Isi Kandungan
ToggleSelepas sekian lama spekulasi dan khabar angin, akhirnya Yamaha YZF-R9 2025 diperkenalkan dengan beberapa kejutan yang menarik.
Model terbaru ini tidak hanya meneruskan legasi R-Series, tetapi juga memberi nafas baharu kepada kategori supersport yang lebih mesra pengguna.
Model ini direka khusus untuk jalan raya dan litar.
Dengan harga permulaan $12,499, Yamaha YZF-R9 ini dijangka tiba di pasaran eropah pada Mac 2025.

Rekaan dan Filosofi Baharu
Pada awal tahun 2000-an, kebanyakan motosikal supersport berfokus kepada spesifikasi yang terbaik.
Namun bagi yamaha, mereka menyedari perubahan dalam permintaan pengguna yang kini lebih mementingkan keseimbangan antara prestasi dan keselesaan.
Menurut Aaron Bast, Perancang Produk Senior Yamaha,
“Kami menghasilkan R9 untuk pengguna yang mahukan pengalaman motosikal sport tradisional tetapi dengan pendekatan lebih praktikal, sesuai untuk jalan raya dua lorong yang berliku, tetapi masih mampu menawan litar.”
Model ini tampil dengan rekaan fairing penuh dan pemegang jenis clip-on.
R9 masih mengekalkan rupa sporty tetapi dengan dimensi yang lebih besar untuk keselesaan pelbagai jenis penunggang.
Yamaha juga memastikan jarak antara pemijak kaki dan tempat duduk lebih luas daripada model R1.
Keadaan ini mampu memberikan posisi tunggangan yang lebih selesa untuk perjalanan jauh.
Enjin Berprestasi Tinggi yang Mesra Jalan Raya
Yamaha YZF-R9 dikuasakan oleh enjin CP3 890cc tiga silinder selari yang dipinjam dari model MT-09.
Akan tetapi, yamaha telah melakukan tetapan ECU baharu dan nisbah gear yang lebih panjang (16/45 berbanding 16/43), memberikan penyaluran kuasa yang lebih lancar.
Enjin ini mengekalkan hampir semua komponen utama yang telah diolah semula pada tahun 2021 untuk menghasilkan berat yang lebih ringan dan tork lebih tinggi.

Dengan kuasa sekitar 106 hp dan 63.5 lb-ft tork, prestasi R9 disesuaikan untuk memberikan pengalaman tunggangan yang lebih berkuasa tetapi tetap mesra jalan raya.
Bingkai aluminium baharu yang digunakan juga merupakan bingkai yang paling ringan pernah dihasilkan oleh Yamaha untuk model supersport, membantu mengekalkan berat keseluruhan pada 430 paun.
Keseimbangan di Antara Prestasi dan Keselesaan
Selain enjin berprestasi tinggi, Yamaha turut menumpukan perhatian kepada casis dan suspensi bagi memastikan pengalaman tunggangan yang seimbang.

Suspensi hadapan menggunakan fork KYB 43mm Separate-Damping (SDF) dengan pelarasan lengkap.
Manakala suspensi belakang pula dilengkapi dengan monoshock KYB yang turut boleh dilaras sepenuhnya.
Pendekatan ini mencerminkan komitmen Yamaha dalam menghasilkan motosikal yang mampu menghadapi pelbagai situasi, dari jalan raya yang mencabar hingga ke litar lumba.
Posisi tunggangan Yamaha YZF-R9 juga dipertingkatkan dengan pemegang jenis clip-on yang dipasang di bawah klamp tripel atas.
Ciri ini mampu memberikan sudut tunggangan yang lebih agresif tetapi masih sesuai untuk penggunaan harian.
Winglet aerodinamik juga diperkenalkan, bukan sekadar hiasan, tetapi untuk memberikan daya “downforce” yang sebenar pada kelajuan litar.

Teknologi dan Ciri Keselamatan Terkini
Tidak lengkap sebuah motosikal moden tanpa teknologi canggih.
Yamaha YZF-R9 hadir dengan pelbagai sistem elektronik termasuk empat tahap mod kuasa, sembilan tahap kawalan traksi sensitif condong, dan tiga tahap kawalan slide.

