Akira Nakai adalah seorang ‘tuner’ lagenda dari Jepun. Beliau dikatakan bakal datang ke Malaysia untuk sesi modifikasi enam buah Porsche klasik yang dipanggil RAUH-Welt BEGRIFF(RWB).
Modifikasi ini dikhususkan untuk rekaan ‘wide-body kit’ yang ditempah khas mengikut perincian pelanggan, dari segi warna, bentuk dan bahan penggunaan bodykit. Menurut Vocket Car Club, enam buah RWB tersebut telah menerima bodykit mereka sejak beberapa minggu lalu dan kini hanya menunggu Akira Nakai untuk tiba dan memasangnya.
Kenapa Ramai Tertarik Dengan Seni Akira?
Apa yang membuatkan ramai tertarik dengan hasil kerja beliau adalah kerana dia melakukan kerja dengan pantas, iaitu selama 48 jam sahaja untuk melengkapkan sesuatu projek. Selain itu, proses pemasangan juga dilakukan dengan begitu ‘bersahaja’ di mata penonton namun, bagi pereka kereta, mereka tahu cara kerja Akira memerlukan kepakaran puluhan tahun untuk mahir melakukannya.
Tambahan lagi, walaupun pelanggan Nakai terdiri daripada orang yang berpengaruh ataupun mereka yang kaya sehingga berbilion sekalipun, mereka cuma boleh menempah satu sahaja projek RWB yang dikendalikan oleh Nakai. Ini secara terus menjadikan harga kenderaan serta nilai sentimental sesebuah RWB itu meningkat.
Akira Nakai juga dikatakan akan menghadkan bajet bagi setiap projek kepada $200,000 (RM954,000) sahaja. Ini bagi memastikan tiada modifikasi yang tidak perlu atau berlebih-lebihan sehingga menghilangkan DNA sebenar RWB.
Bagaimana Akira Nakai Terkenal?
Akira pada asalnya merupakan seorang krew drift bagi pasukan ‘Rough World’ yang menghasilkan jentera Trueno AE86 dalam kejohanan drift di negara dia. Minat pada modifikasi Porsche datang ketika beliau bekerja di sebuah kedai bodykit pada penghujung 90’an dan ditemukan dengan Porsche 930 yang tersadai akibat rosak.
Jadi, dia beli 930 tersebut dari pemilik asal dan mula mengubah apa yang patut sehingga terhasil RWB yang pertama dipanggil, Stella Artois (nama diambil dari bir kegemarannya).
Enam tahun kemudian beliau menubuhkan syarikat RAUH-Welt BEGRIFF (RWB) dan mula mendapat tempahan dari dalam Jepun sebelum dikenali di seluruh dunia seperti hari ini.
Penerimaan Orang Ramai, Terutama Porsche..
Nama Akira Nakai menjadi sebutan dalam kalangan komuniti kereta di Jepun, sehingga mendapat perhatian kelab-kelab kereta di Eropah. Ramai yang menentang hasil seni beliau dan ramai juga yang jatuh cinta dengan karya beliau.
Mereka yang tidak setuju menganggap Akira merosakkan nama Porsche dan nilai estetik kenderaan tersebut dengan menambah body-kit yang mereka anggap berlebihan.
Namun, di sudut lain, ramai yang teruja dengan hasil tangan Akira sehingga ada yang sanggup tunggu 2-3 tahun untuk Nakai siapkan projek RWB mereka.
Porsche juga dikatakan memberi ruang kepada Akira dan tidak menghalang kreativiti beliau bertebaran di seluruh dunia.
Bagi projek RWB di Malaysia Jun ini, lokasi dan masa akan dikongsikan ketika Akira tiba di sini. Jadi mereka yang berminat untuk melihat Akira mencipta seni secara langsung, ikuti beliau di media sosial.
Kredit: Vocket Car Club, Excellence Mag, Youtube
Baca: Porsche Taycan Turbo GT – EV Produksi Paling Berkuasa Pernah Dibina
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.