Ads

ZXMOTO Tembus Pasaran Malaysia, Model 4-Silinder Bermula RM28,888

ZXMOTO Masuk Malaysia Dengan Tiga Model, Harga Dari RM28,888 Hingga RM39,888

Pasaran motosikal berkuasa sederhana dan besar di Malaysia kini menerima satu lagi pemain baharu apabila ZXMOTO secara rasmi memperkenalkan tiga model serentak, iaitu ZXMOTO 500F, 500RR dan 820RR.

Dilancarkan menerusi acara Rise of the Champions, ZXMOTO Official Launch sempena Mforce Mid-Autumn Gala Dinner 2026, ketiga-tiga model ini dibawa masuk dengan harga yang boleh dianggap agak agresif.

ZXMOTO 500F dijual pada harga RM28,888, 500RR pula RM29,988, manakala 820RR yang menggunakan enjin tiga silinder ditawarkan pada harga RM39,888.

ZXMOTO

Bagi pembeli yang selama ini mahu beralih daripada motosikal kapcai atau kelas 250 cc kepada jentera berkapasiti lebih besar tanpa perlu menyediakan bajet terlalu tinggi, ketiga-tiga model ini mungkin antara yang boleh dimasukkan dalam senarai pertimbangan.

ZXMOTO 500F, Empat Silinder Pada Harga RM28,888

Model paling murah dalam barisan ini ialah ZXMOTO 500F, sebuah motosikal naked yang menggunakan enjin empat silinder.

Dengan harga RM28,888, ia menerima enjin 470 cc, empat silinder, DOHC 16 injap yang menghasilkan 54 kW pada 11,000 rpm dan tork maksimum 48 Nm pada 9,500 rpm.

ZXMOTO Tembus Pasaran Malaysia, Model 4-Silinder Bermula RM28,888.

Walaupun menjadi model paling asas dalam keluarga ZXMOTO yang dilancarkan kali ini, kelengkapannya masih agak menarik.

Antaranya ialah Traction Control System (TCS), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), dua mod tunggangan Eco dan Sport, lampu LED, DRL serta port pengecas USB.

Bahagian hadapan menggunakan suspensi jenis terbalik yang mempunyai pelarasan redaman, sementara suspensi belakang pula membenarkan pelarasan prabeban.

Untuk membrek, ia diberikan dua cakera 300 mm di hadapan dan cakera 220 mm di belakang bersama ABS dwi saluran.

Saiz tayarnya juga cukup besar, masing-masing 120/70 ZR17 di hadapan dan 180/55 ZR17 di belakang.

500F mempunyai berat basah 175 kg, ketinggian tempat duduk 795 mm dan tangki minyak berkapasiti 15 liter.

Tiga warna disediakan iaitu Phantom Black, Crimson Red dan Arctic White.

ZXMOTO 500RR, Tambah RM1,100 Dapat Jentera Supersport

Menariknya, beza harga antara 500F dengan ZXMOTO 500RR hanya RM1,100.

Dengan harga RM29,988, 500RR menawarkan pendekatan yang berbeza menerusi rekaan supersport lengkap dengan fairing serta kedudukan tunggangan lebih sporty.

Ads

Ia juga menggunakan enjin empat silinder sekitar 470 cc, tetapi ditala untuk menghasilkan kuasa lebih tinggi.

Enjin 470.2 cc empat silinder pada 500RR mampu menghasilkan 62 kW pada 13,500 rpm dan tork maksimum 46 Nm pada 11,500 rpm.

Maknanya, karakter enjinnya lebih gemar dimainkan pada putaran tinggi berbanding 500F.

Antara kelengkapan yang boleh menarik perhatian peminat motosikal sport ialah Quickshifter dua arah, membolehkan penunggang menaikkan atau menurunkan gear tanpa perlu menarik klac dalam keadaan tertentu.

Turut tersedia ialah lima mod tunggangan, terdiri daripada Sport, Street, Rain serta dua mod yang boleh ditetapkan mengikut kehendak penunggang.

ZXMOTO Tembus Pasaran Malaysia, Model 4-Silinder Bermula RM28,888

500RR turut diberikan paparan TFT, sambungan Bluetooth, Cruise Control dan port USB.

Suspensi depan jenis terbalik berdiameter 41 mm pula boleh dilaraskan sepenuhnya, begitu juga penyerap hentak belakang.

Untuk sistem brek, ia menggunakan dua cakera 320 mm di hadapan dan satu cakera 240 mm di belakang bersama ABS dwi saluran.

Satu lagi perkara menarik ialah penggunaan swingarm sebelah atau single-sided swingarm, yang memberikan bahagian belakangnya penampilan lebih eksotik dan jarang ditemui pada motosikal dalam lingkungan harga ini.

