Seiring dengan sambutan 60 tahun sejak pelancaran ikonik Mustang oleh Ford, syarikat tersebut telah mengumumkan edisi terhad Mustang untuk tahun 2025. Ford merancang untuk menghasilkan hanya 1,965 unit sahaja edisi khas ini, menjadikannya sebuah kereta “Limited Edition” untuk para pengumpul dan peminat Ford Mustang.
Edisi khas ini tersedia secara eksklusif dalam model coupe dan convertible GT Premium. Pembeli boleh memilih cwarna merah, putih, atau biru dan terdapat juga pilihan palet trim luaran berwarna kelabu, merah, dan perak. Hadir dengan rim reka bentuk klasik Mustang bersaiz 20 inci dan “rim cap” aluminium bewarna merah beserta logo mustang, model ini mirip model Ford Mustang yang dihasilkan pada tahun 1965.
Kredit Foto : Website caranddriver
Mustang Edisi Ulang Tahun ke-60 ini menampilkan lencana pada fender dan bagasi yang terinspirasi dari lencana “cloisonné” Mustang 1965. Teknik kuno ini melibatkan penggunaan “glass paste” berwarna dalam rekaan yang dibakar pada suhu tinggi untuk menghasilkan kesan yang berwarna-warni dan menyerupai enamel.
Di bahagian dalam, edisi ulang tahun ini disertakan dengan lencana panel instrumen bersiri yang menambah keunikannya. Rekaan dalaman Mustang ini juga menyamai skema warna luaran, menampilkan perincian yang serupada dengan tema model kereta tahun 1960-an.
Ads
Kredit Foto : Website caranddriver
Mustang juga dilengkapi dengan lampu depan Nite Pony yang bewarna “smoke” dan reka bentuk gril mesh, yang kedua-duanya berfungsi sebagai penghormatan kepada Model Mustang asal tahun 1964 iaitu model yang tetap menjadi titik perdebatan sejarah dalam kalangan peminat Mustang.
Mustang Ulang Tahun ke-60 dijangka tersedia untuk ditempah pada pertengahan tahun ini. Walaupun Ford belum mendedahkan harga, keunikan dan ciri khas edisi ini dijangka akan menjadi rebutan peminat tegar Ford Mustang.
Ads
Kredit Foto : Website caranddriver
Menarik tentang model ini adalah pengeluaran Ford Mustang masih diteruskan walaupun sudah berdekat lamanya dan masih mendapat perhatian walaupun banyak model-model kereta lain yang lebih berkuasa dan menarik.
Ads
Kami sentiasa menunggu siapakah individu Malaysia yang pertama akan menggunakan Ford Mustang edisi terbaharu ini atau lebih menarik model “Dark Horse”. Kita sama-sama nantikan.
Volvo Car Malaysia mengundang pemilik kenderaan Volvo dan keluarga mereka untuk menyertai Volvo A-Moose-Ment Day, sebuah acara istimewa yang menjanjikan keriangan tanpa henti di The Courts, KLGCC Resort.
Bertemakan semangat keluarga dan keseronokan, acara ini akan berlangsung pada Sabtu, 15 Februari, dan menawarkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang hari.
Antara aktiviti yang disediakan adalah sesi pandu uji kenderaan hingga ke aktiviti mesra kanak-kanak, sukan, dan sesi memanjakan diri.
Acara ini membuka peluang kepada pemilik Volvo untuk meneroka rangkaian penuh model kenderaan Volvo.
Daripada model SUV ikonik Volvo XC90 hingga model baharu Volvo EX30 yang kaya dengan inovasi teknologi.
Setiap pengunjung berpeluang merasai pengalaman memandu yang menggabungkan keselamatan, keselesaan, dan reka bentuk Scandinavia yang menawan.
Bagi kanak-kanak, mereka boleh mencuba pengalaman unik ‘memandu’ kereta mini Volvo melalui kursus keselamatan khas.
Dengan pengawasan pengajar mesra dan kehadiran maskot Moose yang ceria, aktiviti ini bertujuan mendidik tentang keselamatan jalan raya secara interaktif.
Selaras dengan misi Volvo, For Life, acara ini turut menawarkan pelbagai aktiviti sukan seperti padel dan pickleball di Padelground.