Terdapat juga sistem kawalan brek dan kawalan angkat roda, serta quickshifter dua hala untuk penukaran gear lebih pantas.
Semua ini boleh ditetapkan melalui paparan TFT 5 inci yang canggih dan sambungan telefon pintar untuk menerima panggilan dan mendengar muzik.
Ciri Lain yang Menyerlah
Yamaha tidak melupakan aspek kemudahan dalam reka bentuk R9.
Motosikal ini dilengkapi dengan brek hadapan Brembo Stylema dan penyerap kejutan Brembo yang menawarkan prestasi memberhentikan yang unggul.
Terdapat juga kawalan jelajah untuk tunggangan yang lebih santai dan tangki bahan api yang besar.
Ciri ini menjadikan YZF-R9 bukan sekadar motosikal untuk litar tetapi juga sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Konklusi
Dengan YZF-R9, Yamaha sekali lagi membuktikan bahawa mereka memahami keperluan pengguna moden.
Motosikal ini bukan sekadar versi yang lebih besar dari R7, tetapi merupakan langkah evolusi yang menawarkan keseimbangan antara prestasi tinggi dan kemudahan harian.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Pelabuhan Tanjung Pelepas Catat Rekod Baharu Dalam Pengendalian Kontena

Isi Kandungan
TogglePTP Catat Rekod Baharu dalam Pengendalian Kontena
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencatatkan sejarah baharu pada 23 Disember 2024 dengan mencapai kendalian kontena yang ke-12 juta.
Secara tidak langsung menjadikannya terminal kontena pertama di Malaysia yang mengendalikan lebih 12.25 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) dalam tempoh satu tahun.
Pencapaian ini menjadi penanda aras baharu dalam kecemerlangan operasi PTP sejak mula beroperasi pada tahun 2000.

Mengatasi Rekod Terdahulu
Prestasi cemerlang ini mengatasi rekod terdahulu sebanyak 11.2 juta TEU yang dicapai pada tahun 2021.
Angka ini membuktikan keupayaan PTP sebagai hab pemindahan kontena terbesar di Malaysia dan mengukuhkan statusnya sebagai terminal kontena yang cekap di peringkat global.
Kejayaan ini juga mencerminkan kemampuan PTP dalam menyesuaikan diri dengan permintaan rantaian bekalan global yang semakin mencabar.
Pengerusi PTP: Dedikasi dan Komitmen Kunci Kejayaan
Menurut Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, kejayaan ini membuktikan pentingnya peranan PTP dalam ekosistem logistik global.
“Pencapaian ini adalah hasil daripada dedikasi, komitmen, dan kerja keras seluruh warga kerja PTP. Dengan kendalian jumlah kontena yang begitu besar secara lancar, kami terus menyampaikan perkhidmatan luar biasa kepada pelanggan dan rakan niaga yang dihargai,” katanya dalam satu kenyataan.
Menyumbang kepada Pertumbuhan Ekonomi
Tan Sri Che Khalib turut menegaskan bahawa PTP memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Kami bukan sahaja mengukuhkan kedudukan PTP sebagai antara terminal kontena paling cekap di dunia tetapi juga membantu menggerakkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.
PTP Sebagai Pemacu Utama Logistik Malaysia
Sebagai unit dengan pegangan 70 peratus oleh MMC Corporation Bhd, PTP terus menjadi contoh kecemerlangan dalam industri logistik.
Kejayaan mengendalikan jumlah kontena yang besar ini menunjukkan bahawa PTP bersedia untuk terus memacu sektor logistik Malaysia ke arah yang lebih maju, mengukuhkan lagi peranannya dalam rantaian bekalan global.

Penanda Aras Masa Depan
Dengan kejayaan ini, PTP kini menetapkan standard baharu bagi industri pengendalian kontena di Malaysia.
Ia bukan sahaja menjadi lambang kecemerlangan operasi tetapi juga bukti kesediaan Malaysia untuk bersaing di peringkat global.
Prestasi ini akan menjadi inspirasi kepada terminal lain untuk mencapai tahap kecemerlangan yang sama.
Sumber Artikel : Bernama
Baca Juga : Dimanakah Tempat Duduk Paling Selamat Dalam Kapal Terbang ?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Pandu Uji Model Porsche di Litar Antarabangsa Petronas Sepang