Berat basah dicatatkan pada 170 kg, lima kilogram lebih ringan berbanding 500F.

Ads

ZXMOTO menawarkan tiga pilihan warna untuk model ini iaitu Nitro Red, Onyx Black dan Frost White.

ZXMOTO 820RR, 818.8 cc Tiga Silinder, Harga Bawah RM40,000

Model yang paling mencuri perhatian semestinya ZXMOTO 820RR.

Bukan sahaja kerana rekaannya yang agresif, malah motosikal ini hadir dengan enjin lebih besar tetapi masih ditawarkan pada harga RM39,888.

Jantung utama 820RR ialah enjin 818.8 cc tiga silinder, DOHC 12 injap dengan sistem penyejukan cecair dan minyak.

Ia mampu menghasilkan 99 kW pada 12,000 rpm dan tork maksimum 80 Nm pada 9,500 rpm.

Untuk memberi gambaran lebih mudah, output tersebut meletakkan 820RR jauh di atas dua model 500 cc tadi dan menjadikannya pilihan untuk mereka yang memang mencari motosikal berprestasi lebih serius.

ZXMOTO Tembus Pasaran Malaysia, Model 4-Silinder Bermula RM28,888

Motosikal ini turut dilengkapi dengan Quickshifter dua arah, Traction Control, TPMS, Cruise Control, sambungan Bluetooth, sistem Keyless dan lima mod tunggangan.

Lima mod tersebut terdiri daripada Rain, Road, Sport dan dua lagi tetapan yang boleh disesuaikan sendiri.

ABS dwi saluran pada model ini juga boleh dinyahaktifkan.

Bahagian depan menggunakan cakera berkembar 320 mm, manakala belakang menerima cakera 220 mm.

Ads

Suspensi depan dan belakang pula boleh dilaraskan sepenuhnya dari segi prabeban serta redaman.

Untuk menampung kuasa lebih tinggi, ZXMOTO menggunakan tayar bersaiz 120/70 ZR17 di hadapan dan 190/55 ZR17 di belakang.

820RR mempunyai berat basah 193 kg, ketinggian tempat duduk 825 mm serta tangki petrol 18 liter.

Pilihan warna yang disediakan ialah Eclipse Black, Rebel Red dan Ghost White.

ZXMOTO Tembus Pasaran Malaysia, Model 4-Silinder Bermula RM28,888

Harga ZXMOTO Jadi Tarikan Utama

Melihat kepada tiga model yang ditawarkan, ZXMOTO nampaknya tidak hanya bergantung kepada rupa untuk menarik pembeli.

Strateginya cukup jelas menawarkan enjin berbilang silinder, spesifikasi elektronik yang banyak dan harga yang masih berada sekitar RM30,000 hingga RM40,000.

Bagi pembeli yang mempunyai bajet sekitar RM30,000, 500F menawarkan pakej naked empat silinder yang lebih santai, manakala tambahan sekitar RM1,100 membawa pembeli kepada 500RR yang lebih sporty serta mempunyai Quickshifter dan Cruise Control.

Sementara itu, pembeli yang sanggup meningkatkan bajet kepada hampir RM40,000 pula boleh mendapatkan 820RR dengan enjin tiga silinder 818.8 cc dan tahap kelengkapan elektronik yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, harga yang menarik sahaja belum cukup untuk menentukan kemampuan sebenar sesebuah motosikal.

Aspek seperti ketahanan enjin, kualiti pemasangan, kos penyelenggaraan, harga alat ganti dan nilai jualan semula turut menjadi antara perkara penting yang biasanya akan dinilai pengguna selepas sesebuah jenama berada lebih lama dalam pasaran.

Waranti Dua Tahun

Bagi memberi keyakinan kepada pembeli, ZXMOTO Malaysia menyediakan waranti selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

Sekiranya motosikal telah melebihi 20,000 km dalam tempoh tersebut, komponen enjin masih menerima perlindungan waranti dengan perbatuan tanpa had sehingga baki tempoh dua tahun tamat, tertakluk kepada terma dan syarat.

Pemilik juga mempunyai akses kepada perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian menerusi ZXMOTO Malaysia.

Baca Juga : Mforce Lancar Mforce Experience Club, Platform Komuniti Rasmi Pemilik Motosikal

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Dapatkan tip automotif, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Menarik di Roda Panas

Cara Pam Tayar Motosikal dengan Betul

Cara Pam Tayar Motosikal & Cara Menentukan Tekanan Angin Tayar Motosikal yang Betul Tekanan angin tayar yang tepat penting untuk memastikan motosikal kekal stabil, selesa...