Jurulatih profesional akan membantu para peserta mempelajari asas permainan ini, yang semakin popular di Malaysia.
Selain itu, para pengunjung boleh mencabar diri dengan sesi spin di Tribe, menikmati yoga di The Flow Studio untuk meregangkan badan, atau memanjakan diri dengan cucian rambut dan rias kuku ekspres secara percuma di 176 Avenue.
Sepanjang acara, makanan dan minuman yang lazat disediakan oleh NOA, termasuk makan tengah hari dan snek ringan.
Kanak-kanak pula boleh menyertai aktiviti kreatif seperti bengkel kraf, pemburuan harta karun, belon gergasi, dan menikmati manisan yang memikat hati.
Menurut Patricia Yaw, Pengarah Pemasaran dan PR Volvo Car Malaysia:
“Apabila anda memandu Volvo, anda bukan sekadar pemilik kenderaan – anda adalah sebahagian daripada keluarga Volvo. Hari Volvo A-Moose-Ment ini merupakan cara kami menghargai sokongan berterusan daripada pemilik Volvo sambil mencipta peluang untuk mereka mengeratkan hubungan, berkongsi pengalaman, dan mencipta kenangan indah bersama keluarga dalam suasana yang sihat dan menyeronokkan.”
Hari A-Moose-Ment Volvo adalah sebahagian daripada inisiatif Koppla – perkataan Sweden yang bermaksud ‘menghubungkan’.
Inisiatif tahunan ini merangkumi pelbagai aktiviti seperti makan malam mewah, pratonton pelancaran eksklusif, dan kejohanan padel terbesar di Malaysia.
Acara ini adalah percuma untuk pemilik Volvo dan keluarga mereka, dengan slot penyertaan yang terhad.
Pemilik juga boleh membawa sehingga dua orang rakan bukan pemilik Volvo dengan bayaran tiket RM300 setiap seorang.
PROTON meneruskan perjalanan Ekspedisi 10,000 sMILEs dengan memasuki fasa baharu yang menghubungkan Sabah dan Brunei menerusi konvoi rentas sempadan, sekali gus mengukuhkan hubungan serantau antara Malaysia dan Brunei Darussalam.
Ekspedisi yang melibatkan 10 buah kenderaan PROTON itu memulakan perjalanan dari Kota Kinabalu sebelum melalui Beaufort dan seterusnya memasuki Brunei. Konvoi tersebut terdiri daripada model Proton Saga, Proton S70 dan Proton X50 yang diuji dalam pelbagai keadaan pemanduan sebenar termasuk lebuh raya, kawasan bandar, kesesakan lalu lintas, prosedur imigresen di sempadan serta perjalanan jarak jauh.
Selain menguji prestasi kenderaan, ekspedisi ini turut melambangkan hubungan erat antara Malaysia dan Brunei yang telah terjalin sejak sekian lama. Ia juga sejajar dengan semangat Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mempromosikan hubungan ekonomi, pelancongan dan budaya antara negara jiran di rantau Borneo.
Sebagai sedan ikonik negara, Proton Saga membuktikan keupayaannya sebagai kenderaan yang praktikal dan menjimatkan untuk perjalanan jauh. Dikuasakan enjin 1.5L i-GT yang dipadankan dengan transmisi CVT, Saga menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan penggunaan bahan api.
Kemudahan seperti ruang but berkapasiti 420 liter, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kamera undur serta sensor parkir turut meningkatkan keselesaan sepanjang ekspedisi.
Proton S70 pula memperlihatkan karakter sedan moden yang sesuai untuk perjalanan rentas negeri dan rentas negara. Enjin 1.5 liter turbo i-GT memberikan prestasi yang responsif sambil mengekalkan penggunaan bahan api yang efisien.
Ruang kabin yang luas bersama but berkapasiti 500 liter menjadikan S70 sesuai untuk perjalanan jauh, manakala sistem Kamera HD 360 darjah dengan paparan 3D serta fungsi Remote Engine Start menambah keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.