Isi Kandungan
TogglePorsche World Roadshow (PWRS) membuka tirainya semalam sehingga 29 jun 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Pengalaman pemanduan PWRS dikendalikan oleh pengajar Porsche antarabangsa yang bertauliah dengan pemanduan berpandu di litar perlumbaan termasuk pecutan, brek, slalom dan pemanduan off-road.
Pelbagai model Porsche termasuk 911 Targa 4 GTS, 911 Turbo S, 911 GT3 RS, 718 Cayman GT4 RS, Spyder RS, Cayenne Turbo E-Hybrid, Macan GTS, Panamera baru, Taycan Turbo baru dan Taycan Turbo S Cross Turismo tersedia untuk dipandu uji.
Eksklusif di PWRS Malaysia
Secara eksklusif di PWRS Malaysia, Taycan baru memulakan debutnya dengan harga bermula dari RM575,000.00. Terdapat juga pratonton eksklusif Macan elektrik, yang kini boleh ditempah sebelum pelancaran rasmi di Malaysia.
Christopher Hunter, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, berkongsi, “Kami sangat teruja untuk menganjurkan PWRS di Malaysia kerana ia menawarkan pengalaman pemanduan yang benar-benar luar biasa bagi para peminat Porsche, memberikan pengalaman yang mendalam dalam keterujaan kereta sukan. Ia menawarkan peluang eksklusif untuk merasai potensi penuh mesin berprestasi tinggi ini, memberikan rasa adrenalin yang sebenar dan DNA Porsche yang tiada tandingan.”
Baca Juga : Porsche Taycan Turbo GT – EV Produksi Paling Berkuasa Pernah Dibina
Porsche Taycan Serba Elektrik Baru
Taycan Turbo dan Taycan Turbo S Cross Turismo baru telah memulakan debut mereka di Malaysia dan PWRS. Porsche telah memberikan Taycan baru kemaskini yang sangat meluas dengan versi baru ini mempunyai lebih kuasa, lebih jarak, lebih pantas dan pengecasan dengan lebih cepat serta kestabilan yang lebih baik.
Bergantung kepada varian badan dan enjin, jarak WLTP juga meningkat sehingga 678 km, peningkatan sebanyak 175 km atau 35 peratus.
Model Porsche Taycan baru kini boleh ditempah dan akan tersedia di Pusat Porsche di seluruh negara mulai Julai 2024 dengan harga bermula dari RM575,000.
Macan Elektrik Serba Baru
Pratonton eksklusif Macan Elektrik di PWRS sebelum pelancaran rasminya yang akan dinaklumkan kelak. Macan 4 dan Macan Turbo – generasi model kedua SUV kompak Porsche – kini datang dalam bentuk elektrik yang menampilkan DNA reka bentuk Porsche yang menonjol, prestasi Porsche yang berkarakter, jarak jauh dan praktikaliti harian yang tinggi.
Untuk maklumat lanjut mengenai model Taycan dan Macan serba elektrik baru, sila hubungi Pusat Porsche terdekat anda.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Honda e:N1 Tiba di Malaysia dengan Harga RM149,900

