Selepas sekian lama spekulasi dan khabar angin, akhirnya Yamaha YZF-R9 2025 diperkenalkan dengan beberapa kejutan yang menarik.
Model terbaru ini tidak hanya meneruskan legasi R-Series, tetapi juga memberi nafas baharu kepada kategori supersport yang lebih mesra pengguna.
Model ini direka khusus untuk jalan raya dan litar.
Dengan harga permulaan $12,499, Yamaha YZF-R9 ini dijangka tiba di pasaran eropah pada Mac 2025.
Rekaan dan Filosofi Baharu
Pada awal tahun 2000-an, kebanyakan motosikal supersport berfokus kepada spesifikasi yang terbaik.
Namun bagi yamaha, mereka menyedari perubahan dalam permintaan pengguna yang kini lebih mementingkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.
Menurut Aaron Bast, Perancang Produk Senior Yamaha,
“Kami menghasilkan R9 untuk pengguna yang mahukan pengalaman motosikal sport tradisional tetapi dengan pendekatan lebih praktikal, sesuai untuk jalan raya dua lorong yang berliku, tetapi masih mampu menawan litar.”
Model ini tampil dengan rekaan fairing penuh dan pemegang jenis clip-on.
R9 masih mengekalkan rupa sporty tetapi dengan dimensi yang lebih besar untuk keselesaan pelbagai jenis penunggang.
Yamaha juga memastikan jarak antara pemijak kaki dan tempat duduk lebih luas daripada model R1.
Keadaan ini mampu memberikan posisi tunggangan yang lebih selesa untuk perjalanan jauh.
Enjin Berprestasi Tinggi yang Mesra Jalan Raya
Yamaha YZF-R9 dikuasakan oleh enjin CP3 890cc tiga silinder selari yang dipinjam dari model MT-09.
Akan tetapi, yamaha telah melakukan tetapan ECU baharu dan nisbah gear yang lebih panjang (16/45 berbanding 16/43), memberikan penyaluran kuasa yang lebih lancar.
Enjin ini mengekalkan hampir semua komponen utama yang telah diolah semula pada tahun 2021 untuk menghasilkan berat yang lebih ringan dan tork lebih tinggi.
Dengan kuasa sekitar 106 hp dan 63.5 lb-ft tork, prestasi R9 disesuaikan untuk memberikan pengalaman tunggangan yang lebih berkuasa tetapi tetap mesra jalan raya.
Bingkai aluminium baharu yang digunakan juga merupakan bingkai yang paling ringan pernah dihasilkan oleh Yamaha untuk model supersport, membantu mengekalkan berat keseluruhan pada 430 paun.
Keseimbangan di Antara Prestasi dan Keselesaan
Selain enjin berprestasi tinggi, Yamaha turut menumpukan perhatian kepada casis dan suspensi bagi memastikan pengalaman tunggangan yang seimbang.
Suspensi hadapan menggunakan fork KYB 43mm Separate-Damping (SDF) dengan pelarasan lengkap.
Manakala suspensi belakang pula dilengkapi dengan monoshock KYB yang turut boleh dilaras sepenuhnya.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen Yamaha dalam menghasilkan motosikal yang mampu menghadapi pelbagai situasi, dari jalan raya yang mencabar hingga ke litar lumba.
Posisi tunggangan Yamaha YZF-R9 juga dipertingkatkan dengan pemegang jenis clip-on yang dipasang di bawah klamp tripel atas.
Ciri ini mampu memberikan sudut tunggangan yang lebih agresif tetapi masih sesuai untuk penggunaan harian.
Winglet aerodinamik juga diperkenalkan, bukan sekadar hiasan, tetapi untuk memberikan daya “downforce” yang sebenar pada kelajuan litar.
Teknologi dan Ciri Keselamatan Terkini
Tidak lengkap sebuah motosikal moden tanpa teknologi canggih.
Yamaha YZF-R9 hadir dengan pelbagai sistem elektronik termasuk empat tahap mod kuasa, sembilan tahap kawalan traksi sensitif condong, dan tiga tahap kawalan slide.
Terdapat juga sistem kawalan brek dan kawalan angkat roda, serta quickshifter dua hala untuk penukaran gear lebih pantas.
Semua ini boleh ditetapkan melalui paparan TFT 5 inci yang canggih dan sambungan telefon pintar untuk menerima panggilan dan mendengar muzik.
Ciri Lain yang Menyerlah
Yamaha tidak melupakan aspek kemudahan dalam reka bentuk R9.