Sebagai SUV popular PROTON, X50 menunjukkan tahap kestabilan dan keyakinan pemanduan yang tinggi sepanjang perjalanan. Dikuasakan enjin 1.5 liter turbo i-GT, model ini menawarkan gabungan prestasi, keselesaan dan kecekapan bahan api yang sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti Intelligent Cruise Control, Lane Change Assist, Lane Departure Warning dan Rear Cross Traffic Alert membantu meningkatkan tahap keselamatan sepanjang ekspedisi. Turut melengkapkan model ini ialah Kamera HD 360 darjah dengan Transparent View serta Auto Park Assist.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei, konvoi singgah di pusat 3S PROTON OBM Automobil Beaufort bagi menyaksikan pelancaran identiti korporat baharu pusat jualan tersebut.
Penambahbaikan yang dilakukan bukan sekadar melibatkan aspek visual, malah mencerminkan usaha PROTON dalam meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi ruang pameran yang lebih moden serta perkhidmatan yang selari dengan standard terkini jenama itu.
Setibanya di Brunei, ekspedisi diteruskan dengan sesi interaksi bersama pelanggan di bilik pameran Econ Motors. Program tersebut menghimpunkan pelanggan, komuniti setempat, wakil pengedar dan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri automotif kedua-dua negara.
Majlis berkenaan turut dihadiri wakil Brunei Tourism serta pegawai kanan dari Malaysia dan Brunei termasuk Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan.
Sebagai simbol penghargaan terhadap kerjasama yang terjalin, PROTON turut menyampaikan cenderahati kepada Brunei Tourism, PAD Motors serta tetamu kehormat yang hadir.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa, ekspedisi ini membuktikan bahawa mobiliti bukan sekadar mengenai pengangkutan, malah berperanan menghubungkan masyarakat, budaya dan ekonomi antara negara.
“Perjalanan Sabah ke Brunei ini membolehkan kami memperlihatkan kecekapan bahan api, tahap keselesaan, teknologi pintar dan keupayaan perjalanan jarak jauh yang ditawarkan oleh kenderaan PROTON dalam keadaan pemanduan sebenar, di samping mengukuhkan hubungan PROTON dengan Brunei dan rantau Borneo secara keseluruhan,” katanya.
Selepas melengkapkan laluan Sabah-Brunei, Ekspedisi PROTON 10,000 sMILEs akan diteruskan ke Sarawak dengan pelbagai aktiviti melibatkan orang ramai, program kebudayaan, kerjasama bersama pengedar dan pengalaman pemanduan yang lebih dekat dengan komuniti setempat.
Melalui inisiatif ini, PROTON bukan sahaja mempamerkan kemampuan produknya, malah memperkukuhkan hubungan antara masyarakat, merangsang aktiviti pelancongan serta menyokong pembangunan ekonomi serantau di Borneo sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Terminal Bersepadu Selatan (TBS) semakin menjadi perhatian dengan jualan tiket bas ekspres yang mencatatkan angka yang mencengangkan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebanyak 220,000 tiket bas ekspres telah terjual daripada jumlah keseluruhan kira-kira 330,000 tiket yang tersedia di terminal tersebut.
Antara pilihan paling popular adalah perjalanan ke Pantai Timur, di mana semua tiket untuk destinasi tersebut telah habis terjual.
Dengan sisa lebih kurang 100,000 tiket bas ekspres yang masih tinggal, iaitu bagi perjalanan ke utara dan selatan, terdapat usaha yang dilakukan untuk memenuhi keperluan meningkat ini.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memberi kelulusan untuk 218 bas tambahan sehingga 29 Mac melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan.
Ini bertujuan untuk menampung permintaan yang tinggi daripada orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman sempena perayaan ini.
Menurut Menteri Anthony Loke, jumlah bas tambahan dijangka akan terus meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada jam 4 petang pada hari Selasa. Beliau turut menambah bahawa pada tahun lepas, sebanyak 256 bas tambahan telah diluluskan oleh APAD untuk mengatasi keperluan semasa musim perayaan.
Kenyataan ini dibuat semasa sidang media selepas tinjauan pengoperasian TBS sempena Hari Raya Aidilfitri oleh Menteri Pengangkutan bersama-sama Ketua Pengarah APAD, Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maju Holdings, Datuk Roslan Sharif.
Keadaan ini jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan TBS sebagai pusat pengangkutan utama bagi mereka yang pulang ke kampung halaman sempena perayaan, dan usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memastikan keperluan pengangkutan awam dapat dipenuhi dengan cekap dan efektif.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...