Isu Sidang Media
Pelumba Formula 1, kini bersatu suara mendesak agar badan pentadbiran sukan ini, FIA, tidak lagi melayan mereka seperti kanak-kanak.
Permintaan ini disampaikan dalam kenyataan rasmi oleh Persatuan Pemandu Grand Prix (GPDA) yang mewakili suara pelumba-pelumba F1.
Membayangkan ketidakpuasan hati mereka terhadap dasar terbaru FIA serta cara presidennya. Mohammed Ben Sulayem, menguruskan isu ini.
Ketegangan Memuncak
Setelah Max Verstappen dan Charles Leclerc dikenakan denda baru-baru ini hanya kerana bersumpah dalam sidang media rasmi FIA. Ramai pelumba merasakan reaksi FIA terlalu melampau.
Menurut kenyataan GPDA, terdapat perbezaan jelas antara sumpah yang bertujuan menghina dan penggunaan bahasa kasar untuk situasi seperti cuaca buruk atau kereta yang bermasalah. Mereka berharap presiden FIA sendiri lebih berhati-hati dalam memilih nada dan bahasa apabila bercakap tentang atau kepada para pelumba.
Bukan Pertama Kali
Isu ini bukan pertama kali mencetuskan ketegangan antara pelumba F1 dan Ben Sulayem. Sebelum ini, peraturan ketat berkaitan pemakaian barang kemas dan pakaian dalam turut mencetuskan kontroversi. Hal itu menyebabkan perselisihan yang berpanjangan dengan pelumba seperti Lewis Hamilton.
Kini, kontroversi terbaru mengenai sumpah turut dikaitkan dengan kenyataan Ben Sulayem yang menyatakan beliau tidak mahu sukan F1 dilihat seperti muzik rap. Ini mengundang kritikan keras daripada Hamilton yang mempersoalkan unsur stereotaip dan unsur perkauman dalam kenyataan tersebut.
Reaksi Pelumba
Reaksi pelumba juga timbul daripada hukuman kontroversi ke atas Verstappen, yang dikenakan tugas komuniti setelah mengkritik keretanya dengan kata kasar.
Leclerc pula dikenakan denda €10,000 kerana menggunakan kata kesat ketika menggambarkan situasi tegang di litar Mexico.
Hukuman seperti ini dianggap tidak sesuai dan telah lama dikecam oleh GPDA. Malah, GPDA menuntut FIA untuk lebih telus mengenai pengurusan kewangan denda yang dikenakan terhadap pelumba. Termasuk bagaimana dana tersebut digunakan dan disalurkan.
Dana Denda FIA
GPDA menegaskan bahawa, sejak tiga tahun kebelakangan ini, mereka telah berkali-kali meminta maklumat mengenai penggunaan dana denda ini.
Namun, hingga kini belum mendapat jawapan yang memuaskan. Para pelumba percaya bahawa, sebagai sebahagian daripada sukan ini. Mereka berhak mengetahui ke mana dana denda disalurkan dan bagaimana ia boleh digunakan untuk kepentingan sukan F1.
Kenyataan GPDA ini adalah tanda kesatuan dalam kalangan 20 pelumba F1. Di mana persatuan ini diketuai oleh bekas pelumba Alex Wurz serta didukung oleh pengarah seperti George Russell dan bekas juara dunia, Sebastian Vettel.
Mereka menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan FIA dalam mencapai penyelesaian yang memuaskan bagi semua pihak.
Kini, bola berada di pihak FIA untuk memberi maklum balas terhadap tuntutan GPDA ini, dengan harapan agar kedua-dua pihak dapat mencapai titik persefahaman demi kemajuan sukan F1 yang lebih baik.
Dari The Guardian
Baca Juga F1 – Max Verstappen Juara di Sao Paulo GP dari P17, Alpine Podium Berganda
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.