Motosikal ini dilengkapi dengan brek hadapan Brembo Stylema dan penyerap kejutan Brembo yang menawarkan prestasi memberhentikan yang unggul.
Terdapat juga kawalan jelajah untuk tunggangan yang lebih santai dan tangki bahan api yang besar.
Ciri ini menjadikan YZF-R9 bukan sekadar motosikal untuk litar tetapi juga sesuai untuk perjalanan jarak jauh.
Konklusi
Dengan YZF-R9, Yamaha sekali lagi membuktikan bahawa mereka memahami keperluan pengguna moden.
Motosikal ini bukan sekadar versi yang lebih besar dari R7, tetapi merupakan langkah evolusi yang menawarkan keseimbangan antara prestasi tinggi dan kemudahan harian.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
GWM Malaysia Capai 100 Unit Penghantaran TANK 300!
100 Unit Pertama
Dalam tempoh sebulan sejak pelancarannya pada pertengahan Julai lalu, Great Wall Motor (GWM) Malaysia telah berjaya menyerahkan 100 unit pertama GWM TANK 300 kepada para pelanggan.
Pencapaian ini memberi respons positif bagi sebuah SUV ‘off-road’ pintar dan mewah, terutamanya selepas mendapat perhatian meluas daripada media tempatan dan komuniti pemanduan ‘off-road’ di Malaysia.
GWM & Pelanggan Berkata
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui An Qi, meluahkan rasa gembira dengan sambutan yang memberangsangkan; “Pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap jenama GWM, malah membuktikan sokongan dan keyakinan utuh terhadap produk kami yang berkualiti tinggi.”
Semasa acara penyerahan GWM TANK 300, pemilik ke-100, Profesor Dr. Steven Leow, berkongsi pengalamannya. Beliau berkata, “Sebagai seorang peminat kereta, GWM TANK 300 yang lasak ini benar-benar menarik perhatian saya dengan spesifikasi dan teknologinya yang luar biasa. Saya tidak pernah menyangka kenderaan ‘off-road’ mampu menawarkan keselesaan yang setanding dengan kereta sedan.
GWM TANK 300 ternyata menjangkaui jangkaan. Lebih-lebih lagi dengan ciri-ciri teknologi pintarnya seperti L2 ADAS, pengecasan tanpa wayar. Serta casis lutsinar yang memenuhi pelbagai keperluan gaya hidup moden.”
Ganjaran Eksklusif GWM Tank 300
Sebagai tanda penghargaan, GWM Malaysia menawarkan pelbagai ganjaran eksklusif kepada 300 pemilik pertama model ini.
Ganjaran tersebut termasuk jaminan seumur hidup untuk Enjin dan Transmisi kenderaan (terhad kepada pemilik pertama). Penyelenggaraan PERCUMA selama 5 tahun, termasuk kos buruh dan alat ganti. Berdasarkan setiap 10,000 km atau 6 bulan, mengikut mana yang terdahulu.
Selain itu, pemilik juga akan menerima beg sandang Paramount Thule bernilai RM999 dan Baucar Kit Pengembaraan Thule bernilai RM8,000.
Acara Lain Tank 300
GWM Malaysia juga mengumumkan destinasi keduanya untuk siri Go Adventure with GWM TANK. Di mana pemilik bertuah yang melengkapkan pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya pada 12 September 2024 akan berpeluang memenangi sebuah percutian pengembaraan ke Gurun Alxa. Salah satu padang pasir yang paling mencabar dan menakjubkan di dunia.
Bagi yang berminat dengan model ini, maklumat lanjut boleh didapati di: [https://www.gwm.com.my/TANK300.html](https://www.gwm.com.my/TANK300.html).
Baca juga GWM TANK 300 Kini Dibuka Untuk Tempahan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Pameran International Automodified (IAM) & Malaysia Motor Expo (MME) 2024
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat kereta dengan penganjuran International Automodified (IAM) dan Malaysia Motor Expo (MME) 2024.
Acara yang dinanti-nantikan ini akan mempersembahkan koleksi kereta yang diubah suai serta teknologi automotif terkini.
Paling menarik, pengunjung berpeluang memenangi sebuah Honda N-Box yang telah diubah suai! Dengan hanya membeli tiket masuk atau membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 untuk barangan rasmi IAM-MME 2024.
Anda mungkin menjadi pemenang bertuah yang memandu pulang kereta bernilai RM80,000 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans).
