Sempena sambutan perayaan Thaipusam, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari kepada pengguna KTM Komuter di Lembah Klang bermula 10 Februari.
Ini merupakan inisiatif yang diambil untuk memudahkan penganut Hindu, pelancong, dan orang ramai yang ingin menyaksikan kemeriahan Thaipusam di Batu Caves.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan bahawa perkhidmatan ini akan beroperasi selama 24 jam selama empat hari berturut-turut. Bermula Ahad, bagi memenuhi permintaan tinggi sempena perayaan ini.
Laluan perkhidmatan yang terlibat termasuk Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelabuhan Klang yang akan beroperasi mengikut jadual penuh.
500,000 Penumpang Dijangka Manfaatkan Perkhidmatan
Menurut Anthony, hampir 500,000 pengguna dijangka memanfaatkan perkhidmatan ini, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding tahun lalu. Peningkatan jumlah penumpang dijangka mencapai kemuncak pada 11 Februari.
“Sebanyak 494 perjalanan tambahan akan disediakan sepanjang tempoh empat hari tiga malam ini,” katanya.
Antara laluan yang terlibat ialah:
- Batu Caves – Pulau Sebang – Batu Caves (33 perkhidmatan)
- Batu Caves – Pelabuhan Klang – Batu Caves (45 perkhidmatan)
- KL Sentral – Batu Caves – KL Sentral (28 perkhidmatan)
- Batu Caves – Bangi – Batu Caves (6 perkhidmatan)
- Batu Caves – Sentul – Batu Caves (3 perkhidmatan)
- Batu Caves – Subang Jaya – Batu Caves (3 perkhidmatan)
Perkhidmatan tren tambahan akan bermula selepas tren terakhir pada setiap hari. Sebagai contoh, tren dari Stesen Pulau Sebang ke Batu Caves akan beroperasi seawal 9.55 malam. Manakala tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Batu Caves akan bermula pada 9.30 malam.
Bagi pengguna dari KL Sentral, tren tambahan akan disediakan mulai jam 11 pagi dengan kekerapan setiap 30 minit berbanding sejam pada hari biasa.

Perkhidmatan Shuttle dan Feri Percuma
Selain perkhidmatan tren, RapidKL dan RapidPenang turut menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma pada 10 dan 11 Februari.
RapidKL akan menyediakan 30 bas yang bergerak dari Hab Bandar Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu ke Batu Caves dengan frekuensi setiap 10 minit.
RapidPenang pula menyediakan 12 bas shuttle dari jeti perkhidmatan feri ke Adventist dengan kekerapan 20 hingga 60 minit.
Di Pulau Pinang
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd akan menyediakan perkhidmatan feri percuma selama 24 jam pada 10 dan 11 Februari. Dengan lanjutan perkhidmatan sehingga jam 2.30 pagi pada 12 Februari.
Anthony turut mengumumkan bahawa pengendali BAS.MY akan menyediakan perkhidmatan tambahan secara percuma di sekitar Johor Bahru, Seremban dan Ipoh pada 11 Februari bagi memudahkan penganut Hindu ke lokasi perayaan di kuil.
Inisiatif tambang percuma dan perkhidmatan khas ini pastinya memberikan keselesaan serta kemudahan kepada ribuan pengguna untuk menyertai sambutan Thaipusam dengan lebih lancar dan selamat.
Jangan lepaskan peluang untuk menikmati perkhidmatan percuma ini sambil menyaksikan keunikan tradisi Thaipusam yang penuh warna-warni di Malaysia.
Dari Careta
Baca Juga KTM 990 RC R – Gabungan MotoGP dan Jalanan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.