Wei Ling Motor Sambut Ulang Tahun Kesembilan, Lancar WMOTO NEXY+180 dan ARIIC GOBI 250
Mforce Smartshop Wei Ling Motor Sdn. Bhd. meraikan ulang tahun kesembilan operasinya dengan memperkenalkan beberapa model motosikal terbaharu, termasuk pelancaran rasmi WMOTO NEXY+180 dan ARIIC GOBI 250 untuk pasaran Malaysia.
Majlis penghargaan yang berlangsung di Kluang, Johor itu menghimpunkan rakan niaga, wakil media, komuniti motosikal serta pelanggan setia Wei Ling Motor.
Acara tersebut turut dihadiri Pengarah Urusan Wei Ling Motor Sdn. Bhd., Leok Kah Ling bersama barisan pengurusan syarikat, selain wakil Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Asri Ahmad.

Wei Ling Motor memulakan operasi sebagai Wei Ling Motor Trading pada 1996 sebelum berkembang dan didaftarkan sebagai Wei Ling Motor Sdn. Bhd. pada 2009.
Kerjasama bersama Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. pula bermula pada 2013. Empat tahun kemudian, syarikat itu dilantik sebagai SYM Smartshop kedua di Johor dan keenam di Malaysia.
Kini, Wei Ling Motor mengendalikan dua cawangan yang terletak di Taman Sri Lambak dan Taman Kluang Baru.
Sempena sambutan ulang tahun berkenaan, empat model terbaharu Mforce turut dipamerkan kepada pengunjung, terdiri daripada Morbidelli T250, Morbidelli T250X, ARIIC GOBI 250 dan WMOTO NEXY+180.
Kesemua model tersebut kini dibuka untuk tempahan.
Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi pandu uji, selain menikmati diskaun 20 peratus bagi produk Mforce Oil dan alat ganti Mforce CVT Belting.
Hadiah cabutan bertuah seperti helmet LS2, kotak belakang YHPro dan produk Mforce Oil turut ditawarkan sepanjang acara berlangsung.
WMOTO NEXY+180 Dilancarkan pada Harga RM9,288
Antara tarikan utama sambutan tersebut ialah pelancaran rasmi WMOTO NEXY+180, sebuah skuter premium yang menerima beberapa penambahbaikan dari segi keselamatan, keselesaan dan teknologi.
Ditawarkan pada harga bermula RM9,288, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, WMOTO NEXY+180 hadir dalam empat pilihan warna iaitu Midnight Black, Nardo Grey, Magic Blue dan Xtreme White.

Skuter ini dikuasakan enjin satu silinder bersesaran 174 cc, empat lejang, empat injap dan penyejukan cecair.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 13.6 kW pada 8,500 rpm dan tork 17.2 Nm pada 6,500 rpm, sebelum dipadankan dengan transmisi CVT serta klac automatik.
Tangki bahan api berkapasiti lapan liter pula memberikan jarak tunggangan yang praktikal untuk penggunaan harian.
WMOTO NEXY+180 : Suspensi Dwi-Penyerap Hentak dan ABS Dua Saluran
Sistem suspensi WMOTO NEXY+180 menggunakan fork teleskopik di hadapan dengan jarak pergerakan 103 mm, manakala bahagian belakang menerima dua penyerap hentak yang dipasang secara menegak dengan jarak pergerakan 130 mm.
Kuasa membrek disediakan oleh cakera tunggal bersaiz 260 mm dengan angkup empat piston di hadapan serta cakera 220 mm dengan caliper satu piston di belakang.
Sistem tersebut turut dilengkapi Sistem Brek ABS dua saluran bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek.
WMOTO NEXY+180 menggunakan tayar bersaiz 110/70-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang.
Ia mempunyai panjang keseluruhan 1,970 mm, lebar 770 mm dan tinggi 1,150 mm, sementara jarak rodanya berukuran 1,315 mm.
Ketinggian tempat duduk ditetapkan pada 765 mm, manakala berat keringnya ialah 136 kg dan berat dengan bendalir sekitar 142 kg.
WMOTO NEXY+180 Lengkap dengan TFT, Dashcam dan TPMS
Dari segi kelengkapan, WMOTO NEXY+180 hadir dengan paparan TFT bersaiz enam inci, sistem nyalaan tanpa kunci yang turut disertakan kunci mekanikal, soket pengecas USB Type-A dan Type-C serta suis keselamatan tongkat sisi.
Sistem pencahayaannya merangkumi lampu utama projektor LED, lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Antara ciri keselamatan dan teknologi lain yang disediakan ialah Sistem Kawalan Cengkaman, dashcam hadapan serta Sistem Pemantauan Tekanan Tayar.
Skuter ini turut menyokong aplikasi Carbit Ride dan RoadCam, sambungan Bluetooth serta paparan pemberitahuan panggilan masuk.
Penambahbaikan terbaharunya merangkumi lampu bantuan bagi suluhan rendah, tempat duduk dengan penyandar belakang, welcome lamp dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar.
Turut tersedia ialah ruang simpanan hadapan bermagnet, penghadang angin dan rak belakang bersepadu.
ARIIC GOBI 250, Skuter Adventure Berharga RM13,988
Selain WMOTO NEXY+180, ARIIC GOBI 250 turut diperkenalkan secara rasmi kepada pasaran Malaysia selepas pertama kali dipertontonkan ketika Top 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign di Zhejiang, China pada 21 November 2025.
Model ini ditawarkan pada harga RM13,988, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Tiga pilihan warna disediakan iaitu Carbon Black, Velocity Grey dan Mystic Purple.