Penganjuran Sejak Tahun 2001
IAM, yang dikenali sebagai pertunjukan dan pertandingan pengubahsuaian kereta terbesar, akan mempamerkan 300 kereta terbaik dari Malaysia. Sejak 2001, IAM telah menjelajah lebih 38 bandar di Indonesia dan kini berkembang ke Malaysia, Singapura, dan Thailand.
Ribuan peminat kereta akan menyaksikan anugerah yang diberikan kepada kereta-kereta yang paling baik diubah suai dalam 100 kategori individu, termasuk gelaran King of IAM KL. Menariknya, IAM juga akan mengadakan pertunjukan sulung di Amerika Syarikat pada Ogos tahun ini.
Anugerah Kereta Terbaik Malaysia (COTY) 2024
Pada masa yang sama, IAM-MME 2024 turut meraikan ulang tahun ke-20 Anugerah Kereta Terbaik Malaysia (COTY), yang menghargai kenderaan terbaik yang dilancarkan pada 2024.
Kenderaan-kenderaan yang memenangi COTY 2023 juga akan dipamerkan, termasuk pemenang keseluruhan, Honda e-HEV Civic RS, serta model dari Volvo, Ford, BYD, Perodua, dan Cherry.
Selain pameran kenderaan, pengunjung juga dapat melihat produk, inovasi, dan perkembangan terbaru dalam teknologi automotif. Pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM) dan pengedar kereta akan mempamerkan produk mereka.
Baca Juga : Model Terbaharu Honda Civic Hybrid 2025
Tahun ini, tumpuan juga diberikan kepada latihan vokasional yang membawa kepada pensijilan antarabangsa dalam kenderaan elektrik. Terdapat juga kenderaan yang tidak terdapat di bilik pameran rasmi, dibawa masuk oleh pengimport kenderaan bebas.
Anugerah COTY yang ke-20 ini memberikan penghargaan kepada kereta-kereta baru yang terbaik di Malaysia, iaitu model-model yang diperkenalkan antara 1 Ogos 2023 dan 31 Julai 2024.
Panel penilai terdiri daripada wartawan automotif berpengalaman dan profesional yang akan menilai kereta berdasarkan reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang.
Tahun ini, kategori baru diperkenalkan untuk mengiktiraf pencapaian dalam elektrifikasi kenderaan dan hartanah mesra EV yang bakal dilancarkan.
Harga Tiket
Tiket untuk IAM-MME 2024 dijual pada harga RM32 dan boleh dibeli secara dalam talian di https://www.ticket2u.com.my/event/34477?r=r124 atau di kaunter tiket di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, layari www.internationalautomodified.com dan www.malaysiamotorexpo.com. Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, dengan syarat mereka ditemani oleh seorang dewasa.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Kapal Korek China Ditahan Di Perairan Tanjung Hantu
Kapal Korek Haram
Sebuah kapal korek dari China telah ditahan di perairan Tanjung Hantu, Segari dekat Manjung kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal dan pelepasan pelabuhan.
Kapal Chuan Hong 68 yang berdaftar di Fuzhou, China, ditahan bersama seorang kru yang tidak tersenarai dalam senarai kru kapal. Penahanan ini berlaku kira-kira jam 3.10 petang, pada jarak 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob, menyatakan bahawa kapal korek tersebut telah dikesan sedang bersauh oleh pasukan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Hasil Pemeriksaan Kapal
“Setelah menerima maklumat tersebut. Anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi di perairan negeri Perak segera diarahkan ke lokasi berkenaan untuk memeriksa kapal tersebut,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati kapal korek itu dikendalikan oleh seorang nakhoda. Dengan bantuan 47 kru yang terdiri daripada 20 warga China, 26 warga Bangladesh, dan seorang warga Malaysia. Kesemua berumur antara 21 hingga 68 tahun.
Mohamad Shukri juga menyebut bahawa pemeriksaan lanjut menemukan 60 tong gas LPG memasak. 14 kilogram darinya tanpa dokumen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan nilai kira-kira RM9,000.
Kesemua kru dan kapal tersebut ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952. Turut didakwa dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak mempunyai dokumen sah untuk membawa barangan kawalan.
“Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil,” tegasnya.
Sebarang laporan, aduan, atau insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan kepada APMM di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di 05-6838737 atau MERS 999.
Dari Careta
Baca Kapal Yang Mampu Beralih Kedudukan Dari Mendatar Ke Menegak Di Tengah Lautan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.