut mencipta kejayaan dalam perlumbaan American Le Mans Series, sekali gus meneruskan hubungan erat model ini dengan dunia sukan permotoran.

Generasi Keempat, Satu Era Yang Berbeza

Pada 2007, BMW memperkenalkan M3 generasi keempat yang membawa perubahan besar dalam karakter model tersebut.

Selain reka bentuk lebih moden, generasi ini dikenali kerana penggunaan enjin V8 yang memberikan pengalaman pemanduan berbeza berbanding generasi sebelumnya.

Ads

BMW turut memperkenalkan beberapa versi istimewa seperti M3 GTS dan M3 CRT yang dibangunkan dengan penekanan terhadap prestasi serta penggunaan bahan ringan.

Dalam dunia perlumbaan, nama BMW M3 sekali lagi menjadi perhatian apabila BMW kembali menyertai DTM pada 2012 selepas 20 tahun.

Kemunculan semula tersebut menyaksikan BMW merangkul kejuaraan pemandu, pasukan dan pengeluar pada musim yang sama.

Generasi Kelima, BMW M3 Kini Khusus Untuk Sedan

Tahun 2014 menyaksikan satu lagi perubahan penting dalam sejarah BMW M3. Buat pertama kali, nama M3 digunakan secara khusus untuk model sedan empat pintu, manakala versi dua pintu dan convertible menggunakan nama BMW M4.

Walaupun perubahan ini membawa identiti baharu kepada keluarga BMW M, falsafah asal M3 masih dikekalkan. BMW terus memberi perhatian kepada keseimbangan antara prestasi, pengendalian dan keselesaan penggunaan harian.

Sepanjang generasi ini, beberapa versi istimewa turut diperkenalkan, termasuk BMW M3 30 Jahre Edition bagi meraikan ulang tahun ke-30 model tersebut pada 2016.

BMW M3 CS yang diperkenalkan pada 2017 pula menjadi antara kemuncak kepada pembangunan generasi kelima.

Ads

Generasi Keenam, Lebih Banyak Pilihan Untuk Peminat

Empat dekad selepas kemunculan pertamanya, BMW M3 terus membuktikan bahawa legasi yang dibina sepanjang 40 tahun masih relevan dengan perkembangan dunia automotif moden.

BMW M3 generasi keenam diperkenalkan pada 2020 dengan reka bentuk yang jauh lebih menonjol, khususnya menerusi penggunaan gril hadapan bersaiz besar. Namun, perubahan paling menarik dalam generasi ini bukan hanya terletak pada reka bentuk.

Pada 2021, BMW memperkenalkan pilihan sistem pacuan semua roda M xDrive buat pertama kali untuk M3. Setahun kemudian, BMW akhirnya memenuhi permintaan peminat apabila memperkenalkan M3 Touring secara rasmi.

Kehadiran model wagon berprestasi tinggi itu menunjukkan bagaimana BMW cuba menawarkan keseronokan pemanduan M3 dalam bentuk yang lebih praktikal, khususnya kepada mereka yang memerlukan ruang penyimpanan lebih besar.

BMW turut memperkenalkan M3 CS pada 2023, diikuti M3 CS Touring pada 2025. Menariknya, pada 2026, BMW turut mengumumkan M3 CS Handschalter dengan transmisi manual khusus untuk pasaran Amerika Utara, menunjukkan bahawa pengalaman memandu secara lebih tradisional masih mempunyai tempat dalam keluarga BMW M.

Legasi Yang Dibina Sepanjang Empat Dekad

Selepas 40 tahun, BMW M3 bukan lagi sekadar sebuah varian berprestasi tinggi dalam keluarga BMW 3 Series.

Ia telah membina identiti tersendiri melalui kejayaan perlumbaan, perubahan reka bentuk dan keupayaan untuk terus berkembang tanpa meninggalkan karakter asalnya.

Daripada generasi pertama yang dilahirkan untuk perlumbaan sehinggalah kepada generasi keenam yang menawarkan pilihan sedan dan Touring, perjalanan BMW M3 memperlihatkan bagaimana sebuah model boleh berubah mengikut zaman sambil mengekalkan daya tarikannya.

Apa yang pasti, enam generasi BMW M3 telah meninggalkan pengaruh tersendiri dalam sejarah automotif, dan setiap satu mempunyai cerita yang menjadikannya istimewa.

Baca Juga: BMW M Team WRT Raih Podium di Fuji!

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Menarik di Roda Panas

GWM WEY G9 Hi4 HEV Kini Dibuka Untuk Tempahan

GWM WEY G9 Hi4 HEV Dibuka Untuk Tempahan, Tawar Enjin 2.0L Turbo dan Dua Motor Elektrik Selepas memperkenalkan WEY G9 Hi4 PHEV kepada pasaran Malaysia,...