ARIIC GOBI 250 tampil sebagai sebuah skuter adventure moden yang direka untuk kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.
Ia menggunakan enjin satu silinder bersesaran 249 cc, empat lejang, empat injap dan penyejukan cecair.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa 16.5 kW pada 8,000 rpm dan tork 23.5 Nm pada 5,000 rpm.
Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik V-Belt bersama sistem gear, manakala sistem suntikan bahan api elektronik membantu memastikan prestasi enjin lebih cekap dan konsisten.
Tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter pula memberikan kelebihan untuk tunggangan jarak jauh.
Roda Jejari untuk Laluan Lebih Mencabar
ARIIC GOBI 250 dilengkapi fork teleskopik terbalik di hadapan serta dua penyerap hentak di belakang.
Sistem membreknya menggunakan cakera tunggal pada kedua-dua roda, disokong Sistem ABS dua saluran.
Ia menggunakan tayar bersaiz 110/80-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang, yang dipasang pada roda jenis jejari.
Konfigurasi tersebut memberikan penampilan lebih lasak, selain menjadikannya lebih sesuai digunakan di atas jalan berturap atau laluan yang sedikit mencabar.
Skuter ini mempunyai panjang 1,980 mm, lebar 770 mm dan tinggi 1,315 mm, dengan jarak roda 1,430 mm.
Ketinggian tempat duduknya ialah 780 mm, manakala berat kering dicatatkan sebanyak 176 kg.

Sambungan MotoFun dan Sistem Kawalan Cengkaman
ARIIC GOBI 250 turut menerima paparan TFT, sistem nyalaan tanpa kunci, port pengecas USB Type-A dan Type-C serta suis keselamatan tongkat sisi.
Sistem pencahayaan LED digunakan pada lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan.
Antara ciri keselamatan yang disediakan ialah Sistem Kawalan Cengkaman yang boleh dinyahaktifkan, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar serta dashcam hadapan.
Ia juga dilengkapi penghadang angin, ruang simpanan di bawah tempat duduk dan palang perlindungan enjin.
Bagi fungsi sambungan pintar, ARIIC GOBI 250 menyokong aplikasi pihak ketiga MotoFun yang menawarkan fungsi navigasi, integrasi dashcam, sambungan Bluetooth dan pemberitahuan panggilan masuk.

Waranti Sehingga Dua Tahun
Setiap pembelian WMOTO NEXY+180 disertakan waranti pengeluar selama dua tahun atau sehingga jarak perjalanan 20,000 km, yang mana tiba dahulu.
Pembeli ARIIC GOBI 250 pula menerima waranti selama dua tahun tanpa had perbatuan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Pemilik kedua-dua model juga boleh mendapatkan alat ganti tulen secara dalam talian menerusi platform rasmi WMOTO Malaysia dan ARIIC Malaysia.
Baca Juga : Mforce Lancar Mforce Experience Club, Platform Komuniti Rasmi Pemilik Motosikal
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






