Kawasaki Versys 900 2027 Dilancarkan, dengan Enjin 948cc Empat Silinder,120hp dan Radar Depan Belakang!
Kawasaki memperkenalkan ahli baharu dalam keluarga motosikal sport touring menerusi Versys 900 2027, sekali gus mengisi ruang antara Versys 650 dan Versys 1100.
Model terbaharu ini bukan sekadar menawarkan kapasiti enjin lebih besar berbanding Versys 650, malah turut dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan dan bantuan tunggangan yang sebelum ini lebih sinonim dengan motosikal touring premium.
Lebih menarik, Versys 900 menjadi model pertama dalam keluarga Versys yang menerima sistem radar hadapan dan belakang, membolehkan penunggang menikmati ciri seperti kawalan jelajah adaptif, amaran pelanggaran hadapan dan pengesanan kenderaan di titik buta.

Enjin 948cc Empat Silinder, Kuasa 120.3hp
Dari segi prestasi, Kawasaki Versys 900 menggunakan enjin empat silinder sebaris berkapasiti 948cc yang diambil daripada model naked popular jenama itu, Kawasaki Z900.
Enjin dengan sistem penyejukan cecair dan mematuhi piawaian emisi Euro5+ ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 120.3bhp pada 9,500rpm serta tork 97.4Nm pada 8,000rpm.
Angka berkenaan menjadikan Versys 900 hanya kurang sekitar 12.5bhp berbanding Versys 1100, sekali gus memperlihatkan potensi model baharu ini untuk menawarkan prestasi yang cukup bertenaga.
Kawasaki turut mendakwa Versys 900 merupakan model paling sporty pernah dihasilkan dalam keluarga Versys, dengan penekanan terhadap keseimbangan antara prestasi, pengendalian dan keselesaan perjalanan jauh.

Casis Baharu, Suspensi Boleh Laras
Bagi menyokong karakter tunggangannya, Kawasaki membangunkan casis jenis trellis baharu yang dipadankan dengan subrangka belakang panjang.
Susunan penyerap hentak belakang secara mendatar pula mempunyai persamaan dengan Kawasaki Z900. Ia turut dilengkapi pelaras prabeban yang memudahkan penunggang membuat tetapan mengikut keperluan, khususnya ketika membawa pembonceng atau barangan tambahan.
Versys 900 menggunakan rim bersaiz 17 inci pada kedua-dua bahagian, dipadankan dengan tayar Metzeler Roadtec 01 yang lebih memfokuskan tunggangan di jalan berturap.

Ketinggian tempat duduk pula boleh dilaraskan antara 825mm hingga 845mm, manakala reka bentuk tangki minyak dihasilkan bagi memudahkan penunggang mencengkam motosikal menggunakan lutut serta mendapatkan kedudukan kaki yang lebih selesa.
Bahagian hadapan menampilkan cermin pengadang angin yang boleh dilaraskan kepada tujuh tahap, selain lampu utama LED berkembar dengan reka bentuk tajam.
Bagi varian SE, Kawasaki turut menyediakan pelindung tangan untuk meningkatkan keselesaan ketika menunggang dalam keadaan cuaca yang kurang baik.
Bagaimanapun, Kawasaki masih belum mengumumkan berat keseluruhan motosikal berkenaan.
Radar Depan dan Belakang Jadi Tarikan Utama
Antara pembaharuan paling menarik pada Versys 900 ialah penggunaan teknologi Advanced Rider Assistance Systems (ARAS) yang dibangunkan oleh Bosch.
Sistem ini menggunakan dua unit radar yang dipasang pada bahagian hadapan dan belakang motosikal bagi membantu penunggang mengenal pasti keadaan trafik di sekeliling.
Antara fungsi yang ditawarkan termasuk:
-
Adaptive Cruise Control (ACC) – Melaraskan kelajuan secara automatik bagi membantu mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan.
-
Forward Collision Warning (FCW) – Memberikan amaran apabila sistem mengesan risiko pelanggaran dengan kenderaan di hadapan.
-
Blind Spot Detection (BSD) – Memberikan amaran kehadiran kenderaan di kawasan titik buta.
Teknologi radar ini sebenarnya bukan perkara baharu bagi Kawasaki kerana sudah digunakan pada Ninja H2 SX SE. Namun, Versys 900 menjadi model pertama dalam keluarga Versys yang menerima sistem tersebut.

Lebih menarik, ciri radar berkenaan ditawarkan pada kedua-dua varian Versys 900, termasuk model standard.
Selain itu, Kawasaki turut melengkapkan motosikal ini dengan sistem kawalan cengkaman sensitif sudut condong, ABS selekoh, beberapa mod tunggangan dan quickshifter sebagai kelengkapan standard.
Meter TFT 5 Inci dan Navigasi
Dari segi teknologi, Kawasaki Versys 900 hadir dengan panel instrumen TFT berwarna bersaiz lima inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar.
Sistem ini menyokong fungsi navigasi arah demi arah, sekali gus memudahkan penunggang mendapatkan panduan perjalanan tanpa perlu memasang peranti navigasi tambahan.
Kawasaki turut menyediakan dua pilihan paparan meter, masing-masing memberikan keutamaan kepada maklumat tunggangan sporty dan navigasi ketika perjalanan jauh.

Bagi mereka yang gemar melakukan perjalanan bersama pembonceng, Versys 900 turut menawarkan tempat duduk dengan ruang berasingan yang selesa, kedudukan pemijak kaki yang sesuai serta pemegang belakang bersaiz besar.
Pemilik juga boleh menambah kotak simpanan atas berkapasiti 47 liter serta dua kotak sisi berkapasiti 32 liter setiap satu.
Dua Varian Ditawarkan, Harga Bermula £11,999?
Untuk pasaran United Kingdom, Kawasaki Versys 900 2027 ditawarkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan SE.
Harga permulaan ditetapkan pada £11,999 (sekitar RM66,000, bergantung pada kadar pertukaran mata wang), sekali gus meletakkannya di antara Versys 650 dan Versys 1100.
Model standard ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Spark Black dan Pearl Robotic White.
Sementara itu, Versys 900 SE hadir dengan dua kombinasi warna lebih menyerlah, iaitu Plasma Lime Green/Metallic Spark Black serta Firecracker Red/Metallic Carbon Gray.
Kedua-dua varian dijadualkan dipamerkan kepada umum sempena Motorcycle Live 2026 yang akan berlangsung di NEC Birmingham, United Kingdom dari 21 hingga 29 November 2026.

Baca Juga : Kawasaki Megatrail 2026 Kembali, 393 Penunggang Harungi 150km Laluan “Off-Road”
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