Isi Kandungan
ToggleLangkah Elektrifikasi Baharu oleh Honda Malaysia
Honda Malaysia secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik (Battery Electric Vehicle, BEV) pertamanya, dikenali sebagai All-New e:N1.
Model SUV kompak ini menjadi tanda aras baharu kepada barisan kenderaan elektrifikasi Honda.
Sekaligus mengukuhkan komitmen jenama ini ke arah mobiliti masa depan yang lebih lestari.
Bersempena pelancarannya, e:N1 ditawarkan pada harga istimewa RM149,900 (harga atas jalan tanpa insurans) untuk jumlah unit terhad, berdasarkan prinsip “Price That Drives Excitement”.
Dari IMA ke BEV: Evolusi Teknologi Honda
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Narushi Yazaki, menyatakan bahawa perjalanan elektrifikasi Honda bukanlah sesuatu yang baharu.
Bermula dengan Integrated Motor Assist (IMA) pada tahun 2004, diikuti oleh teknologi VTEC Turbo (2016), i-DCD (2017), dan e:HEV (2020), Honda terus memacu pembangunan teknologi mesra alam.
“Kami bukan sahaja terus membangunkan model ICE dan e:HEV yang kekal relevan, malah kini memperkenalkan BEV bagi meluaskan lagi pilihan kepada pelanggan. Apa jua teknologi yang kami perkenalkan, prinsip ‘Fun-To-Drive’ tetap menjadi teras utama,” ujar beliau.
Prestasi & Teknologi: Di Mana Bentuk Bertemu Fungsi
e:N1 bukan sekadar BEV – ia adalah manifestasi keseimbangan antara reka bentuk, prestasi dan teknologi.
Dilengkapi dengan bateri lithium-ion 68.8kWh, model ini mampu menjana 150kW kuasa maksimum dan 310Nm tork puncak.
Ia menyokong pengecasan AC biasa sehingga 10kW (10% ke 80% dalam 6 jam) dan pengecasan pantas DC hingga 78kW, dengan kadar 30% ke 80% dalam hanya 50 minit.
Dengan jarak pemanduan sehingga 500km (NEDC) dan pilihan mod pemanduan Sport, Normal dan ECON, e:N1 menjanjikan pengalaman pemanduan yang lancar, responsif dan menyeronokkan.
Reka Bentuk Luaran & Dalaman: Futuristik dan Anggun
Dari sudut penampilan, e:N1 hadir dengan gaya moden yang minimalis.
Gril depan tanpa corong udara, lencana “H” putih baharu yang menjadi simbol elektrifikasi Honda.
Hadir dengan rim aloi dwi-tona 18 inci melengkapkan penampilan luaran yang bersih dan elegan.
Bahagian dalaman pula mempamerkan suasana kabin yang intuitif dan sofistikated menerusi pencahayaan ambien biru, pengecas tanpa wayar, dan paparan pemanduan digital 10.25 inci.
Kemuncaknya ialah paparan audio canggih 15.1 inci yang eksklusif buat model ini, dibahagikan kepada tiga bahagian.
Antara bahagian tersebut ialah infotainmen (CarPlay tanpa wayar, Android Auto, navigasi), status kenderaan & kawalan audio, serta tetapan penyaman udara.
Ruang but pula berkapasiti 344 liter dan konfigurasi tempat duduk belakang 60:40 memastikan praktikaliti maksimum untuk gaya hidup moden.
Ciri Keselamatan Menyeluruh: Keyakinan Pemanduan Sepanjang Masa
Sebagaimana tradisi Honda, keselamatan kekal menjadi keutamaan.
e:N1 dilengkapi sistem Honda SENSING dan turut memperkenalkan ciri eksklusif seperti Blind Spot Information (BSI) dengan Cross Traffic Monitor (CTM).
Ini merupakan satu langkah proaktif dalam meningkatkan kesedaran pemandu dan mengurangkan risiko kemalangan.
Tiga Warna Menawan, Proses Pembelian Pintar
Tersedia dalam pilihan warna Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic, dan Urban Gray Pearl, pelanggan boleh membuat tempahan e:N1 menerusi portal pra-tempahan Honda atau aplikasi HondaTouch.
Sepanjang proses ini, pelanggan akan dibantu oleh brand ambassador terlatih, bagi memastikan pengalaman pembelian yang eksklusif dan diperibadikan.
Jaminan & Perlindungan Tambahan untuk Pemilik EV
Honda e:N1 hadir dengan jaminan lapan tahun atau 160,000km (mana-mana terdahulu) yang meliputi bateri dan sistem pemacu elektrik.
Di samping itu, pakej insurans Honda Insurance Plus (HiP EV) turut ditawarkan, meliputi perlindungan semasa menggunakan pengecas awam, perlindungan untuk wall charger rumah, kabel pengecas mudah alih dan liabiliti peribadi terhadap pihak ketiga.
Permulaan Kukuh untuk Tahun 2025
Honda Malaysia mengumumkan jualan hampir 24,000 unit kenderaan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Dengan pelancaran e:N1, syarikat ini yakin akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju automotif di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut atau membuat tempahan, pelanggan boleh layari:
🔗 https://prebook.honda.com.my/
📱 Aplikasi HondaTouch
📍 Atau kunjungi salah satu daripada 8 pengedar BEV Honda yang sah
Baca Juga : Honda Malaysia Sambut CEO Baharu – Narushi Yazaki
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.